Jumaat, 3 Ogos 2007

Bab 12....Hati Sabarlah.



Roon memerhatikan aku dari atas ke bawah. Sesekali dia tersenyum. Dari tadi, tangannya asyik membetulkan hujung tudung yang berkelepet. Aku masih berdiri di hadapan almari solek. Setelah memastikan penampilanku kemas dan bersih, aku bergerak ke tepi almari dan mencapai tas tangan.

“ Jihah, pakailah lipstick sikit. Ambil aku punya warna oren pink-pink tu. Cantik tau.”

Aku menggeleng kepala. “ Tak payahlah.” Balasku. Kemudian aku berpusing ke arah Roon. “ Roon, baju ni kena tak dengan tudung ni? Nampak sepadan kan?”

“ A’ah. Sesuai…” ujar Roon dengan gaya Kak Engku Raja Azura. Aku tersenyum senang sambil membelek baju jubah seluar berwarna hijau lembut dengan tudung Turki bercorak abstrak warna kuning air, merah jambu dan hijau.

“ Kau nampak manis sangat Jihah. Aku yakin, abang Ameer Mulhim kau tu mesti tak jemu tengok muka engkau. Gerenti punyalah!” Puji Roon.

“ Ish, ke situ pulak.” Aku cuba berpura-pura tidak bersetuju dengan kata-kata Roon, “Amer Mulhim tu, aku anggap macam kawan baik je. Tak lebih dari itu.”

Roon mencebikkan bibirnya. “Boleh percaya ke?!”

Aku tidak mengendahkan kata-kata Roon sebaliknya aku lebih berminat mengunting anak-anak benang yang terkeluar dari cantuman tas tanganku. Saat itu juga, telefonku berbunyi. Aku sudah dapat mengagak siapa pemanggilnya.

“ Assalamualaikum Jihah. Abang ada dekat hentian bas Jalan Reko. Kalau boleh kami nak terus ke KL ni. Jihah, abang rasa baik Jihah datang sini, parking kereta di sini lepas tu kita naik bas ke KL. Macam mana?”

“ Boleh. Jihah tak kisah. Tapi kesian kat makcik Abanglah. Tahan ke makcik Abang naik bas. Kalau tak, kita naik kereta Jihah je. Bukan ramai sangat pun. Jihah, kawan Jihah, makcik Abang dan Abang.”

“ Abang rasa tak muat Jihah. Makcik Abang bawa anak perempuan dia.”

“ Budak lagi ke?”

“ Taklah, sepupu abang ni dah anak dara dahh Kalau kahwin, dah dapat tiga empat anak rasanya.” Aku terdengar suara perempuan ketawa. Ah! Pasti makcik Ameer Mulhim dan suara lunak manja itu adalah suara anaknya yang juga sepupu Ameer Mulhim.

“ Oh. Jadi, kalau macam tu tak muat agaknya. Macam nilah, Jihah sampai lagi lima belas minit. Tunggu ya.”

“ Baiklah. Assalamualaikum.”


Sambil memandu kereta Roon tidak henti-henti mengusikku. Aku dikatakannya manis, sudah cukup umur untuk mencari pasangan, selain itu Roon kerap kali menyuruh aku bertenang dan kawal perasaan apabila berhadapan dengan Ameer Mulhim. Kata Roon, jangan sampai aku tunjukkan yang aku suka terhadap Ameer Mulhim. Cukuplah sekadar satu pandangan malu-malu yang akan mengungkap segala perasaan yang terpendam.

“ Sudahlah Roon. Aku tak ada apa-apa pun dengan dia. Kami tak pernah cakap pasal cinta. Percayalah.”

“ Itu memang aku percaya. Kau berdua ni bercinta dalam diam. Masing-masing kelu lidah hendak mengaku.”

Betul Roon! Kau macam tahu saja. Tiba-tiba aku teringatkan soalan kuiz yang aku jawab semalam. Mengikut jawapan kuiz tersebut, Ameer Mulhim masih ragu-ragu tentang perasaannya terhadap aku. Benarkah begitu? Jikalau begitu, adakah kali ini dia akan mengungkapkannya.

