Khamis, 16 Ogos 2007

Bab 14.......Kalung Batu Zamrud

Bau bubur kacang durian sungguh menyelerakan. Aku yang masih di katil, terasa ingin menuju ke dapur. Sudah tidak sabar rasanya hendak menikmati makanan kegemaranku ini. Aduh! Air liurku sudah merembes di pangkal tekak.

“ Woii…kau nak ke mana tu?” Sapa Roon yang tiba-tiba terjengul di jenang pintu bilik. Aku kembali berbaring. Terpaksa kutahan keinginan hendak membuka periuk bubur kacang air tangan dari Roon. Aku capai majalah Anis yang aku beli dua hari lepas, dan sedetik kemudian halaman 24 berada di ruang mata.

“ Roon, lambat lagi ke bubur kacang kau siap?” Soalku dengan hati yang berat. Lamanya Roon tanak bubur kacang durian.

“ Sabar makcik ooii!! Bawak berzikir. Satu periuk aku buat. Engkau nak melantak berapa banyak pun aku tak kisah, tapi jangan engkau komen bubur aku sudah.” Roon yang tiba-tiba muncul di muka pintu bilik, terus memberi amaran. Kemudian dia berbaringan di atas lantai yang beralaskan tikar getah.

Aku mengerling ke arah Roon. “ Nanti aku sihat, aku buatkan kau makaroni bakar yang engkau suka tu ya?”

Roon senyap seribu bahasa. Dia bangkit perlahan-lahan dan menuju ke meja solek. Rambutnya yang panjang disisir rapi, dan kemudian ditocang satu ke atas. Hari ini Roon nampak kewanitaan sedikit. Pertama kali dia berkain batik. Nak terburai pun ada! Humm..ini mesti penangan cinta Abang BSN.

“ Jihah, aku tak minta apa-apa dari engkau.” Roon bersuara.

Aku berpaling ke arah Roon. “ Hah? Tak faham.”

“ Janji dengan aku, kau tak akan patah semangat. Janji dengan aku, kau kena buktikan engkau kuat.” Roon menatap wajahku dengan satu pandangan yang sukar untuk aku tafsirkan.

“ Kau fikir aku tak kuat Roon? Aku ni lemah?”

“ Tak, tapi kau mesti tabah. Kena banyak-banyak sabar. Jangan ikutkan hati.”

Aku menggigit bibir.Sepasang mataku jauh membongkar lipatan hari-hari yang pernah aku lalui. Ada ketikanya aku jatuh, dan sehabis daya aku cuba bangkit. Biar sakit, biar perit namun untuk aku mengalah dalam sepak terajang kehidupan tidak sekali-kali. Aku buang makna putus asa dalam kamus hatiku! Tidak pernah walau sekelumit.

“Roon,” mataku mencari sepasang mata Roon, “ Aku harungi hidup ini seorang diri Roon. Terima kasih kau selalu bersama aku walaupun saat aku susah.”

Tapak tangan Roon memegang kemas bahu kananku.“ Aku tahu kau kuat semangat Jihah. Aku doakan engkau tabah. Buktikan engkau istimewa dari orang lain , istimewa dari mereka yang berkeluarga.”

Belum sempat aku balas kata-kata Roon, dia sudah keluar dari bilik. Beberapa saat selepas itu, aku terdengar bunyi periuk di buka. Pasti Roon mengacau bubur durian. Aku sedar mengapa Roon berusaha menyuntik semangat dalam jiwaku. Pastinya Roon sudah terbaca surat dari Ustazah Raihanah.

Surat yang aku terima semalam, kugenggam sekuat hati. Pagi tadi surat itu aku sembunyikan di bawah tilam. Kiranya Roon tahu aku menyimpan surat dari Ustazah Raihanah lagi, pasti aku akan dileteri. Roon tidak mahu fikiranku terganggu setelah beberapa insiden melukakan hatiku berlaku dalam masa yang terdekat ini.

