Jumpa Dina Najat Di MPH Alamanda 15 Mac 2008!!!

Terima kasih atas e-mail dan sokongan anda!!!
Dina Amat MengHARGAInya....
'Seteguh Kasih Aina Najihah' Selesai
Apa lagi yang paling menggembirakan seorang penulis novel. Jawapannya ialah karya yang diusahakan selama berbulan-bulan akhirnya telah siap menjadi sebuah novel. Seperti orang yang baru disahkan mengandung setelah menunggu bertahun lama, maka begitulah bahagianya perasaan ini.
Namun seperti juga orang yang disahkan mengandung, saat-saat mengetahui jantina anak juga satu episod yang mendebarkan. Begitu juga dengan saat-saat kelahiran.
Maka seperti itulah berdegup kencangnya perasaan penulis apabila menanti saat buku dicetak dan dipasarkan. Mudah-mudahan penerbit dapat melaksanakannya dengan lancar. Dan, episod seterusnya juga tidak kurang menggetarkan sanubari. Sebagai penulis sudah pasti ingin tahun reaksi pembaca terhadap karya terbarunya.
Seperti juga anak, ramai yang nak tahu anak yang baru lahir ini ikut muka siapa, dah pandai buat apa?
Walau apa pun, Dina cuba berusaha yang terbaik untuk memberikan buahtangan yang terbaik. Kali ini Dina mementingkan ketepatan maklumat dalam novel serta jalan cerita yang kuat. Mudah-mudahan ia tidak mengecewakan. Setelah berusaha dan berdoa. Akhir sekali bertawakkal.
Oleh yang demikian terimalah ................
'Seteguh Kasih Aina Najihah'
Bakal Berada Di Pasaran Pada 2008.
http://ainanajihah.blogspot.com.my/
Mesej seterusnya...
> Jihah, ko tau tak? Si Khairul rimau tu tanya aku, kau kerja mana skrang? He..he..baru dia sedo camne marktg dept tanpa ko. Gelabah ooii.
Serta merta ingatanku kepada Encik Khairul mengambil alih ruang imaginasi. Hish! lantaklah dengan Encik Khairul. Aku memang seriau dengar nama lelaki itu. Ahh...kalaulah Mawar Biru tidak dipegang oleh si harimau tu, pasti aku bahagia berkerja di sana.
Kelat saja muka gadis itu tatkala menadah tunjuk ajar dariku. Sedang kami menapak ke dalam sedikit. tiba-tiba kami dikejutkan dengan bunyi berdentum dalam bilik air.
Dungg! Bunyi pintu dihentak dari dalam. Mata kami bersatu.
“ Yunni! Yunni!” Atilia merentap tombol pintu bilik air. Sah! Ada orang di dalam.
Jari jemariku mengetuk pintu tandas, seraya mulutku memberi nasihat. “ Yunni! Kalau awak ada di dalam, tolong buka pintu. Kita bincang, kalau ada masalah. Biar kita fikirkan sama-sama, apa yang boleh kita lakukan untuk bantu awak.”
“Ati, kau bawak sape pulak ni hah?!” Yunni menempelak garang. Aku terkejut dengan suara wanitanya yang garau itu. Saat itu, pada bayanganku Yunni mungkin mempunyai susuk tubuh yang tegap, berkulit putih dan berambut lurus. Namun apabila, Atilia menggoncang pintu bilik air bertalu-talu, tanpa disangka Yunni keluar dan selayang penampar menyinggahi pipi kanan Atilia. Yunni mendengus marah, menjeling aku sekali lalu. Mulutnya sempat berbunyi, “ Sibuk!”
Serentak itu Yunni berlari-lari anak keluar dari bilik air. Mataku dan Atilia berlaga.
“ Dia memang melampau. Orang nak tolong, lagi nak tunjuk belang.” Omel Atilia yang sedang bengang sambil mengusap kesan penampar Yunni yang memerah di pipinya.
“ Atilia, biar saya jumpa Yunni. Awak balik dulu.” Cadangku.
Atilia membeliakkan matanya.“ Yunni tu mudah membentak Kak Jihah.”