Ish! Aku cuba mengikis perasaan karut marut yang mula mencuit tebing hatiku. Jangan percaya pada soalan kuiz tersebut. Itukan hanya tekaan sahaja. Hanya Allah S.W.T Yang Maha Mengetahui, dan aku sebagai manusia tidak mampu meramalkan apa yang tersirat dalam hati seseorang.


Perhentian Bas Kajang di Jalan Reko sudah berada di hadapan mata. Aku memarkir kereta di belakang perhentian bas itu, berdekatan dengan deretan kedai. Kemudian aku dan Roon melintasi jalan, menuju ke bahagian hadapan Stesyen Bas Kajang.

Aku terpandang ke arah seorang lelaki, seorang perempuan di usia emas dan juga seorang perempuan muda yang sedang menghadap Jalan Reko. Aku sudah dapat meneka, itulah Ameer Mulhim bersama sepupu dan makciknya. Mereka tidak menyedari kehadiran kami nampaknya. Roon mengerling ke arah aku.

“ Tu ke dia?”

“ A’ah.”

Kami melangkah ke arah mereka. Ameer Mulhim memakai baju hijau berseluar hitam. Hatiku berbunga ceria. Kami bagaikan sudah berjanji pula. Baju kami berdua sama warna. Sedondon!

“ Assalamualaikum.”

Ketiga-tiga mereka menoleh ke arahku.

“ Waalaikumusalam. Ni Jihah ke?” Makciknya bertanya. Aku sekadar mengangguk. Entah mengapa tiba-tiba lidahku kelu untu bersuara. Secara tiba-tiba aku jadi malu menatap wajah Ameer Mulhim yang sudah sepurnama tidak kutemui. Mungkin juga apabila berada bersama makcik dan sepupunya, aku berasa janggal.

“ Inilah Jihah Mak Ngah.” Ameer Mulhim mengukir senyum manis untukku. Jantungku berdegup laju. Senyumannya itu sungguh bermakna sekali di hatiku. Aku terlalu merinduinya. Terlalu.

“ Maaflah Jihah lambat sampai. Lama ke makcik tunggu?” Soalku.

“ Tak, kami makan kat atas tadi. Tak terasa pun.” jawab sepupu Ameer Mulhim. Sepupunya bertudung labuh, tinggi juga orangnya dan mempunyai raut muka yang manis dan lembut. Matanya kuyu sedikit, dan aku kira matanya mempunyai aura yang tersendiri.

Makcik Ammer Mulhim memegang pergelangan sepupu Ameer Mulhim, “ Ini Wan Insyirah, anak makcik. Sepupu Ameer. Tak lama lagi Ameer dan Insyirah nak nikah. Ni yang nak borong barang kahwin ni.”

“ Abang akan berumahtangga dengan Syira. Mesti Jihah terkejut sebab Abang tak pernah cerita pasal Syirah pada Jihah. Err..marilah kita bergerak dulu. Dalam bas nanti bolehlah kita borak panjang.”

Ameer Mulhim nak kahwin?! Aku bermimpikah? Aku pandang muka Ameer Mulhim bagai orang yang tiada perasaan. Kosong! Tiba-tiba kepalaku berpinar seketika, bagai baru dihentak dengan satu benda keras. Aku mengagahkan diri untuk berdiri. Roon mengerling ke arahku. Aku cuba bertenang, tidak mahu terpancar riak sedih dan keliru di wajah sedangkan aku sudah tidak tentu arah. Aku terkejut!


Bas yang kami naiki telah pun bergerak meninggalkan perkarangan Stesyen Bas Kajang. Aku duduk dengan Roon, manakala Ameer Mulhim duduk berseorangan di barisan kerusi bersebelahanku. Mak Ngah, makcik Ameer Mulhim dan sepupunya, atau bakal isteri Ameer Mulhim ( aku sudah tidak tahan lagi dengan berita yang tak ubah seperti satu letupan bom di jantung.) duduk jarak dua kerusi di hadapanku.

