Isnin, 27 Ogos 2007

Bab 15..................... Wanita Berbaju Putih


Hari masih pagi. Roon pula sudah keluar ke Hotel Mawar Biru sejak pukul lapan. Semalam, ketika aku leka mendengar berita Dunia Jam Sepuluh, Roon bukan main rancak bercerita tentang impiannya hendak memiliki Perodua MyVi baru berwarna hitam. Katanya, senang nak pergi tempat kerja. Sebelum ini pun, Roon selalu menaiki kereta aku, jadi bila aku sudah menjadi penganggur terhormat, Roon terpaksa menahan teksi setiap hari.

Aku cuma mampu menelan air liur bila mendengar kata-kata Roon itu. Apa tidaknya, MyVi hitam adalah kereta idamanku. Tapi aku tidak mahu menurutkan kata hati kerana bagi aku, membeli rumah dan tanah lebih menjamin kepentingan masa hadapan. Biarlah Kelisa second hand itu aku usung ke sana ke mari. Asalkan enjinnya kujaga rapi, tukar minyak hitam selalu dan buat servis dua bulan sekali, cukuplah. Harga kereta makin lama makin turun, tapi kalau beli hartanah lagi lima tahun melambunglah naik!


Malam tadi juga, beberapa kali aku menjeling ke arah Roon. Bila aku yakin Roon sudah tidur, aku keluarkan bungkusan putih berisi kalung zamrud milik ibuku. Kalung itu aku letak di atas katil dan aku baring dalam keadaan meniarap. Fikiranku melayang jauh….

Ibu, Jihah rindu pada ibu. Jihah minta maaf bu kerana salah sangka pada ibu. Jihah fikir ibu sengaja membuang Jihah. Rupa-rupanya ibu juga dibuang. Kita sama-sama dibuang ayah…

Ibu, kenapa ibu tidak balik ke Malaysia? Ibu tidak rindu pada Jihah kah? Tak kasihankah ibu pada anakmu ini yang bergelendangan di bumi Malaysia? Ibu, Jihah rindu…Jihah ingin peluk ibu. Jihah ingin menangis di atas bahu Ibu. Ibu, Jihah nak tahu sangat macam mana rupa ibu Jihah? Adakah warna kulit Jihah yang tidak putih dan tidak gelap ini ikut warna kulit ibu? Atau mata Jihah yang ke dalam ini ikut mata ayah?

Ayah.!! Jihah benci dengar nama itu. Kalau kita berpisah, dialah penyebabnya….

Malam itu aku tertidur dengan menggenggam kalung di tangan. Aku tidak sedar pukul berapa aku terlelap sehingga aku melihat seorang perempuan muda datang ke sisi katil. Perempuan berusia sekitar awal tiga puluh tahun itu berbaju putih bersih, rambutnya panjang sehingga mencecah paras pinggang, ditutupi sehelai selendang kain kasa yang jarang. Lembut sungguh wajah wanita itu yang sentiasa menghadiahkan senyuman. Tanpa aku duga, wanita itu melabuhkan punggungnya di sisiku lalu mengelus rambutku perlahan-lahan. Sambil membelai rambutku, aku terdengar dia bersyair. Suaranya nan merdu, sungguh gemersik sekali. Menyusup, membelah jiwa. Dia bersyair dengan penuh perasaan…..

‘Duhai adik permata bonda,
Sudah lama adik sengsara,
Janganlah adik berduka lara,
Aku melihat terasa hiba.

Tuhan itu Maha Kuasa,
Yang baik diuji supaya tak leka,
Yang jahat takkan senang sentiasa,
Apa berlaku kehendak Dia.

Kalau datang ujian hebat,
Nasihat ini harus kau ingat,
Kepada Tuhan hendak kau taat,
Jangan berundur walau sesaat.


Assalamulaikum Najihah…akak balik dulu ya dik.’

Perempuan itu bangun perlahan-lahan. Sempat mataku melirik pada baju putihnya yang panjang dan kukira lembut sekali teksturnya, apatah lagi kain bajunya jatuh meleret-leret sehingga mencecah lantai bilik..Dia tak ubah bagai seorang puteri dalam cerita dogeng Inggeris. Perempuan itu kemudiannya mengatur langkah penuh tertib dan dia berundur sehingga jasadnya hilang di celahan dinding bilik. Dari pembaringanku, aku hanya mampu melihat perempuan itu pergi dan kemudiannya aku meneruskan tidurku.


