Isnin, 6 Ogos 2007

Bab 13.............Siapa Ibuku?


Tiga hari selepas peristiwa pertemuan yang memilukan itu, aku bagai layang-layang terputus tali. Jiwaku tak tentu arah. Sedih, gelisah, kecewa dan terkilan. Bak kata orang, mandi tak basah, makan pun tak kenyang. Apa jua tindakan yang aku lakukan, semuanya terasa hambar belaka. Kosong. Tiada makna.

Salah aku juga kerana sering bermain dengan perasaan. Sering berangan-angan Ameer Mulhim akan memilih aku menjadi suri hidupnya. Arghh! Sungguh melukakan sekali apabila aku tahu Ameer Mulhim juga menyimpan perasaan terhadapku. Salah kami kerana tidak meluahkan lebih awal. Hendak menyesal pun tiada gunanya. Hendak tak hendak, aku terpaksa pasrah. Redha dengan ketentuan Ilahi. Aku dan Ameer Mulhim memang tiada jodoh.

“ Jihah, kau tak makan lagi kan? Sekarang dah pukul sepuluh. Nanti perut kau masuk angin.” Tegur Roon dengan lemah lembut. Roon memang ambil berat tentang keadaan aku sejak dua tiga hari ini. Dirinya tak ubah seperti seorang ibu pula. Kalau aku lambat makan, pasti Roon akan membawa sepinggan nasi siap dengan lauk pauk.

Sudah aku katakan, Roon memang kawan suka dan duka. Dia juga punya kelemahan ( sensitif dan kadang kala suka cakap lepas ) tetapi Roon seorang yang penyayang dan rela bersusah demi kawan.

“ Aku tak lapar Roon.” Balasku lemah lalu mengukir senyum tawar buat Roon.. Lantas aku berjalan longlai menuju bilik air, mengambil wuduk dan kemudian bersiap sedia menunaikan solat Isyak. Selesai solat Isyak, aku menunaikan solat Hajat dua rakaat.

Dalam ketenangan malam itu, aku panjatkan doa kepada Allah S.W.T. Biarlah airmata berlinangan membasahi tikar sejadah, aku tidak malu meluahkan kekecewaanku kepada Yang Maha Esa. Ya. Memang aku mengharapkan Ameer Mulhim menjadi teman hidupku. Aku tidak yakin ada lelaki yang lebih sesuai dari Ameer Mulhim yang boleh membimbing hidupku, dan membahagiakanku. Kini, setelah apa yang aku impikan tidak kesampaian, aku bagai terus tersentak, tersedar dari mimpi yang panjang.

Namun dalam kepasrahan ini, aku memohon ke hadrat Ilahi. Mudahan-mudahan perjalanan hidupku di hari depan, masih berada di bawah bimbingan-Nya jua di dalam lindungan-Nya. Aku benar-benar berserah pada Allah S.W.T dan aku yakin, pada suatu hari nanti kekecewaan yang aku hadapi dengan tabah ini, akan digantikan dengan sebuah kebahagiaan. Bila dan bagaimana? Hanya Allah S.W.T sahaja yang tahu.

Sabarlah hati! Sabar.


Diam tak diam, sudah dua minggu aku jadi penganggur terhormat. Selama itu juga, Roon tidak pernah menimbulkan soal ‘cari kerja’ kepadaku. Agaknya Roon faham, aku tak ubah seperti sudah jatuh ditimpa tangga. Cinta tidak kesampaian, kena pecat dari pekerjaan. Memang sudah nasib badan. Apa nak buat, segala ketentuan terpaksa aku telan.

Bosan membuang masa di rumah, aku bertekad mencari kerja dalam bidang perniagaan berkaitan Travel Agency. Kalau tak dapat pun, aku berminat menjadi ejen hartanah. Memang sifatku, cenderung ke arah pekerjaan yang melibatkan interaksi dengan orang ramai dan bukan kerja pejabat ‘nine to five,.

Suatu hari, kira-kira jam sembilan pagi setelah Roon keluar berkerja, aku menuju ke rak suratkhabar. Semalam, aku ada membeli suratkhabar The Star. Memang tujuanku hendak mencari peluang perkerjaan, tetapi aku masih lagi di dalam dilema. Ikutkan hati, aku ingin menceburkan diri dalam bidang perniagaan. Bermodalkan sejumlah wang di bank, serta jika mendapat sokongan PUNB (Perbadanan Usahawan Nasional Berhad ), aku bercadang hendak membuka rumah tumpangan atau chalet. Semua impian itu, masih dalam pertimbangan lagi.