Aku kembali mengamati baris-baris ayat yang tersusun indah di dalam warkah. Ahad depan, ya…Ahad depan. Mampukah aku melangkah ke Darul Fikriyah lagi? Sanggupkah aku membuka sejarah silamku, sekaligus bersedia menerima apa jua tekanan yang bakal mendatang? Entahlah. Tidak cukup diberhentikan kerja, tidak cukup kecewa meletakkan harapan cinta terhadap Ameer Mulhim, dan kini aku seakan mahu menyerahkan hatiku untuk ditikam dengan bilah-bilah pisau yang sungguh tajam.

Sejarah silamku bakal terbongkar. Bersediakah aku Ahad depan? Dalam hati kecilku, aku terlalu ingin mengintai sejarah latar belakangku. Tentang keluargaku. Tentang insan yang membolehkan aku melihat matahari dan memijak bumi.

Aku tahu, aku hanya ada satu jalan. Jalanku tiada kanan dan kiri. Hendak tak hendak, jalan itu harus aku tempuh. Masa silamku terpaksa aku gali semula.


Pusingan jam berlalu begitu pantas. Dalam debar yang mengugat ketenanganku, aku kuatkan jua semangat untuk bersua Kak Badar. Sebenarnya, berat hati aku hendak ke Darul Fikriyah. Pilu bila mengenangkan Ameer Mulhim tiada di situ. Hiba menerima hakikat Ameer Mulhim bakal bergelar suami kepada wanita lain. Arghh.. aku memang tiada pilihan. Aku perlu ke Darul Fikriyah untuk bertemu Kak Badar.

Pagar hijau kuning aku kuak dan kakiku biarpun agak menggeletar lututnya, aku gagahi untuk masuk ke perkarangan Darul Fikriyah. Bunyi bising jerit pekik budak-budak bergema di perkarangan rumah lamaku itu. Jam sudah menginjak ke pukul tiga petang. Aku kira para penghuni sedang menghadiri program hujung minggu yang dianjurkan oleh Kolej Universiti Islam Malaysia. Pasti begitu kerana baru tadi bas KUIM meninggalkan Darul Fikriyah.

“ Assalamualaikum. Kamu nak jumpa anak yatim ke?”

Aku berpusing ke kanan. Seorang lelaki yang hampir sebaya denganku memandang aku sambil tangannya memegang rotan. Tubuhnya tegap, wajahnya mengingatkan aku kepada seorang penyanyi bernama Ebi. Berambut lurus, berketak-ketak di hujung. Lelaki itu berdahi luas, hidungnya boleh tahan mancung dan matanya agak ke dalam sedikit. Warden baru agaknya. Mungkin juga ya, kerana Ameer Mulhim sudah tidak berkhidmat di Darul Fikriyah lagi.

“ Tak. Ada janji dengan kawan, nak jumpa dia di sini.”

“ Saya tak faham. Apa urusan kamu di asrama ni? Mahu buat sumbangan atau kamu ini sukarelawan?” Soalnya dan kali ini nadanya sedikit keras. Cara pertuturannya juga agak pelik. Hendak kata orang Sabah, mungkin juga. Indonesia pun ada kebaragkalian. Entah-entah orang Filipina.

Dan seandainya dia warden baru, aku kira dia agak tegas orangnya. Sesuailah menjaga anak yatim yang sesetengahnya sukar sekali untuk dikawal.

“ Saya Aina Najihah. Dulu saya tinggal di asrama ni. Hari ni saya datang pasal nak jumpa kenalan. Kami dah janji nak jumpa di sini lagipun kami….”