Aku melihat perdu tingkap. Sudah cerah! Bermakna sudah pagi. Fikiranku berpusat kepada mimpi semalam. Aku kehairanan. Beberapa kali kelopak mataku berkedip. Betulkah itu satu mimpi atau memang benar-benar terjadi? Berulang kali pertanyaan itu mengasak-gasak akal fikirku. Namun semuanya masih tidak punya jawapan. Mungkin kehadirannya ada kaitan dengan kalung emas berloket zamrud yang Makcik Badar berikan tempohari. Mungkin.

Tanpa berlengah, bantal di atas katil pantas kuangkat. Mataku terpaku ke arah kalung emas berloked zamrud. Loked zamrud itu kutenung berkali-kali. Cantik. Jika diperhatikan betul-betul batu zamrud hijau itu seakan-akan menyerupai pusaran air yang berwarna hijau. Dan pada pusat pusaran itu, seakan terhasil satu mentol halus, teramat halus yang bernyala. Istimewa sungguh! Kenapa tidak aku pakai sahaja di leherku? Hmmm..adakah kalung dan loked itu menyimpan satu rahsia? Atau mungkin juga aku yang asyik melayan emosi sehingga percaya kepada perkara-perkara tahyul.

Tut..tut..tut. Ada mesej baru masuk. Siapalah agaknya? Persoalan tentang rantai itu aku ketepikan seketika dari minda. Aku menekan butang mesej-in box.

>: Askm K.Jihah. Ini Wan Amani. Darul Fikriyah perlukan seorang warden wanita. K.Jihah berminat tak? Wslm.

Tawaran kerja? Aku baca mesej tadi sekali lagi. Mataku sedikit demi sedikit menjadi segar. Tawaran berkerja di Darul Fikriyah sesuatu yang tak pernah aku jangkakan sama sekali. Bermakna, jika aku terima tawaran ini, aku akan dekat dengan ‘rumah’ku, akan tiada lagi istilah kesunyian dalam hidupku. Aku menekan butang telefon bimbit, aku tidak kisah tentang bayarannya kerana seingatku, Wan Amani ada memberitahu pendapatan Kak Julina warden dahulu, sekitar satu ribu dua ratus. Hmm..itu sudah cukup bagus. Jika aku ingin tambahkan pendapatan, aku boleh buat kerja tambahan seperti ambil kerja-kerja sub marketing di internet untuk hotel kos sederhana di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

Tapi bagaimana aku hendak khabarkan berita ini kepada Roon? Adakah Roon boleh terima hakikat teman baiknya akan berpindah rumah? Jika aku terima tawaran kerja ini, bermakna teruklah Roon terpaksa membayar sewa rumah seorang diri. Humm….masalah juga. Subhanallah! Aku benar-benar tersepit.

Sms dari Wan Amani aku balas,

>: Askm Wan. Tau aje akak tgh tanam anggur ya! Tawaran yg mnarik. Bsok akak bg jwpn. Wslm.

Biarlah kelak waktu Roon pulang, aku fikirkan cara terbaik untuk memberitahu Roon. Kemudian, mataku tertancap semula ke arah kalung emas lama milik ibuku. Perlahan-lahan kalung itu aku sarungkan di leherku. Lantas aku menapak ke bilik air, bertemu dengan sang cermin yang terpampang di balik pintu.

Rambutku yang panjang mencecah bahu, aku genggam dengan jemari kanan lantas aku naikkan ke atas sehingga menampakkan keseluruhan leher dan sebahagian dadaku. Beberapa kali aku menggayakan pemakaian kalung itu. Sekejap aku pusing ke kanan, dan sekejap aku pusing ke kiri. Sesuai benar dengan jiwaku. Kombinasi batu hijau berwarna lembut dan ukiran kalung yang klasik! Oh…aku nampak menarik sekali dengan kalung itu. Kata orang, tambah berseri.