“ Takpa.” Seraya itu, aku pula meninggalkan bilik air. “ Jangan cerita pasal Yunni kepada sesiapa lagi ya, rahsiakan saja.” Pesanku.
Selang beberapa minit, aku sudah sampai ke katil Yunni. Gadis yang kasar itu, sebenarnya kecil molek orangnya. Bertubuh kurus, putih dan berambut lurus panjang. Manis-manis ayu wajahnya semanis gadis pingitan di pinggir desa yang menjadi rebutan pemuda kampung.
“ Yunni, awak dah makan ke belum?” Aku duduk di sebelah Yunni yang sedang baring meniarap. Rambutnya yang panjang mengurai menutupi separuh wajahnya.
Senyap. Tiada jawapan.
“ Awak ni kenapa Yunni, sakit ke? Nah, ambil getah ni ikat rambut tu. Rimas saya tengok.”
Yunni masih tidak bergerak. hujung bibirnya sedikit terjungkit, memuntahkan rasa tidak puashatinya mungkin. Melihatkannya begitu, terus saja tanganku menepuk belikat Yunni.
“ Dah cepat bangun. Sikat, lepas tu ikat rambut tu, biar kemas sikit.” Usulku.
Yunni menggeliatkan badan, kemudian dia bersandar di dinding katil. Getah di tangan aku, dicapainya. Hatiku berbunga ceria apabila Yunni mengikat rambutnya. Wajahnya mendung sahaja.
“ Ah, awak nampak pucat saja. Awak sakit ke?” Soalku.
“ Tak. Penat.” Yunni melarikan wajahnya dari tatapanku. Fahamlah aku bukan mudah mahu mengorek isi hati gadis semuda Yunni. Lagipun, dia baru sahaja mengenali diriku, tidak seperti Atilia.
“ Tak makan tengah hari tadi ya? Kenapa?”
Mata Yunni terbuka luas, “ Mana akak tahu? Atilia bagitau ya? Dia tu memang mulut murai.” Yunni menjuihkan bibirnya.
“ Tak, tengok muka Yunni je akak dah tau. Awak tu, pucat sangat. Nampak tak bermaya. Ke tak suka lauk yang Kak Rabitah masak hari ini? Tapi rasanya, semua orang memuji nasi ayam yang Kak Rabitah masak.”
“ Oh, nasi ayam.” Yunni bagai memikirkan sesuatu.
“ Awak nak makan ke?”
Yunni mengangguk.
“Marilah pergi kantin, jangan biarkan perut tu kosong. Mari.”
" Nantilah kak, say apergi sendiri."
" Sekarang lauk pauk dah dikemas, awak fikir kalau awak minta, ada Kak rabitah nak layan? Paling tidak, awak kena bebel pasal menyusahkan kerja dia."
Memang paling tidak pun, Kak Rabitah akan mengomel sendirian kerana masa 'emas'nya di atas tilam nipis lembut akan terganggu maka menggerutulah hatinya nanti.
" Nak pergi kantin?" Ku ulang lagi pelawaan yang sama.
Yunni mengesot, turun dari katil. Sejurus itu kami beriringan menuju ke kantin.
Sambil menunggu Yunni selesai menyuap makanan ke mulut, aku membaca suratkhabar Harian Metro bertarikh hari ini. Terpampang gambar seorang bayi yang ditemui di tepi semak dan dihurungi lalat. Astaghfirullahhualad’zim.
“ Manusia kalau ikutkan hati, mula-mula melakukan maksiat zina kemudian melakukan pembunuhan. Mudah-mudahan dia tersedar dan cepat-cepat bertaubat.” Aku melontarkan komen sendirian, manakala Yunni menggiatkan lagi suapannya.
“ Masa berasmara semua indah, bila sengsara boyfriend pun blah.” Tokokku lagi. Aku memandang ke arah Yunni, kemudian melirih pandang ke arah pinggannya.
“ Habis?” Aku menoleh ke arah Yunni. “Kalau begitu, kita duduk-duduk luar dulu. "
Selesai sahaja Yunni membasuh tangan, kami menghala ke bangku di luar asrama yang terletak di Perkarangan Ilmu.
