Rabu, 13 Jun 2007

Bab 9....Bye-Bye Mawar Biru


Sesungguhnya hari ini aku telah dipermainkan oleh Encik Khairul dan Tuan Mokhtar. Mati-mati aku fikir pertemuan bersama Tuan Mokhtar tadi adalah kerana hendak berbincang tentang seminar yang bakal berlangsung. Namun semuanya bohong belaka. Bagaikan mereka berdua sengaja hendak memperbodohkan aku. Dan Tuan Mokhtar, jikalau dia fikir aku perempuan yang mudah dijinakkan dengan wang ringgit, dia memang tersilap. Aku memang memerlukan wang tetapi aku bukan dikawal oleh wang.

Kemarahan aku masih lagi menebal di hati. Aku sudah berangan-angan hendak bersemuka dengan Encik Khairul sebaik sahaja tiba di Hotel Mawar Biru. Padanya kelak, akan aku hamburkan segala rasa curigaku atas tindak-tanduknya terhadapku. Aku akan tegaskan kepadanya beberapa perkara yang kukira dia tersilap jangkaan tentang siapa ‘Aina Najihah’.

Sampai sahaja di pintu utama hotel Mawar Biru, aku dikejutkan dengan panggilan suara yang lunak dan manja. Edelyn, salah seorang Jurujual Pemasaran Hotel Mawar Biru menuju ke arahku dengan langkah yang sengaja dilenggang-lenggokkan. Matanya yang berwarna hijau buatan itu merenung dalam ke arahku dan bibirnya tersenyum sinis. Dia kemudian ketawa kecil sambil berpeluk tubuh.

“ Kau nak tau tak Jihah? Aku ada berita yang nak disampaikan pada kau. Berita selebihnya, pasti ramai yang akan sampaikan. Kau sudah bersedia ke?”

Bersedia? Berita? Hei, kau nak cakap apa hah Edelyn? Aku tak mahu layan orang macam kau tau, rungut hati kecilku. Aku terus berjalan ke arah pintu lif dan membiarkan Edelyn keseorangan di lobi hotel.

“ Kenapa kau sibuk buat kerja yang dah diserahkan pada aku?” Soal Edelyn seraya menoleh ke arahku. Suara Edelyn yang nyaring dan penuh ketegasan itu telah menarik perhatian beberapa staff hotel di bahagian pendaftaran tetamu. Mungkin juga berupaya memancing rasa pelik di hati mereka. Apa masalah Edelyn ni?

Mendengarkan soalan itu. aku bukan sahaja tidak mampu bersuara, malah tidak tidak jadi bergerak. Ini membuka ruang untuk Edelyn menyambung bicaranya.

“ Tuan Mokhtar kan dah setuju nak buat dua seminar tu di hotel kita dan satu seminar lagi sedang dalam proses, tapi pasal engkau buat ‘taik’, jadinya salah satu seminar tu dibatalkan. Sekarang, siapa yang rugi? Hotellah! Kau nak bayar ke gantiruginya? Hei! Jangan terperanjat kalau engkau terpaksa berhutang dengan hotel!”

Edelyn memusingkan badan ke arahku. Matanya masih lagi melekat pada seraut wajahku. Oh! Beraninya Edelyn menuduh aku sewenang-wenangnya? Arggh...aku juga tidak mahu mengaku kalah. Mataku menjamah wajahnya bersekali dengan segaris senyuman di bibir. Aku masih mampu bertenang dan mengawal perasaan tidak senangku terhadap sikapnya.

“ Jadi buat apa Encik Khairul suruh saya jumpa Tuan Mokhtar?” Entah mengapa soalan itu aku utarakan kepada gadis berambut warna perang celup berbelang hitam itu. Sudah macam balung ayam pula aku tengok. Hmm…kalau nak diikutkan, soalan itu tadi tidak seharusnya dilanjutkan kepada Edelyn. Itu soalan untuk Encik Khairul. Aduh! Aku tersilap pula.

Edelyn menjungkitkan bahunya. Aku tahu, Edelyn juga menyimpan perasaan tidak senang terhadapku.

“ Mana aku tahu. Kau tanyalah Encik Khairul sendiri.” Balasnya sambil menghadiahkan sebuah jelingan tajam.

Walau begitu, aku juga inginkan kepastian dari Edelyn. “ Siapa yang uruskan Tuan Mokhtar sebenarnya ni? Saya atau awak sendiri Edelyn?”

“ Hei! Akulah. Takkan Encik Khairul begitu bodoh sampai nak serahkan pelanggan besar macam Tuan Mokhtar itu kepada engkau! ” Edelyn mencebikkan bibirnya dan berjalan ke pintu utama Hotel Mawar Biru. Tidak sampai beberapa detik, Edelyn memusingkan badannya.

“ Jihah! Cepat-cepat kosongkan meja ya. Saya nak pakai. Bye.”

“ Apa maksud awak….. hei Edelyn!” Belum sempat aku menghabiskan soalan itu, Edelyn terus berlalu meninggalkan aku yang masih terpinga-pinga.

Edelyn sudah hilang dari pandanganku. Namun kata-katanya masih terngiang-ngiang di telinga. Fikiranku kian kacau. Aku dimaklumkan oleh Edelyn sendiri bahawa dua seminar Exec Excel itu memang sudah disahkan akan berlangsung dan seminar satu lagi sedang dalam perbincangan. Jadi kenapa aku perlu berbincang tentang seminar yang sudah pasti akan berlangsung? Di kala itu, aku bagaikan hendak terduduk. Fikiranku melayang-layang seketika.

Jika tawaran sudah dipersetujui dan di bawah pantauan Edelyn, buat apa aku disuruh berjumpa Tuan Mokhtar?

“ Jihah!Jihah!”

Lamunanku terbantut secara tiba-tiba. Aku menoleh ke arah lif utama.

Taufik, lelaki gempal pendek yang juga antara kawan baik aku di Hotel Mawar Biru, sedang bergegas menuju ke arahku. Lelaki berkaki tempang sebelah itu memang kusenangi sejak dari hari pertama aku berkerja di hotel ini. Taufik, seorang lelaki yang berkeyakinan tinggi. Bagiku, Taufik bukan saja pekerja yang rajin, malah berkemampuan dalam menyelesaikan perkara yang berbangkit biarpun sewaktu ketiadaan majikan, menyebabkan dia sangat dihormati di kalangan perkerja.