Tiba-tiba aku teringatkan Roon. Sekiranya Roon bertanya dari mana aku dapat kalung ini, apa harus aku menjawab? Atau biar saja aku sembunyikan kalung ini dari pandangan Roon. Sebaiknya aku lucutkan kalung ini ketika Roon ada di rumah. Tapi bukankah ini menyusahkan diri, entah-entah kalung ini boleh hilang jika sering dipakai dan dilucutkan. Aduhhh…masalah. Bagaimana jika aku katakan saja pada Roon, kalung ini aku beli di kedai emas lama. Em..salahkah aku aku kerana berbohong dengan Roon? Memang, aku bersalah. Tapi aku tidak mahu sesiapa tahu tentang pertemuan aku dengan Makcik Badar serta sejarah silamku yang masih samar-samar.

Sebut tentang Makcik Badar, sebenarnya banyak yang ingin aku tanyakan kepada Makcik Badar pada pertemuan yang lalu. Aku ingin saja bertanya bagaimana rupa ibuku? Bagaimana pula tingkah laku ibu? Apakah cara dia meluahkan rasa kasihnya terhadapku? Adakah Makcik Badar pernah melihat ibu mencium pipiku? Mengelus lembut rambutku seperti yang dilakukan oleh perempuan berbaju putih pada malam itu? Ohh…..sesungguhnya aku merindukan belaian ibu.

Tengahari ini, aku tidak membuka helaian akbar The Star seperti selalu. Seakan satu darah beku yang telah hilang dalam tengkorak kepalaku apabila Wan Amani memberi mesej tadi. Tiada lagi kegusaran memikirkan tawaran kerja. Sebaliknya aku membuka buku Sirah Rasulullah ( S.A.W) hasil karya Shaikh Sofiy Al Rahman yang membicarakan secara terperinci kisah asal keturunan Rasulullah S.A.W sehingga sejarah kerasulan Baginda sehingga kisah-kisah peperangan di bawah naungan Baginda dan kewafatan junjungan mulia, nabi akhir zaman. Jikalau kisah Nabi Muhammad tidak kubaca, bimbang kecintaan umatnya ini akan tandus di jiwa. Apatah lagi media elektronik sekarang bagai ‘malu-malu’ hendak menyiarkan kisah Nabi Muhammad S.A.W. Hakikatnya, mengenali Nabi Muhammad semakin membangunkan jiwa manusi ayang lesu dan kaku.


Tepat jam dua belas tengahari, aku sudah membaca sehingga muka surat 48. Aku benar-benar puashati dengan buku ini yang aku beli sejak setahun yang lalu. Penulisnya berjaya mengupas tentang latar belakang masyarakat arab, sehingga nasab keturunan baginda Rasulullah dengan begitu teliti. Buku itu aku letak atas meja di tepi katil tatkala aku mendengar perutku berkeroncong minta diisi. Apa ada di dapur ya?

Tanpa berlengah lagi, aku melangkah ke dapur namun sebaik sahaja sampai di muka pintu dapur, badanku terus lemah serta merta. Manakala kakiku seakan lembik bagai tiada bertulang. Aku benar-benar terkejut dan beristighfar beberapa kali. Namun badanku terus mahu rebah ke lantai. Cepat-cepat aku berpaut pada dinding rumah, dan setelah berusaha menguatkan badan melawan ‘serangan yang tidak aku fahami puncanya’ akhirnya aku terbaring lemah di atas lantai lantas sepasang mataku terpaku pada syiling rumah.


Sedar-sedar, aku terasa bahuku bergoncang kuat. Umbun-umbun kelapaku, sejuk dan basah. Roon meramas jari jemari tanganku, kiri dan kemudian kanan. Sehelai tuala basah berada di atas pangkuan Roon. Pastinya tuala itu yang digunakan untuk menuam kepalaku kerana kepalaku terasa sejuk sejak aku terjaga.

“ Kau ni kenapa Jihah? Kau sakit ke?” Soal Roon gusar, “ Engkau boleh duduk tak, tak pun kau cubalembikkan badan, biar aku tarik tangan kau sampai kau terduduk.” Roon melontarkan cadangannya.