Belum sempat aku menghabiskan ayat, dia menggelengkan kepalanya beberapa kali. Kemudian dia melemparkan pandangan ke arah para penghuni asrama yang ramai. Dari riak wajahnya dapat aku jangkakan, dia tidak berapa suka dengan kehadiranku di sini. Bagaimana hendak aku yakinkan lelaki di hadapanku ini bahawa Darul Fikriyah ini rumahku juga? Perlukah aku merayu? Entahlah. Aku sedar, sebagai warden, dia berhak menyoalku sebegitu rupa dan menggunakan kuasanya untuk menyuruh aku keluar.

“Kak Jihah, lama tak jumpa. Apa khabar?” Nurul Huda, pelajar senior Darul Fikriyah berlengang ke arahku dan dengan wajah yang berseri-seri, dia memelukku.

“ Baik. Huda macammana?”

“ Okey…sekarang ada program Motivasi Dan Penghayatan Islam, kakak dan abang dari KUIM datang.” Terangnya. Kemudian Nurul Huda menoleh ke arah warden baru tadi.

“ Ustaz,, iniah Kak Jihah. Kak Jihah selalu datang asrama, kadang-kadang tu kalau Kak Jihah tak datang, kami pulak yang risau.” Petah mulut Nurul Huda berkata-kata.

Warden baru yang dipanggil ‘ustaz’ itu tidak menjawab. Dia seolah-olah sedang memikirkan sesuatu. Mungkin dalam dilema sama ada hendak membenarkan aku berada di dalam Darul Fikriyah atau tidak.

“ Begini sajalah. Awak tunggu dalam kantin. Kami ada program sekarang ni. Lain kali, kalau nak jumpa kawan jangan buat temujanji di sini. Ini bukan tempat awam.” Ujarnya.

Aku terkedu. Warden baru ini memang garang. Sedikit senyuman pun tidak terpalit di bibirnya. Aku mengangguk perlahan, dan kemudian aku menuju ke kantin asrama. Nurul Huda menarik tanganku, dan aku lihat wajahnya mendung sahaja.

“ Kak Jihah, Ustaz Bahtiar tu baik. Kalau Kak Jihah kenal dia, mesti Kak Jihah tak kering gusi. Tapi dengan budak lelaki, dia garang.” Terang Nurul Huda seakan mengerti kekecewaanku dengan sikap Ustaz Bahtiar, “ Okeylah, Huda nak pergi program ni ya.”

“ Biasalah Huda. Mesti Ustaz nak jaga tempat ni supaya tak semua orang berani-berani masuk. ” Aku mengukir senyum, mengubat hati yang tersinggung dengan cara Ustaz Bahtiar. Biasalah, warden.

Tapi aku sedar, walau siapa aku, Darul Fikriyah bukan tempat untuk membuat temujanji. Seandainya Darul Fikriyah tidak harus kuanggap sebagai rumahku, di mana tempat untuk aku lepaskan rindu terhadap ‘kampung halaman’? Aku tiada kampung halaman.


Hampir setengah jam aku berada di kantin, bayang Kak Badar masih tidak muncul. Bosan menunggu lama, aku bercadang mahu ambil angin di perkarangan Darul Fikriyah. Aku kira Ustaz Bahtiar sudah berada di dalam surau bersama para pelajar dari KUIM. Jadi aku memberanikan diri untuk keluar. Tiba-tiba aku ternampak seorang perempuan berusia separuh abad dan seorang budak lelaki di luar asrama. Perempuan itu berselendang panjang, berbulu di hujung. Baju kurung warna polos merah hati menyaluti tubuhnya. Budak lelaki di sebelahnya pula berusia dalam lingkungan sembilan hingga sepuluh tahun.Mungkin cucunya.

“ Dik, tumpang tanya.” Tegur ‘makcik’ itu.

“ Ya makcik.”

“ Nampak tak perempuan, muda orangnya, nama dia Aina Najihah. Saya dah janji nak jumpa dia dekat rumah anak yatim ni.”

Aku memerhatikan wajah makcik itu. Inilah Kak Badar. Orangnya kelihatan berkeyakinan. Matanya nampak galak, masih bersolek tebal biarpun sudah berumur.