“ Kak, Dulu akak duduk sini kan?” Soal Yunni apabila aku sengaja tidak mahu membuka topi perbualan.
“ Siapa bagitau? Yunni pernah lihat akak ke sebelum ni?”
“ Tak, tapi kawan-kawan ada cakap pasal Kak Jihah. Kak Wan dan Ustaz Bahtiar pun ada sebut.”
“ Apa yang mereka men’gumpat’ pasal Kak Jihah? Oh! Mesti mereka semua cakap, Kak Jihah ni asyik menyibuk jek kat Darul Fikriyah. Hujung minggu ada je lah muka Kak Jihah ni menempel kat sini. He..heh..ya tak?” Keningku ternaik beberapa kali. Sengaja mahu menimbulkan suasana tak formal dengan Yunni.
“ Taklah kak. Mana ada. Kak Wan tu kalau nasihatkan kita, suka cakap.. ‘cuba ikut macam Kak Jihah’. Ustaz Bahtiar pun sama.”
Mendengarkan kata-kata Yunni, aku terpaku. Bahagia juga jika diri dijadikan contoh buat adik-adik yang senasib denganku. Tapi hatiku bergelora tatkala nama Ustaz Bahtiar disebut. Apa yang Ustaz Bahtiar tahu tentang diriku? Dia orang baru Darul Fikriyah. Humm. Persoalan itu harus aku buang jauh-jauh sekarang ini. Tidak begitu penting bagiku. Di hadapanku ada sesuatu yang perlu disegerakan.
“ Yunni, tadi buat apa duduk dalam tandas. Tahan bau busuk jugak awak ni ya?” Usikku sambil tertawa kecil.
Yunni diam membatu. Sesekali matanya berkedip.Lambat dia menjawab, “ Buang air kecil.”
“ Iye ke? Ish..lamanya. Yunni ada batu karang ke?” Perliku. Yunni nampak gelisah. Sekejap tangannya menyapu pangkal dahi. Sekejap kakinya menyepak-nyepak lantai Perkarangan Ilmu.
“ Akak, saya nak naik ataslah. Nak basuh baju.” Yunni bangkit dari bangku dan melurutkan hadapan baju kurungnya dengan telapak tangan.
Pantas aku menahan Yunni. “ Eh! Yunni marah kakak ke? Kakak gurau aje. Yunni, duduk sekejap. Ada perkara yang Kak Jihah nak tanya.”
Yunni nampak tidak senang dengan permintaanku. Akhirnya aku pula yang berdiri dan tangan kananku memaut bahu Yunni.
“ Kalau Yunni tak mahu duduk, takpa. Kita berdiri sama-sama ya.”
Yunni mengetap bibir. “ Em..okeylah.” Bangku batu akhirnya menampung berat kami berdua.
“ Yunni, kalaulah benar apa yang diceritakan Atilia pada kakak, kakak tumpang sedih dengan perkara yang Yunni lalui. Lama sangat ke perkenalan awak dengan budak lelaki tu sampai susah awak nak lupakan dia?”
Senyap.
Kuulang lagi soalan tadi. “ Berapa lama kenal?”
“ Dah enam bulan. Kami jumpa hampir tiap-tiap hari. Tak tau nak cakap..” Airmata Yunni sudah berlinangan. Bahu Yunni bergerak-gerak. Kemudian terdengar sayup-sayup esakannya yang menghibakan jiwaku.
“ Yunni. Sabar ya.” Tubuh Yunni kurapatkan dalam pelukanku. Tangisan Yunni semakin berpanjangan..
“ Yunni, jangan ikutkan hati. Kalau awak mengharap, lelaki itu akan terus sayang pada awak, awak sebenarnya memberi ruang kepada hati awak untuk dilukai. Awak yang akan derita akhirnya.”
“ Kak….saya…huu..ughh, saya tak boleh lupakan dia kak.” Luah Yunni. Bibirnya bergetar. Dalam pada itu, aku berasa kasihan dengan Yunni. Kecil-kecil lagi sudah patah hati dan dikecewakan.