Syukurlah, aku tidak pengsan. Saat Mak Ngah memperkenalkan Insyirah padaku, serasa satu badan lemah longlai, dan semangatku bagai ditarik keluar dari badan. Seluruh jasadku terasa melayang-layang dan kalau nak diikutkan aku sudah tidak ada daya hendak melangkah. Roon di sebelahku sedar tentang keadaan yang aku alami. Sebenarnya, aku jadi malu. Aku malu pada diri sendiri, aku malu pada Roon dan malu terhadap Ameer Mulhim. Entahlah, aku juga malu hendak menatap seraut wajah Wan Insyirah yang bersih dan lembut.

Bas bergerak agak laju. Roon menepuk-nepuk bahuku. Aku faham, Roon sudah dapat menghidu perasaanku yang sebenar terhadap Ameer Mulhim. Aku juga tahu, Roon dapat meneka betapa hancur dan kecewanya aku di saat ini apabila mengetahui selama ini aku bertepuk sebelah tangan. Selama ini, aku kira Ameer Mulhim sayang padaku, mencintaiku dan dia amat memerlukanku dalam hidupnya. Cara Ameer Mulhim berbual denganku, memanggil namaku dan layanannya terhadapku menggambarkan betapa tingginya aku di matanya, di hatinya. Aku sedar tentang itu.

Tidak! Aku bukan berangan-angan. Aku sedar Ameer Mulhim menyayangiku.

“ Jihah, kau okey?” Roon bertanya perlahan. Aku mengangguk Kemudian, aku berpaling pada Roon.

“ Roon! Roon….aku….isk..isk..”

“ Bertenang Jihah. Aku faham.”

“ Roon….”

Bas masih bergerak laju. Sesekali bas berhenti, dan Ameer Mulhim kulihat acapkali menoleh ke belakang. Ke arahku agaknya! Apa yang ingin dikatakan padaku? Entahlah. Mungkin selama ini aku banyak bermain dengan perasaan sendiri. Aku cuba untuk tidak mengendahkan Ameer Mulhim lagi. Namun aku tidak mampu. Mataku bagai ditarik-tarik untuk melihatnya.

“ Sabar Jihah. Mungkin kau salah anggap tak, Jihah. Dia dah ada buah hati sebenarnya. Dia anggap kau macam adik dia Jihah.”

“ Roon..aku tak sanggup. Isk…isk..”

“ Bawa mengucap Jihah.”

“ Astargfirullah…Subhannallah..astargfirullahualadzim.”

Aku beransur tenang sedikit berbanding tadi. Namun kepiluan masih membelenggu jiwaku. Airmataku bagai sudah tidak mampu di tahan-tahan lagi. Mengalir setiap detik masa. Aku tidak pernah terbayang perkara seperti ini akan berlaku, pada pertemuan ini. Pertemuan yang selama ini amat aku nantikan. Aku terkenang, betapa aku beria-ia mencari baju yang sesuai, menggosok baju sepenuh hati, membongkar laci yang memuatkan pelbagai koleksi tudungku dan memilih tudung yang sesuai.

Aku juga berasa sebak apabila mengingatkan betapa tekunnya aku menggunting benang-benang yang terkeluar dari tas tanganku. Sesungguhnya, aku benar-benar ingin bersedia menemui Ameer Mulhim pada hari ini. Dan hari ini, akhirnya aku benar-benar kecewa.


“ Jihah, Abang tak tahu nak berhenti di mana. Jihah tekankan loceng ya.” Tegur Ameer Mulhim yang secara tiba-tiba muncul di sebelahku. Aku mengangguk dan menyimpul senyum mesra. Ameer Mulhim membalas senyumku. Ameer Mulhim merenung ke arah sepasang mataku. Aku jadi tidak tentu arah. Kemudian Ameer Mulhim duduk di tepi kerusi kosong berdekatanku. Saat itu, aku dapat merasakan jari Roon mencuit pinggulku. Kemudian Roon berbisik, “ Kawal perasaan kau tu sikit!”

“ Kenapa Jihah nampak tak ceria macam selalu? Abang menyusahkan Jihah ke?”