Sedang aku menyelongkar rak suratkhabar dan majalah, aku terpandang majalah Remaja yang pernah aku belek tiga minggu lalu. Serta merta hati aku menjadi sayu. Teringat ‘kuiz status kasih sayang si dia’ yang aku buat sehari sebelum bertemu Ameer Mulhim. Saat itu, aku dihimpit kepiluan, dan perasaan rendah diri. Aku berusaha menguatkan semangat. Aku buat-buat keras hati. Majalah Remaja itu aku simpan semula di dalam rak suratkhabar. Kemudian aku kembali menumpukan kepada suratkhabar The Star yang berada di balik Majalah Anis.

Belum sempat, tanganku mencapai suratkhabar, mataku tertancap ke arah sekeping surat yang belum lagi berbuka. Baru aku teringat, itu surat berantai yang aku terima tiga minggu yang lalu. Sepatutnya surat itu aku buang saja. Buat apa disimpan?

Sedang aku menatap surat tersebut, tanpa diduga aku tersedar sesuatu yang mencurigakan. Ya! Ejaan namaku. Sejak aku bersekolah sehingga aku berkerja, aku dikenali sebagai Aina Najihah binti Abdul Fattah. Namun, ejaan namaku kali ini berlainan sekali. Apa yang pasti, nama yang tertera itu adalah nama panggilan Ustazah Raihanah terhadapku. Ain Najihah Binti Abdul Fattah. Cop setem pun dari Seremban. Kalau begitu, sudah pasti surat ini dikirim oleh Ustazah Raihanah. Siapa lagi? Oh! Aku terlalu rindu kepada Ustazah Raihanah. Hampir dua belas tahun kami tidak bertemu. Ya Allah! Mudah-mudahan, surat ini dari Ustazah Raihanah.

Tanpa berlengah lagi, aku terus membuka surat tersebut. Gembiranya tidak terungkap dengan kata-kata. Aku rindu dengan wanita bertudung labuh yang berlesung pipit itu.

Assalamulaikum w.b.t,

Orang Semarang berbatik jawa,
Corak melati dagang membeli,
Walau jarang kita berjumpa,
Lupa di hati tidak sekali.

Untuk anak ummi Ain yang dikasihi, salam dari kejauhan ummi titipkan. Peluk cium buat Ain yang hampir bertahun tidak bersua muka. Semoga Ain dilindungi Allah S.W.T sentiasa.

Ain yang dikasihi, lama kita tidak bersua, banyak yang cerita ingin ummi khabarkan. Kalau tidak silap jangkaan ummi, Ain sudah menginjak usia dua puluh enam tahun. Sudah cukup matang untuk menentukan arah hidup. Justeru itu, dalam usia ummi yang hampir mencecah lima puluh tahun, ( ummi sudah tua sayang..) dan tidak tahu sampai bila bumi Allah S.W.T ini akan menerima ummi, ada baiknya ummi lunaskan hutang ummi buat anak ummi yang seorang ini.

Ain anakku,kira-kira dua puluh dua tahun lalu, Ain adalah seorang budak comel yang tiada arah tujuan. Tiada seorang wanita bergelar ibu yang mahu memimpin Ain dalam melalui kehidupan ini. Takdir telah menemukan Ain dengan ummi. Seorang wanita bernama Kak Badariah menyerahkan Ain kepada ummi setelah merasakan tidak mampu memikul tanggungjawab menjaga Ain. Apa yang ummi tahu, Kak Badar hanya kenalan biasa kepada ibu Ain. Apa yang sebenarnya terjadi, ummi sendiri kurang pasti.Maafkan ummi Ain. Ini sahaja yang dapat ummi Bantu sekiranya Ain ingin tahu susur galur keluarga Ain yang sudah bertahun terpisah.