“ Fik, apahal ni? Kelam kabut nampak.” Tegurku apabila Taufik sudah berada di hadapanku. Mukanya nampak serius. Mesti ada masalah besar kerana selalunya Taufik bersikap tenang sahaja.

“ Kau dah tahu ke? Roon tak bagitau kat kau ke?”

“ Apa dia? Tau apa?”

“ Kau dah kena pecat. Tadi Encik Khairul umumkan dalam mesyuarat. Ini yang aku nak tanya kat kau. Betul ke apa yang aku dengar?”

“ Ha!” Mulutku terkumat-kamit seketika. Dadaku berdebar tidak menentu setelah mendengar kalimah yang diucapkan Taufik “ Aku kena pecat?” Aku mengulanginya, meminta kepastian. Taufik mengangguk kepala.

Aku tidak mampu untuk bersuara kerana benar-benar tergamam dengan berita yang dibawa Taufik. Fikiranku jadi kacau bilau. Mengapa aku dipecat? Ya! Aku dapat menjangkakan aku akan dimarahi oleh majikanku sekiranya Tuan Mokhtar menceritakan aku tidak melayaninya dengan hormat. Biasalah, Tuan Mokhtar mesti akan lepaskan geramnya dengan menfitnah aku. Orang dah macam cacing kepanasan! Tapi, bagaimana sampai aku boleh dipecat? Mengapa?

“ Kenapa…kenapa Fik?” Suaraku serak sedikit. Aku menguatkan hati untuk mencari jawapannya biarpun saat itu aku berasa sungguh kecewa.

“ Kami diberitahu masa mesyuarat tadi, engkau simpan je, tak usik pun dua kertas cadangan Kara Holdings dan IMATEK yang Encik Khairul minta engkau uruskan dua bulan lalu. Khabarnya syarikat yang nak buat acara minggu keluarga di hotel kita tu, dah tempah hotel lain. Tadi, Encik Khairul dapat panggilan telefon dari Tuan Mokhtar. Tuan Mokhtar nak batalkan seminar yang hujung bulan depan tu. Tuan Mokhtar cakap, engkau tak hormat dia. ”

Airmata aku sudah berlinangan. Wajah Encik Khairul sedang mengkhabarkan berita pemecatanku semasa mesyuarat tadi terbayang-bayang di kotak fikiranku. Agak-agaknya, berapa banyak cerita yang tak betul tentang aku yang dihebahkan kepada kakitangan Hotel Mawar Biru? Alamat busuklah namaku.

Ah! Akal fikirku membantah. Buat apa tunduk dengan tuduhan yang tak berasa itu? Kalau benar aku salah, buktikan dahulu. Tunjukkan kertas-kertas cadangan yang dikatakan tidak berusik tu. Mana pernah aku menerima dua kertas cadangan tu. Tak pernah pun. Jangan Encik Khairul fikir aku mudah diperkotak-katikkan. Jangan jadi lemahlah Aina Najihah!

Semangatku tiba-tiba membara. Bagai biji bateri yang baru dicaskan, aku kembali segar semula. Riak wajahku yang tadinya lesu dan sayu, berubah menjadi bertenaga. Aku menghayun langkah ke arah lif hotel. Taufik terpinga-pinga melihat aku yang tiba-tiba bergerak cergas bagai mendapat semangat baru.

“ Jihah! Jihah! Kau okey ke?

Pertanyaan Taufik aku biarkan sahaja bagai angin lalu. Seraut wajah Encik Khairul yang bengis dan bibirnya yang berbisa semakin jelas di imaginasiku. Tunggu! Aku akan patahkan hujah-hujah Encik Khairul yang sengaja hendak mengenakan aku.

Hish! Lif pulak tak turun-turun. Hendak tak hendak, aku terpaksa menguatkan semangat menaiki anak tangga setinggi empat tingkat. Letihnya.


Dalam keadaan marah dan tergesa-gesa hendak menuju ke pejabat Encik Khairul itulah, tanpa diduga tumit kasutku tercabut. Agaknya tadi aku berlari sekuat hati semasa menaiki anak tangga pasal hendak cepat sampai. Itulah! Nak kata nasib badan tak juga. Sepatutnya di kala hati tengah marah, seharusnya aku belajar bertenang. Aku ingat lagi kata-kata Imam Al-Ghazali, sifat marah itu umpama darah yang mendidih di dalam badan. Seharusnya aku peka, memang menjadi tugas syaitan adalah menghembuskan lagi bisikan-bisikan berbau kejahatan.

Hmm…inilah akibatnya. Nampak gayanya, terpaksalah aku keluar duit beli kasut baru.

Sampai sahaja di tingkat empat, orang pertama yang aku terserempak adalah Encik Khairul. Tak semena-mena mata kami bertentangan. Dia merenung aku sejenak dan kemudian mendengus panjang.

“ Hah, dah balik pun. Saya ada hal nak cakap dengan awak, Aina Najihah.” Lelaki mulut berbisa itu, cuba berlagak professional pula setelah membohongi. Aku jadi meluat melihat gayanya seperti seorang majikan yang baik dan berwibawa. Pembohong! Agaknya dia sengaja berpakat dengan Tuan Mokhtar hendak mengenakan aku tak?

“ Bila balik?” Soalnya.

Aku tidak berminat hendak menjawab soalannya. Segera aku bergerak ke mejaku iaitu meja kayu beralas cermin tebal, dan menyarung selipar yang berada bawah meja. Kemudian, aku mempercepatkan langkah menuju ke bilik Pengarah Urusan. Masuk sahaja ke bilik, Encik Khairul menarik kerusi untukku.

“ Duduk. Perkara ini perlu kita selesaikan secepat mungkin.” Encik Khairul membuka kot hitamnya seraya menyelubungkan ke kerusi kulitnya. Kemudian dia menekan butang telefon. Aku cuba bertenang. Aku tidak mahu termakan lagi dengan umpan Encik Khairul. Aku juga tidak mahu terperangkap dalam jerat buatannya.

“ Zarin, bawakan saya fail peribadi Aina Najihah sekarang.”

Tidak sampai satu minit, Zarin iaitu Setiausaha Encik Khairul yang kecil molek, berpunggung lentik serta suka mengenakan pakaian kebaya batik, masuk menghantar fail peribadiku. Setelah itu Zarin pun keluar. Tinggallah aku dengan Encik Khairul.