Aku turuti nasihat Roon. Beberapa saat selepas itu, aku sudah mampu duduk bersila tetapi masih perlu bersandar di dinding.

“ Agaknya aku lapar. Aku makan roti dengan teh o je pagi tadi. Hauslah tekak ni…”

“ Hah! Tu aje yang kau melantak hari ni? Heii…kau puasa ke Jihah?! Dah pukul berapa ni, pukul enam petang. Kau nak cari penyakit ke?” Roon merungut, marah sungguh nampaknya.

Roon meninggalkan aku keseorangan. Tidak lama kemudian, aku dengar bunyi plastik dikoyak. Entah apa yang hendak dibuat Roon di dapur.

Kedua kelopak mataku masih berat. Aku melentokkan kepala ke kanan. Sudahnya, aku tertidur lagi sehingga Roon menggoncang bahuku buat kali kedua.

“ Mengantuk sangat engkau ni…nape? Tak cukup tidur ke?”

“ Takkk….huaaargghhhhhhh…”

“ Sampai menguap macam tu sekali. Dah! Makan maggi goreng yang aku buat ni. Ada aku masukkan sikit daging burger tak adalah mee kosong je. Eh! Kau kan suka daun sup. Aku sempat ambil daun sup rumah Yuyu. Rasalah.”

Sepinggan maggi goreng memenuhi bebola mataku. Nampak sedap! Seleraku terangsang.

“ Daun sup kau ambil kat tingkap dapur kita ya? Kau tak mintak izin ke?”

“ Ala…nanti kalau aku terserempak dengan Yuyu, aku cakaplah.”

“ Sebelum kau mintak izin, bermakna curi lah tu..” tambahku sambil menguis daun sup yang ada ke tepi pinggan. Daun sup ini sebenarnya di tanam oleh jiranku, Yuyu yang berusia akhir dua puluhan. Sudah berumahtangga dan mempunyai seorang cahayamata. Sekarang ini Yuyu sedang sarat mengandung anak kedua.

Jengkel dengan soalan aku tadi, Roon terus saja mencebirkan bibir melihat apatah lagi memerhatikan tanganku yang giat mengasingkan daun sup dengan mee maggi..

“ Sukahatilah, buat penat aku jek racik daun sup untuk engkau.”

Aku hanya mampu tersenyum, Mee maggi yang dibawa Roon, aku kunyah perlahan-lahan. Lantas aku mengulangi suapan dengan penuh berselera sekali. Roon diam saja memerhati.

“ Wah! Cantik rantai, bila engkau beli? Dah tak kerja, ada hati nak habiskan duit .” Perli Roon selamba.

Aku tersengih. Aku tidak mahu Roon bertanya panjang lebar pasal kalung ini. Seandainya aku berterus terang, pasti Roon akan marah kerana tahulah Ron nanti yang aku mengutip kembali surat Ustazah Raihanah yang Roon buang tempoh hari.

“ Alah….tiba-tiba hati berkenan bila tengok kat kedai lemas lama. Ishh…kering lak tekak ni. Patutlah, minum segelas air je pagi tadi.”

Nah! Berjaya juga taktik aku menukar tajuk perbualan. Sebagai buktinya, Roon terus bangun menghala ke dapur. Aku sudah agak apa yang dibuat Roon. Tidak lama kemudian, Roon bawakan aku satu mug milo panas. Aku mengukir senyum paling manis buat Roon.

“ Terima kasih Roon, aku fikir kau nak bagi aku air putih je. Tak sangka air milo pulak.”

“ Minum ajelah…”

Roon buat muka selamba. Aku juga cuba bertenang sedangkan dalam hati, ingin saja aku mengucapkan terima kasih buat Roon, lalu peluk Roon kuat-kuat. Oh! Sayang betul Roon pada aku rupanya. Ya Tuhan Ya Allah, sesungguhnya kau Maha Adil Tuhanku. Bila aku tiada keluarga, tiada ibu bapa maka kau hantarkan untukku seorang teman yang berhati mulia untuk menjagaku. Terima kasih Ya Allah. Aku selesai makan setelah pinggan maggi goreng itu sehingga licin licau.



