Bab 18.............. Mengharap Lagi!

> Ko wat ape Jihah? Tgh ngangur ni, ko masak ler sedap2. Aku balik tgl mlantak jek. He..he..tringat makaroni goreng ko. Wat ye!
Mesej seterusnya...
> Jihah, ko tau tak? Si Khairul rimau tu tanya aku, kau kerja mana skrang? He..he..baru dia sedo camne marktg dept tanpa ko. Gelabah ooii.
Serta merta ingatanku kepada Encik Khairul mengambil alih ruang imaginasi. Hish! lantaklah dengan Encik Khairul. Aku memang seriau dengar nama lelaki itu. Ahh...kalaulah Mawar Biru tidak dipegang oleh si harimau tu, pasti aku bahagia berkerja di sana.
Tutt! Mesej baru masuk. jariku sibuk memicit butang hijau.
> Apa khabar Jihah? Tahniah kembali ke Darul Fikriyah. Peluang kedua di sini jgn dipsia2kan. Ingatan tulus ikhlas, abang.
Jari jemariku menggeletar. Kelopak mata kutenyeh berkali-kali. Nombor yang tertera itu sangat akrab dengan penglihatanku. Ameer Mulhim. Sekali lagi jantungku hilang ritmanya dan berlagu tidak tentu tempo. Masakan Abang Ameer mahu berhubung denganku setelah dia tahu, aku juga menyimpan perasaan kasih padanya? Mengapa Abang Ameer sanggup menghantar mesej padaku sedangkan dia sudah berumahtangga dengan Wan Insyirah? Bagaimana agaknya perasaan Wan Insyirah seandainya dia tahu suaminya menghantar mesej padaku? Sedangkan pada pertemuan sebulan lalu, airmuka Wan Insyirah sudah menggambarkan perasaan cemburu terhadapku apabila Ameer Mulhim memberikan aku sebungkus beg plasitik berisi kain.
Kain itu! Baru aku teringat, kain itu hanya sekali kulihat sebaik sahaja aku sampai di rumah. Hati ini dicuit-cuit untuk membelek kain itu buat kali kedua pula.
Dengan pantas, beg baju aku keluarkan dari dalam almari. Satu bungkusan merah aku tarik dari tepi poket beg. Seketika kemudian, kain berwarna hijau bercorak kerawang bunga melur memenuhi bebola mataku. Cantik! Aku membiarkan kain itu menyaluti tubuhku. Terasa bahagia. Seolah-olah cinta Ameer Mulhim meliputi seluruh hidupku. Seoalh-olah akulah pemilik tunggal cintanya. Jiwaku damai dalam mimpi-mimpi indah biarpun seminit dua.
Astagfirullahu’al’adzim. Cepat-cepat aku membungkus kain itu semula. Tidak seharusnya aku melayani perasaan ini lagi. Ameer Mulhim bukan milikku. Ameer Mulhim sudah menjadi suami Wan Insyirah. Perasaan ini harus aku lenyapkan walau susah, walau payah.
Aku bagai tidak percaya dia berada di situ. Dia melihatku dengan senyum nipis dan matanya bagai bercahaya. Ustaz Bahtiar yang berada di sebelahnya juga menyorot pandang ke arahku. Mungkin pelik dengan reaksiku yang agak gementar ketika melintasi kerusi kosong di hadapan mereka. Aku mengambil tempat di sebelah Ustazah Aminah. Wan Amani pula berada di sebelah kanan Ustazah Aminah. Sedikit demi sedikit ketenanganku dirampas perlahan-lahan oleh kehadirannya.
“ Assalamualaikum semua, nampaknya semua sudah ada. Alhamdulillah, buat kali pertama kita dapat bermusyawarah dalam jumlah yang boleh saya katakan paling lengkap setakat ini.” Bicara Ayah Zubir yang nampaknya sungguh ceria dan bersemangat malam ini.
Sungguh tidak masuk akal, dia ada pada malam ini. Aku yang duduk di hadapan si pencuri hati itu bagai serba tidak kena. Hendak duduk rapat kaki, hujung kaki terasa sejuk pula. Hendak angkat muka bimbang berlaga mata dengannya. Akhirnya aku memainkan jari jemari kaki dan mataku asyik terpaku pada Ayah Zubir dan anakmataku sesekali pulang ke arah permukaan buku nota hitam yang aku bawa ke sana dan ke mari.
“ Kita mulakan musyawarah kali ini dengan Al fatihah."
Serentak itu semua bibir terkumat-kamit.