“ Saya tidak menafikan awak telah lama berada di Mawar Biru ini, lebih awal dari saya. Saya juga tidak menafikan awak pekerja kesayangan ibu saya. Tapi seperti yang awak lihat sekarang, zaman ibu saya dah berlalu. Jadi awak terpaksa terima hakikat, sekarang ini saya yang menentukan perjalanan Mawar Biru.”

Huh! Panjang pula ceramahnya. Sememangnya aku mudah jadi rimas apabila berada dalam bilik yang sering dipenuhi dengan kata-kata sindiran dan sumpah seranah sejak Encik Khairul mengambil alih Mawar Biru. Mungkin menyedari aku tidak berminat mendengar ceramahnya, jadi Encik Khairul pun membuka topik utama mengapa aku dijemput ke biliknya.

“ Rekod awak selama ibu saya jadi MD, memang bagus. Tip top. Pekerja cemerlang selama dua tahun berturut-turut. Wow! Pencapaian yang cemerlang bagi seorang kaki kipas. Syabas!”

Apa? Kaki kipas?! Aku berusaha bersungguh-sungguh membantu ibunya tatkala dia sedang belajar di Melbourne Australia, aku dituduh kaki kipas? Sungguh budiku tak dikenang. Dan kini aku pula mahu disepak terajang.

“ Maaf Encik Khairul. Saya berpendapat Puan Mawarni seorang yang bijak dan boleh membezakan pekerja yang bagus dan pembodek yang bagus.”

“ Ahaaa…..betul tu Cik Aina. Memang ibu saya bijak, pasal itulah anaknya pun bijak.”

Cis! Tak malu, puji diri sendiri.

Encik Khairul memusing-musingkan kerusinya dan secara tiba-tiba dia berhenti. Dia memicingkan matanya, merenung tajam ke arahku sambil mengetap bibir. Suaranya separuh berbisik.

“ Tapi bijak-bijak ibu saya pun, dia dijadikan boneka oleh si kaki bodek yang terlebih bijak.”

Aku tergamam dengan tuduhan yang tidak berasas itu. Selama aku berkerja di bawah Puan Mawarni, aku cuba membantunya dengan tulus ikhlas. Tidak pernah sekalipun aku meminta apa jua balasan hatta dinaikkan gaji sekalipun.

Aku menatap muka Encik Khairul yang berkumis nipis dan berjanggut sejemput itu. “ Apa tujuan Encik Khairul berkata begitu? Encik Khairul panggil saya kerana nak tuduh saya sesuka hati ke?”

“ Berani awak ya!” Jerkahnya.

Ya! Aku memang berani. Selama ini aku banyak bersabar dengan perbuatan Encik Khairul terhadapku. Banyak yang perlu aku fikirkan jika aku hendak membalas butir-butir percakapannya. Antaranya, aku pekerja. Duitnya menampal mulutku.

Tapi itu dulu. Sekarang aku terpaksa menegakkan maruah diriku. Rezeki ada di mana-mana. Rezeki aku bukan Encik Khairul yang tentukan. Hari ini juga, aku berserah dan bertawakkal kepada Allah S.W.T. Kalau hari ini aku ditakdirkan akan meninggalkan Mawar Biru, aku redha!

“ Panggil Khairunnisa, Taufik dan Edelyn sekarang!” Encik Khairul menekan butang telefon lantas memberi arahan kepad Zarin.

Aku jadi gemuruh seketika. Untuk apa Encik Khairul panggil tiga orang tersebut? Encik Khairul hendak dapatkan maklumat atau nak jadikan mereka saksi? Atau mahu memalukan aku depan Roon, Taufik dan Edelyn?

“ Kenapa Encik Khairul? Saya harap Encik Kharul boleh berterus terang dengan saya sahaja kalau ada masalah. Saya pun nak tahu apa yang buat Encik Khairul nampak marah je hari ini.”

Oh diri, cubalah bawa bertenang! Bisik hatiku. Encik Khairul ini memang sudah melampau. Marah aku sesuka hati, menuduh aku ikut sedap mulut dan sekarang apa dia fikir dia boleh memperdaya aku pula? Tidak, sesekali tidak.

Soalan aku tadi masih tidak dijawabnya. Encik Khairul membuka laci dan mengeluarkan beberapa helai surat lalu meletakkannya di atas meja. Sempat aku mengerling ke arah kepala surat yang tertulis Kara Holdings. Oh! Ini agaknya kertas cadangan yang kononnya aku tak usik pun selama dua bulan. Kononnya aku tak ambil apa-apa tindakan pun. Fitnah! Fitnah!


Pintu dibuka dari luar. Kemudian masuk Roon, Taufik dan Edelyn. Mereka bertiga berdiri di tepi kerusiku. Sederet. Mula-mula Roon, diikuti Taufik dan akhirnya Edelyn. Bagaikan berhadapan dengan hakim, suasana di bilik itu berubah senyap serta merta. Mata masing-masing tertumpu ke arah Encik Khairul. Aku menjeling ke arah Roon. Mata Roon tidak berkelip memandangku. Tidak lama kemudian, Roon menjatuhkan pandangan ke lantai bilik. Mungkinkah Roon tidak tergamak melihat aku dalam keadaan begini? Sarat dengan tuduhan dan bakal bergelumang dengan cercaan.

Suara Encik Khairul menerobos ke gegendang telinga. Suara yang lantang.
“ Nah! Baca kertas-kertas cadangan yang saya terima dari Kara Holdings dan IMATEK. Edelyn, awak pasti awak dah bagi proposal ni pada Najihah? Pasti?”

“ Ya Encik Khairul. Saya sendiri yang bagi pada Aina Najihah.”

Serta merta jantungku bagai digegarkan dengan satu dentuman kuat. Aku mengalihkan pandangan ke arah kertas yang diunjukkan kepadaku. Seingat aku, kertas ini pernah diberikan kepadaku tetapi bukan untuk diambil tindakan. Cuma untuk disemak senarai barang keperluan dengan banquet staff dan memastikan tarikh yang ditetapkan adalah tarikh ‘kosong’ bagi hotel. Aku tidak patut dikaitkan dengan Kara Holdings dan IMATEK!

