Selasa, 4 Mac 2008

Jumpa Dina Najat Di MPH Alamanda 15 Mac 2008!!!

Buat

Pembaca dan Peminat

'Seteguh Kasih Aina Najihah'

Dina Najat

Akan Berada Di

MPH Alamanda Putrajaya

Pada

15 Mac 2008


Jam 2 Petang Hingga 4 Petang

50 Pembeli Paling Awal

Akan Mendapat Hadiah Istimewa!!!
JUMPA DI SANA...


Isnin, 3 Mac 2008

Seteguh Kasih aina Najihah Di'NOVEL'kan Sudah!!



Terimalah MAC 2008 Ini....di MPH di POPULAR....




Karya Terbaru Dina Najat

Khamis, 6 Disember 2007

'Seteguh Kasih Aina Najihah' Selesai


Apa lagi yang paling menggembirakan seorang penulis novel. Jawapannya ialah karya yang diusahakan selama berbulan-bulan akhirnya telah siap menjadi sebuah novel. Seperti orang yang baru disahkan mengandung setelah menunggu bertahun lama, maka begitulah bahagianya perasaan ini.

Namun seperti juga orang yang disahkan mengandung, saat-saat mengetahui jantina anak juga satu episod yang mendebarkan. Begitu juga dengan saat-saat kelahiran.

Maka seperti itulah berdegup kencangnya perasaan penulis apabila menanti saat buku dicetak dan dipasarkan. Mudah-mudahan penerbit dapat melaksanakannya dengan lancar. Dan, episod seterusnya juga tidak kurang menggetarkan sanubari. Sebagai penulis sudah pasti ingin tahun reaksi pembaca terhadap karya terbarunya.

Seperti juga anak, ramai yang nak tahu anak yang baru lahir ini ikut muka siapa, dah pandai buat apa?

Walau apa pun, Dina cuba berusaha yang terbaik untuk memberikan buahtangan yang terbaik. Kali ini Dina mementingkan ketepatan maklumat dalam novel serta jalan cerita yang kuat. Mudah-mudahan ia tidak mengecewakan. Setelah berusaha dan berdoa. Akhir sekali bertawakkal.


Oleh yang demikian terimalah ................

'Seteguh Kasih Aina Najihah'

Bakal Berada Di Pasaran Pada 2008.

Isnin, 1 Oktober 2007

'Seteguh Kasih Aina Najihah'



Sebuah kisah perjuangan..

Sebuah cinta yang menuntut pengorbanan..

Sebuah masa silam yang terpaksa dibongkar..

Bersama menyelusuri liku derita,

Mendengar rintihan jiwa,

Mengesat titis airmata

Seorang Aina Najihah.....


Dalam e-novel.....
' Seteguh Kasih Aina Najihah'

http://ainanajihah.blogspot.com.my/

Akan Terbit 2008

Isnin, 10 September 2007

Bab 18.............. Mengharap Lagi!



Sementara menunggu tiba pukul 9.30 malam, aku menghabiskan saki baki masa dengan membuka kotak mesej telefon bimbitku. Beberapa mesej masuk aku amati, antaranya mesej terakhir dari Roon.

> Ko wat ape Jihah? Tgh ngangur ni, ko masak ler sedap2. Aku balik tgl mlantak jek. He..he..tringat makaroni goreng ko. Wat ye!

Mesej seterusnya...

> Jihah, ko tau tak? Si Khairul rimau tu tanya aku, kau kerja mana skrang? He..he..baru dia sedo camne marktg dept tanpa ko. Gelabah ooii.

Serta merta ingatanku kepada Encik Khairul mengambil alih ruang imaginasi. Hish! lantaklah dengan Encik Khairul. Aku memang seriau dengar nama lelaki itu. Ahh...kalaulah Mawar Biru tidak dipegang oleh si harimau tu, pasti aku bahagia berkerja di sana.

Kotak mesej aku tutup semula. Wajah Encik Khairul yang singgah di kotak memori, aku lontarkan jauh-jauh . Kini kenangan bersama Roon mencucuk-cucuk tebing hati. Roon adalah sahabatku yang paling akrab. Sahabat susah senang. Sebenarnya aku mempunyai ramai sahabat lagi, antaranya Atiyah, Zana, Mila, Nur dan Dila. Namun Roon cukup tersendiri dengan caranya. Dia ikhlas, sanggup bersusah demi aku. Hanya mulutnya sahaja yang mudah cakap lepas. Bertahun mengenali Roon, aku sudah menerima kelemahannya yang satu ini. Seperti yang aku pernah beritahu, Roon memang sudah terdidik dengan kekasaran.

Tutt! Mesej baru masuk. jariku sibuk memicit butang hijau.

> Apa khabar Jihah? Tahniah kembali ke Darul Fikriyah. Peluang kedua di sini jgn dipsia2kan. Ingatan tulus ikhlas, abang.

Jari jemariku menggeletar. Kelopak mata kutenyeh berkali-kali. Nombor yang tertera itu sangat akrab dengan penglihatanku. Ameer Mulhim. Sekali lagi jantungku hilang ritmanya dan berlagu tidak tentu tempo. Masakan Abang Ameer mahu berhubung denganku setelah dia tahu, aku juga menyimpan perasaan kasih padanya? Mengapa Abang Ameer sanggup menghantar mesej padaku sedangkan dia sudah berumahtangga dengan Wan Insyirah? Bagaimana agaknya perasaan Wan Insyirah seandainya dia tahu suaminya menghantar mesej padaku? Sedangkan pada pertemuan sebulan lalu, airmuka Wan Insyirah sudah menggambarkan perasaan cemburu terhadapku apabila Ameer Mulhim memberikan aku sebungkus beg plasitik berisi kain.

Kain itu! Baru aku teringat, kain itu hanya sekali kulihat sebaik sahaja aku sampai di rumah. Hati ini dicuit-cuit untuk membelek kain itu buat kali kedua pula.

Dengan pantas, beg baju aku keluarkan dari dalam almari. Satu bungkusan merah aku tarik dari tepi poket beg. Seketika kemudian, kain berwarna hijau bercorak kerawang bunga melur memenuhi bebola mataku. Cantik! Aku membiarkan kain itu menyaluti tubuhku. Terasa bahagia. Seolah-olah cinta Ameer Mulhim meliputi seluruh hidupku. Seoalh-olah akulah pemilik tunggal cintanya. Jiwaku damai dalam mimpi-mimpi indah biarpun seminit dua.

Astagfirullahu’al’adzim. Cepat-cepat aku membungkus kain itu semula. Tidak seharusnya aku melayani perasaan ini lagi. Ameer Mulhim bukan milikku. Ameer Mulhim sudah menjadi suami Wan Insyirah. Perasaan ini harus aku lenyapkan walau susah, walau payah.

Sudah pukul 9.20. Aku harus beredar ke Bilik Mesyuarat sekarang. Biarpun hati dibaluti rasa pilu, dan hiba yang masih berlarutan namun semua itu terpaksa aku pendamkan.

Apabila aku menjejakkan kaki ke Bilik Mesyuarat, semua sudah berada di dalam. Aku kira, aku antara yang paling awal datang, tetapi rupa-rupanya tidak. Dari muka pintu, aku lihat Ayah Zubir sudah duduk di kerusi tengah. Dan di sebelah Ayah Zubir adalah Ustaz Fakhrol Rodzi, manakala di sebelah Ustaz Fakhrol Rodzi adalah….

Aku bagai tidak percaya dia berada di situ. Dia melihatku dengan senyum nipis dan matanya bagai bercahaya. Ustaz Bahtiar yang berada di sebelahnya juga menyorot pandang ke arahku. Mungkin pelik dengan reaksiku yang agak gementar ketika melintasi kerusi kosong di hadapan mereka. Aku mengambil tempat di sebelah Ustazah Aminah. Wan Amani pula berada di sebelah kanan Ustazah Aminah. Sedikit demi sedikit ketenanganku dirampas perlahan-lahan oleh kehadirannya.

“ Assalamualaikum semua, nampaknya semua sudah ada. Alhamdulillah, buat kali pertama kita dapat bermusyawarah dalam jumlah yang boleh saya katakan paling lengkap setakat ini.” Bicara Ayah Zubir yang nampaknya sungguh ceria dan bersemangat malam ini.

Sungguh tidak masuk akal, dia ada pada malam ini. Aku yang duduk di hadapan si pencuri hati itu bagai serba tidak kena. Hendak duduk rapat kaki, hujung kaki terasa sejuk pula. Hendak angkat muka bimbang berlaga mata dengannya. Akhirnya aku memainkan jari jemari kaki dan mataku asyik terpaku pada Ayah Zubir dan anakmataku sesekali pulang ke arah permukaan buku nota hitam yang aku bawa ke sana dan ke mari.

“ Kita mulakan musyawarah kali ini dengan Al fatihah."

Serentak itu semua bibir terkumat-kamit.

Membuka bicara, Ayah Zubir memperkenalkan beberapa ahli keluarga baru Asrama Anak-Anak Yatim Darul Fikriyah. Sebagai orang yang memegang jawatan eksekutif paling tinggi, Ameer Mulhim Hanafi dipersilakan untuk memberi sedikit pengenalan diri. Semua mata yang ada menjamah wajah Ameer Mulhim yang putih kemerah-merahan itu. Mataku juga tidak terkecuali. Senyuman yang merekah di bibir si jejaka idamanku itu bagai memagut semangat yang ada di tebing hatiku. Semangat ini kian mencair bersama cairnya impian untuk melumatkan rindu dendam yang mencengkam kukuh akar hati. semua itu kerana kehadirannya.

Asmara ini semakin berdenyut. Laju. Aku jadi keresahan. Tidak sanggup lagi lemas dalam gelombang perasaan. Sepanjang suara Ameer Mulhim berkumandang, aku seolah-olah merasakan semua mata meneroka seraut wajahku yang dihujani rintik peluh. Aku malu, aku cuba untuk mengawal perasaan. Bagi menghilangkan perasaan gelabah, aku buat-buat mencatat sesuatu di dalam buku hitamku.

“ Awak pula Aina Najihah,” Entah suara siapa yang memanggil namaku.

Masih lagi kedengaran panggilan itu bertalu “ Aina Najihah”

Papp! Paha aku ditepuk oleh Ustazah Aminah. Tidak semena-mena pen dan buku hitam aku jatuh bertaburan di lantai. Begitu juga kunci bilik. Dalam keadaan kelam kabut itulah, pen aku bergolek menyentuh hujung kaki Ameer Mulhim. Degup jantungku kala itu bagai tong drum yang dipukul oleh pemain muzik rock heavy metal. Berdentum. Dum! Dum! Dum!

“ Nah, jangan termenung.” Bisik Ameer Mulhim seraya menghulur pen kepadaku. Aku percaya hanya aku sahaja yang boleh mendengar suara Ameer Mulhim yang mempersonakan itu.
Malunya eeiii….Tuhan saja yang tahu.

“ Mulakan Aina Najihah, panjang menung awak tadi. Teringat beban kerja yang menunggu ke?” Usik Ayah Zubir dengan tawa kecil yang bersisa di hujung pertanyaannya.

“ Mulakan apa?”

“ Ha..hik..hik..isy…awak tak dengar apa yang Ustaz Ameer cakap tadi?” Tegur Ayah Zubir sambil menepuk bahu Ameer Mulhim beberapa kali. “ Ceritakan tentang latar belakang awak sedikit dan apa harapan awak terhadap asrama ini?”

“ Oh begitu,” aku cuba mententeramkan diri. Malunya apabila ditegur sebegitu di hadapan petugas lain terutama sekali Ameer Mulhim. Salah aku juga, berkhayal. Perlahan-lahan aku menarik nafas dalam dan menghembuskannya keluar. Setelah berasa selesa, aku pun memulakan patah bicara.

“ Assalamualaikum semua, maaf ya tadi…agak kepenatan sedikit. Hummm…nama saya Aina Najihah, panggil saja Jihah. Asal, seperti yang Ayah Zubir tahu, dari Asrama ini. Lahir di Johor. Sebelum ini saya berkerja di Hotel Mawar Biru. Harapan saya pada Darul Fikriyah, InsyaAllah dengan sokongan dan kesepakatan pihak pentadbiran dan pekerja serta para penghuni asrama, mudah-mudahan kita dapat melahirkan insan yang cemerlang akademik dan sahsiah diri dari asrama ini. Itu saja.”

Selesai aku berucap pendek, tiba pula giliran Ustazah Aminah. Hampir dua minit berkata-kata, barulah aku tahu yang Ustazah Aminah akan bertugas sebagai Ketua Warden Puteri manakala aku akan menjadi Penolongnya. Bagi yang lelaki pula, Ameer Mulhim atau Ustaz Ameer Mulhim akan menjadi Ketua Warden manakala Ketua Warden Lelaki adalah Ustaz Fakhrol Rodzi. Penolongnya Ustaz Fardi Bahtiar. Setiap dari kami diedarkan seorang satu carta organisasi Asrama Anak-Anak Yatim Darul Fikriyah.