Membuka bicara, Ayah Zubir memperkenalkan beberapa ahli keluarga baru Asrama Anak-Anak Yatim Darul Fikriyah. Sebagai orang yang memegang jawatan eksekutif paling tinggi, Ameer Mulhim Hanafi dipersilakan untuk memberi sedikit pengenalan diri. Semua mata yang ada menjamah wajah Ameer Mulhim yang putih kemerah-merahan itu. Mataku juga tidak terkecuali. Senyuman yang merekah di bibir si jejaka idamanku itu bagai memagut semangat yang ada di tebing hatiku. Semangat ini kian mencair bersama cairnya impian untuk melumatkan rindu dendam yang mencengkam kukuh akar hati. semua itu kerana kehadirannya.
Asmara ini semakin berdenyut. Laju. Aku jadi keresahan. Tidak sanggup lagi lemas dalam gelombang perasaan. Sepanjang suara Ameer Mulhim berkumandang, aku seolah-olah merasakan semua mata meneroka seraut wajahku yang dihujani rintik peluh. Aku malu, aku cuba untuk mengawal perasaan. Bagi menghilangkan perasaan gelabah, aku buat-buat mencatat sesuatu di dalam buku hitamku.
Malunya eeiii….Tuhan saja yang tahu.
Carta Organisasi Asrama Anak-Anak Yatim Darul Fikriyah
Tuan Guru Haji Hanafi Bin Haji Hussin
Pengerusi
Tuan Haji Zubir Bin Haji Hussin
Timbalan Pengerusi
Prof. Dr. Nik Johari Bin Datuk Nik Asmat
Setiausaha Agung
Puan Hajjah Sharifah Raudhah Bt. Syed Saheed
Penolong Setiausaha
Encik Taib Bin Masnor
Bendahari
Puan Salamiah Bt. Masnor
AJK
Prof. Dr. Mohd. Fadhil Bin Ilyas
Tuan Haji Dasuki Bin Haji Yusof
Encik Abdul Jabbar Bin Mustaffa
Puan Hawa Bt. Talib
Saudari Norhidayah Bt. Rashdan
Ketua Warden
Ustaz Ameer Mulhim Bin Hanafi
Ketua Warden Putera Ketua Warden Puteri
Ustaz Fakhrol Rodzi Ismail Ustazah Aminah Bt. Lokman
Pen. K.Warden Putera Pen. K. Warden Puteri
Ust.Firda Bahtiar Baihaqi Aina Najihah Abd Fattah
Penyelia Asrama
Zaharah Bt. Akib ( Kak Arah )
Pekerja Am
1. Kerani
Wan Amani Bin Wan Mutalib ( Wan )
2. Pemandu
Hamadi Bin Tukiman ( Abang Madi)
3. Tukang Sapu
Cik Tom Bt.Jenawi ( Kak Tom )
4. Ketua Tukang Masak
Hawa Bt. Abdul Syukor ( Mak Awa )
5. Pembantu Tukang Masak
Rabitah Bt. Haji Sulaiman
Bunyi tapak kaki menuju ke arah kami mematikan patah bicara perbualan.
Ustaz bahtiar terpempan seketika. Serta merta dia meninggalkan kami dan menuju ke biliknya di tingkat atas. Menyedari nasihat Ustaz Bahtiar itu adalah benar dan sebagai tanda ingatan seorang warden kepada seorang warden, dan seorang Muslimin kepada seorang Muslimat, aku terus meninggalkan Ameer Mulhim di tengah-tengah Perkarangan Ilmu.
Buat kali ketiga aku berpusing, membenarkan sepasang mataku menjamah marah ke arah Ameer Mulhim, biarpun dia lelaki yang berjaya mencuri hatiku ini.
“ Ada perkara yang penting sangat sampai tak boleh tunggu esok saja?” Aku memuntahkan segala geram yang terbuku di dada. Geram kerana Ameer Mulhim datang kembali ke Darul Fikriyah. Geram kerana aku baru sahaja mahu memulakan kebahagiaan dan membangunkan jiwa yang sudah lelah. Dan dia bagai mahu membiarkan aku tenggelam dalam kesengsaraan melawan rintihan hati dengan memunculkan diri di sini.
“ Abang kembali ke Darul Fikriyah ini kerana tanggungjawab Abang, anak-anak Darul Fikriyah perlukan abang.”
“ Syukurlah.”Aku berjalan lagi.
“ Nanti,” Ameer Mulhim bersuara tegas, dan aku sudah naik lemas.
“ Apa lagi?” Tingkahku.
“ Apa Abang Im cakap ni?”