“ Apa yang awak buat dengan kertas ni hah? Simpan ya…simpan bawah meja? Perap ikut suka awak jek!!” Jerkah Encik Khairul.

Tak semena-mena kertas itu dibalingkan ke muka aku. Berkecai helaiannya dan kemudian berselerakan di atas dan bawah meja. Aku terpaku dan tergamam. Tidak terfikir akan diperlakukan sebegini. Malu! Aku dimalukan di hadapan Roon, Taufik dan Edelyn. Kerana itukah Encik Khairul memanggil mereka masuk? Melampau!

“ Awak nak bayar ke kerugian yang hotel tanggung? Jawab Aina Najihah!!!”

Jeritan bagai halilintar itu bukan sahaja menembusi telingaku malah menghancurkan hatiku. Kalaulah aku hendak disingkirkan dari Mawar Biru, tak perlulah Encik Khairul menfitnah malah menghina aku sebegini rupa.

“ Encik Khairul…,” aku memandang tepat ke arah Encik Khairul yang tak ubah seperti singa jantan hendak pergi bertarung. “ Boleh Encik Khairul beritahu saya bila saya terima kertas-kertas ini dan bila pula saya pulangkan kepada Encik Khairul? Dan lagi satu, kenapa Encik Khairul suruh saya jumpa Tuan Mokhtar tu sedangkan tugasan tu dah diserahkan kepada Edelyn. Dalam masa yang sama, Tuan Mokhtar sebenarnya dah setuju pun nak jadikan hotel kita tempat seminar syarikatnya? Soalan saya pun perlukan jawapan Encik Khairul.”

Saat itu aku dapat mengagak semua mata memandang ke arahku. Mungkin juga memandang ke arah keberanianku menyoalbalas Encik Khairul yang garang itu. Ah! Kenapa pula hendak takut dengan bos macam Encik Khairul. Macam bagus!

Encik Khairul terdiam seketika, namun dari telahanku dapat kutafsirkan, Encik Khairul sengaja hendak mengenakan aku. Ah! Tak mungkin Encik Khairul akan menjawab pertanyaanku tadi. Mungkin dia akan putarbelitkan keadaan, tekaku.

“ Aina Najihah, awak jangan cuba nak perbodohkan saya. Saya tahu, awak tidak suka berkerja di bawah saya kerana saya tidak mengikut telunjuk awak seperti mana ibu saya. Tapi ingat, saya tidak mudah nak diperbudakkan. Surat ini dah awak terima dua bulan lalu. Ini tandatangan awak, pada 3 Januari. Baca ini, ‘ …sila hubungi Kara dan ambil tindakan segera’. Hah…apa awak dah buat? Apa? Perap! Hah! Perap kertas ni?!”

Sekali lagi Encik Khairul menengking aku dan mengunjuk-unjuk kertas itu ke arah mukaku. Kesabaranku kian sirna. Pipiku naik sebal dengan libasan kertas yang beberapa kali menjamah kulit mukaku. Aku perlu membela diri. Aku terus menarik kertas itu dari genggamannya. Aku letakkan semula kertas itu di permukaan meja.

“ Ini bukan tandatangan saya. Pertama, saya tak suka guna pen warna hitam. Kedua, setiap kali tandatangan saya akan letak tarikh di bahagian tepi bawah tandatangan saya.Bukan di tengah. Saya tak pernah tulis nama bulan, hanya angka. Yang ini berbeza. Ini satu fitnah, siapa yang merekanya…saya rasa Encik Khairul lebih tahu dari saya.”

Aku sempat menjeling muka Roon dan Taufik. Keduanya menganggukkan kepala. Kedua teman baikku ini memang tahu, aku tidak pernah lupa membawa pen biru mata bulat ke mana-mana. Edelyn masih seperti selalu, mukanya bagai tiada reaksi.

Encik Khairul kembali bersuara, “ Ah..jangan nak menafikan. Awak ni satu beban dalam Mawar Biru. Tau tak?!”

“ Kalau begitu, buat apa simpan pekerja macam saya…” balasku setelah merasakan tiada gunanya lagi bercakap panjang dengan majikan seperti itu.

“ Bagus! Awak tahu hari ini hari terakhir awak berada di sini?”

“ Alhamdulillah. Saya sudah terlepas dari neraka dunia.”

“ Hmmm..awak boleh kemaskan barang dan sekejap lagi ambil slip gaji dari Zarin untuk bulan ini.”

“ Terima kasih, dan saya juga akan tuntut pampasan kerana dihentikan tanpa sebab.”

“ Heii….apa awak cakap? Jangan nak tunjuk kurang ajar awak….”

“ Assalamualaikum.”

Aku terus meninggalkan bilik itu tanpa mempedulikan Encik Khairul. Pintu biliknya aku tutup dengan kuat. Perasaan marah dan geram masih lagi menebal di hati. Marah kerana diperlakukan seperti budak-budak. Geram kerana diberhentikan hanya dengan gaji hujung bulan.

Apakah Encik Khairul fikir aku tak pernah berjasa untuk Mawar Biru? Dulu pada ketika Mawar Biru melalui zaman suram apabila Tulip Lodge di bina bersebelahan Mawar Biru, aku dan Puan Mawarni berusaha bersungguh-sungguh membuat promosi di jabatan-jabatan kerajaan serta syarikat swasta dari utara tanahair sampai ke selatan. Mana dia pada waktu itu? Belajar di Melbourne dan bila balik ke Malaysia, menganggur lima bulan sehinggalah Puan Mawar kemalangan jalanraya, lalu mengalami lumpuh separuh badan. Lelaki itu tiba-tiba terjengul di Mawar Biru dan mula menerajui tampok pentadbiran Mawar Biru.

Memanglah, dia anak Puan Mawarni. Aku cuma pekerja. Tapi sayang, lelaki itu tidak tahu selok belok pengurusan hotel. Aku agak, kalau dia uruskan hotel mengikut caranya sekarang, Mawar Biru bakal menjadi haru biru.

Aku terus menuju ke mejaku. Semua barang-barang yang ada aku masukkan ke dalam beg kertas. Tidak banyak barang aku. Beberapa alat tulis, buku-buku rujukan dan selebihnya satu bingkai gambar, telekung, dua biji mug, sudu dan dua buah pinggan makan. Kasut yang terkopak tumit itu aku bawa sama, mana tahu boleh tampal semula.