Carta Organisasi Asrama Anak-Anak Yatim Darul Fikriyah

Penaung
Tuan Guru Haji Hanafi Bin Haji Hussin
Pengerusi
Tuan Haji Zubir Bin Haji Hussin
Timbalan Pengerusi
Prof. Dr. Nik Johari Bin Datuk Nik Asmat
Setiausaha Agung
Puan Hajjah Sharifah Raudhah Bt. Syed Saheed
Penolong Setiausaha
Encik Taib Bin Masnor
Bendahari
Puan Salamiah Bt. Masnor
AJK
Prof. Dr. Mohd. Fadhil Bin Ilyas
Tuan Haji Dasuki Bin Haji Yusof
Encik Abdul Jabbar Bin Mustaffa
Puan Hawa Bt. Talib
Saudari Norhidayah Bt. Rashdan
Ketua Warden
Ustaz Ameer Mulhim Bin Hanafi
Ketua Warden Putera Ketua Warden Puteri
Ustaz Fakhrol Rodzi Ismail Ustazah Aminah Bt. Lokman
Pen. K.Warden Putera Pen. K. Warden Puteri
Ust.Firda Bahtiar Baihaqi Aina Najihah Abd Fattah
Penyelia Asrama
Zaharah Bt. Akib ( Kak Arah )
Pekerja Am
1. Kerani
Wan Amani Bin Wan Mutalib ( Wan )
2. Pemandu
Hamadi Bin Tukiman ( Abang Madi)
3. Tukang Sapu
Cik Tom Bt.Jenawi ( Kak Tom )
4. Ketua Tukang Masak
Hawa Bt. Abdul Syukor ( Mak Awa )
5. Pembantu Tukang Masak
Rabitah Bt. Haji Sulaiman
Mesyuarat hampir satu jam itu diakhiri dengan sedikit hidangan malam. Kami beredar ke kantin dan Mak Awa sudah menyiapkan dua teko air teh dan kopi berserta karipap pusar dan donut serta dua pinggan tembikai susu.

Tadi, Ayah Zubir ada membangkitkan satu isu penting berkenaan kes pelajar lari dari asrama dan hanya disedari hilang, dua hari selepas itu. Adik Zulfadzlee Bin Tahir, pelajar darjah enam yang baru memasuki Darul Fikriyah seminggu lalu telah melarikan diri dengan menaiki sebuah teksi menuju ke stesyen komuter UKM dan telah sampai ke Stesyen Bas Puduraya. Yang memeranjatkan, Adik Zulfadzle sudah sampai ke Alor Gajah, Melaka dan pihak polis telah menelefon pihak asrama apabila dia dijumpai berlegar-legar di sekitar sebuah taman perumahan di Alor Gajah.

“ Kita kesal kerana kecuaian kita telah menjejaskan nama baik Darul Fikriyah. Bagaimana pelajar boleh keluar tanpa ada pantauan warden?” Tegur Ayah Zubir dan kecewanya ketara menempel dalam rengus suaranya. Ustaz Bahtiar yang dijeling dengan ekor matanya.

Menyedari dirinya yang menggalas beban menjaga pelajar lelaki, Ustaz Bahtiar membuka mulut jua.“Insyaallah, saya akan lebih berhati-hati kali ini.”

Agaknya kerana itulah Ustaz Bahtiar lebih banyak mendiamkan diri. Adakalanya senyum tawanya bagai sengaja dibuat-buat. Mungkin terkesan dengan kritikan yang baru diterimanya.

“Assalamualaikum Jihah, tak sangka ya, akhirnya kita kerja sebumbung di Darul Fikriyah.” Tegur Ameer Mulhim setelah semua yang ada bersurai. Saat itu di belakang aku, hanya tinggal Ustaz Bahtiar seorang. Ustazah Aminah awal-awal lagi sudah minta diri, katanya ada temujanji dengan ahli keluarga.

Berpaling dan mata menyapa wajah lelaki yang didamba dari dulu lagi, hatiku dipagut pilu. “ Oh, Abang Im.” Aku cuba mengawal gelora jiwa, “ Tak sangka pula, Abang akan balik ke Darul Fikriyah? Kenapa, Terengganu tak menjanjikan kebahagiaan ke?” Usikku berkias.

Kami berjalan beriringan. Bau minyak wangi Ameer Mulhim jikalau tak silap tekaanku jenis ‘Malaikat Subuh’ membuai lagi kerinduan yang tak terbendung ini. Suasana sekitar Perkarangan Ilmu terang benderang. Gerak geri dua tiga orang pelajar perempuan yang membuka tingkap bilik jelas kelihatan dari tingkat bawah. Mataku sempat menangkap kelibat Yunni sedang berjalan di tepi kaki lima bilik sambil bertelekung putih. Hendak sembahyang Isyak agaknya. Alhamdulillah, mudah-mudahan Yunni akan tenteram jiwanya.

“ Jihah, Jihah….” Ameer Mulhim merendahkan suaranya, “ bahagia ada di hati, tak perlu kita kejarkan di sana sini, bahagia akan wujud dalam jiwa andai kita tahu memupuknya.” Saat itu, telingaku terasa pedih.

Apa yang Ameer Mulhim tahu tentang bahagia? Ya! Memang dia sudah bahagia kerana memiliki Wan Insyirah. Sedangkan aku, aku berusaha siang malam menyemai rasa bahagia namun sukarnya, tak mampu aku ucapkan. Hanya masa dan ketika akan mengubat derita cintaku yang tak kesampaian.

“ Hai….orang dah masuk alam rumahtangga. Mana tak bahagia? Tak payah pupuk, bahagia akan datang bergolek di hujung kaki.” Kilasku seraya melangkah laju, mahu meninggalkan Ameer Mulhim yang sengaja mahu mencambahkan lagi benih duka lara dalam jiwaku.

“ Jihah! Jihah! Masih marahkan Abang kah?”

“ Marah?!” Aku memusingkan badan, mendepani sekujur tubuh Ameer Mulhim yang lebih satu kaki tinggi dariku. “ Kenapa nak marah? Abang ada buat salah pada Jihah ke?”

Mata Ameer Mulhim semakin berani menjamah sepasang mataku yang cuba melarikan diri dari renungannya. Sekali lagi jantungku berdegup laju. Subhanallah! Subhanallah! Perasaan jangan dibiarkan memimpin akal, tukas hatiku yang baru dikejutkan dengan suara kecil berbau kesedaran.

“ Maaf. Mungkin Abang salah bicara, tapi tidakkah Jihah sedar kita ini sengaja hendak menyiksa diri sendiri. Membiarkan kecewa membelenggu diri masing-masing.” Ameer Mulhim nampaknya semakin berani berbicara tentang perasaan. Aku kira ini sudah melampau untuk seorang lelaki yang sudah memeterai ikatan janji sehidup semati dengan wanita pilihannya.
Bunyi tapak kaki menuju ke arah kami mematikan patah bicara perbualan.

Ustaz Bahtiar sudah berhenti di sisi Ameer Mulhim. “ Maaf Ameer, Cik Aina. Aku kira, tak sesuai kamu berdua berbicara di tengah Perkarangan Ilmu ini. Kamu agak emosi tadi, takut pula dianggap bukan-bukan oleh anak-anak kita di sini. Apa kata kamu berbual dengan telefon sahaja. Mungkin itu lebih baik untuk kamu berdua.”

Wajah Ameer Mulhim yang putih kemerah-merahan itu bertukar serius. Dia menundukkan kepala. “ Baiklah. Terima kasih ingatkan aku. Mungkin ada perkara yang perlu diselesaikan antara kami agar tidak dianggap bukan-bukan.”

Ustaz bahtiar terpempan seketika. Serta merta dia meninggalkan kami dan menuju ke biliknya di tingkat atas. Menyedari nasihat Ustaz Bahtiar itu adalah benar dan sebagai tanda ingatan seorang warden kepada seorang warden, dan seorang Muslimin kepada seorang Muslimat, aku terus meninggalkan Ameer Mulhim di tengah-tengah Perkarangan Ilmu.

“ Nanti Jihah!” Laung Ameer Mulhim.

Buat kali ketiga aku berpusing, membenarkan sepasang mataku menjamah marah ke arah Ameer Mulhim, biarpun dia lelaki yang berjaya mencuri hatiku ini.

“ Ada perkara yang penting sangat sampai tak boleh tunggu esok saja?” Aku memuntahkan segala geram yang terbuku di dada. Geram kerana Ameer Mulhim datang kembali ke Darul Fikriyah. Geram kerana aku baru sahaja mahu memulakan kebahagiaan dan membangunkan jiwa yang sudah lelah. Dan dia bagai mahu membiarkan aku tenggelam dalam kesengsaraan melawan rintihan hati dengan memunculkan diri di sini.

“ Abang kembali ke Darul Fikriyah ini kerana tanggungjawab Abang, anak-anak Darul Fikriyah perlukan abang.”

“ Syukurlah.”Aku berjalan lagi.

“ Nanti,” Ameer Mulhim bersuara tegas, dan aku sudah naik lemas.

“ Apa lagi?” Tingkahku.
“ Abang tidak memiliki seorang isteri pun sehingga saat ini.”

“ Apa Abang Im cakap ni?”
“ Abang bukan suami orang. Itu saja Abang mahu Jihah tahu.”

Mataku terpaku, lidahku membeku. Apakah Ameer Mulhim cuba bersenda denganku ? Tidak! Tidak! Ameer Mulhim bukan begitu orangnya. Lelaki sejujurnya tidak pernah membiarkan lidahnya menuturkan ayat-ayat bersendi kepalsuan. Tidak sekali-kali. Tapi, benarkah apa yang aku dengar? Bermimpikah aku? Atau mungkin juga seorang lelaki boleh bertukar watak jikalau ingin memiliki wanita impian sepertimana mudahnya si sesumpah menukar warna kulit pabila berubah tempat berteduh?

“ Tak mengapa, Jihah naiklah atas. Nanti Abang telefon Jihah.”

Jam di tangan sudah menunjukkan pukul 11 malam. Lagi satu jam lebih rondaan akan dilakukan. Tanpa menunggu aku membalas kata-katanya, Ameer Mulhim terus bergerak mengikut jejak Ustaz Bahtiar, ke arah bilik warden lelaki.

Bilik yang dingin terasa bagai mencucuk-cucuk tulang belulang. Sejuk di badan lantaran cuaca usah dikata. Rupa-rupanya tadi hujan di luar asrama yang mula merintik kini semakin menggila. Sudahlah begitu, berita yang disampaikan oleh Ameer Mulhim tadi bagai menghimpit dadaku yang kian sesak.

“ Mengapa? Kenapa dia tak jadi kahwin? Pasal akukah?Hummm…tak mungkin.” Persoalan itu acapkali menjengah pintu hatiku.

Telefon bimbit yang terdampar atas tilam berbunyi. Sah! Tertera nama Ameer Mulhim. Hatiku berdebar. Ada rasa ingin menjerit gembira dan ada teka teki yang masih menanti jawapannya.

“ Assalamualakum. Jihah.”

“ Waalaikumsalam.” Senyap. Lidahku kelu seribu bicara. Janggal pula rasanya berbual dengan Ameer Mulhim kali ini.

“ Kita sambung bicara kita tadi ya. Jihah? Jihah dengar tak Abang cakap ni?”

Sesak nafasku seketika.. “ Dengar, cakap sajalah.”

“ Hah..hahh..ha, tak pernah Abang dengar suara Jihah merajuk. Er, merajuk ke marahkan Abang?”
“ Siapa kata Jihah merajuk. Abang, apa maksud Abang ni, balik ke Darul Fikriyah dan Abang cakap, Abang tak ada isteri lagi. Bukankah…”

“ Baiklah, biar Abang ceritakan ya.” potong Ameer Mulhim sebelum aku melontarkan kegusaranku. “ Jihah ingatkan hari yang kita pergi Jalan TAR kan?”

“ Ingat, kenapa?”

“ Bila kami balik pada esok harinya ke Terengganu, Wan Insyirah ada beritahu Abang, kalau boleh dia tidak mahu bertemu Abang lagi sehingga kami akad nikah. Abang bersetuju, lagipun perkahwinan kami hanya tinggal sebulan saja lagi, jadi Abang sudah menyiapkan rumah yang bakal kami duduki nanti. Rumah tu tak jauh dari sekolah adik perempuan Abang yang bongsu. Emm..Jihah pernah jumpa Afifah Maisarah tak?”

Afifah! Si cantik bermata bulat dan mempunyai lesung pipit di kedua belah pipinya. Aku masih ingat lagi kali pertama dia menjenguk Abangnya di Darul Fikriyah bersama kakaknya Azilah.

“ Pernah, adik Abang yang paling kecil. Tahun ini dia ambil PMR kan?”

“ Ingat pun,” tergelak Ameer Mulhim seketika, “ Abang bercadang nak tinggal tidak jauh di Seberang Takir supaya dekat dengan adik beradik Abang, lagipun siapa nak tengok-tengokkan mereka? Dah abang seorang nak lelaki.”

“ Kemudian?”

“ Wan Insyirah ada telefon Abang, dia bertegas tidak mahu tinggal sebumbung dengan mana-mana adik beradik Abang. Alasannya, takut bergaduh. Puas Abang beritahu bukan tinggal sebumbung tetapi tinggal di kampung yang sama. .Itu saja. Tapi Wan Insyirah tak setuju. Katanya dia hendak tinggal di Marang bersama ibunya. Itu syaratnya kalau mahu perkahwinan diteruskan.”