Mataku terpaku, lidahku membeku. Apakah Ameer Mulhim cuba bersenda denganku ? Tidak! Tidak! Ameer Mulhim bukan begitu orangnya. Lelaki sejujurnya tidak pernah membiarkan lidahnya menuturkan ayat-ayat bersendi kepalsuan. Tidak sekali-kali. Tapi, benarkah apa yang aku dengar? Bermimpikah aku? Atau mungkin juga seorang lelaki boleh bertukar watak jikalau ingin memiliki wanita impian sepertimana mudahnya si sesumpah menukar warna kulit pabila berubah tempat berteduh?
“ Tak mengapa, Jihah naiklah atas. Nanti Abang telefon Jihah.”
Jam di tangan sudah menunjukkan pukul 11 malam. Lagi satu jam lebih rondaan akan dilakukan. Tanpa menunggu aku membalas kata-katanya, Ameer Mulhim terus bergerak mengikut jejak Ustaz Bahtiar, ke arah bilik warden lelaki.
Bilik yang dingin terasa bagai mencucuk-cucuk tulang belulang. Sejuk di badan lantaran cuaca usah dikata. Rupa-rupanya tadi hujan di luar asrama yang mula merintik kini semakin menggila. Sudahlah begitu, berita yang disampaikan oleh Ameer Mulhim tadi bagai menghimpit dadaku yang kian sesak.
“ Mengapa? Kenapa dia tak jadi kahwin? Pasal akukah?Hummm…tak mungkin.” Persoalan itu acapkali menjengah pintu hatiku.
Telefon bimbit yang terdampar atas tilam berbunyi. Sah! Tertera nama Ameer Mulhim. Hatiku berdebar. Ada rasa ingin menjerit gembira dan ada teka teki yang masih menanti jawapannya.
“ Waalaikumsalam.” Senyap. Lidahku kelu seribu bicara. Janggal pula rasanya berbual dengan Ameer Mulhim kali ini.
Sesak nafasku seketika.. “ Dengar, cakap sajalah.”
“ Baiklah, biar Abang ceritakan ya.” potong Ameer Mulhim sebelum aku melontarkan kegusaranku. “ Jihah ingatkan hari yang kita pergi Jalan TAR kan?”
“ Bila kami balik pada esok harinya ke Terengganu, Wan Insyirah ada beritahu Abang, kalau boleh dia tidak mahu bertemu Abang lagi sehingga kami akad nikah. Abang bersetuju, lagipun perkahwinan kami hanya tinggal sebulan saja lagi, jadi Abang sudah menyiapkan rumah yang bakal kami duduki nanti. Rumah tu tak jauh dari sekolah adik perempuan Abang yang bongsu. Emm..Jihah pernah jumpa Afifah Maisarah tak?”
Afifah! Si cantik bermata bulat dan mempunyai lesung pipit di kedua belah pipinya. Aku masih ingat lagi kali pertama dia menjenguk Abangnya di Darul Fikriyah bersama kakaknya Azilah.
“ Pernah, adik Abang yang paling kecil. Tahun ini dia ambil PMR kan?”
“ Ingat pun,” tergelak Ameer Mulhim seketika, “ Abang bercadang nak tinggal tidak jauh di Seberang Takir supaya dekat dengan adik beradik Abang, lagipun siapa nak tengok-tengokkan mereka? Dah abang seorang nak lelaki.”
“ Wan Insyirah ada telefon Abang, dia bertegas tidak mahu tinggal sebumbung dengan mana-mana adik beradik Abang. Alasannya, takut bergaduh. Puas Abang beritahu bukan tinggal sebumbung tetapi tinggal di kampung yang sama. .Itu saja. Tapi Wan Insyirah tak setuju. Katanya dia hendak tinggal di Marang bersama ibunya. Itu syaratnya kalau mahu perkahwinan diteruskan.”
Mungkin ini juga puncanya Ameer Mulhim tidak berkahwin dengan Wan Insyirah. Hatiku semakin berteka-teki. “ Jadi, lepas tu macammana?”
“ Abang terpaksa mengalah, bersetuju dengan cadangannya. Abang rasa, Wan Insyirah perlukan masa untuk terima adik-adik Abang. Jadi Abang bercadang mahu duduk di Marang, sambil itu perlahan-lahan memujuk Wan Insyirah menerima adik-adik Abang.”
Aku sedar, ada kesedihan dalam bait-bait ayat tersebut. Tapi itu urusannya, apa kaitan denganku lagi? Mungkinkah aku masih dianggap sebagai kawan baik untuk diluahkan segala kekecewaan yang menimpa dirinya?
Ameer Mulhim menghela nafas, dan dari suaranya itu dia bagai mengumpul kekuatan untuk berbicara lagi. Sambil itu aku mula mengubah posisi diri. Daripada duduk, kepalaku aku rapatkan pada bantal. Telapak tanganku yang mula berpeluh, aku kesat dengan kertas tisu.