“ Saya tak nak tengok muka awak di sini lagi…” tiba-tiba aku dikejutkan oleh suara yang paling aku benci. Aku mendongakkan muka. Sekujur tubuh Encik Khairul yang sedang bercekak pinggang memenuhi bebola mataku.

“ Kalau dah tak nak tengok, kenapa tertonggok depan meja saya. Pergi masuk bilik awaklah…” balasku perlahan namun aku sedar, Encik Khairul mendengarnya.

Mungkin kerana telinganya sudah ‘panas’, Encik Khairul meninggalkan mejaku lalu menuju ke meja Taufik. Beberapa orang Sales Personnal memandang kearahnya.

“Anda semua…ingat, saya berhentikan Aina Najihah setelah beberapa kali dia merugikan hotel. Saya tak mahu pekerja yang berani sembunyikan dokumen-dokumen penting, tidak menghormati pelanggan dan tak suka ikut arahan. Ingat! Ini satu pengajaran.”

Telingaku seakan berasap. Barang-barang telah selesai aku kemas. Aku menuju ke meja Zarin. Dengan perlahan Zarin menghulurkan sekeping cek pada aku.

“ Jihah…banyak-banyak sabar ya.”

“ Terima kasih kak Rin.”

Huhhhhh…sabarlah hati.








Bab 8.....Suatu Pagi, Secawan Kopi dan Sebuah Harga Diri




Pagi-pagi lagi Roon sudah berleter di dalam kereta Kelisaku. Hari ini aku memberitahunya, aku tidak akan turun ke Hotel Mawar Biru kerana aku terpaksa berjumpa dengan Tuan Mokhtar di Bangi Best Kopitiam. Roon bertanya padaku, sama ada pertemuan ini atas kerelaanku atau aku diugut.

“ Bukan diugutlah Roon. Tapi aku ni dah terjebak dalam satu rancangan Encik Khairul kita tu. Kertas proposalnya bertajuk ‘Mengenakan Aina Najihah Secukup Rasa’ dan pengarahnya Encik Khairul sendiri. Penyelaras projek siapa lagi, Mokhtar tu lah.” Jawabku mendatar sambil memerhatikan lalulintas di hadapanku. Sekarang pukul lapan pagi, jalanraya di sekitar Bandar Baru Bangi agak sesak namun tidaklah sampai menganggu perjalanan. Tidak seperti di Kajang dan Kuala Lumpur.

“ Aku tak fahamlah. Apa Encik Khairul tu tak puas hati dengan engkau? Kalau pasal cadangan nak buat bar arak tu kena tolak, itu bukan engkau yang tolak. Mak dia. Pasal etika berpakaian di kolam renang pun, mak dia yang tak setuju cadangan dia tu. Kenapa engkau yang jadi sasaran dia?”

Aku mengerling sedikit ke wajah Roon. Memang kawan aku itu tidak puas hati dengan layanan Encik Khairul terhadap aku. Sudah acapkali Roon meluahkan kesangsiannya terhadap tindak tanduk Encik Khairul yang dianggap mempunyai agenda tersembunyi.

“ Memanglah mak dia yang tolak tapi aku yang mula-mula bantah. Alah…kebanyakan pelanggan kita orang Melayu, hampir lapan puluh peratus. Buat apa nak adakan mini bar tu. Hmm…entahlah. Sebenarnya, aku dah malas nak fikir pasal tu semua. Buang masa aku je, tapi makin aku cuba bersangka baik dengan Khairul, makin banyak benda pelik yang dia kenakan aku. Hah! Macam sekarang nilah. Dia dah tau aku tak ngam dengan Tuan Mokhtar, tapi dia benarkan Tuan Mokhtar berurusan dengan aku. Kenapa?”

Aku memuntahkan rasa curiga yang kian bersarang di jiwa. Adakah Encik Khairul sengaja mahu aku ‘panas punggung’ duduk di kerusi Ketua Bahagian Pemasaran, Hotel Mawar Biru? Mungkin ini satu tekanan agar aku tidak tahan berkerja di situ lantas aku sendiri akan meletak jawatan?! Mana tahu?

“Roon, kalau engkau lapang pagi ni, temankan aku jumpa Tuan Mokhtar tu boleh tak? Aku tak sedap hati jumpa sorang diri. Kau ada masa tak Roon?” Pintaku dengan suara yang sayu. Harap-harap Roon ikut aku.

“Tak bolehlah Jihah. Semalam Encik Khairul suruh semua staff ada kat ofis pagi dan petang pasal pada bila-bila masa dia akan buat mesyuarat. Jadi, aku tak beranilah Jihah.”

Mulutku terlopong mendengar kata-kata Roon. Aku memperlahankan kenderaan dan menukar ke lorong perlahan.

“ Bila dia cakap? Aku tak tahu pun.”

“ Masa engkau pergi sembahyang.”

“ Tapi, tak akan dia nak buat mesyuarat tu masa aku tak ada. Mesyuarat apa?”

“ Ha, agaknya pasal jawatan engkau lah. Kan aku dah cakap, dia memang nak bagi jawatan engkau tu pada Edelyn. Mungkin nak buat rombakan Bahagian Pemasaran tak? Pasal itulah mesyuarat tu dibuat masa engkau tak ada.” Roon mengutarakan pendapatnya. Memang ada kemungkinan, tetapi aku rasa tidak lojik. Kecuali Tuan Khairul itu orangnya mereng atau bodoh, jadi barulah dianggap lojik.

“ Aku tak rasa macam tu. Yelah, kalau dia tak suka dengan aku, …memang pun. Dia tak boleh buat macam tu. Kalau dia buat macam tu, dia malukan diri sendiri. Nampak sangat dia tu diktator. Kalau dia boleh buat kat aku, kat kau orang pun boleh. Mana boleh ambil jawatan macam tu tanpa sebab yang jelas. Ada ke selama ni aku tak buat tugas dengan baik?”

Hotel Mawar Biru sudah berada di depan mata. Dua tiga tetamu baru masuk ke dalam hotel sambil menjinjing beg yang besar. Roon yang memakai baju kemeja lengan panjang dan seluar panjang hitam, tampak kemas hari ini. Tudungnya pula bercorak bunga-bunga besar warna hitam dan putih. Dia kelihatan feminin. Sebelum Roon meninggalkan kereta, sempat aku mengusiknya.