Mungkin ini juga puncanya Ameer Mulhim tidak berkahwin dengan Wan Insyirah. Hatiku semakin berteka-teki. “ Jadi, lepas tu macammana?”

“ Abang terpaksa mengalah, bersetuju dengan cadangannya. Abang rasa, Wan Insyirah perlukan masa untuk terima adik-adik Abang. Jadi Abang bercadang mahu duduk di Marang, sambil itu perlahan-lahan memujuk Wan Insyirah menerima adik-adik Abang.”
“ Ooooh.”

Aku sedar, ada kesedihan dalam bait-bait ayat tersebut. Tapi itu urusannya, apa kaitan denganku lagi? Mungkinkah aku masih dianggap sebagai kawan baik untuk diluahkan segala kekecewaan yang menimpa dirinya?

“ Bila Afifah terdengar tentang perkara ini, dia sangat marah. Afifah dan kakaknya, Azilah pergi ke rumah Wan Insyirah. Mungkin pasal Azilah baik dengan Wan Insyirah, sepupu pulak tu, jadi mereka tak segan silu lagi berjumpa Wan Insyirah.”

Ameer Mulhim menghela nafas, dan dari suaranya itu dia bagai mengumpul kekuatan untuk berbicara lagi. Sambil itu aku mula mengubah posisi diri. Daripada duduk, kepalaku aku rapatkan pada bantal. Telapak tanganku yang mula berpeluh, aku kesat dengan kertas tisu.

“ Kalau tak silap Jihah, Azilah tu yang hitam manis, adik abang yang kedua kan, selepas Azean.” Aku pura-pura menumpukan perhatian sedangkan aku terasa ingin mematikan telefon di tangan.

“ Hmmm…ingat pun Jihah. Dia memang rapat dengan Wan Insyirah. Sama umur,…jadi masa pertemuan itu Wan Insyirah meluahkan perasaannya terhadap keluarga kami. Mungkin Wan Insyirah masih muda, Abang boleh terima namun Abang tak yakin bila Wan Insyirah meminta perkahwinan ini dibatalkan, atas alasan kami tak sekufu.”

Dahiku berkerut. “ Maksud dia tak sekufu bagaimana? Abang, alasan yang diberikan itu bukankah tak masuk akal?” Kali ini aku sedikit terkejut. Mungkin sudah lam atidak mendengar perkataan 'kufu' sejak khatam mata pelajaran munakahat yang diserapkan dalam subjek agama Islam sekolah menengah.

“ Mungkin kami tak ada jodoh, kerana itulah hati Wan Insyirah dibalikkan pada saat-saat akhir perkahwinan akan dilangsungkan. Abang faham, apa yang Wan Insyirah bimbangkan tapi lebih baik dia beritahu sekarang daripada selepas kahwin. Terus terang Abang katakan, tak mungkin Abang boleh melepaskan tanggungjawab terhadap adik beradik Abang kerana itu adalah janji Abang sejak arwah mak dan abah Abang meninggal dunia. Nampaknya, Wan Insyirah tidak sanggup hidup dengan anak yatim piatu macam Abang ni, tapi tak apalah, ini lebih baik daripada majlis tu diteruskan.”

“ Entahlah Bang, sesetengah orang malu juga nak batalkan majlis terutama pihak perempuan, lagi-lagi bila dah jemput orang. Ah…benda dah lepas, sudah takdir. Cuma Jihah harap, Abang dan adik-adik Abang tabah hadapi dugaan ini.” Suaraku mengendur. Simpati juga dengan nasib yang menimpa Ameer Mulhim.

Meletus ketawa Ameer Mulhim, ketawa yang berbaur kedukaan pada pengamatanku. Sedih yang tak terungkap dengan kata-kata. Mungkinkah Ameer Mulhim menyintai Wan Insyirah? Entah-entah dia mahu menjadikan aku pelepas dukanya atas kehancuran hasrat berumatangga? Mana tahu! Ada kemungkinan...

“ Jihah, tak ada apa-apa yang perlu Wan Insyirah malukan. Besok dia akan akad nikah dengan Tengku Kamal Azwan, anak Tan Sri Tengku Khairuddin. Majlis persandingan akan dibuat pada akhir bulan depan. Dah jodoh dia agaknya.”

Bagai tidak percaya dengan apa yang aku dengar, dan buat kesekian kalinya, suara ketawa kecil Ameer Mulhim kedengaran lagi.

“ Abang, Astagfirullahualadzim.”

Senyap.

“ Jihah nak tahu, hantarannya berapa?”

“ Berapa?” Soalku.

“ Lima puluh lima ribu, lima ratus lima puluh lima ringgit, kalau abang…mana mampu Jihah. Setakat lima ribu lima ratus lima puluh lima ringgit bolehlah.”

Berdekit gelak tawa Ameer Mulhim lagi. Tawa yang berbaur kekesalan lagaknya. Tawa yang memuntahkan segunung rasa yang berbuku di dada. Serentak itu juga, tiba-tiba airmata bergenang di pelupuk mataku. Hatiku ini bagai disiat-siat. Aku cuba menahan kesedihan yang menggigit jiwa. Memang Ameer Mulhim wajar bersedih, wajar berduka tapi kali ini aku juga wajar berasa kecewa. Aku terkilan!

“ Jihah?!”

“ Tak apalah bang, kalau Abang berasa sedih…atau tertekan, baik Abang banyakkan berzikir. Jihah tahu, Abang terluka tapi mungkin ada kebaikan atas apa yang terjadi. Jihah tumpang sedih tapi Jihah harap Abang kuat semangat.”

“ InsyaAllah….terima kasih.”

Entahlah, airmataku semakin laju berlinangan, membelah kedua pipi ini.

“ Kita berhenti setakat ni ya, Jihah sudah mengantuk ni.”

“ Hum…baiklah, Abang kena buat rondaan lepas ni. Terima kasih Jihah kerana sudi dengar. Assalamualaikum.”
“ Waalaikumussalam.”

Suara Ameer Mulhim tiada lagi, yang ada cuma kesedihan yang berceratuk di dalam hati ini. Sekeping hati yang hancur bagai diinjak-injak semula. Kukira Ameer Mulhim akan mencurahkan rahsia hatinya terhadapku, menceritakan betapa dia bersyukur dapat menemui kasih yang sebenar namun Ameer Mulhim hanya mahu melampiaskan kesedihan akibat impian pekahwinan yang terputus di tengah jalan. Ya Tuhan! Tabahkan hati ini. Tapi, dalam perlahan-lahan aku mula bersimpati dengan Ameer Mulhim.

Mungkin juga Ameer Mulhim mencintai Wan Insyirah, dan tidak mustahil sekarang ini Ameer Mulhim juga sedang merawat luka hatinya yang parah. Kasihan. Dan kasihan juga aku tujukan buat diriku sendiri.
Di luar hujan semakin lebat. Di dalam hatiku, kepiluan semakin menjerat. Kesimpulanku pada hari ini, ada sekeping hati yang masih mengharap lagi. Masih mengharap lagi.





Bab 17....Inikah Cinta Monyet?


Bilik Puteri 4 aku kuak perlahan. Beberapa anak gadis yang berwajah mulus bersih memandangku dengan mata yang menakung seribu satu persoalan. Bagi yang mengenaliku, bibir mereka dengan ringan menguntumkan senyuman.

Mataku terarah pada sebuah katil yang berada berhadapan tiang seri bilik. Perlahan-lahan aku bagai melihat wayang gambar bermain di hadapanku. Imaginasi seorang gadis bertubuh gempal, berkulit hitam manis dan berambut ikal paras bahu sedang termenung di kepala katil. Juraian air matanya bertali arus, dia nampak keseorangan dalam kesedihan. Sesaat kemudian, budak itu berbaringan di atas katil lalu mengesat hidungnya yang digenangi hingus dengan hujung baju kurung yang dipakai. Dalam lamunanku, telapak tangann gadis itu berlumuran dengan saki baki nasi keras yang tidak berbasuh bersih. Keras dan berbiji-biji. Budak itu kemudiannya tertidur. Lena.

“ Kak Jihah, Yunni tak ada, saya rasa dia kat bilik airlah.” Beritahu Atilia dan saat itu aku tersedar dari alam khayalan yang menguasai fikiranku sebentar tadi.

Kami berdua melangkah ke bilik air. Sepanjang perjalanan, aku teringat pada budak perempuan tadi. Budak kecil itu adalah ‘ Aina Najihah’ hampir lapan belas tahun yang lalu. Baru menginjak Darjah Tiga, aku tatkala itu seorang anak gadis yang comot dan tak tahu urus diri. Ah! Sudah pastinya begitu kerana tak ada wanita bernama ibu yang membimbingku bagaimana caranya membersihkan diri dengan sempurna. Bukan aku saja, Kak Rozi yang sebilik denganku dulu, juga sepertiku. Malah Kak Rozi lebih teruk. Umur sebelas tahun tapi rambutnya busuk dan berkutu pula.

“ Belok sini Kak Jihah!” Tegur Atilia apabila aku melintasi pintu bercat hijau. Kakiku menuruti langkah Atilia.

Sepi. Bilik air agak hancing bancing baunya. Agaknya sudah sepurnama tidak diberus bersih! Aku menekup hidung. Beberapa tisu wanita kelihatan bertepek di bawah sinki. Yakk! Menggelikan. Atilia yang tersedar akan ekspresi wajahku serta merta membuka mulut.

“Dah, minggu lalu kami gotong-royong basuh tandas. Kak Tom dah basuh minggu lepas, minggu ni dah dua hari tandas tak berbasuh.” Komen Atilia tiba-tiba.

“ Atilia,” tegurku lembut, “ Kalau Kak Tom tak basuh, rasanya awak semua pun boleh basuh tandas ni kan? Orang perempuan tak boleh malas-malas ya. Kena belajar jadi pembersih, jadi rajin.”

Kelat saja muka gadis itu tatkala menadah tunjuk ajar dariku. Sedang kami menapak ke dalam sedikit. tiba-tiba kami dikejutkan dengan bunyi berdentum dalam bilik air.

Dungg!
Bunyi pintu dihentak dari dalam. Mata kami bersatu.

“ Yunni! Yunni!” Atilia merentap tombol pintu bilik air. Sah! Ada orang di dalam.

Jari jemariku mengetuk pintu tandas, seraya mulutku memberi nasihat. “ Yunni! Kalau awak ada di dalam, tolong buka pintu. Kita bincang, kalau ada masalah. Biar kita fikirkan sama-sama, apa yang boleh kita lakukan untuk bantu awak.”

“Ati, kau bawak sape pulak ni hah?!” Yunni menempelak garang. Aku terkejut dengan suara wanitanya yang garau itu. Saat itu, pada bayanganku Yunni mungkin mempunyai susuk tubuh yang tegap, berkulit putih dan berambut lurus. Namun apabila, Atilia menggoncang pintu bilik air bertalu-talu, tanpa disangka Yunni keluar dan selayang penampar menyinggahi pipi kanan Atilia. Yunni mendengus marah, menjeling aku sekali lalu. Mulutnya sempat berbunyi, “ Sibuk!”
Serentak itu Yunni berlari-lari anak keluar dari bilik air. Mataku dan Atilia berlaga.


“ Dia memang melampau. Orang nak tolong, lagi nak tunjuk belang.” Omel Atilia yang sedang bengang sambil mengusap kesan penampar Yunni yang memerah di pipinya.

“ Atilia, biar saya jumpa Yunni. Awak balik dulu.” Cadangku.

Atilia membeliakkan matanya.“ Yunni tu mudah membentak Kak Jihah.”

“ Takpa.” Seraya itu, aku pula meninggalkan bilik air. “ Jangan cerita pasal Yunni kepada sesiapa lagi ya, rahsiakan saja.” Pesanku.


Selang beberapa minit, aku sudah sampai ke katil Yunni. Gadis yang kasar itu, sebenarnya kecil molek orangnya. Bertubuh kurus, putih dan berambut lurus panjang. Manis-manis ayu wajahnya semanis gadis pingitan di pinggir desa yang menjadi rebutan pemuda kampung.

“ Yunni, awak dah makan ke belum?” Aku duduk di sebelah Yunni yang sedang baring meniarap. Rambutnya yang panjang mengurai menutupi separuh wajahnya.

Senyap. Tiada jawapan.

“ Awak ni kenapa Yunni, sakit ke? Nah, ambil getah ni ikat rambut tu. Rimas saya tengok.”

Yunni masih tidak bergerak. hujung bibirnya sedikit terjungkit, memuntahkan rasa tidak puashatinya mungkin. Melihatkannya begitu, terus saja tanganku menepuk belikat Yunni.

“ Dah cepat bangun. Sikat, lepas tu ikat rambut tu, biar kemas sikit.” Usulku.

Yunni menggeliatkan badan, kemudian dia bersandar di dinding katil. Getah di tangan aku, dicapainya. Hatiku berbunga ceria apabila Yunni mengikat rambutnya. Wajahnya mendung sahaja.