Aku menoleh ke arah Ameer Mulhim. Lelaki berkulit putih, mempunyai seulas bibir merah yang basah dan sepasang mata hitam, dan berambut lurus itu masih menatap wajahku. Aku cuba menahan gelora rindu yang menerjah sanubari. Aku cuba menyembunyikan perasaan sayang dan rindu yang kian sarat di jiwaku. Dalam masa yang sama, aku cuba menyorokkan perasaan cemburu, sedih dan kecewa yang menggigit sukmaku.

” Jihah nampak macam tu ke? Tak adalah. Jihah pening kepala naik bas. Dah lama tak jalan pusing-pusing macam ni.”

“ Oh! Ya tak ya juga. Siapa nama kawan Jihah?” Ameer Mulhim menoleh ke arah Roon.

“ Khairun Nisa’ panggil Roon.”

“ Roon apa khabar? Roon asal mana?”

Roon menggerakkan badan ke hadapan sedikit bagi membolehkan dirinya melihat Ameer Mulhim.

“ Saya orang Negeri Sembilan. Orang Pilah.”

“ Oh! Pandailah Jihah cakap loghat Neghori la ni. Ada yang ajar..” Ameer Mulhim berlelucon tapi aku tak ketawa sedikit pun. Mata aku terarah ke sepasang mata Wan Insyirah yang mengerling ke arah kami sepintas lalu.

Mungkin kerana aku tidak banyak bercakap atau tidak seperamah dulu, Ameer Mulhim kembali duduk ke kerusi tadi.

Tempat pertama yang kami tuju adalah Arked Sutera di Jalan TAR. Aku yang mencadangkan kami ke situ kerana Wan Insyirah memberitahu, dia teringin memiliki sepasang baju Sutera Korea corak terbaru.

“ Kalau Syirah nak baju tu, dekat kedai depan tu banyak. Harganya boleh tahan murah. Boleh tawar menawar pula tu.” Ujarku.

Kami terus menuju ke tempat yang aku maksudkan. Hampir dua puluh minit memilih kain, akhirnya Wan Insyirah membeli sepasang baju warna merah hati berbunga kecil kuning lemak ketam. Hatiku berdegup kencang dan aku terpaksa menoleh ke arah lain apabila Ameer Mulhim mengeluarkan duit dari dompetnya dan menghulurkan kepada penjual kain itu. Agaknya, itu kain hantaran perkahwinan mereka. Mungkin kerana itu, Ameer Mulhim yang membayarnya.

Serta merta perasaan sayu dan pilu menyusup ke jantung hatiku. Aku terasa seolah-olah diriku dipergunakan dan aku terasa bodoh sekali.

Kemudian kami menuju ke dua tiga buah kedai lagi dan Wan Insyirah membeli beberapa helai kain. Dari jauh aku lihat Ameer Mulhim asyik membelek sehelai kain yang berwarna hijau muda yang bersulam kerawang bunga melur dihujungnya. Cantik. Mesti mahal, desis hatiku. Wan Insyirah tersenyum melihat gelagat Ameer Mulhim membalut sedikit kain itu di badannya.

“ Cantikkan?” Ameer Mulhim melaung sedikit dan Mak Ngahnya mengangguk. “ Ini kain yang Abang paling berkenan.” Beritahu Ameer Mulhim.

“ Pandai mu pilih, Meer. Syirah, kain Ameer pegang tu molek benor. Mu tak kenan ke?”

Wan Insyirah ketawa kecil. Ah! Tergambar betapa bahagianya Wan Insyirah pada hari perkahwinannya nanti di mataku. Patutlah Ameer Mulhim memilihnya. Orangnya lemah lembut, wajahnya cantik, bersih sekali kulitnya dan yang membuatkan aku rasa rendah diri, Wan Insyirah ada ibu. Tidak seperti aku. Kalau Ameer Mulhim memilih aku, Ameer Mulhim tidak akan merasa beribu mertua dan beripar duai. Aku menundukkan kepala. Airmataku tiba-tiba bergenang. Aku tidak sedar berapa lama aku mengelamun, sedar-sedar Roon memaut bahuku.