“ Aku tahu Abang BSN datang hari ni….,”

Muka Roon berubah tegang. Masih terasa agaknya dengan kata-kata aku tempoh hari.

“ Aku sedar siapa aku.”

“ Janganlah cakap macam tu…”

“ Habis nak cakap macam mana…,”

Tanpa berbicara dengan lebih lanjut, Roon masuk ke hotel. Aku menarik nafas panjang. Jarum panjang jam sudah menunjukkan pukul lapan setengah pagi. Masih terngiang-ngiang di telinga kata-kata Tuan Mokhtar, ‘tolong berada di sana sebelum saya sampai ya’.

Kereta Kelisa kupacu agak laju. Sepuluh minit berlalu, aku sudah pun sampai di Bangi Best Kopitiam.

Menanti lelaki yang pernah menganggu hidupku lima bulan lalu merupakan satu penantian yang menyesakkan dada. Tanpa menunggu kelibatnya muncul, aku meminta secawan kopi dan satu set roti bakar. Perutku sudah mula berbunyi. Lapar sungguh kerana malam sebelumnya, aku hanya makan sebungkus nasi lemak. Itu pun pukul lapan malam. Setelah itu, aku bergegas pergi ke rumah Kak Dalilah, mengajar dua orang anaknya mengaji dan membantu Kak Dalilah memperbaiki tajwid dalam bacaan al Quran.

Roti yang dipesan sudah sampai. Aku sudah tidak boleh sabar dengan semerbak bau mentega dan kaya. Sedap! Sebaik sahaja selesai membaca Bismillah, roti itu kukunyah dan kutelan tidak sampai sekitar dua minit. Gelojohkah aku? Entahlah. Yang pasti, selepas itu aku minta satu set roti lagi.

Berada di sebuah kedai yang bersih dan indah, ditemani muzik latar lagu ra 60-an, benar-benar merehatkan mindaku. Sejuk angin pagi masih lagi terasa. Mungkin dingin embun juga masih bersisa. Terasa fikiranku melayang-layang, dan aku menjelajahi kota kenangan. Tiga bulan lalu….ya…tiga bulan lalu…..

“ Abang ni kerja pun belum ada lagi, mana ada perempuan nak pada Abang?” Ujar Ameer Mulhim tatkala aku mengusiknya kerana dia mengeluh penat membasuh baju sendiri dan memasak di rumah. Dalam masa yang sama, dia juga sedang sibuk menyiapkan kertas kerja tahun akhir.

“ Ya ke? Mengajar anak-anak yatim di sini bukan kerja ke?”

“ Kerja juga, tapi sementara. Abang bercadang hendak berkerja dengan sektor kerajaan. Sambil tu nak tolong adik-adik abang di Terengganu. Mereka ada buka perniagaan ubat anti-serangga di sana.”

“ Doalah bang. InsyaAllah, doa itu kan senjata mukmin. Pasti impian Abang akan jadi kenyataan.”

“ Betul cakap Jihah tu. Usia Abang dah nak masuk dua puluh sembilan tahun. Abang turut berdoa dapat jodoh. Nak cari perempuan sebaik Jihah, cukup susah zaman ini. Macam dah pupus pulak.” Ameer Mulhim bersuara dalam senyum yang tidak pernah hilang serinya. Dia akhirnya tertawa kecil apabila aku menarik muka kelat.

“ Marah pulak Jihah ni…” Ameer Mulhim tertawa kecil lagi dan selepas itu dia minta diri beredar kerana hendak menunaikan Solat Asar apabila azan Asar berkumandang. Suara muazzin kecil, Adik Qayyum yang serak-serak basah itu bakal membuatkan sesiapa sahaja ingin terkasima dan terpujuk hati ingin sama berjemaah di surau.

Susah ke mencari perempuan seperti Jihah, bang? Aku melontarkan pertanyaan dalam hati. Bukankah Jihah setia menanti, dari dulu lagi. Pernahkah Abang lihat Jihah bersama lelaki lain? Tidak bukan. Jihah masih seperti yang abang kenal dulu, sentiasa seorang diri bukan?
Dan baik sangatkah Jihah ini? Sesungguhnya Jihah banyak kekurangannya bang. Yang pasti, Jihah ini sebatang kara. Jika abang memilih Jihah, abang tidak akan punya ibu dan bapa mertua. Itu yang pastinya. Juga tidak akan merasa hidup beripar duai. Tiada anak saudara dari belah Jihah. Banyak perkara yang abang akan rasa kehilangan nanti. Relakah abang? Sanggupkah abang kehilangan apa yang orang lain ada? Merasai hidup berkeluarga.

Sembahyang Jihah pula, pasti tidak sehebat abang. Dari sumber yang boleh Jihah yakini, abang tidak pernah meninggalkan solat sunat Qabliah dan sunat Baqdiah. Sunat Dhuha sudah menjadi satu kewajipan bagi Abang di kala pagi hari. Ayat-ayat Al Quran telah lama basah di lidah abang. Abang akan melagukannya setiap ketika kerana abang sudah pun menghafalnya.

Berbanding dengan Jihah, terlalu sedikit persamaan kita tentang amalan harian. Selain solat lima waktu, Jihah amalkan Solat Sunat Taubat dan Solat Tahajud. Itu yang sering menjadi pakaian Jihah setiap hari. Al Quran tidak Jihah hafal, cuma sekurang-kurangnya sehelai muka surat dari naskhah agung yang juga satu-satunya mukjizat yang tinggal itu, Jihah akan baca tiap-tiap hari.

Ah! Terlalu sedikitnya amalan Jihah bang.


Krekkkk!!

Aku tersentak. Sedang aku menimbangtara keserasian antara aku dan Ameer Mulhim, kerusi mejaku ditarik. Mataku terpaku ke seraut wajah yang telah lama tidak kulihat. Lelaki berumur hampir setengah abad ini sudah duduk di hadapanku. Penampilannya semakin segak. Tiada lagi rambutnya yang dulu memutih. Juga sudah hilang ruang rontok di bahagian atas dahinya. Bau gel rambut memenuhi ruang udara di sekelilingku. Sepasang mata Tuan Mokhtar berlaga dengan anak mataku.