“ Ah, awak nampak pucat saja. Awak sakit ke?” Soalku.

“ Tak. Penat.” Yunni melarikan wajahnya dari tatapanku. Fahamlah aku bukan mudah mahu mengorek isi hati gadis semuda Yunni. Lagipun, dia baru sahaja mengenali diriku, tidak seperti Atilia.

“ Tak makan tengah hari tadi ya? Kenapa?”

Mata Yunni terbuka luas, “ Mana akak tahu? Atilia bagitau ya? Dia tu memang mulut murai.” Yunni menjuihkan bibirnya.

“ Tak, tengok muka Yunni je akak dah tau. Awak tu, pucat sangat. Nampak tak bermaya. Ke tak suka lauk yang Kak Rabitah masak hari ini? Tapi rasanya, semua orang memuji nasi ayam yang Kak Rabitah masak.”

“ Oh, nasi ayam.” Yunni bagai memikirkan sesuatu.

“ Awak nak makan ke?”

Yunni mengangguk.

“Marilah pergi kantin, jangan biarkan perut tu kosong. Mari.”

" Nantilah kak, say apergi sendiri."

" Sekarang lauk pauk dah dikemas, awak fikir kalau awak minta, ada Kak rabitah nak layan? Paling tidak, awak kena bebel pasal menyusahkan kerja dia."

Memang paling tidak pun, Kak Rabitah akan mengomel sendirian kerana masa 'emas'nya di atas tilam nipis lembut akan terganggu maka menggerutulah hatinya nanti.

" Nak pergi kantin?" Ku ulang lagi pelawaan yang sama.

Yunni mengesot, turun dari katil. Sejurus itu kami beriringan menuju ke kantin.


Sambil menunggu Yunni selesai menyuap makanan ke mulut, aku membaca suratkhabar Harian Metro bertarikh hari ini. Terpampang gambar seorang bayi yang ditemui di tepi semak dan dihurungi lalat. Astaghfirullahhualad’zim.

“ Manusia kalau ikutkan hati, mula-mula melakukan maksiat zina kemudian melakukan pembunuhan. Mudah-mudahan dia tersedar dan cepat-cepat bertaubat.” Aku melontarkan komen sendirian, manakala Yunni menggiatkan lagi suapannya.

“ Masa berasmara semua indah, bila sengsara boyfriend pun blah.” Tokokku lagi. Aku memandang ke arah Yunni, kemudian melirih pandang ke arah pinggannya.

“ Habis?” Aku menoleh ke arah Yunni. “Kalau begitu, kita duduk-duduk luar dulu. "


Selesai sahaja Yunni membasuh tangan, kami menghala ke bangku di luar asrama yang terletak di Perkarangan Ilmu.

“ Kak, Dulu akak duduk sini kan?” Soal Yunni apabila aku sengaja tidak mahu membuka topi perbualan.

“ Siapa bagitau? Yunni pernah lihat akak ke sebelum ni?”

“ Tak, tapi kawan-kawan ada cakap pasal Kak Jihah. Kak Wan dan Ustaz Bahtiar pun ada sebut.”

“ Apa yang mereka men’gumpat’ pasal Kak Jihah? Oh! Mesti mereka semua cakap, Kak Jihah ni asyik menyibuk jek kat Darul Fikriyah. Hujung minggu ada je lah muka Kak Jihah ni menempel kat sini. He..heh..ya tak?” Keningku ternaik beberapa kali. Sengaja mahu menimbulkan suasana tak formal dengan Yunni.

“ Taklah kak. Mana ada. Kak Wan tu kalau nasihatkan kita, suka cakap.. ‘cuba ikut macam Kak Jihah’. Ustaz Bahtiar pun sama.”

Mendengarkan kata-kata Yunni, aku terpaku. Bahagia juga jika diri dijadikan contoh buat adik-adik yang senasib denganku. Tapi hatiku bergelora tatkala nama Ustaz Bahtiar disebut. Apa yang Ustaz Bahtiar tahu tentang diriku? Dia orang baru Darul Fikriyah. Humm. Persoalan itu harus aku buang jauh-jauh sekarang ini. Tidak begitu penting bagiku. Di hadapanku ada sesuatu yang perlu disegerakan.

“ Yunni, tadi buat apa duduk dalam tandas. Tahan bau busuk jugak awak ni ya?” Usikku sambil tertawa kecil.

Yunni diam membatu. Sesekali matanya berkedip.Lambat dia menjawab, “ Buang air kecil.”

“ Iye ke? Ish..lamanya. Yunni ada batu karang ke?” Perliku. Yunni nampak gelisah. Sekejap tangannya menyapu pangkal dahi. Sekejap kakinya menyepak-nyepak lantai Perkarangan Ilmu.

“ Akak, saya nak naik ataslah. Nak basuh baju.” Yunni bangkit dari bangku dan melurutkan hadapan baju kurungnya dengan telapak tangan.

Pantas aku menahan Yunni. “ Eh! Yunni marah kakak ke? Kakak gurau aje. Yunni, duduk sekejap. Ada perkara yang Kak Jihah nak tanya.”

Yunni nampak tidak senang dengan permintaanku. Akhirnya aku pula yang berdiri dan tangan kananku memaut bahu Yunni.

“ Kalau Yunni tak mahu duduk, takpa. Kita berdiri sama-sama ya.”

Yunni mengetap bibir. “ Em..okeylah.” Bangku batu akhirnya menampung berat kami berdua.

“ Yunni, kalaulah benar apa yang diceritakan Atilia pada kakak, kakak tumpang sedih dengan perkara yang Yunni lalui. Lama sangat ke perkenalan awak dengan budak lelaki tu sampai susah awak nak lupakan dia?”

Senyap.

Kuulang lagi soalan tadi. “ Berapa lama kenal?”

“ Dah enam bulan. Kami jumpa hampir tiap-tiap hari. Tak tau nak cakap..” Airmata Yunni sudah berlinangan. Bahu Yunni bergerak-gerak. Kemudian terdengar sayup-sayup esakannya yang menghibakan jiwaku.

“ Yunni. Sabar ya.” Tubuh Yunni kurapatkan dalam pelukanku. Tangisan Yunni semakin berpanjangan..

“ Yunni, jangan ikutkan hati. Kalau awak mengharap, lelaki itu akan terus sayang pada awak, awak sebenarnya memberi ruang kepada hati awak untuk dilukai. Awak yang akan derita akhirnya.”

“ Kak….saya…huu..ughh, saya tak boleh lupakan dia kak.” Luah Yunni. Bibirnya bergetar. Dalam pada itu, aku berasa kasihan dengan Yunni. Kecil-kecil lagi sudah patah hati dan dikecewakan.

“ Yunni, “ aku menarik nafas dalam, “ Berapa lama dah Yunni cuba lupakan dia?”

“ Dah sebulan….tapi…”

Aku meleraikan rangkulan tanganku di bahu Yunni, “ Sebulan?” Ulangku, “ Itu tak lama Yunni, Yunni kenal dia saja sudah berapa lama?”

“ Em..hampir lapan bulan, tapi rapat dah enam bulan.”

Aku menarik nafas dalam-dalam lantas membenamkan jari telunjuk di permukaan dahi. Fikiranku berpusing mencari formula bagi memacu perbualan ini sehingga mencapai matlamat yang aku rangkakan sudah.

“ Jadi, Yunni anggap sebulan tu cukup untuk melupakan dia? Yunni, awakkan masih mencuba, jangan patah semangat.”

Kepala Yunni menunduk, menghala ke permukaan lantai simen Darul Fikriyah.

“ Saya nak tanya Yunni, apa usaha yang Yunni dah buat untuk melupakan dia?”

Yunni tersentak. Mukanya berkerut.

“ Buat apa? Saya tak faham.”

“ Ialah, ada tak Yunni simpan semua barang pemberian dia, janji tak akan tengok lagi. Tak pun buang saja kalau tak yakin pada diri sendiri. Ada tak Yunni buat sembahyang hajat, berdoa agar Allah s.w.t padamkan ingatan Yunni pada dia, pernah tak Yunni banyakkan aktiviti dengan kawan-kawan ke seperti bersukan tak pun, sibukkan diri dengan pelajaran? Ada tak buat macam tu?”

Senyap. Beberapa saat kemudian, kepala Yunni bergeleng.

“ Tak ada.”

“ Jadi, bermakna Yunni tidak mencubakan?”

Senyap.

“Yunni, jangan sekali mengaku kalah dengan perasaan kerana Yunni akan jadi perempuan yang lemah. " Ujarku di saat Yunni asyik menggentel hujung lengan bajunya yang sudah berkerenyot. Aku mencari sepasang mata Yunni. " Lelaki itu, siapa namanya?”

“ Zulherry.”

“ Ha..nanti Zulherry akan ketawakan Yunni dan jadikan Yunni bahan gelak dengan kawan-kawannya. Yunni akan dianggap macam hidung tak mancung pipi tersorong-sorong?Yunni nak dianggap macam tu?”

“ Memanglah tak nak. Tapi saya sayang dia kak.”

Aku tersenyum. Inilah yang dinamakan cinta monyet. Masih muda remaja, belum terbukti pengorbanan antara kekasih, sedangkan makan minum masih ditanggung ibu bapa dan penjaga, sudah serahkan hati bulat-bulat kepada orang lain. Inikah cinta monyet? Meletakkan harapan cinta kepada pelajar lelaki tingkatan dua, sedangkan pelajar yang bernama Zulherry itu pun masih dalam jagaan kedua orang tuanya.

“ Yunni, awak sayangkan dia sebab awak biarkan perasaan sayang itu beraja di jiwa awak. Cuba awak ingatkan, apa perkara baik yang dia pernah buat pada awak. Ada tak Zulherry menyentuh tangan Yunni, peluk Yunni atau hendak duduk berdua-duaan dengan Yunni?”

Yunni mengangguk. Perlahan dan sekejap amat.

“ Itu tandanya, dia tak sayangkan Yunni. Lelaki kalau sayangkan kita, mesti dia tak akan sentuh kita sesuka hati. Mesti dia akan jaga maruah diri kita. Orang lelaki yang baik pasti mahu perempuan yang disukainya juga jadi baik. Jika tidak, lelaki itu sebenarnya hanya sayang diri dia sendiri. Dia cuma mahu apa yang dia inginkan. Dia tak mahu hati Yunni, dia cuma mahu badan Yunni.”

“ Saya tau kak.”

“ Kalau dah tahu, kenapa sayangkan dia?”

“ Saya nak lupakan dia….”

“ Kalau begitu, bersungguh-sungguh lupakan dia.”

“ Tapi saya tak kuat.”

“ Mana ada manusia yang kuat sangat Yunni, semua manusia lemah. Pernah Yunni berdoa pada Allah s.w.t minta dikuatkan hati untuk lupakan Zulherry?”

“ Tak.”

“ Jadi mulai sekarang, Yunni hendaklah banyak berdoa pada Allah s.w.t. Minta Allah s.w.t jadikan Yunni pelajar yang baik, wanita yang hebat, hamba Allah yang taat serta orang Islam yang berjaya. Pernah Yunni minta macam tu?”

“ Dulu ada…,”

“ Habis, sekarang tak ada buat macam tu?” Aku memuntahkan pandangan ke arah sepasang mata Yunni yang sayu.

Gadis itu seolah-olah kuat apabila menampar Atilia tadi, namun hakikatnya dia lemah. Yunni harus disedarkan dari mainan perasaan cinta yang hanya akan merugikan dirinya sendiri. Lagipun, umurnya baru empat belas tahun. Muda benar, dan aku yang sudah dua puluh tujuh tahun pun cukup berhati-hati dalam urusan cinta dan perasaan. Aku tidak mahu hanyut dengan gelombang perasaan yang jika tidak dapat dikawal, boleh membawa kepada maksiat dan dosa.
“ Yunni, di sini Yunni ada Puan Wani, Ustazah Aminah dan saya. Jika Yunni ingin lupakan Zulherry kami akan bantu. Namun, Yunni mesti ada kesedaran. Yunni mesti sedar, sekarang bukan masa untuk Yunni bercinta. Jika tidak, Yunni akan menyesal nanti. Kak Jihah tak mahu Yunni gagal dalam pelajaran. Yunni nak terkandas dalam PMR ke?”

“ Tak kak.” Kali ini Yunni bersuara tegas sedikit. Hatiku memekar gembira.

“ Baguslah, Yunni sendiri boleh fikirkan. Kak Jihah nak balik bilik, Kak Jihah harap Yunni tak lagi sebut pasal bunuh diri ya. Ingat Yunni, hanya orang yang sudah berputus asa dengan rahmat Allah sahaja yang sebut bunuh diri. Dan orang itu bukan orang Islam.”

Senyap. Aku mengatur langkah pulang ke bilik.

“ Kak,” namaku diseru dari belakang.

“ Ada apa Yunni?”

“ Terima kasih.”

Hatiku gembira tidak terhingga, lantas aku mendekati Yunni. Tangannya kugenggam.

“ Sama-sama adik kakak.” Mata kami bertautan mesra sambil bibir mengorak kuntum senyuman. Kemudian, aku mengatur langkah balik ke bilik semula. Yunni kutinggalkan dalam segunung harapan dan akanku iringkan dengan doaku padu, InsyaAllah.