“ Kalau tak silap Jihah, Azilah tu yang hitam manis, adik abang yang kedua kan, selepas Azean.” Aku pura-pura menumpukan perhatian sedangkan aku terasa ingin mematikan telefon di tangan.
“ Hmmm…ingat pun Jihah. Dia memang rapat dengan Wan Insyirah. Sama umur,…jadi masa pertemuan itu Wan Insyirah meluahkan perasaannya terhadap keluarga kami. Mungkin Wan Insyirah masih muda, Abang boleh terima namun Abang tak yakin bila Wan Insyirah meminta perkahwinan ini dibatalkan, atas alasan kami tak sekufu.”
Dahiku berkerut. “ Maksud dia tak sekufu bagaimana? Abang, alasan yang diberikan itu bukankah tak masuk akal?” Kali ini aku sedikit terkejut. Mungkin sudah lam atidak mendengar perkataan 'kufu' sejak khatam mata pelajaran munakahat yang diserapkan dalam subjek agama Islam sekolah menengah.
“ Mungkin kami tak ada jodoh, kerana itulah hati Wan Insyirah dibalikkan pada saat-saat akhir perkahwinan akan dilangsungkan. Abang faham, apa yang Wan Insyirah bimbangkan tapi lebih baik dia beritahu sekarang daripada selepas kahwin. Terus terang Abang katakan, tak mungkin Abang boleh melepaskan tanggungjawab terhadap adik beradik Abang kerana itu adalah janji Abang sejak arwah mak dan abah Abang meninggal dunia. Nampaknya, Wan Insyirah tidak sanggup hidup dengan anak yatim piatu macam Abang ni, tapi tak apalah, ini lebih baik daripada majlis tu diteruskan.”
“ Entahlah Bang, sesetengah orang malu juga nak batalkan majlis terutama pihak perempuan, lagi-lagi bila dah jemput orang. Ah…benda dah lepas, sudah takdir. Cuma Jihah harap, Abang dan adik-adik Abang tabah hadapi dugaan ini.” Suaraku mengendur. Simpati juga dengan nasib yang menimpa Ameer Mulhim.
“ Jihah, tak ada apa-apa yang perlu Wan Insyirah malukan. Besok dia akan akad nikah dengan Tengku Kamal Azwan, anak Tan Sri Tengku Khairuddin. Majlis persandingan akan dibuat pada akhir bulan depan. Dah jodoh dia agaknya.”
Bagai tidak percaya dengan apa yang aku dengar, dan buat kesekian kalinya, suara ketawa kecil Ameer Mulhim kedengaran lagi.
“ Abang, Astagfirullahualadzim.”
Senyap.
“ Jihah nak tahu, hantarannya berapa?”
“ Berapa?” Soalku.
“ Lima puluh lima ribu, lima ratus lima puluh lima ringgit, kalau abang…mana mampu Jihah. Setakat lima ribu lima ratus lima puluh lima ringgit bolehlah.”
Berdekit gelak tawa Ameer Mulhim lagi. Tawa yang berbaur kekesalan lagaknya. Tawa yang memuntahkan segunung rasa yang berbuku di dada. Serentak itu juga, tiba-tiba airmata bergenang di pelupuk mataku. Hatiku ini bagai disiat-siat. Aku cuba menahan kesedihan yang menggigit jiwa. Memang Ameer Mulhim wajar bersedih, wajar berduka tapi kali ini aku juga wajar berasa kecewa. Aku terkilan!
“ Jihah?!”
Entahlah, airmataku semakin laju berlinangan, membelah kedua pipi ini.
“ Kita berhenti setakat ni ya, Jihah sudah mengantuk ni.”
“ Hum…baiklah, Abang kena buat rondaan lepas ni. Terima kasih Jihah kerana sudi dengar. Assalamualaikum.”
Suara Ameer Mulhim tiada lagi, yang ada cuma kesedihan yang berceratuk di dalam hati ini. Sekeping hati yang hancur bagai diinjak-injak semula. Kukira Ameer Mulhim akan mencurahkan rahsia hatinya terhadapku, menceritakan betapa dia bersyukur dapat menemui kasih yang sebenar namun Ameer Mulhim hanya mahu melampiaskan kesedihan akibat impian pekahwinan yang terputus di tengah jalan. Ya Tuhan! Tabahkan hati ini. Tapi, dalam perlahan-lahan aku mula bersimpati dengan Ameer Mulhim.
Mungkin juga Ameer Mulhim mencintai Wan Insyirah, dan tidak mustahil sekarang ini Ameer Mulhim juga sedang merawat luka hatinya yang parah. Kasihan. Dan kasihan juga aku tujukan buat diriku sendiri.
…