“ Yunni, “ aku menarik nafas dalam, “ Berapa lama dah Yunni cuba lupakan dia?”
“ Dah sebulan….tapi…”
Aku meleraikan rangkulan tanganku di bahu Yunni, “ Sebulan?” Ulangku, “ Itu tak lama Yunni, Yunni kenal dia saja sudah berapa lama?”
“ Em..hampir lapan bulan, tapi rapat dah enam bulan.”
Aku menarik nafas dalam-dalam lantas membenamkan jari telunjuk di permukaan dahi. Fikiranku berpusing mencari formula bagi memacu perbualan ini sehingga mencapai matlamat yang aku rangkakan sudah.
“ Jadi, Yunni anggap sebulan tu cukup untuk melupakan dia? Yunni, awakkan masih mencuba, jangan patah semangat.”
Kepala Yunni menunduk, menghala ke permukaan lantai simen Darul Fikriyah.
“ Saya nak tanya Yunni, apa usaha yang Yunni dah buat untuk melupakan dia?”
Yunni tersentak. Mukanya berkerut.
“ Buat apa? Saya tak faham.”
“ Ialah, ada tak Yunni simpan semua barang pemberian dia, janji tak akan tengok lagi. Tak pun buang saja kalau tak yakin pada diri sendiri. Ada tak Yunni buat sembahyang hajat, berdoa agar Allah s.w.t padamkan ingatan Yunni pada dia, pernah tak Yunni banyakkan aktiviti dengan kawan-kawan ke seperti bersukan tak pun, sibukkan diri dengan pelajaran? Ada tak buat macam tu?”
Senyap. Beberapa saat kemudian, kepala Yunni bergeleng.
“ Tak ada.”
“ Jadi, bermakna Yunni tidak mencubakan?”
Senyap.
“Yunni, jangan sekali mengaku kalah dengan perasaan kerana Yunni akan jadi perempuan yang lemah. " Ujarku di saat Yunni asyik menggentel hujung lengan bajunya yang sudah berkerenyot. Aku mencari sepasang mata Yunni. " Lelaki itu, siapa namanya?”
“ Zulherry.”
“ Ha..nanti Zulherry akan ketawakan Yunni dan jadikan Yunni bahan gelak dengan kawan-kawannya. Yunni akan dianggap macam hidung tak mancung pipi tersorong-sorong?Yunni nak dianggap macam tu?”
“ Memanglah tak nak. Tapi saya sayang dia kak.”
Aku tersenyum. Inilah yang dinamakan cinta monyet. Masih muda remaja, belum terbukti pengorbanan antara kekasih, sedangkan makan minum masih ditanggung ibu bapa dan penjaga, sudah serahkan hati bulat-bulat kepada orang lain. Inikah cinta monyet? Meletakkan harapan cinta kepada pelajar lelaki tingkatan dua, sedangkan pelajar yang bernama Zulherry itu pun masih dalam jagaan kedua orang tuanya.
“ Yunni, awak sayangkan dia sebab awak biarkan perasaan sayang itu beraja di jiwa awak. Cuba awak ingatkan, apa perkara baik yang dia pernah buat pada awak. Ada tak Zulherry menyentuh tangan Yunni, peluk Yunni atau hendak duduk berdua-duaan dengan Yunni?”
Yunni mengangguk. Perlahan dan sekejap amat.
“ Itu tandanya, dia tak sayangkan Yunni. Lelaki kalau sayangkan kita, mesti dia tak akan sentuh kita sesuka hati. Mesti dia akan jaga maruah diri kita. Orang lelaki yang baik pasti mahu perempuan yang disukainya juga jadi baik. Jika tidak, lelaki itu sebenarnya hanya sayang diri dia sendiri. Dia cuma mahu apa yang dia inginkan. Dia tak mahu hati Yunni, dia cuma mahu badan Yunni.”
“ Saya tau kak.”
“ Kalau dah tahu, kenapa sayangkan dia?”
“ Saya nak lupakan dia….”
“ Kalau begitu, bersungguh-sungguh lupakan dia.”
“ Tapi saya tak kuat.”