Lelaki itu sekali imbas persis pelakon drama tv Malaysia, Redzuan Hashim. Bezanya, Tuan Mokhtar sudah berumur sedikit. Tuan Mokhtar menghulurkan tangan ke arah telapak tanganku yang ditutupi sarung tangan berwarna coklat muda. Aku jadi serba salah. Namun kerana tidak mahu memalukannya, aku sambut juga huluran salamnya.

Kali ini salamnya sekejap amat, tidak seperti lima bulan yang lepas. Masa itu, aku sendiri terpaksa menarik tapak tanganku yang naik lemas dalam genggaman tangannya. Encik Khairul yang berada di sebelahku pada ketika itu, ketawa kecil melihat air mukaku yang sedang menahan marah. Tidak lama selepas itu, Encik Khairul dan Tuan Mokhtar tergelak besar. Menyindir aku agaknya! Atau menyindir hukum Tuhan?!

Sebenarnya aku sudah lemas dengan sesetengah manusia di bumi Malaysia ini. Sudah tahu berjabat tangan dengan bukan muhrim itu haram, kenapa perlu diamalkan lagi? Mahu menerima pakai budaya barat tapi janganlah sampai membelakangkan agama. Namun, alangkah hebatnya jika budaya ilmu dan kesedaran sivik amalan masyarakat barat diterapkan dalam amalan hidup di Malaysia. Masalahnya, budaya hip-hop, punk, budaya mendewakan artis serta amalan pergaulan bebas pula yang lebih gemar diamalkan oleh belia di sini. Apatah lagi media massa banyak memberi sokongan ke arah itu. Kalau beginilah caranya, bersedialah menerima masyarakat yang cacat, tempang atau mungkin lumpuh fitrah kemanusiaannya beberapa tahun dari sekarang.

Berbalik kepada Tuan Mokhtar, sepasang matanya yang sudah berusia setengah abad itu sempat menjeling ke arah tapak tanganku.

“ Lama tunggu Cik Aina? Ingat saya lagi tak, tak mungkin dah lupa kot?”

“ Tak lama mana Tuan Mokhtar. Terima kasih kerana memilih Hotel Mawar Biru buat kali kedua. Saya akan cubalah sedaya upaya untuk melaksanakan seminar itu dengan jayanya di hotel kami. Boleh Tuan Mokhtar ceritakan butir-butir peserta dan perjalanan seminar tersebut?”

Memang aku tidak mahu membiarkan perjumpaan ini tersasar dari topik asalnya. Lagipun, seboleh mungkin aku mahu menguasai perjumpaan kali ini. Biar tiada ruang yang membolehkan Tuan Mokhtar menyusup masukkan sebarang usaha untuk ‘mengusik’ dan ‘menganggu’ aku. Lagipun, daripada cara dia memandang aku, tidak seperti pandangan antara dua orang yang hendak membincangkan tentang tugas. Jadi, aku perlu berwaspada.

“ Sabarlah Cik Aina Najihah. Saya baru saja duduk. Kalau ia pun, pesanlah secawan kopi untuk saya ke. Macam inikah Head of Marketing Department Mawar Biru layan saya? Awak perlu friendly sikit dengan client macam saya….” Tukasnya sambil mengetuk-ngetuk permukaan meja batu mar mar itu dengan penanya. Tergamam seketika diriku tatkala dia merenung dalam ke arahku. Ah! Rupanya dia sedang bersiap sedia mahu memukul gendang, dan saat itu aku berjanji pada diri. Tidak akan sekali-kali aku membiarkan diri menari mengikut irama gendang yang dipalunya.

“ Tuan Mokhtar hendak minum apa ya? Biar saya panggilkan waiter.”

Bersabar dan bertimbangrasa sudah menjadi satu amalan yang sebati dalam diri pekerja di Hotel Mawar Biru. Rukun keempatnya iaitu jangan sesekali mengatakan tidak kepada pelanggan ( rukun yang ditambah sejak Tuan Khairul memangku jawatan Pengarah Urusan Mawar Biru ) telah melatih aku bersikap sabar dan bertindak mengikut akal fikiran. Jadi, latihan ini akan aku aplikasikan sebaik mungkin dalam pertemuan dengan Tuan Mokhtar.

“ Bagi saya secawan air barli suam dan nasi lemak ya. Cepat sikit.”

Tuan Mokhtar menunggu pelayan wanita itu pergi sebelum mengalih perhatian ke arahku. Tadi, sempat aku mengerling Tuan Mokhtar tatkala mata tuanya menyoroti lenggang lenggok punggung gadis yang kukira berumur awal dua puluhan. Gadis itu memang cantik. Orangnya kecil molek dan bermata jernih. Tak silap aku, namanya Ratnadewi. Selalunya jika waktu pagi terutama hari Sabtu dan Ahad, Ratnadewi akan berada di Bangi Best Kopitiam. Itu yang aku tahu dari Suwardi, warga Indonesia yang bertugas sebagai pekerja am di Hotel Mawar Biru yang juga pelanggan tetap Bangi Best Kopitiam pada hujung minggu.

Tuan Mokhtar seakan tidak mengendahkan kehadiranku di hadapannya. Hendak menunggu dia buka mulut, entah bila agaknya. Jadi aku terpaksa mengalihkan perhatiannya.

“ Seboleh mungkin saya akan memastikan, hotel kami menyediakan peralatan seminar seperti kerusi meja, projektor, komputer dan apa sahaja yang diperlukan oleh pihak Exec Excel. Jadi, bolehlah Tuan Mokhtar berikan serba sedikit latar belakang serta jumlah peserta yang akan hadir? Em..kami juga akan cadangkan menu makan yang istimewa.”

Muka Tuan Mokhtar berkerut. Dia merenung aku dengan pandangan yang sukar untuk ditafsirkan. Aku berasa tidak selesa kerana pandangannya seakan ‘mencemuh’ aku. Sejurus kemudian suasana kembali senyap. Aku jadi lemas dengan pertemuan pagi ini. Jikalau tidak mahu berbincang, buat apa hendak jumpa?

“ Beginilah Tuan Mokhtar, kalau Tuan Mokhtar tidak bersedia hendak berbincang tentang seminar di hotel kami sekarang, biar saya balik dulu. Banyak juga kerja yang perlu saya selesaikan. Jika sudah bersedia, Tuan Mokhtar boleh berhubung dengan Encik Khairul. Assalamualaikum.”