Baru sahaja sampai ke dalam bilik, telefon bimbitku berbunyi. “ Siapa?”

“ Saya, Ustaz Bahtiar. Nak beritahu Jihah, malam ni kita nak buat rondaan asrama. Jadi, meeting mula lambat sikit. Pukul 9.30 malam. Spot check pukul 1 malam masa pelajar tidur.”

“ Ya..terima kasih.”

“ Lagi satu, kita akan terima seorang Pengetua baru. Malam ini Ayah Zubir pun akan hadir mesyuarat.”

“ Baiklah, nanti saya turun.” Kemudian kedengaran bunyi telefon diletak. Aku tidak mahu berlengah lagi. Azan Maghrib sudah kedengaran, sedangkan aku masih belum mandi.

Malam ini ada mesyuarat. Tugasanku sebagai warden akan bermula. Cuma aku sedikit sayu, kelibat Ameer Mulhim masih terbayang-bayang di Perkarangan Ilmu Darul Fikriyah. Aku semakin merindui Ameer Mulhim. Entahlah, kenapa rindu ini kian kukuh bersarang di perdu jiwa sehingga menggigit setiap semangat yang ingin kubangunkan dalam diri? Mungkinkah cintanya masih kental membelit jiwa ini? Oh! Aku terlalu menyintai Ameer Mulhim lagi. Dan aku sedar, perlahan-lahan aku harus belajar melupakannya. Dia sudah pun menjadi suami orang.





Bab 16 ......Kembali Ke Darul Fikriyah


Dua hari lepas, aku menelefon Wan Amani, memaklumkan persetujuanku untuk memegang amanah sebagi warden di Darul Fikriyah. Ketika aku sampai di Darul Fikriyah, suasana agak sunyi sepi. Maklumlah, pukul sembilan pagi. Kebanyakan para penghuninya sedang berada di sekolah. Yang tinggal hanyalah para pelajar yang akan pergi ke sekolah petang. Dan mereka itu sudah pasti sedang berada di bilik Saidina Abu Bakar Al-Siddiq iaitu bilik belajar di tingkat bawah.

Tatkala aku menuju ke bilik pejabat yang berdekatan dengan tangga, Wan Amani menyapaku dari belakang.

“ Kak Jihah, lama sampai?” Tegur Wan Amani, mesra. Sejurus itu juga telefon bimbit Wan Amani berbunyi. Wan Amani sudah sampai di muka pintu pejabat dan terus menuju ke mejanya.

“ Baru je.” Balasku ringkas, seraya membiarkan Wan Amani bercakap dengan seorang pemanggil di telefon. Sebaik sahaja, gagang telefon diletakkan, aku membuka mulut.

“ Berapa ramai budak-budak sekarang Wan?”

“ Semua sekali enam puluh tujuh, perempuan tiga puluh tujuh, lelaki tiga puluh.. Makin sesak kak, tapi Ayah Zubir nak tambahkan satu bilik lagi untuk budak lelaki. Ada lebih kurang lima orang nak masuk awal tahun ni tapi terpaksa ditolak pasal tak cukup tempat.”

“ Hmm…ramai juga ya.”

Aku melabuhkan punggung di atas kerusi sofa berhadapan dengan meja Wan Amani. Beberapa barang pemberian orang ramai seperti beras, biskut, baju-baju terpakai dan barang-barang makanan, berlonggok di atas lantai ruang pejabat. Sudah naik sesak pula pejabat dibuatnya.

“ Dari hari tu Kak Jihah tengok barang ni asyik kat sini. Tak rasa sesak ke Wan?”

“ Oh! Beras dan biskut ni nak hantar rumah ibu-ibu tunggal sekitar Bangi. Itu kerja Madi, drebar kita. Kalau Madi tak sempat, kami hantar kat Jabatan Kebajikan Masyarakat Hulu Langat. Baju-baju tu pulak, mana yang saiz besar dan elok lagi, kami akan tolak kat bundle, selalu macam tulah. Duitnya masuk dalam tabung Darul Fikriyah semula.”

“ Siapa yang uruskan kerja agihan baju ni?”

“ Abang Madi, Mak Arah dan kalau ada masa Wan tolong sama. Budak-budak pun ada masa tolong jugak.”

“ Begitu.” Aku menghela nafas panjang, sesekali melemparkan pandangan ke arah pintu masuk. Tiada sesiapa yang lalu lalang di ruang legar Darul Fikriyah yang lebih dikenali sebagai Perkarangan Ilmu.

Aku sebenarnya tidak segan silu untuk meluahkan sesetengah persoalan kepada Wan Amani kerana kebanyakan mereka di sini termasuk Ayah Zubir, Pengerusi Darul Fikriyah ini menerimaku sebagai keluarga rapat Darul Fikriyah. Tambahan lagi akulah satu-satunya penghuni lama Darul Fikriyah yang kerap datang membuat kerja-kerja amal di situ.

“ Kak Jihah, kalau Kak Jihah masuk sekarang pun boleh. Bilik Kak Jihah kami dah sediakan. Sebelah bilik belajar blok perempuan. Sebelah bilik Kak Jihah, bilik Wan. Makcik Arah dan Kak Tom dekat sebelah bilik Wan. Bilik yang menghadap tangga, dekat penjuru asrama tu bilik, tukang masak, Rabitah dan Mak Awa.”

Aku menumpukan perhatian kepada patah bicara Wan Amani. Beberapa nama yang disebutnya sangat akrab denganku. Antaranya, Kak Tom, tukang sapu dan tukang kemas sekitar luar dan dalam asrama. Selain itu pula, Makcik Arah, orang yang bertanggungjawab menyelia kebersihan asrama serta memantau penyelenggaraan perabot dan elektrik dalam asrama. Kalau ada Makcik Arah biasanya adalah Abang Zam dan Abang Daud , jurulektik dan tukang paip yang dikhaskan untuk Darul Fikriyah, yang juga pekerja part-time dari Syarikat Pembinaan DZ . Biasanya mereka akan kelihatan berlegar-legar di kawasan asrama pada waktu pagi.

“ Sebelum tu Wan, boleh tak Wan bagitau akak, apa tugas warden perempuan di sini? Emm..memanglah akak tau tapi itu dari pemerhatian kakak saja. Lebih tu tidaklah.”

“ Sekejap ya Kak Jihah.” Wan mencapai sebuah buku hitam berkulit tebal dan membukanya perlahan.

“ Ini buku Ustazah Fadzlon. Dia ada bagi kat Wan sebelum dia berhenti minggu lepas. Kak Jihah boleh rujuk buku ni. Ustazah Fadzlon sangat teliti dengan tugasannya. Apa saja yang dia buat, biasanya dia akan buat laporan terutama yang melibatkan program besar dan mesyuarat mingguan.”

Buku setebal dua inci beralih tangan. Buku itu aku buka sekali lalu. Mataku kembali mencari seraut wajah Wan Amani yang putih bersih.

“ Secara ringkasnya, boleh Wan terangkan pada Kak Jihah? Kak Jihah masih samar-samar lagilah.” Pintaku seakan merayu pula bunyinya. Wan Amani mengangguk.

“ Begini kak, ketua di sini akak tau kan, Ustaz Fakhrol Rodzhi. Ustaz Fakhrol memantau keseluruhan asrama sama ada blok lelaki atau blok perempuan.Ustaz Fardi Bahtiar pula sebagai warden asrama lelaki. Kak Jihah sekarang warden asrama perempuan. Setiap minggu Kak Jihah dan Ustaz Fardi Bahtiar akan bermesyuarat dengan Ustaz Fakhrol berkaitan masalah-masalah berbangkit tentang asrama dan budak-budak ni. Biasanya, apa yang Wan tahulah…dulu Ustazah Fadzlon akan uruskan semua aduan dan masalah pelajar asrama perempuan seperti sakit pening, kemasukan sekolah, keperluan barang-barang, tarbiah dan usrah setiap Maghrib dan Qiamullail sebulan sekali.”

“ Bagaimana pula dengan mengaji serta masalah pelajaran?”

“ Itu dah ada guru agama tetap, Puan Wani dan Ustazah Aminah. Ustaz Fakhrol dan Ustaz bahtiar pun mengajar sama. Puan Wani buat secara sukarela, manakala Ustazah Aminah mungkin kita nak serapkan sebagai kakitangan tetap. Lagipun, tak lah seorang je warden perempuan kena ajar mengaji tiap-tiap hari. Begini Kak Jihah, kiranya tugas warden perempuan ni, paling penting menjaga kebajikan jasmani dan rohani penghuni perempuan. Macam ibu jaga anak, tapi bezanya tak payahlah masak dan basuh baju mereka…..itu saja. Senang je kak….jangan risaulah.” Ujar Wan Amani sambil menyimpul senyum. Perli agaknya, Tapi aku tidak kisah.

Bukan berat tugasan yang merisaukan aku, tapi aku hanya mahu tahu apa yang harus aku lakukan di sini. Memikul amanah menjaga kebajikan anak-anak yatim adalah satu tugasan yang besar, dan aku tidak mahu dipertanggungjawabkan atas kelalaianku di hadapan Allah s.w.t kelak. Sebolehnya, aku berharap tugasan inilah yang akan memudahkan laluan aku ke syurga.

Penerangan panjang lebar oleh Wan Amani, sedikit sebanyak telah memberikan gambaran sebenar tentang tugasan yang sedang menantiku. Sebaik sahaja jam menginjak ke angka sepuluh, aku sudah meninggalkan bilik pejabat asrama dan menuju ke bilik ‘warden’ baru. Bilik akulah tu!


Damai. Sejuk. Tenang. Begitulah perasaan yang aku alami apabila sekujur tubuhku memasuki bilik baruku. Bilik berkeluasan hampir satu ratus empat puluh kaki persegi dengan sebuah tandas sudah cukup selesa untuk diriku seorang. Beg baju, aku letak sebentar di bawah katil. Sekejap lagi aku akan menyusunnya ke dalam almari. Lagipun aku mahu menghayati ketenangan bilik kecil ini maka aku lebih selesa berbaringan di atas katil setelah membuka tudung dan meletaknya di atas kerusi.

Pagi tadi, sewaktu Roon hendak pergi kerja, kami tidak bercakap walau sepatah ayat. Sesekali aku cuba mencuri pandang kepada Roon tapi Roon buat-buat sibuk menyiapkan diri untuk ke Hotel Mawar Biru. Aku yang sudah bersiap untuk ke Darul Fikriyah, sedang menghirup milo panas, mempelawa Roon menaiki kereta Kelisaku tetapi Roon menjawab pendek, “ Terima kasih je lah.”

Bagi aku, hubungan aku dengan Roon sesekali tidak akan aku biarkan ibarat retak menanti belah. Roon tetap kawan baik aku dan aku akan cuba menjaga hatinya. Tak akan kubiarkan sekelumit resah berpanjangan di fikirannya angkara perbuatan mahupun percakapanku. Maka kerana itu agaknya sekali lagi aku berusaha. Ketika Roon hendak keluar rumah, tanganku menyentuh bahu Roon.

“ Kau marah aku lagi ke? Jangan macam tu Roon, kita dah lama kawan. Walaupun aku duduk dekat asrama tu, tapi bila aku free, kita jalan-jalan keliling Bangi.”

Roon menolak tangan aku perlahan.

“ Cakap lain kali boleh tak? Aku nak cepat.”

Akhirnya Roon meninggalkan aku keseorangan di pintu rumah. Lima minit kemudian, aku keluar dari Flat Sri Selasih. Sewaktu aku berada di simpang jalan, aku nampak Roon sedang tahan teksi, tapi teksi yang ditahannya berhenti mengambil penumpang lain yang berdekatan Roon, dan di situ kelihatan beberapa penunggu teksi sedang terpacak berdiri bersama Roon.. Tanpa membuang masa, aku memandu perlahan dan berhenti betul-betul di hadapan Roon.

“ Roon, naiklah.”

Senyap. Roon berpaling ke arah lain.

“ Naiklah,” aku membuka pintu penumpang kerusi depan. Roon menyorot pandang ke arahku.

“ Eh…orang kata tak nak,…tak…naklah. Jangan kacau boleh tak?!!” Roon bersuara. Sedikit mengherdik. Wajahnya bagai mengumpul kebencian yang menggunung tinggi. Aku tergamam. Serta merta mukaku bagai tertampal dengan ‘simen’. Kejung dan kaku. Benarkah ini Roon yang amarahnya tidak mengenal tempat?

Beberapa orang yang berada di belakang Roon mengerling ke arah kami. Aku jadi malu. Dengan melafazkan ‘ Subhanallah’, aku menekan pedal minyak dan memacu kereta ke arah jalan utama. Roon semakin sayup aku tinggalkan. Semangat aku untuk berbaik dengan Roon juga seakan turun mendadak. Sekejap aku membenci Roon sedalam-dalamnya, dan sekejap aku berasa perlu ada usaha gigih untuk mengambil hati Roon semula.