“ Sayalah Aina Najihah. Ini Kak Badar ya?” Serta merta aku melebarkan senyuman.

Dia tidak menjawab. Sebaliknya, Kak Badar merenung ke arahku seakan meragui kata-kataku.

“ Ini Aina Najihah. Anaknya Fatimah? Ohhhh…”

Jiwaku berdebar. ‘Anaknya Fatimah?’ Terasa asing sekali ayat itu di telingaku. Pertama kali ada orang menyebut, ibuku Fatimah. Agak janggal menerima hakikat, aku mempunyai ibu.

“ Sayalah Aina Najihah. Lama Kak Badar tunggu?”

“ Er…lama…lama. Dah dekat setengah jam duduk dekat luar. Tak ada sorang pun yang nak ajak masuk. Kesian budak ni, dah penat duduk bawah panas. Awak buka pagar ni, kalau boleh saya nak mintak air segelas. Cucu saya ni dah naik haus.”

Lancar mulutnya bersuara. Aku tidak berani menuruti kemahuannya. Nanti apa pula kata para penghuni Darul Fikriyah. Apa pula pandangan petugas di Darul Fikriyah. Fikir punya fikir, akhirnya aku keluar dari pagar asrama.

“ Kita minum dekat kedai mamak depan jalan sana ya.”

Wajah Kak Badar berseri-seri. Dia menarik tangan cucunya yang dari tadi asyik memuncungkan mulut.

“ Hauslah Nek.” Rungut cucunya.

“ Sabarlah. Er…Cik Aina nak belanja? Terima kasihlah Aina nak belanja. Mari cepat Agus.”

Bila masa pula aku ada sebut aku nak belanja? Kak Badar ni lain macam sikit orangnya. Hendak menjawab, tak sampai hati pula. Orang tua katakana. Akhirnya aku mendiamkan diri. Perjalanan ke Restoran Mubarak memakan masa hanya sepuluh minit. Sampai sahaja di sana, kami mengambil tempat paling belakang, dan duduk di meja hujung. Kak Badar yang pilih meja, aku ikut saja. Sebaik saja duduk, Kak Badar terus memesan air oren untuk cucunya, serta air Milo untuk dirinya sendiri. Bila aku tanya sama ada dia sudah makan atau belum, dia cakap dia tidak lapar tapi kalau hendak belanja mee goreng mamak, tak ada masalah.

“ Mee goreng orang sini sedap agaknya. Boleh juga kalau Aina nak belanja.” Ujarnya dengan ketawa malu-malu yang berlagu di bibir.

Melayan sikap Kak badar yang baru beberapa minit bersua muka, hatiku mula sebal. Aku kira, dia seorang yang suka mengambil kesempatan. Tiba-tiba perasaan curiga menyelinap ke lubuk hatiku. Entah betul, entah tidak apa yang akan diceritakan oleh Kak Badar kelak.

“ Tujuan Kak Badar nak jumpa Aina ni pasal ada benda yang perlu Kak Badar selesaikan.” Tuturnya setelah meneguk air Milo panas. Suasana petang ini di Restoran Mubarak agak tenang. Mungkin kerana petang hari, jadi tidak ramai pelanggan datang. Tidak seperti waktu pagi dan tengah hari.

Beberapa kali berfikir, akhirnya aku memberanikan diri untuk bertanya. “Sebelum tu, siapa Kak Badar sebenarnya?”

“ Panjang ceritanya Aina, tapi Aina dah tau kan pasal diri Aina sikit-sikit dari Ustazah tu, ala…perempuan yang ambil Aina dari Makcik. Panggil Makcik sajalah…dah tua nak panggil kakak.” Makcik Badar rancak bercerita sambil menguis mee goreng di hadapannya. Sesekali dia menyuapkan cucunya yang nyata kelaparan.