Penat berjalan, kami menuju ke Masjid India. Ameer Mulhim berhenti sembahyang di situ, dan Wan Insyirah serta Mak Ngah menuju ke ruang solat perempuan. Aku menemani mereka. Mak Ngah beberapa kali mengomel. Letih katanya. Apa tidaknya, terpaksa naik tangga yang tinggi sewaktu hendak menuju ke ruang solat wanita. Aku yang muda pun terasa bagai nak putus pinggang, inikan pula Mak Ngah yang berpunggung besar. Kasihan Mak Ngah.

Selepas solat, Ameer Mulhim mengajak kami makan di Restoran Bilal. Aku ikut sahaja, dan aku sudah bertekad, selepas ini aku hendak balik. Lagipun aku kasihankan Roon, hari Ahad yang merupakan hari Roon bercuti, bakal menjadi hari yang paling memenatkan Roon.

Sedang aku menunggu pelayan datang ke meja kami, Wan Insyirah datang. Ameer menarik kerusi untuk Wan Insyirah. Hatiku tiba-tiba terguris, luka. Aku jadi cemburu tidak menentu. Aku tidak sanggup lagi melihat Wan Insyirah, Setiap kali Wan Insyirah memandang aku, aku terasa dia mengejek aku. Apabila Wan Insyirah berborak dengan Roon, aku sedar Ameer Mulhim mencuri pandang ke arahku. Aku jadi benci dengan suasana sebegini.

Tidak tahan berperang dengan perasaan, aku meminta diri keluar sebentar. Alasanku hendak membeli minyak cap kapak. Kepalaku pening. Mak Ngah nyata ambil berat dengan keadaanku.

“ Patutlah Mak Ngah tengok Jihah tok banyok royak. Meh sini, biar Mak Ngah picit sikit belakang tu.”

“ Tak pa, Mak Ngah. Jihah pakai minyak kapak sikit, eloklah nanti.”

Aku terus menuju keluar kedai. Sebaik sahaja sampai di kaki lima, airmataku merembes laju. Aku buat tak endah pada keadaan sekeliling biarpun ramai orang yang lalu lalang menoleh ke arahku. Aku mencari tisu di dalam tas tangan. Airmata yang mencurah bagai tidak mampu dibendung lagi. Dadaku begitu sebak. Aku menangis sepuashati. Kuayunkan langkahku laju menuju ke Pustaka Minerva yang berhampiran. Sampai sahaja di sudut hujung dalam Pustaka Minerva, aku menangis semahu-mahunya. Biarlah segala duka dan kecewaku terhambur keluar. Biarlah. Kelak, bila aku pulang semula ke meja makan, keadaanku akan pulih seperti biasa.

Tanganku berpaut pada rak buku bahagian novel melayu. Seorang wanita muda berbangsa India menuju ke arahku. Melihat aku sedang menangis, dia bagai memahami keadaanku, lalu dia meninggalkan aku sendirian. Aku sedar, kali ini aku perlu kuatkan semangat. Aku tiada pilihan. Ameer Mulhim akan berkahwin. Wan Insyirah adalah pilihannya. Redhalah. Terimalah ketentuan ini!

“ Jihah sayang Abang, Jihah rela abang pilih orang lain. Selamat Pengantin Baru, Abang.” Kuungkapkan kata-kata itu setulus hatiku setelah yakin aku boleh menghadapi kenyataan ini.

Tanpa berlengah lagi, aku mencapai minyak cap kapak yang memang sudah tersedia di dalam tas tanganku. Baru sahaja, aku hendak membuka minyak cap kapak, aku terasa ada seseorang berada di belakangku. Mungkin terasa diri diperhatikan, aku diserang kebimbangan. Aku berpusing ke belakang.

“ Jihah? Siapa yang hendak kahwin Jihah? Kenapa Jihah menangis?”

Mataku bersatu dengan mata Ameer Mulhim. Aku terpegun. Bagaimana tiba-tiba sahaja Ameer Mulhim boleh berada di belakangku? Dia mengekoriku agaknya! Tanpa dapat ditahan-tahan lagi, aku terus melangkah cuba meninggalkan Pustaka Minerva.