Peristiwa pagi tadi perlahan-lahan semakin kabur di ruang fikiran. Suasana sejuk dan tenang di dalam bilik ini membuatkan sepasang kelopak mataku bertambah berat. Sungguh! Bagai ada guli batu yang menghempap kedua mataku sehingga aku tidak berdaya hendak mengangkat kelopak mata. Tidak ada rasa sakit cuma berat. Entah bila aku tertidur, aku tidak sedar. Sedar-sedar, perempuan berbaju putih itu datang lagi, kali ini dia masuk melalui tingkap. Seperti dua hari lepas, senyuman lembutnya menghiasi seraut wajahnya yang kukira ayu sekali.

Kali ini perempuan itu tidak duduk di sebelahku seperti dua hari lepas. Sebaliknya dia berdiri di kepala katilku dan aku yang sedang berbaring jelas melihat sekujur wajahnya. Alis matanya nipis dan panjang, hidungnya mancung dan membulat di hujung dan seraut wajah itu dilengkapkan lagi dengan seulas bibir merah nan basah. Wanita itu memerhati keadaan bilik aku. Kemudian dia menguntum senyum. Seakan puas lagaknya. Serentak itu mulutnya terbuka lalu bait-bait syair berkumandang lagi…semakin lama semakin kuat dan kuat….

Hidup ini bukanlah mudah,
Dari senang dirundung susah,
Tapi jangan engkau mengalah,
Ingatlah engkau kepada Allah.

Kalau diri tidaklah kuat,
Basahkan bibir zikir selawat,
Rasulullah ikutan ummat,
Sabar hadapi ujian berat,

Wahai anak untaian kasih,
Jiwamu itu haruslah bersih,
Dengki dan tamak hendak kau sisih,
Tentu Allah bertambah kasih,

Al Quran itu jadi panduan,
Namun ramai sudah lupakan,
Tapi engkau jangan ikutkan,
Kerana engkau hamba pilihan.

Doa berdoa sentiasa berantai,
Sekali pun jua janganlah lalai,
Kerana Iblis sangatlah pandai,
Benda yang keruh digambar damai.

Minta Tuhan lindungi hati,
Dari bisikan musuh Ilahi,
Kerana doa pelindung diri,
Tak siapa menang bila berdengki.

“Dik, kakak balik dulu, nanti kakak datang lagi.”

Perempuan itu menatap mataku dengan wajah yang berseri-seri. Aku terpaku. Cantiknya! Ah…tidak puas rasanya membelek seraut wajah ayu. Dia bagai tahu aku memuji wajahnya dalam diam, kerana dia tertunduk dan menguntum senyum seraya menutup separuh wajahnya dengan selendang. Sekoyong-koyong aku melihat bayangan putih setinggi lima kaki itu berpusing membelakangi aku dan hilang di balik tingkap bilik yang bersebelahan pintu masuk. Tingkap yang berlangsir hijau bunga-bunga kuning itu tidak bergerak walau seinchi pun, seakan-akan tiada apa-apa objek yang menyentuhnya. Aku yang terlantar kaku di atas katil tak ubah seperti tunggul katu. Tak mampu berbuat apa-apa. Hanya kelopak mata sahaja yang berkedip. Entah apa yang berlaku selepas itu, aku tidak tahu. Sedar-sedar, pintu bilikku diketuk. Bila aku buka, Wan Amani sudah terpacak berdiri.

“ Kak Jihah tidur ke? Lama Wan ketuk. Kacau ke?”

Aku terpisat-pisat malu. Maklumlah, tidur pukul dua belas tengah hari. Nampak sangat anak dara pemalas!

“ Ah…tak apa. Kak Jihah tertidur pulak. Em…ada apa Wan?”

“ Mari makan, hari ni Kak Bitah dan Mak Wa masak nasi ayam. Ada orang hantar kuih donat dengan kuih seri muka. Mari Kak Jihah, budak-budak tu pun tengah makan.”

Aku beriringan dengan Wan Amani menuju ke kantin. Sampai sahaja di kantin, Kak Rabitah dan Mak Awa sedang rancak meletak makanan ke dalam pinggan budak-budak yang beratur di sepanjang meja makan. Kak Rabitah, merupakan seorang janda yang kematian suami empat tahun lepas. Masih muda orangnya. Bertubuh kurus tinggi dan berkulit hitam manis, seorang yang tidak banyak cakap dan mudah terseyum. Anaknya Azizi, tinggal di Darul Fikriyah bersama anak bungsunya Hartini. Manakala regu Kak Rabitah, Makcik Awa adalah seorang ibu tunggal yang suaminya sudah lima tahun duduk di dalam pusat serenti. Suaminya boleh dianggap sebagai penagih tegar kerana sudah hampir lima belas tahun bergelumang dengan masalah dadah. Mak Awa mempunyai empat orang anak, yang mana semuanya tinggal di sekitar Kuala Lumpur dan seorang di Slim River, Perak.

Sebaik sahaja pingganku berisi lauk, aku menuju ke meja yang paling hujung berdekatan dengan television. Tatkala itu juga Ustaz Bahtiar masuk dengan menggalas suratkhabar. Mata kami bertautan seketika. Wajah Ustaz Bahtiar serius sahaja. Aku terus menundukkan wajah dan menyumbat mulut dengan suapan pertama. Beberapa saat kemudian, Wan Amani mengambil tempat bersebelahanku.

“ Sedap….kalau Mak Awa yang masak, memang menjilat jari betul. Tengoklah Kak Jihah, tak sampai sebulan Kak Jihah duduk sini, mesti naik lima kilo.” Usik Wan Amani. Aku menaikkan tangan sedikit dan menggoyangkan telapak tangan.

“ Ooo…tidak! InsyaAllah tak.”

“ Kak Jihah jaga badan ke?”

Aku ketawa kecil, “ Wan, kalau Kak Jihah gemuk mesti macam pokok rendang. Dahlah Kak Jihah tak setinggi mana, kalau tak jaga badan jadi macam tong drum ler Kak Jihah.”

Wan Amani tergelak. Aku tidak mahu berborak panjang sebaliknya aku meneruskan suapanku. Hampir separuh nasi ayam dalam pinggan telah aku ‘selesai’kan tapi suapanku terbantut apabila Ustaz Bahtiar mengambil tempat duduk di hadapanku.

“ Tak pa ke duduk sini?” Soalnya, sedangkan dia sudah duduk sebenarnya. Tak akan aku nak jawab, tak bolehlah ustaz.

Wan Amani menyinggul siku aku. Entah kenapa, aku pun tak faham.“ Eh…duduklah Ustaz, kerusi ni tak kena cukai pun.”

“ Ini Cik Aina Najihah, warden asrama perempuan?”

“ Ya, ya saya.”

“ Cik Aina tahu, malam ni kita ada meeting di Bilik Mesyuarat?”

Aku pandang Wan Amani. “ Ada meeting malam ni?”

“ Ada, setiap malam Selasa ada meeting.”

“ Er..baiklah, pukul berapa?”

“ Sembilan setengah. Bawa sama buku nota, banyak kena tulis nanti.” Pesan Ustaz Bahtiar dan aku sekadar mengiakan. Kami menyambung suapan dan lebih kurang pukul tiga, bilik makan kami tinggalkan.


Baru sahaja aku hendak menutup pintu bilik, Huda pelajar Tingkatan Tiga mengejar aku dari belakang.

“ Kak Jihah! Kak Jihah! Ada ubat tak? Saya sakit perut sangat ni. Noni pun sama. Rasanya dia datang bulan.” Ungkap Huda keresahan.

Terpinga-pinga aku seketika. Dekat mana nak ambil ubat? Mana aku tahu tempat ubat?

“ Selalunya Ustazah Fadzlon ambil ubat di mana?” Aku menyoal balas semula.

“ Dalam bilik, rasanya ada dalam tandas tu, cuba Kak Jihah lihat balik pintu. Dekat belakang kolah dalam bilik air.”

Aku terus menuju ke bilik air. Seperti yang dikatakan Huda, rupa-rupanya terdapat satu peti sejuk kecil, adalah sebesar television dua puluh satu inchi di sebelah kolah yang tidak digunakan lagi. Sekeping panadol menstrual aku hulurkan kepada Huda yang berada di pintu bilik.

“ Terima kasih Kak Jihah.” Huda terus pulang ke bilik sambil tangan kanannya menampung bahagian ari-ari yang mungkin sedang kesakitan. Aku menutup pintu, dan terus berwuduk untuk menunaikan Solat Zohor.


Pintu bilik diketuk lagi. Solatku terganggu namun aku cuba menumpukan perhatian kepada solat yang tinggal cuma satu rakaat. Habis sahaja bagi salam, tanganku memulas tombol pintu. Datang Atilia pula. Dia nampak tenang sahaja.

“ Kenapa Atilia?”

Atilia menyapa lesu seraut wajahku. Matanya nampak sayu sahaja. Aku dapat merasakan sesuatu perkara yang membelenggu Atilia dan Atilia agak sukar mahu mengungkapkan.

“ Kak Jihah, saya dah tak boleh nak simpan rahsia ni.”

“ Hah…rahsia apa?” Berpinar kepalaku seketika. Tiba-tiba datang bilik aku dan cakap ada rahsia. Apahal pulak budak ni?

“ Kak, masuk kali ni dah tiga kali Yunni cakap nak bunuh diri. Nak telan ubat, nak telan racun.”

“ Yunni, siapa Yunni? Masuk…er..mari masuk bilik kakak.” Aku menarik tangan Atilia dan dengan lemah Atilia mengikut saja.

“ Ceritakan pada kakak dari A sampai Z ya. Kakak nak tau, kenapa sampai timbul kisah nak bunuh diri ni.” Ujarku setelah kami berdua duduk di tepi katil.

Atilia memuntahkan pandangan ke permukaan lantai. Perlahan-lahan dia menceritakannnya. Biarpun agak berat tapi Atilia mengagahkan jua bicaranya.

“ Begini kak, Yunni ada kawan lelaki namanya Zulherry. Zul tu anak orang kaya, bapak dia ada bisnes restoran di K.L. Dulu Zul yang tergila-gilakan Yunni. Yunni buat dek je. Zul tu asyik kirim salam, bagi kad sampai bagi cincin kat Yunni.”

“ Nanti dulu….Yunni tu tingkatan berapa?”

“ Tingkatan Dua sama dengan Zul jugak. Yunni tu baru lapan bulan duduk Darul Fikriyah ni kak.”

“ Oh..teruskan.”

“ Tapi, ada budak kelas Tingkatan Dua Ikhlas yang minat giler kat Zul. Tasha nama dia. Masalah timbul bila si Zul tu selalu usha Yunni. Yunni ni pun satu, lemah semangat betul. Mudah jatuh hati kat Zul. Yunni ni kak, selalu lepak ngan Zul kat pasaraya BB lepas balik sekolah."

Mulutku ternganga, " Eh, kan kamu semua tak dibenarkan keluar ke pasaraya sesuka hati. Siapa pulak bagi keluar lepas sekolah?"

" Memang tak boleh kak," Atilia menggoyangkan telapak tangannya depanku, " Sebenarnya Yunni paksa saya bagitau kat Ustazah Fadzlon, dia ada program surau kat sekolah. Mula-mula saya tak nak kak, tapi dia paksa. Kalau tak nanti gaduh besar.”

“ Hmmm…begitu sekali kamu tipu Ustazah Fadzlon,….dah, cerita lagi.”

Atilia tergamam seketika, terasa agaknya dengan kata-kataku sebentar tadi. Dia menelan air liur.

“ Begini kak, rupa-rupanya kat pasaraya tu dia orang buat kerja gila kak.”

“ Apa maksud awak tu?” Aku mula resah. Tidak sabar hendak tahu cerita seterusnya.

“ Begini kak, kalau Yunni balik, saya tengok belakang leher belakang badan Yunni habis merah-merah. Saya tahu kak, tapi Yunni bohong kawan-kawan cakap kulit dia alergik. Pasal dia putih, kulit pun cantik..orang percaya. Tapi saya tahu, tu kerja Zul.” Ujarnya bersungguh-sungguh.

“ Apa nak jadi dengan Yunni ni? Dia rosakkan diri sendiri. Habis sekarang dia macam mana?"

“ Habis, sekarang ni, Yunni dan Zul dah masuk tahap melampau kak. Sampai sekali tu, Yunni balik takut-takut. Saya agak dah sampai zina kak.” Ujar Atilia selamba. Aku pula yang terkedu. Eeii…beraninya.

“ Kak,” tambah Atilia, “ Sekarang Zul macam nak tinggalkan Yunni. Si Tasha yang minat Zul tu pulak dah hebahkan cerita, Yunni tu bekas Zul. Tasha ugut Yunni jauhkan diri dari Zul, kalau tak dia nak adu kat cikgu disiplin kita orang. Yunni takut malu besar. Sekarang ni Yunni tertekan, Zul dah tak macam dulu. Zul macam bosan dengan Yunni.”

“ Yelah, dah dapat madu...sepah dibuang." Aku termenung seketika. Budak-budak perempuan kalau tidak diawasi dengan betul, memang boleh rosak. Perkara ini mesti dselesaikan dengan teliti." Sekarang Yunni tengah sedih lah ya?" Soalku.