Biarpun perbualan itu baru bermula, buru romaku sudah meremang. Sedikit sahaja perihal masa silamku disentuh, aku sudah mula berasa sebak. Aku sedar, macam manapun aku harus kuatkan semangat untuk meneruskan perbualan ini.

“ Makcik Badar,” aku menguntum senyum, berusaha memaniskan muka. “ Boleh tak Makcik Badar ceritakan macam mana Makcik Badar boleh…er…humm..bagaimana ya nak cakap?” Aku bungkam seketika. Susah juga hendak mengorek cerita tatkala jiwa aku sedang bergelora.

“ Begini Makcik Badar, macam mana saya boleh berada bawah jagaan Makcik dulu?”

“ Oh…panjang ceritanya Aina.” Suara Makcik Badar yang nyaring itu kuamati dengan penuh debar. “ Makcik ni dulu dengan mak engkau tu, kawan baik. Nak kata baik sangat tu tidak juga tapi makcik lah orang pertama yang dia kenal masa dia sampai di Benut. Dulu bapak engkau, si Patah tu kahwin dengan mak engkau. Baru kahwin je, dia menyewa rumah makcik. Ala….rumah kecik. Tangga kayu. Sewa pun lima puluh ringgit sebulan.”

Makcik Badar mengelap mulutnya dengan tisu. Agus, cucunya pula sudah terlentok di atas kerusi. Tertidur. Datang seorang pekerja restoran mengambil satu lagi kerusi dan mencadangkan Makcik Badar merebahkan cucunya di atas tiga buah kerusi yang di susun secara berderet.

“ Ayah saya…Abdul Fattah. Makcik kenal mereka berdua? Apa sudah jadi dengan mereka?”

“ Yelah, bapak engkau tu. Baik orangnya…kerja kontrak tapi dia tak mampu nak bayar sewa. Tak taulah, orang tak biasa hidup susah agaknya. Makcik ingat lagi, tiga bulan dia tak bayar sewa, Makcik terpaksa suruh mak bapak engkau keluar rumah. Sejak tu bapak engkau balik kampung dia, katanya nak cari kerja. Lepas tu mak engkau tak jumpa bapak engkau lagi. Kesian mak engkau, tunggu si Patah tu macam tunggu buah tak gugur. Sudahnya dia pergi kampung bapak engkau.” Macik Badar menarik nafas panjang. Agus masih lagi tidur. Nyenyak sungguh sampai bunyi pinggan mangkuk berdenting di dapur restoran pun tidak menganggu lenanya.

“ Kemudian, apa jadi lepas tu?”Soalku. Sudah tidak tertanggung perasaan ingin tahu yang menggunung di jiwa. Pada mulanya aku fikir perbualan ini akan membuatkan aku hiba, sedih, geram dan terkilan tetapi sebaliknya aku jadi teruja ingin menggorek peristiwa yang berlaku antara ibu bapaku serta mengapa aku dihantar ke Darul Fikriyah.

“ Bapak engkau kahwin lain, orang kampung dia. Orang Kuantan rasanya. Alahhhh…lelaki. Depan lain belakang lain,” omel Makcik Badar sambil mendengus panjang. “ Hari tu, kalau tak silap aku hari Jumaat. Mak engkau datang ke kedai Makcik. Makcik ni berniaga kedai runcit dekat pasar Benut. Berniaga runcit kecil-kecil. Ha..Mak engkau datang kedai Makcik. Dia menangis, Tuhan aje yang tahu. Kesian Makcik tengok mak engkau. Dah le merantau dari Indonesia, sampai sini hidup susah. Suami pulak kahwin perempuan lain. Mana tak sedih.”

Aku tergamam mendapat tahu perihal kesusahan yang mak aku lalui. Kalau begitu, alangkah malangnya nasib mak. “ Kemudian, apa jadi Makcik” Soalku.