Ain yang diingati, sebulan yang lalu, tanpa ummi jangka, Kak Badar datang mencari ummi di Darul Fikriyah. Tapi Ain tahukan, ummi sekarang berada Seri Impian, Seremban. Hari yang sama juga, Kak Badar mencari ummi di Seri Impian. Pertemuan satu jam itu membuka cerita tujuan sebenar pencarian Kak Badar. Ada sesuatu yang ingin diserahkan oleh Kak Badar sendiri kepada Ain. Apa dia dan mengapa baru Kak Badar mencari Ain, biarlah Kak Badar sendiri yang meluahkannya. Bagi ummi, ummi cuma membantu Kak Badar dan Ain sahaja.

Justeru itu, Kak Badar akan datang semula ke Darul Fikriyah pada awal bulan depan, hari Ahad. Harapannya, Ain dapat berada di sana jam tiga petang. Andaikata Ain tidak dapat ke sana, beritahulah ummi.. Jadi, tak perlulah Kak Badar naik ke Bangi.

Akhir bicara, apa jua yang bakal Ain hadapi yakinlah, setiap sesuatu yang berlaku itu adalah ujian dari Allah S.W.T. Jika ada kelapangan, ummi imgin sekali bertemu Ain. Ingat pesan ummi,

Ketapang redup di sawah padi,
Tempat bersua dua sekawan,
Mulia hidup kerana budi
Mulia jiwa kerana iman.

Raihanah Binti Abdul Rahim
Seri Impian, Seremban.


Surat itu aku lipat semula lalu aku masukkan ke dalam sampulnya. Aku cuba bertenang dan menstabilkan emosi yang mula tidak menentu. Tapi dadaku pula berdegup kencang. Aku seakan-akan terpukau. Terkejut. Sesuatu yang ada hubungkait dengan masa silamku bakal hadir dalam hidupku. Apakah maknanya semua ini? Adakah ini bakal membuka cerita sebenar mengapa aku dihantar ke Darul Fikriyah? Atau mungkin aku bakal mengetahui siapa ibu bapaku? Sungguh tak aku duga perkara seperti ini akan berlaku. Bertemu dengan wanita yang pernah menjaga aku ( walau sekejap) sewaktu aku kecil.

Serentak itu tangan dan kakiku seram sejuk. Aku bagai berada di alam fantasi. Benarkah aku akan bertemu dengan insan yang pernah mengubah takdir hidupku?
Oh! Adakah ini bermakna aku dapat mengetahui siapa ibulku? Tanpa berlengah lagi, aku berusaha untuk bangkit dan masuk ke bilik tidur. Tidak sanggup memikirkan semua ini lagi. Semua persoalan seakan mengasak kotak fikiran. Jiwa seakan berkecamuk. Otak pula naik tepu. Aku hendak baring atas katil. Ingin berselimut. Ingin tidur. Ya. Aku ingin bangun dan berharap ini semua satu mimpi.

Tapi apakan daya, aku jatuh terduduk di depan pintu bilik. Aku terbaring. Terlentang dengan mata buntang menghadap syliling rumah. Duni aseakan terhenti seketika. Entahlah, seingat aku apabila sedar, aku sudah berada di atas katil, dikelilingi Roon, Kak Dalilah dan suaminya Haji Taufik. Bau minyak angin menusuk-nusuk lubang hidungku. Roon ketawa senang sambil mengurut jari jemariku.

“ Jihah, kau dah sedar. Risau aku tadi tau tengok kau terbaring kat depan. Tuhan aje yang tau perasaan aku masa tu.” Omel Roon seakan berleter. Sayangnya kawan aku pada aku.

Aku pandang kiri, Kak Dalilah mengukir senyum paling mesra buatku, tangannya memegang kemas bahuku. Kak Dalilah bangkit dari katil, “ Baguslah Jihah dah sedar, Jihah penat agaknya. Bawak berehat ya.”

Bibirku mengukir senyum sekadar terdaya. Apatah lagi kepala masih lesu.

Belum sempat Kak Dalilah menuju ke muka pintu hendak pulang, pandanganku mula berpinar. Bahuku bagai disentap-sentap pula. Aku berusaha mengubah posisi badan, lantas berpusing ke kanan. Hajat hati ingin berpaut pada meja katil dan berusaha hendak duduk. Tapi aku sungguh tak berdaya. Dan ketika itu juga, mataku terarah kepada sekeping surat berdakwat hitam.

Surat itu. Aku tahu isi kandungannya. Aku tidak bermimpi rupanya. Ini kenyataan.