Malamnya, kami sama-sama melepak di ruang tamu rumah. Roon seperti biasa, meniarap sambil membaca majalah Remaja. Sesekali dia ketawa terkekeh, sesekali dia mengkritik soalan-soalan pembaca di majalah itu. Aku pula dari tadi sedang meneruskan pembacaan Sirah Rasulullah karya Shaikh Sofiy. Selesai satu bab, aku tutup buku itu dan duduk bersila mengadap telivisyen yang terbuka dari tadi. Sekejap mataku mengerling ke arah Roon, sekejap aku dengar nyanyian Misha Omar di RTM1. Bosan, asyik nyanyi saja. Aku tukar TV3, begitu juga. Rancangan Muzik-muzik sedang ke udara. Akhirnya aku buka RTM 2. Cerita cina pulak. Hish…bosan betul. Akhir sekali aku tutup televisyen. Habis cerita.

“ Kenapa tutup tv? Aku nak dengar Misha Omar nyanyilah.” Gerutu Roon tanpa mengangkat mukanya.

“ La…mana aku tau kau nak dengar. Dari tadi asyik ketawa je.”

Butang television aku tekan semula. Roon masih seperti tadi. Membelek majalah Remajanya. Aku sudah tidak boleh duduk setempat. Ada satu perkara yang ingin aku bincangkan dengan Roon malam ini dan ia perlu mendapat persetujuan segera.

“ Kau ni kenapa, macam tak senang je bila bukak television. Nak mengaji ke? Aku tutup ya.”

“ Tak…err..kalau nak slowkan suara boleh jugak. Aku nak cakap dengan kau, Ada perkara penting.”

“ Perkara penting? Kenapa, kau nak kahwin?” Roon tergelak kecil.

Tanpa menjawab soalan ‘lawak’ Roon, sebiji bantal aku lemparkan ke arah mukanya. Roon mengelak lantas dia mengajuk cara aku membaling.

“ Usik sikit pun dah nak marah.”

“ Kau ni pun, janganlah sebut pasal kahwin. Aku ni dah boleh digelar andartu tau. Masuk dua puluh tujuh tahun, tapi single lagi.”

Bibir Roon melebar sehingga nampak barisan giginya yang besar dan jarang-jarang.

“ Ke kau yang memilih. Dulu bila Muaz nak risik engkau, kau kata tak fikir nak kahwin lagi. Bila Shamsul Ridzuan nak berkawan dengan engkau, kau nasihatkan dia jangan buang masa, buang duit belikan kau jam tangan dengan bunga. Lepas tu..sapa tu…ala mamat yang alim tu, Ameer Mulhim. Kau suka kat dia kan?? Tapi kau tak cakap pun kat dia. Dah tau dia pemalu, patutnya kau luahkan lah. Ini kau yang tolak jodoh.”

“ Engkau tak faham ler. Si Muaz tu, macam mana aku nak kahwin dengan dia. Engkau tengok tak macam mana muka mak dia bila Muaz sebut aku anak yatim piatu, tak ada saudara mara pun. Mak dia tak suka aku tau. Shamsul Ridzuan tu pulak, asyik nak ajak keluar. Sikit-sikit nak jumpa. Nak pergi makan sama. Kau kan tahu, aku tak suka jumpa-jumpa ni. Tapi, bila kau sebut Ameer Mulhim tu…dah jodoh dia dengan perempuan Terengganu tu. Biarlah, aku doakan dia bahagia je.”

“ Kau tak kecewa?” Roon mengangkat keningnya.

“ Sikit tu adalah.” Balasku lemah, “ ni, aku nak beritahu kau sebenarnya aku baru dapat tawaran kerja.”

“ Dapat kerja?! Baguslah. Aku dah risau kalau kau menganggur lama, mampus aku nak bayar sewa rumah ni.” Roon menekup pipinya dengan kedua belah tapak tangan. Diabuat muka kiut lagi. Huh! Comel lah tu. Dalam hatiku, aku sudah ketawa gelihati namun bibirku hanya mampu tersenyum.

Tiba-tiba aku tersedar ayat yang Roon ungkapkan tadi. Bayaran sewa rumah….