“ Puas Makcik nasihatkan dia, tapi orang tengah sedih…tak sangka suami kahwin lain lepas tu Patah tu suruh mak engkau pindah Kuantan, biar dekat dengan Patah. Huhh…buat apa? Biar dekat dengan madu?!! Heiii!”

“ Mak saya balik Indonesia ke?”

“ Balik….dia dapat berita, ayah dia…atok engkau lah, sakit kuat. Atok engkau nak sangat jumpa mak engkau. Mak engkau mulanya nak bawa engkau, tapi dia tak mahu bapak dia tahu, dia kahwin dengan orang Malaysia. Agaknya, bapak dia tengah sakit, tak mahu orang tua tu susah hati.”

“ Jadi, saya ditinggalkan sama Makcik?”

Makcik Badar terdiam seketika. Dia tidak terus menjawab soalan itu sebaliknya, Makcik Badar bagai memikirkan sesuatu.

“ Kamu sebenarnya patut ditinggalkan seminggu aje, tapi aku tak tau…kenapa sampai hari ini dia tak balik-balik. Aku betul-betul tak faham. Sakit ke dia, mati ke…entahlah. Tapi, ada suatu barang yang dia tinggalkan di rumah sewanya tu. Kalung batu zamrud, ini yang Makcik nak serahkan pada kamu.”

Makcik Badar mengambil sesuatu dari tas tangannya. Sebuah bungkusan kain putih diletakkan atas meja. Mataku terpaku ke arah bungkusan tersebut. Makcik Badar membuka simpulan kain putih dan menggunjukkan ke arahku seutas rantai emas yang berloketkan batu berwarna hijau muda.

Ini barang kemas lama, getusku. Kalung itu aku belek beberapa ketika. Rantai emas itu agak kasar. Aku berkenan dengan rekabentuk buatannya. Tampak klasik. Asli dan tersendiri. Batu hijaunya pula bak lampu yang sangat kecil. Bercahaya. Tidak lama kemudian, aku letakkan semula kalung tersebut di atas kain putih.

“ Cantik rantai ni. Emm, Makcik…semasa saya ditinggalkan ibu, umur saya berapa tahun makcik?”

“ Dekat empat tahun. Kecik benor engkau masa tu…”

“ Humm….”

“ Aina, Makcik ni tak boleh lama-lama, tapi satu benda Makcik nak beritau. Makcik nak minta maaf banyak-banyak. Makcik….”

Makcik Badar mengesat matanya dengan sapu tangan. Tangan kanannya ditekapkan ke dada. Makcik Badar menghela nafas panjang, dan kemudian dia menyambung bicaranya.

“ Sebenarnya Makcik dah lama sakit. Dah bermacam cara Makcik berubat tak sembuh-sembuh. Sampai satu hari, Makcik jumpa seorang kawan lama, dia kata mungkin Makcik ada simpan barang yang bukan milik Makcik. Makcik kena cari pemiliknya.” Makcik Badar memperlahankan suaranya seolah-olah dia tidak sepenuh hati mahu memberitahu masalahnya.

“ Maksud makcik, rantai ini kah?”

Makcik Badar mengangguk. Aku sudah dapat mengagak sesuatu namun aku ingin dengar dari mulut Makcik Badar sendiri.

“ Rantai ini milik ibu Aina, Fatimah. Dia tinggalkan rantai ini pada Makcik. Katanya, ini sebagai bukti yang dia akan datang semula ke Malaysia. Rantai ini hadiah dari suaminya, Patah. Dia memang sayangkan Patah. Macammana mak engkau sayangkan abah engkau, begitu juga dia sayangkan engkau dan rantai ini.” Sepasang mata Makcik Badar mula basah. Sesekali dia mengesat matanya dengan jari jemarinya. Cerita yang disampaikan oleh Makcik Badar itu benar-benar mengejutkan aku. Mataku terus tertarik untuk menatap rantai itu. Ringan sahaja jari jemariku mencapai rantai itu dan aku mengenggamnya sekuat hati.