“ Nanti Jihah. Dengar dulu apa yang Abang nak beritahu.”

Aku tidak jadi meneruskan ayunan langkah kaki. Akhirnya aku menundukkan wajah. Tidak mampu menatap sepasang mata milik Ameer Mulhim.

“ Jihah sedih Abang memilih Insyirah ya? Jihah ada merahsiakan sesuatu dari Abang?”

Aku tidak menjawab soalan itu. Sebaliknya airmata aku menderu laju. Hidungku kukira sudah berair. Agaknya sudah kembang kempis menahan tangisan yang terburai dari tadi. Tanpa diduga, Ameer Mulhim menghulurkan sehelai sapu tangan buatku. Ameer Mulhim bertinggung di hadapanku. Dia cuba mencari ruang menatap mukaku yang dari tadi asyik tertunduk sahaja. Sebenarnya aku memang mahu menyelindungkan wajahku. Wajah orang menangis.

“ Jihah, dengar dulu.”

Aku menekup muka. Aku tergamam. Aku tahu, aku tidak berupaya menyelindungkan perasaan ini lagi dari pengetahuan Ameer Mulhim. Aku tidak mampu berlakon.

“ Maafkan Abang, Jihah. perkahwinan Abang ini kehendak arwah ibu dan ayah Abang. Abang terima semuanya dengan penuh tanggungjawab. Seperti juga Abang, Insyirah juga bakal memikul satu tanggungjawab apabila menjadi isteri Abang. Insyirah bakal menjadi ‘ibu’ kepada adik-adik Abang yang ramai. Tidak ramai perempuan yang sanggup memikul beban sebesar ini, kecuali Insyirah. Abang terhutang budi padanya.”

Aku menelan air liur. Aku mengangguk. Perlahan-lahan aku mula faham mengapa Ameer Mulhim mengahwini Insyirah. Adik Ameer Mulhim, lima orang. Tiga daripadanya masih bersekolah. Ameer Mulhim dan kakaknya yang selama ini menangggung keluarga mereka. Tiga bulan lepas, Ameer Mulhim ada berkata, kakaknya tidak mampu membiayai perbelanjaan adik-adiknya kerana abang iparnya baru diberhentikan kerja. Apabila aku menawarkan diri hendak membantu, Ameer Mulhim menolak. Katanya, kalaulah dia orang berduit, dia berasa bertanggungjawab untuk membahagiakan aku, jadi dia berasa tidak wajar untuk menyusahkan aku pula.

“ Jihah faham.” Ucapku. Ringkas.

“ Jihah,..” Ameer Mulhim merenung ke arahku. Jantungku berdebar. Ameer Mulhim meraup wajahnya. Aku dapat merasakan, ada sesuatu yang Ameer Mulhim ingin katakan, tetapi aku tidak tahu apa dia. Namun, sesuatu yang kukira agak penting juga.

“ Jihah, apa yang Abang ingin katakan ini, biarlah jadi rahsia kita berdua. Biarlah selesai di sini, dan janganlah ada antara kita menyebutnya.”

“ Apa dia bang?” Aku memandang wajah Ameer Mulhim. Lelaki itu sungguh tampan, sungguh berhemah tinggi. Penyayang pula. Memang bertuah badan Wan Insyirah .

“ Dalam hati Abang, ada seorang wanita yang Abang rasa terlalu rapat dengan dia, bersamanya Abang rasa tenang, kasih Abang padanya terlalu suci. Abang tidak tahu mengapa perasaan ini hadir. Bukan Abang pinta, bukan Abang sengaja. Tapi, Abang tidak pernah mampu melupakan Jihah walau sehari. Maafkan Abang kerana tidak berterus terang. Abang sedar, kita memang tidak ada jodoh. Apakah daya Abang Jihah. Maafkan Abang.”

Sebaik sahaja lafaz itu selesai di bibir Ameer Mulhim, sepasang mataku menikam pandang ke wajah Ameer Mulhim.

“ Abang?!”