“ A’ah. Di tertekan. Pernah sekali tu bila Yunni kejar Zul masa kat sekolah, tapi Zul hina Yunni depan budak-budak lelaki. Zul cakap Yunni ni muka tembok. Perempuan busuk. Sejak tu Yunni selalu sebut nak bunuh diri. Tapi pagi tadi, Yunni serius cakap nak bunuh diri. Yunni cakap, kalau aku bunuh Zul aku masuk rumah budak jahat, baik aku racun Zul lepas tu aku bunuh diri aku pulak. Baru puas. ” Tercungap-cungap Atilia bercerita. Dia nampaknya memang ambil berat tentang Yunni.

“ Sampai begitu sekali…Astagfirullahu’al’adzim.”

Kami terdiam seketika. Bagai ada batu besar menghempap kepalaku saat ini. Bigung memikirkan masalah pertama yang disampaikan padaku. Persoalan hidup dan mati. Hebat sekali ‘kebebasan’ remaja sekarang ini. Langsung tiada erti malu dalam diri makhluk Allah S.W.T yang bernama wanita. Dan sang lelaki yang sepatutnya menjadi pembela kaum hawa, tidak mengikut contoh Rasulullah S.A.W.

Mana perginya kemuliaan insan? Argh…kalaulah agama itu dipegang kuat, sudah tentu masalah sosial akan dapat jatuh merudum bilangan kesnya. Lupakah manusia semua, sesungguhnya agama Islam ini diturunkan demi membantu manusia agar dapat hidup dengan aman bahagia, tenteram dan penuh keadilan? Tidakkah mereka tahu tentang itu?

Aku menggosok bahu Atilia. “ Saya akan jumpa Yunni. Awak balik dulu, jangan tinggalkan Yunni sendirian ya. Jangan biarkan dia buat benda bodoh. Ingat pesan saya?”

Atilia mengangguk, “ Baik kak, saya balik dulu.”

Atilia sudah pergi. Serentak itu aku mengangkat tangan kepada Ilahi. “ Ya Tuhan, berikan aku kekuatan dan kebijaksaan. Amin.”


Isnin, 27 Ogos 2007

Bab 15..................... Wanita Berbaju Putih


Hari masih pagi. Roon pula sudah keluar ke Hotel Mawar Biru sejak pukul lapan. Semalam, ketika aku leka mendengar berita Dunia Jam Sepuluh, Roon bukan main rancak bercerita tentang impiannya hendak memiliki Perodua MyVi baru berwarna hitam. Katanya, senang nak pergi tempat kerja. Sebelum ini pun, Roon selalu menaiki kereta aku, jadi bila aku sudah menjadi penganggur terhormat, Roon terpaksa menahan teksi setiap hari.

Aku cuma mampu menelan air liur bila mendengar kata-kata Roon itu. Apa tidaknya, MyVi hitam adalah kereta idamanku. Tapi aku tidak mahu menurutkan kata hati kerana bagi aku, membeli rumah dan tanah lebih menjamin kepentingan masa hadapan. Biarlah Kelisa second hand itu aku usung ke sana ke mari. Asalkan enjinnya kujaga rapi, tukar minyak hitam selalu dan buat servis dua bulan sekali, cukuplah. Harga kereta makin lama makin turun, tapi kalau beli hartanah lagi lima tahun melambunglah naik!


Malam tadi juga, beberapa kali aku menjeling ke arah Roon. Bila aku yakin Roon sudah tidur, aku keluarkan bungkusan putih berisi kalung zamrud milik ibuku. Kalung itu aku letak di atas katil dan aku baring dalam keadaan meniarap. Fikiranku melayang jauh….

Ibu, Jihah rindu pada ibu. Jihah minta maaf bu kerana salah sangka pada ibu. Jihah fikir ibu sengaja membuang Jihah. Rupa-rupanya ibu juga dibuang. Kita sama-sama dibuang ayah…

Ibu, kenapa ibu tidak balik ke Malaysia? Ibu tidak rindu pada Jihah kah? Tak kasihankah ibu pada anakmu ini yang bergelendangan di bumi Malaysia? Ibu, Jihah rindu…Jihah ingin peluk ibu. Jihah ingin menangis di atas bahu Ibu. Ibu, Jihah nak tahu sangat macam mana rupa ibu Jihah? Adakah warna kulit Jihah yang tidak putih dan tidak gelap ini ikut warna kulit ibu? Atau mata Jihah yang ke dalam ini ikut mata ayah?

Ayah.!! Jihah benci dengar nama itu. Kalau kita berpisah, dialah penyebabnya….

Malam itu aku tertidur dengan menggenggam kalung di tangan. Aku tidak sedar pukul berapa aku terlelap sehingga aku melihat seorang perempuan muda datang ke sisi katil. Perempuan berusia sekitar awal tiga puluh tahun itu berbaju putih bersih, rambutnya panjang sehingga mencecah paras pinggang, ditutupi sehelai selendang kain kasa yang jarang. Lembut sungguh wajah wanita itu yang sentiasa menghadiahkan senyuman. Tanpa aku duga, wanita itu melabuhkan punggungnya di sisiku lalu mengelus rambutku perlahan-lahan. Sambil membelai rambutku, aku terdengar dia bersyair. Suaranya nan merdu, sungguh gemersik sekali. Menyusup, membelah jiwa. Dia bersyair dengan penuh perasaan…..

‘Duhai adik permata bonda,
Sudah lama adik sengsara,
Janganlah adik berduka lara,
Aku melihat terasa hiba.

Tuhan itu Maha Kuasa,
Yang baik diuji supaya tak leka,
Yang jahat takkan senang sentiasa,
Apa berlaku kehendak Dia.

Kalau datang ujian hebat,
Nasihat ini harus kau ingat,
Kepada Tuhan hendak kau taat,
Jangan berundur walau sesaat.


Assalamulaikum Najihah…akak balik dulu ya dik.’

Perempuan itu bangun perlahan-lahan. Sempat mataku melirik pada baju putihnya yang panjang dan kukira lembut sekali teksturnya, apatah lagi kain bajunya jatuh meleret-leret sehingga mencecah lantai bilik..Dia tak ubah bagai seorang puteri dalam cerita dogeng Inggeris. Perempuan itu kemudiannya mengatur langkah penuh tertib dan dia berundur sehingga jasadnya hilang di celahan dinding bilik. Dari pembaringanku, aku hanya mampu melihat perempuan itu pergi dan kemudiannya aku meneruskan tidurku.


Aku melihat perdu tingkap. Sudah cerah! Bermakna sudah pagi. Fikiranku berpusat kepada mimpi semalam. Aku kehairanan. Beberapa kali kelopak mataku berkedip. Betulkah itu satu mimpi atau memang benar-benar terjadi? Berulang kali pertanyaan itu mengasak-gasak akal fikirku. Namun semuanya masih tidak punya jawapan. Mungkin kehadirannya ada kaitan dengan kalung emas berloket zamrud yang Makcik Badar berikan tempohari. Mungkin.

Tanpa berlengah, bantal di atas katil pantas kuangkat. Mataku terpaku ke arah kalung emas berloked zamrud. Loked zamrud itu kutenung berkali-kali. Cantik. Jika diperhatikan betul-betul batu zamrud hijau itu seakan-akan menyerupai pusaran air yang berwarna hijau. Dan pada pusat pusaran itu, seakan terhasil satu mentol halus, teramat halus yang bernyala. Istimewa sungguh! Kenapa tidak aku pakai sahaja di leherku? Hmmm..adakah kalung dan loked itu menyimpan satu rahsia? Atau mungkin juga aku yang asyik melayan emosi sehingga percaya kepada perkara-perkara tahyul.

Tut..tut..tut. Ada mesej baru masuk. Siapalah agaknya? Persoalan tentang rantai itu aku ketepikan seketika dari minda. Aku menekan butang mesej-in box.

>: Askm K.Jihah. Ini Wan Amani. Darul Fikriyah perlukan seorang warden wanita. K.Jihah berminat tak? Wslm.

Tawaran kerja? Aku baca mesej tadi sekali lagi. Mataku sedikit demi sedikit menjadi segar. Tawaran berkerja di Darul Fikriyah sesuatu yang tak pernah aku jangkakan sama sekali. Bermakna, jika aku terima tawaran ini, aku akan dekat dengan ‘rumah’ku, akan tiada lagi istilah kesunyian dalam hidupku. Aku menekan butang telefon bimbit, aku tidak kisah tentang bayarannya kerana seingatku, Wan Amani ada memberitahu pendapatan Kak Julina warden dahulu, sekitar satu ribu dua ratus. Hmm..itu sudah cukup bagus. Jika aku ingin tambahkan pendapatan, aku boleh buat kerja tambahan seperti ambil kerja-kerja sub marketing di internet untuk hotel kos sederhana di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

Tapi bagaimana aku hendak khabarkan berita ini kepada Roon? Adakah Roon boleh terima hakikat teman baiknya akan berpindah rumah? Jika aku terima tawaran kerja ini, bermakna teruklah Roon terpaksa membayar sewa rumah seorang diri. Humm….masalah juga. Subhanallah! Aku benar-benar tersepit.

Sms dari Wan Amani aku balas,

>: Askm Wan. Tau aje akak tgh tanam anggur ya! Tawaran yg mnarik. Bsok akak bg jwpn. Wslm.

Biarlah kelak waktu Roon pulang, aku fikirkan cara terbaik untuk memberitahu Roon. Kemudian, mataku tertancap semula ke arah kalung emas lama milik ibuku. Perlahan-lahan kalung itu aku sarungkan di leherku. Lantas aku menapak ke bilik air, bertemu dengan sang cermin yang terpampang di balik pintu.

Rambutku yang panjang mencecah bahu, aku genggam dengan jemari kanan lantas aku naikkan ke atas sehingga menampakkan keseluruhan leher dan sebahagian dadaku. Beberapa kali aku menggayakan pemakaian kalung itu. Sekejap aku pusing ke kanan, dan sekejap aku pusing ke kiri. Sesuai benar dengan jiwaku. Kombinasi batu hijau berwarna lembut dan ukiran kalung yang klasik! Oh…aku nampak menarik sekali dengan kalung itu. Kata orang, tambah berseri.

Tiba-tiba aku teringatkan Roon. Sekiranya Roon bertanya dari mana aku dapat kalung ini, apa harus aku menjawab? Atau biar saja aku sembunyikan kalung ini dari pandangan Roon. Sebaiknya aku lucutkan kalung ini ketika Roon ada di rumah. Tapi bukankah ini menyusahkan diri, entah-entah kalung ini boleh hilang jika sering dipakai dan dilucutkan. Aduhhh…masalah. Bagaimana jika aku katakan saja pada Roon, kalung ini aku beli di kedai emas lama. Em..salahkah aku aku kerana berbohong dengan Roon? Memang, aku bersalah. Tapi aku tidak mahu sesiapa tahu tentang pertemuan aku dengan Makcik Badar serta sejarah silamku yang masih samar-samar.

Sebut tentang Makcik Badar, sebenarnya banyak yang ingin aku tanyakan kepada Makcik Badar pada pertemuan yang lalu. Aku ingin saja bertanya bagaimana rupa ibuku? Bagaimana pula tingkah laku ibu? Apakah cara dia meluahkan rasa kasihnya terhadapku? Adakah Makcik Badar pernah melihat ibu mencium pipiku? Mengelus lembut rambutku seperti yang dilakukan oleh perempuan berbaju putih pada malam itu? Ohh…..sesungguhnya aku merindukan belaian ibu.

Tengahari ini, aku tidak membuka helaian akbar The Star seperti selalu. Seakan satu darah beku yang telah hilang dalam tengkorak kepalaku apabila Wan Amani memberi mesej tadi. Tiada lagi kegusaran memikirkan tawaran kerja. Sebaliknya aku membuka buku Sirah Rasulullah ( S.A.W) hasil karya Shaikh Sofiy Al Rahman yang membicarakan secara terperinci kisah asal keturunan Rasulullah S.A.W sehingga sejarah kerasulan Baginda sehingga kisah-kisah peperangan di bawah naungan Baginda dan kewafatan junjungan mulia, nabi akhir zaman. Jikalau kisah Nabi Muhammad tidak kubaca, bimbang kecintaan umatnya ini akan tandus di jiwa. Apatah lagi media elektronik sekarang bagai ‘malu-malu’ hendak menyiarkan kisah Nabi Muhammad S.A.W. Hakikatnya, mengenali Nabi Muhammad semakin membangunkan jiwa manusi ayang lesu dan kaku.


Tepat jam dua belas tengahari, aku sudah membaca sehingga muka surat 48. Aku benar-benar puashati dengan buku ini yang aku beli sejak setahun yang lalu. Penulisnya berjaya mengupas tentang latar belakang masyarakat arab, sehingga nasab keturunan baginda Rasulullah dengan begitu teliti. Buku itu aku letak atas meja di tepi katil tatkala aku mendengar perutku berkeroncong minta diisi. Apa ada di dapur ya?