“ Ibu…..,” terpacul perkataan itu dari bibirku. Tiba-tiba aku menjadi sebak. Aku rindu pada ibu. Dan pada saat itu juga aku terasa dekat dengan bayang-bayang ibu. Hatiku diulit rindu yang tidak tertanggung lagi. Tanpa rasa malu, air mataku mengalir di hadapan Makcik Badar. Aku cuba menahannya tapi aku tidak berdaya. Aku benar-benar ingin bertemu ibuku.

“ Aina…Makcik minta maaf. Sejak itu ibu engkau tak balik ke Malaysia. Makcik tak dapat nak jaga engkau. Mana nak jaga anak Makcik yang masih kecil, nak urus kedai, suami lagi…akhirnya Ustazah Anah yang bawa engkau ke sini.” Makcik Badar menundukkan kepalanya, “ tapi Makcik bersalah kerana ambil kalung ini dari leher engkau. Kalung itu hak engkau…..Makcik berdosa, dan makcik dah dapat balasan kerana mengambil kalung tu.”

Aku terpana. Rantai ditangan aku pandang dengan penuh tanda tanya. Bagaimana rantai ini boleh mendatangkan kesakitan? Rantai ini tidak bernyawa, juga tidak mampu bersuara. Apa yang mampu dilakukan oleh seutas rantai lama yang tidak bernyawa terhadap seorang manusia yang berjiwa dan memiliki minda?

“ Saya tak faham Makcik. Makcik sakit apa?”

Dengan tenang Makcik Badar membuka cerita.“ Makcik sakit lama jugak Aina. Setahun. Hati Makcik ni macam bercakap-cakap dengan sesuatu …sesuatu yang Makcik tak kenal. Tak berhenti-henti bagai pita rakaman yang diulang-ulang. Sampai Makcik letih. Tidur pun tak dapat. Bila orang bercakap dengan Makcik, Makcik khayal. Lupa mana letak barang….sampai Makcik ketakutan. Kerja pasar pun dah tak daya. Makcik sudah macam orang gila. Makcik menangis, menjerit tiap-tiap hari. Tuhan saja yang tahu derita Makcik.” Makcik Badar melepaskan keluhan yang dalam. Dia berjeda seketika sebelum menyambung ayat terakhirnya.

“ Makcik hendak pulang sekarang. Nak pergi rumah kawan lama dekat Subang.” Serentak itu Makcik Badar membetulkan kedudukan tali tas tangannya yang jatuh ke pangkal lengan kembali ke bahunya semula. “ Makcik mintak maaflah kalau Makcik ni ganggu Aina. Maafkan Makcik kalau terkasar bahasa atau tersilap cakap ya, ada masa datanglah rumah makcik. Bukan susah sangat nak cari, tanya je orang pasar Benut mana rumah Makcik Badar Pasar, semua tau.”

“ Er..Makcik badar ada nombor telefon tak? Mana tau kalau nak ke Johor, boleh saya telefon Makcik bagitau nak datang.”

Dengan pantas makcik Badar membuka tas tangannya lalu mengambil satu pensil kayu dan mencatitkan nombot telefonnya di atas secarik kertas.

“ Nah! Datanglah kalau ada masa.” Pelawanya. “Terima kasih ya belanja air dengan mee goreng. Balik dulu.”

“ Sama-sama.”

Pertemuan itu berakhir di situ, sehingga ke suatu hari aku yakin wanita itu akan aku jejaki semula. Bila dan kenapa, aku masih samar-samar tentangnya. Tapi dalam hatiku, aku merasakan ada sesuatu yang belum selesai tentang cerita yang dikhabarkan Kak Badar.

Kesimpulanku pada hari ini, ada sesetengah persoalan memerlukan masa sehingga berpuluh tahun lamanya untuk bertemu jawapan. Dan aku perlu bersabar dan bersangka baik apabila berhadapan dengan persoalan sedemikian.