Ameer Mulhim mengetap bibir. Matanya berkaca. Kemudian dia mengeluh panjang.“ Sudahlah, semuanya sudah berlalu. Kita tak ada jodoh.”

“ Tapi kenapa sekarang…”

“ Susah Jihah. Humm….Abang pun tak patut meluahkannya.” Ameer Mulhim menelan air liur. Kemudian Ameer Mulhim berpusing membelakangkanku.

“ Lupakan saja. Jihah. Abang nak balik ke kedai makan. Abang beritahu Mak Ngah, nak tengok Jihah kejap, takut Jihah tak sihat. Jihah balik ke kedai makan tu ya.” Lembut suaranya seakan mahu memujukku pula setelah menyedari kekecewaanku.

Senyap. Aku tidak menjawab tetapi kepalaku mengangguk.

Sebaik sahaja Ameer Mulhim pergi, aku menangis teresak-esak bagai budak kecil. Bagai hilang semangat dalam diri. Ameer Mulhim menoleh semula ke arahku. Dia kelihatan serba tidak kena. Kekesalan tergambar di wajahnya. Apa yang dikesalkan, aku tidak tahu. Akhirnya Ameer Mulhim melangkah pergi jua.


Nasib kami agak baik. Wan Insyirah tidak bertanya apa-apa sekembalinya aku ke Restoran Bilal sebaliknya asyik bercerita tentang kecantikan corak kain-kain yang dibelinya. Dia juga bertanya tentang kedai-kedai yang mengadakan jualan murah beg tangan dan kasut. Hampir dua jam mengiringi mereka, akhirnya aku terpaksa meminta diri untuk pulang.

Alasanku, aku sudah berjanji dengan keluarga Kak Dalilah hendak mengajar anak-anaknya mengaji. Sebab utamanya, aku rasa bersalah menyusahkan Roon. Ialah, tak pasal-pasal Roon terpaksa menemani mereka membeli-belah selama empat jam. Aku kasihankan Roon.

Apabila meminta diri untuk pulang, Mak Ngah berkali-kali mengucapkan terima kasih kepadaku. Wan Insyirah pula tidak banyak berkata. Aku dapat merasakan, Wan Insyirah kerap melirik pandang ke arah Ameer Mulhim dan kemudian ke arahku. Aku sedar, Wan Insyirah bagai dapat meneka apa yang berlaku antara kami. Hubungan perasaan semestinya.

Sewaktu hendak pulang, Ameer Mulhim menghulurkan satu beg plastik untukku, dan aku yakin itu adalah sepasang kain. Begitu juga dengan Roon, yang mendapat buah tangan. Aku tidak tahu apa dia, tetapi yang pasti beg plastik yang diberikan padaku lebih besar. Sekali lagi aku mencuri pandang ke arah Wan Insyirah. Mukanya berubah tegang.

“ Nanti, kalau Abang nak balik ke Darul Fikriyah, Abang naik bas tadi. Bas tadi tu berhenti dekat Stesyen Bas Jalan Reko Kajang.”

“ Yelah. Kalau Abang tak tahu, Abang tanya pemandu bas. Jihah jalan baik-baik ya. Dah nak petang ni. Kalau sampai, telefon Abang.”

“ A’ah Jihah. Baik-baik ya nak. Nanti jangan lupa ke Terengganu, datang majlis nikah Ameer dan Syirah ni. Makcik tunggu kau.” Jerit Mak Ngah.

Aku mengangguk dan mengukir senyum. Dalam hati, hanya Tuhan sahaja yang tahu. Wajah Ameer Mulhim nampak sayu, dan sekali lagi mata aku berlaga dengan mata Wan Insyirah. Perempuan. Hati kami sama. Aku mudah menelah perasaan cemburu yang bertamu di pancaran matanya. Aku lagi cemburu, wahai Wan Insyirah.

Selamat Pengantin Baru Ameer Mulhim. Kecewa ini biar masa jadi pengubatnya.

Roon menggeanggam seluruh jemariku. Aku tahu, selepas ini Roon terpaksa menjadi pengipas semangatku yang mula layu.