Tanpa berlengah lagi, aku melangkah ke dapur namun sebaik sahaja sampai di muka pintu dapur, badanku terus lemah serta merta. Manakala kakiku seakan lembik bagai tiada bertulang. Aku benar-benar terkejut dan beristighfar beberapa kali. Namun badanku terus mahu rebah ke lantai. Cepat-cepat aku berpaut pada dinding rumah, dan setelah berusaha menguatkan badan melawan ‘serangan yang tidak aku fahami puncanya’ akhirnya aku terbaring lemah di atas lantai lantas sepasang mataku terpaku pada syiling rumah.


Sedar-sedar, aku terasa bahuku bergoncang kuat. Umbun-umbun kelapaku, sejuk dan basah. Roon meramas jari jemari tanganku, kiri dan kemudian kanan. Sehelai tuala basah berada di atas pangkuan Roon. Pastinya tuala itu yang digunakan untuk menuam kepalaku kerana kepalaku terasa sejuk sejak aku terjaga.

“ Kau ni kenapa Jihah? Kau sakit ke?” Soal Roon gusar, “ Engkau boleh duduk tak, tak pun kau cubalembikkan badan, biar aku tarik tangan kau sampai kau terduduk.” Roon melontarkan cadangannya.

Aku turuti nasihat Roon. Beberapa saat selepas itu, aku sudah mampu duduk bersila tetapi masih perlu bersandar di dinding.

“ Agaknya aku lapar. Aku makan roti dengan teh o je pagi tadi. Hauslah tekak ni…”

“ Hah! Tu aje yang kau melantak hari ni? Heii…kau puasa ke Jihah?! Dah pukul berapa ni, pukul enam petang. Kau nak cari penyakit ke?” Roon merungut, marah sungguh nampaknya.

Roon meninggalkan aku keseorangan. Tidak lama kemudian, aku dengar bunyi plastik dikoyak. Entah apa yang hendak dibuat Roon di dapur.

Kedua kelopak mataku masih berat. Aku melentokkan kepala ke kanan. Sudahnya, aku tertidur lagi sehingga Roon menggoncang bahuku buat kali kedua.

“ Mengantuk sangat engkau ni…nape? Tak cukup tidur ke?”

“ Takkk….huaaargghhhhhhh…”

“ Sampai menguap macam tu sekali. Dah! Makan maggi goreng yang aku buat ni. Ada aku masukkan sikit daging burger tak adalah mee kosong je. Eh! Kau kan suka daun sup. Aku sempat ambil daun sup rumah Yuyu. Rasalah.”

Sepinggan maggi goreng memenuhi bebola mataku. Nampak sedap! Seleraku terangsang.

“ Daun sup kau ambil kat tingkap dapur kita ya? Kau tak mintak izin ke?”

“ Ala…nanti kalau aku terserempak dengan Yuyu, aku cakaplah.”

“ Sebelum kau mintak izin, bermakna curi lah tu..” tambahku sambil menguis daun sup yang ada ke tepi pinggan. Daun sup ini sebenarnya di tanam oleh jiranku, Yuyu yang berusia akhir dua puluhan. Sudah berumahtangga dan mempunyai seorang cahayamata. Sekarang ini Yuyu sedang sarat mengandung anak kedua.

Jengkel dengan soalan aku tadi, Roon terus saja mencebirkan bibir melihat apatah lagi memerhatikan tanganku yang giat mengasingkan daun sup dengan mee maggi..

“ Sukahatilah, buat penat aku jek racik daun sup untuk engkau.”

Aku hanya mampu tersenyum, Mee maggi yang dibawa Roon, aku kunyah perlahan-lahan. Lantas aku mengulangi suapan dengan penuh berselera sekali. Roon diam saja memerhati.

“ Wah! Cantik rantai, bila engkau beli? Dah tak kerja, ada hati nak habiskan duit .” Perli Roon selamba.

Aku tersengih. Aku tidak mahu Roon bertanya panjang lebar pasal kalung ini. Seandainya aku berterus terang, pasti Roon akan marah kerana tahulah Ron nanti yang aku mengutip kembali surat Ustazah Raihanah yang Roon buang tempoh hari.

“ Alah….tiba-tiba hati berkenan bila tengok kat kedai lemas lama. Ishh…kering lak tekak ni. Patutlah, minum segelas air je pagi tadi.”

Nah! Berjaya juga taktik aku menukar tajuk perbualan. Sebagai buktinya, Roon terus bangun menghala ke dapur. Aku sudah agak apa yang dibuat Roon. Tidak lama kemudian, Roon bawakan aku satu mug milo panas. Aku mengukir senyum paling manis buat Roon.

“ Terima kasih Roon, aku fikir kau nak bagi aku air putih je. Tak sangka air milo pulak.”

“ Minum ajelah…”

Roon buat muka selamba. Aku juga cuba bertenang sedangkan dalam hati, ingin saja aku mengucapkan terima kasih buat Roon, lalu peluk Roon kuat-kuat. Oh! Sayang betul Roon pada aku rupanya. Ya Tuhan Ya Allah, sesungguhnya kau Maha Adil Tuhanku. Bila aku tiada keluarga, tiada ibu bapa maka kau hantarkan untukku seorang teman yang berhati mulia untuk menjagaku. Terima kasih Ya Allah. Aku selesai makan setelah pinggan maggi goreng itu sehingga licin licau.



Malamnya, kami sama-sama melepak di ruang tamu rumah. Roon seperti biasa, meniarap sambil membaca majalah Remaja. Sesekali dia ketawa terkekeh, sesekali dia mengkritik soalan-soalan pembaca di majalah itu. Aku pula dari tadi sedang meneruskan pembacaan Sirah Rasulullah karya Shaikh Sofiy. Selesai satu bab, aku tutup buku itu dan duduk bersila mengadap telivisyen yang terbuka dari tadi. Sekejap mataku mengerling ke arah Roon, sekejap aku dengar nyanyian Misha Omar di RTM1. Bosan, asyik nyanyi saja. Aku tukar TV3, begitu juga. Rancangan Muzik-muzik sedang ke udara. Akhirnya aku buka RTM 2. Cerita cina pulak. Hish…bosan betul. Akhir sekali aku tutup televisyen. Habis cerita.

“ Kenapa tutup tv? Aku nak dengar Misha Omar nyanyilah.” Gerutu Roon tanpa mengangkat mukanya.

“ La…mana aku tau kau nak dengar. Dari tadi asyik ketawa je.”

Butang television aku tekan semula. Roon masih seperti tadi. Membelek majalah Remajanya. Aku sudah tidak boleh duduk setempat. Ada satu perkara yang ingin aku bincangkan dengan Roon malam ini dan ia perlu mendapat persetujuan segera.

“ Kau ni kenapa, macam tak senang je bila bukak television. Nak mengaji ke? Aku tutup ya.”

“ Tak…err..kalau nak slowkan suara boleh jugak. Aku nak cakap dengan kau, Ada perkara penting.”

“ Perkara penting? Kenapa, kau nak kahwin?” Roon tergelak kecil.

Tanpa menjawab soalan ‘lawak’ Roon, sebiji bantal aku lemparkan ke arah mukanya. Roon mengelak lantas dia mengajuk cara aku membaling.

“ Usik sikit pun dah nak marah.”

“ Kau ni pun, janganlah sebut pasal kahwin. Aku ni dah boleh digelar andartu tau. Masuk dua puluh tujuh tahun, tapi single lagi.”

Bibir Roon melebar sehingga nampak barisan giginya yang besar dan jarang-jarang.

“ Ke kau yang memilih. Dulu bila Muaz nak risik engkau, kau kata tak fikir nak kahwin lagi. Bila Shamsul Ridzuan nak berkawan dengan engkau, kau nasihatkan dia jangan buang masa, buang duit belikan kau jam tangan dengan bunga. Lepas tu..sapa tu…ala mamat yang alim tu, Ameer Mulhim. Kau suka kat dia kan?? Tapi kau tak cakap pun kat dia. Dah tau dia pemalu, patutnya kau luahkan lah. Ini kau yang tolak jodoh.”

“ Engkau tak faham ler. Si Muaz tu, macam mana aku nak kahwin dengan dia. Engkau tengok tak macam mana muka mak dia bila Muaz sebut aku anak yatim piatu, tak ada saudara mara pun. Mak dia tak suka aku tau. Shamsul Ridzuan tu pulak, asyik nak ajak keluar. Sikit-sikit nak jumpa. Nak pergi makan sama. Kau kan tahu, aku tak suka jumpa-jumpa ni. Tapi, bila kau sebut Ameer Mulhim tu…dah jodoh dia dengan perempuan Terengganu tu. Biarlah, aku doakan dia bahagia je.”

“ Kau tak kecewa?” Roon mengangkat keningnya.

“ Sikit tu adalah.” Balasku lemah, “ ni, aku nak beritahu kau sebenarnya aku baru dapat tawaran kerja.”

“ Dapat kerja?! Baguslah. Aku dah risau kalau kau menganggur lama, mampus aku nak bayar sewa rumah ni.” Roon menekup pipinya dengan kedua belah tapak tangan. Diabuat muka kiut lagi. Huh! Comel lah tu. Dalam hatiku, aku sudah ketawa gelihati namun bibirku hanya mampu tersenyum.

Tiba-tiba aku tersedar ayat yang Roon ungkapkan tadi. Bayaran sewa rumah….

“ Begini Roon, tapi aku tak akan duduk di sini. Jadi warden asrama Darul Fikriyah. Mestilah aku kena duduk di sana.”

Roon merapati aku. Dia nampak terkejut.

“ Apa? Kau nak jadi warden, nak keluar dari rumah ni? Eh…kau jangan bergurau Jihah.”

“ Tak…tak ada masa aku nak bergurau-guraulah Roon.”

“ Habis, kau setuju.”

Aku mengangguk. “ Aku okey jek. Dah rezeki aku, aku terpaksa pindah ke sana. Maafkan aku Roon, aku harap kau faham.”

Senyap.

“ Roon….kau okey?”

Senyap. Tiada jawapan.

“ Roon….cakaplah!”

“ Nak cakap apa lagi, kau dah buat keputusan.” Jawab Roon tanpa memandang sepicing pun ke arahku. Aku sedar, Roon berkecil hati.

“ Roon, aku faham perasaan kau. Aku tak bermaksud nak tinggalkan kau, tawaran kerja datang, tak akan aku nak tolak. Lagipun, bukan bermaksud kita takkan selalu berjumpa. Darul Fikriyah dengan Flat Sri Selasih ni sepuluh minit je. Err….pasal nak bayar rumah, nanti aku usahakan cari penyewa baru. Sekurang-kurangnya, taklah kau terbeban bayar sewa seorang. Macam mana?”

“ Jihah, kau cakap kau faham perasaan kau. Aku nak cakap,…kau tak faham! Berapa lama kau duduk rumah ni, berapa lama? Engkau cakap kat aku?”

Risau aku tengok Roon naik angin. Di saat ini, aku harus berlembut dengan Roon, pujuk Roon dan terangkan keadaan sebenar.

“ Roon, aku tahu dah empat tahun kita duduk rumah ni. Masa tu aku, engkau dan Lia. Mula-mula Lia keluar, lepas tu Ayu masuk. Ayu keluar, masuk pulak Mila dengan Heliza, akhirnya Mila dan Heliza pun keluar. Hanya aku dan kau yang tetap dari dulu sampai hari ini, menjadi penghuni rumah ini.” Aku berjeda seketika, mencari kekuatan emosi dan akal fikiran untuk berhadapan dengan Roon.

“ Roon, kau tahu kan aku dah anggap kau macam adik beradik, persahabatan kita sungguh bermakna bagi aku. Aku sedar kau sangat ambil berat terhadap diri aku. Tapi Roon, bila aku nak pindah tempat kerana berkerja, tidak bermakna persahabatan kita putus. Tak akan sekali-kali.”

Aku memperlahankan suara. Memberi laluan pada Roon untuk membalas kata-kataku pula. Tangan kananku memegang erat bahu kanan Roon.

“ Beginilah…kau nak pindah kan? Dapat kerja lain kan? Sukahati engkaulah. Aku tak berhak masuk campur. Siapa aku lagipun…kan?!”

“ Jangan macam tu Roon, aku…..”

“ Dah! Aku nak tidur. Besok aku nak kerja.”

Laju langkah Roon menghala ke pintu bilik. Dummm!! Tapak tangan aku tekupkan ke dada. Subhanallah, Roon. Kau tak berubah pun. Amarah kau masih berapi macam tiga tahun lalu bila Lia bawa teman lelaki ke rumah. Itu pertama kali aku lihat Roon meletup. Semua yang mendengar Roon bertempik terus mati kutu. Sejak itu aku dan Roon tak bertegur dengan Lia sampai dua minggu. Akhirnya Lia keluar kerana dipulaukan kami berdua.

Tapi itu Lia, kesalahannya bawa lelaki. Memang melampau. Tapi aku lain. Jangan kau marah aku macam itu sekali Roon.

Hari ini, aku benar-benar buntu. Dalam hati, muktamad sudah untukku terima tawaran kerja dari Darul Fikriyah. Masalahnya, bagaimana mahu menyejukkan hati Roon? Kesimpulanku pada hari ini, sebuah persahabatan tidak semestinya antara keduanya selalu berjumpa, tapi lebih merupakan persefahaman dan sanggup berkorban demi kebaikan sahabat yang lain.