“ Begini Roon, tapi aku tak akan duduk di sini. Jadi warden asrama Darul Fikriyah. Mestilah aku kena duduk di sana.”

Roon merapati aku. Dia nampak terkejut.

“ Apa? Kau nak jadi warden, nak keluar dari rumah ni? Eh…kau jangan bergurau Jihah.”

“ Tak…tak ada masa aku nak bergurau-guraulah Roon.”

“ Habis, kau setuju.”

Aku mengangguk. “ Aku okey jek. Dah rezeki aku, aku terpaksa pindah ke sana. Maafkan aku Roon, aku harap kau faham.”

Senyap.

“ Roon….kau okey?”

Senyap. Tiada jawapan.

“ Roon….cakaplah!”

“ Nak cakap apa lagi, kau dah buat keputusan.” Jawab Roon tanpa memandang sepicing pun ke arahku. Aku sedar, Roon berkecil hati.

“ Roon, aku faham perasaan kau. Aku tak bermaksud nak tinggalkan kau, tawaran kerja datang, tak akan aku nak tolak. Lagipun, bukan bermaksud kita takkan selalu berjumpa. Darul Fikriyah dengan Flat Sri Selasih ni sepuluh minit je. Err….pasal nak bayar rumah, nanti aku usahakan cari penyewa baru. Sekurang-kurangnya, taklah kau terbeban bayar sewa seorang. Macam mana?”

“ Jihah, kau cakap kau faham perasaan kau. Aku nak cakap,…kau tak faham! Berapa lama kau duduk rumah ni, berapa lama? Engkau cakap kat aku?”

Risau aku tengok Roon naik angin. Di saat ini, aku harus berlembut dengan Roon, pujuk Roon dan terangkan keadaan sebenar.

“ Roon, aku tahu dah empat tahun kita duduk rumah ni. Masa tu aku, engkau dan Lia. Mula-mula Lia keluar, lepas tu Ayu masuk. Ayu keluar, masuk pulak Mila dengan Heliza, akhirnya Mila dan Heliza pun keluar. Hanya aku dan kau yang tetap dari dulu sampai hari ini, menjadi penghuni rumah ini.” Aku berjeda seketika, mencari kekuatan emosi dan akal fikiran untuk berhadapan dengan Roon.

“ Roon, kau tahu kan aku dah anggap kau macam adik beradik, persahabatan kita sungguh bermakna bagi aku. Aku sedar kau sangat ambil berat terhadap diri aku. Tapi Roon, bila aku nak pindah tempat kerana berkerja, tidak bermakna persahabatan kita putus. Tak akan sekali-kali.”

Aku memperlahankan suara. Memberi laluan pada Roon untuk membalas kata-kataku pula. Tangan kananku memegang erat bahu kanan Roon.

“ Beginilah…kau nak pindah kan? Dapat kerja lain kan? Sukahati engkaulah. Aku tak berhak masuk campur. Siapa aku lagipun…kan?!”

“ Jangan macam tu Roon, aku…..”

“ Dah! Aku nak tidur. Besok aku nak kerja.”

Laju langkah Roon menghala ke pintu bilik. Dummm!! Tapak tangan aku tekupkan ke dada. Subhanallah, Roon. Kau tak berubah pun. Amarah kau masih berapi macam tiga tahun lalu bila Lia bawa teman lelaki ke rumah. Itu pertama kali aku lihat Roon meletup. Semua yang mendengar Roon bertempik terus mati kutu. Sejak itu aku dan Roon tak bertegur dengan Lia sampai dua minggu. Akhirnya Lia keluar kerana dipulaukan kami berdua.

Tapi itu Lia, kesalahannya bawa lelaki. Memang melampau. Tapi aku lain. Jangan kau marah aku macam itu sekali Roon.

Hari ini, aku benar-benar buntu. Dalam hati, muktamad sudah untukku terima tawaran kerja dari Darul Fikriyah. Masalahnya, bagaimana mahu menyejukkan hati Roon? Kesimpulanku pada hari ini, sebuah persahabatan tidak semestinya antara keduanya selalu berjumpa, tapi lebih merupakan persefahaman dan sanggup berkorban demi kebaikan sahabat yang lain.