“ Mana ada manusia yang kuat sangat Yunni, semua manusia lemah. Pernah Yunni berdoa pada Allah s.w.t minta dikuatkan hati untuk lupakan Zulherry?”
“ Tak.”
“ Jadi mulai sekarang, Yunni hendaklah banyak berdoa pada Allah s.w.t. Minta Allah s.w.t jadikan Yunni pelajar yang baik, wanita yang hebat, hamba Allah yang taat serta orang Islam yang berjaya. Pernah Yunni minta macam tu?”
“ Dulu ada…,”
“ Habis, sekarang tak ada buat macam tu?” Aku memuntahkan pandangan ke arah sepasang mata Yunni yang sayu.
Gadis itu seolah-olah kuat apabila menampar Atilia tadi, namun hakikatnya dia lemah. Yunni harus disedarkan dari mainan perasaan cinta yang hanya akan merugikan dirinya sendiri. Lagipun, umurnya baru empat belas tahun. Muda benar, dan aku yang sudah dua puluh tujuh tahun pun cukup berhati-hati dalam urusan cinta dan perasaan. Aku tidak mahu hanyut dengan gelombang perasaan yang jika tidak dapat dikawal, boleh membawa kepada maksiat dan dosa.
“ Yunni, di sini Yunni ada Puan Wani, Ustazah Aminah dan saya. Jika Yunni ingin lupakan Zulherry kami akan bantu. Namun, Yunni mesti ada kesedaran. Yunni mesti sedar, sekarang bukan masa untuk Yunni bercinta. Jika tidak, Yunni akan menyesal nanti. Kak Jihah tak mahu Yunni gagal dalam pelajaran. Yunni nak terkandas dalam PMR ke?”
“ Tak kak.” Kali ini Yunni bersuara tegas sedikit. Hatiku memekar gembira.
“ Baguslah, Yunni sendiri boleh fikirkan. Kak Jihah nak balik bilik, Kak Jihah harap Yunni tak lagi sebut pasal bunuh diri ya. Ingat Yunni, hanya orang yang sudah berputus asa dengan rahmat Allah sahaja yang sebut bunuh diri. Dan orang itu bukan orang Islam.”
Senyap. Aku mengatur langkah pulang ke bilik.
“ Kak,” namaku diseru dari belakang.
“ Ada apa Yunni?”
“ Terima kasih.”
Hatiku gembira tidak terhingga, lantas aku mendekati Yunni. Tangannya kugenggam.
“ Sama-sama adik kakak.” Mata kami bertautan mesra sambil bibir mengorak kuntum senyuman. Kemudian, aku mengatur langkah balik ke bilik semula. Yunni kutinggalkan dalam segunung harapan dan akanku iringkan dengan doaku padu, InsyaAllah.
Baru sahaja sampai ke dalam bilik, telefon bimbitku berbunyi. “ Siapa?”
“ Saya, Ustaz Bahtiar. Nak beritahu Jihah, malam ni kita nak buat rondaan asrama. Jadi, meeting mula lambat sikit. Pukul 9.30 malam. Spot check pukul 1 malam masa pelajar tidur.”
“ Ya..terima kasih.”
“ Lagi satu, kita akan terima seorang Pengetua baru. Malam ini Ayah Zubir pun akan hadir mesyuarat.”
“ Baiklah, nanti saya turun.” Kemudian kedengaran bunyi telefon diletak. Aku tidak mahu berlengah lagi. Azan Maghrib sudah kedengaran, sedangkan aku masih belum mandi.
Malam ini ada mesyuarat. Tugasanku sebagai warden akan bermula. Cuma aku sedikit sayu, kelibat Ameer Mulhim masih terbayang-bayang di Perkarangan Ilmu Darul Fikriyah. Aku semakin merindui Ameer Mulhim. Entahlah, kenapa rindu ini kian kukuh bersarang di perdu jiwa sehingga menggigit setiap semangat yang ingin kubangunkan dalam diri? Mungkinkah cintanya masih kental membelit jiwa ini? Oh! Aku terlalu menyintai Ameer Mulhim lagi. Dan aku sedar, perlahan-lahan aku harus belajar melupakannya. Dia sudah pun menjadi suami orang.
…