Tanpa berfikir panjang lagi, aku terus mencapai tas tanganku lantas bangun. Baru saja aku hendak beredar, Tuan Mokhtar segera menahanku.

“ Duduklah Cik Aina. Kalau ya pun nak berbincang, tunggulah saya bersarapan dulu. Tekak Cik Aina dah basah, tekak saya ni masih kering lagi.” Tuan Mokhtar berbicara tanpa memandang ke arahku.

Hmm. Mengada betul orang tua ini, rungut aku dalam hati. Aku cuba bersabar, dan kembali duduk semula di kerusi. Segala rasa geram dan marah, aku simpan erat tanpa memaparkan sedikit pun riak di wajah.

“ Pagi-pagi macam ini, kan elok cerita perkara yang tidak melibatkan kerja.” Tokoknya lagi. Saat itu, aku hanya menanti sarapannya tiba.

Alhamdulillah. Seakan mengerti jeritan batinku, sekoyong-koyong datang Ratnadewi sambil menghidangkan sepinggan nasi lemak serta secawan barli suam.

“ Cik Aina ni masih muda kan? Apa yang saya tahu, awak ni asyik kerja memanjang. Cik Aina tak pernah terfkir ke nak berehat sekejap, jalan-jalan ke, pergi bercuti ke?”

Mataku terpaku ke muka Tuan Mokhtar. Aik, kenapa Tuan Mokhtar ni? Kenapa ambil berat pula tentang aku? Sudah lupakah peristiwa lima bulan lepas? Tuan Mokhtar buat-buat lupa agaknya, bagaimana aku cuba melarikan diri darinya yang asyik mengganggu aku pagi dan petang.

Humm…Fikiranku ligat memikirkan jawapan yang sesuai. Seboleh mungkin, aku tidak mahu mengecilkan hati Tuan Mokhtar.

“ Hujung minggu macam ni, ada kalanya saya berjalan-jalan juga. Pergi membeli-belah, dan berehat di rumah.”

“ Setakat berehat di rumah, apalah yang ada sangat. Duduk rumah lagi penat tak? Kena buat kerja rumah pulak? He he..”

“ Tak juga Tuan Mokhtar, saya belum berkeluarga. Tak ada suami dan anak yang nak dijaga, jadi saya dapat berehat walaupun duduk di rumah.”

Tuan Mokhtar menyuap sesudu nasi lemak ke mulutnya. Mataku menjengah ke arah pinggan di hadapannya. Humm, sudah separuh nasi lemak diselesaikannya. Aku perlu bersabar. Tidak lama lagi, dia akan selesai makan. Bermakna tugasanku akan bermula. Mudah-mudahan, cepatlah siap!

“ Cik Aina ni orangnya manis, ada rupa….tapi kenapa susah senyum? Berkerja sebagai Sales Personnel di sebuah hotel, kena banyak senyum tau Cik Aina? Mahal sangatkah senyuman Cik Aina ni?”

Eh! Tak pasal-pasal hendak mengkritik aku. Kalau dengan orang macam Tuan Mokhtar, aku memang tak berani hendak berikan senyuman.

“ Ya ke Tuan Mokhtar? Kalau macam itu, saya kenalah senyum-senyum selalu. Harap Tuan Mokhtar tak berkecil hati kalau saya kurang senyum.”

Biarlah merendah diri dan mengakui kelemahan dengan harapan dia akan hormat pada aku.

“ Ha..ha..ha,” ketawa kecilnya bergema, Tuan Mokhtar kelihatan agak segar dan ceria tiba-tiba. Dia menggosokkan kedua belah tapak tangannya berkali-kali. Pandanganku menjamah pinggan di atas meja. Yess! Dah habis makan.

“ Aaaa, baru manis. Macam ni, kalau kedai ni bagi kopi keras, hitam dan pahit pun saya boleh telan. Ha..ha..ha…,” ketawanya lagi. Baru tadi aku nampak muka orang tua di hadapanku ini kelat dan masam, tapi sekarang dia sudah ceria dan segar. Mudahlah kerja aku sekarang ini.

“ Saya dapat tahu ramai juga peserta yang akan hadir ketika seminar itu, bukan begitu Tuan Mokhtar?”

“ Ah! Cik Aina ni, asyik fikir pasal kerja saja. Hari ini tak perlulah kita bincangkan pasal seminar tu.” Tuan Mokhtar merengus. Marah nampaknya. Aku pula sudah keliru dengan pertemuan ini. Kenapa sengaja hendak mengelak dari berbincang tentang seminar itu?

“ Cik Aina,” Tuan Mokhtar menyebut namaku sambil matanya merenung ke sepasang mataku. Serta merta bulu tengkuk aku meremang. Aku menelan air liur. Resah dan gelisah mengasak ruang fikirku.

“ Sejak peristiwa dulu tu, saya selalu memarahi diri saya kerana tidak tahu menghormati Cik Aina. Sebenarnya…Cik Aina ni, umpama sebutir bintang yang berlindung di sebalik cahaya bulan. Sengaja menyembunyikan keindahan diri. Namun, mata saya dapat menelah betapa Aina Najihah adalah bidadari yang sungguh istimewa.”

Gulp! Betulkah apa yang aku dengar? Oh! Ini sudah mengarut. Bermadah pujangga di pagi hari, sedangkan pertemuan ini untuk membincangkan soal seminar bulan ini. Bukan untuk membicarakan tentang hati, wahai Tuan Mokhtar.

Baru saja aku hendak membuka mulut, Tuan Mokhtar sudah mula berkata-kata lagi.

“ Sebenarnya saya kasihan pada Cik Aina. Kerja tiap-tiap hari, pendapatan pun maaf cakaplah,… tak besar mana sangat.” Tuan Mokhtar menggerakkan kerusinya ke dalam sedikit bagi memberi laluan kepada seorang pelanggan di Bangi Best Kopitiam yang mahu beredar. Kemudian, dia kembali memandang ke arahku.

Dahiku berkerut dalam, tidak faham apa yang ingin disampaikan oleh Tuan Mokhtar. Tuan Mokhtar bersuara lagi,“ Er..Cik Aina jangan salah faham pulak, bukan saya hendak merendahkan Cik Aina tapi, saya sekadar nak membantu.”

“ Tuan Mokhtar, setakat ini pendapatan saya, Alhamdulillah, sudah memadai. Tak perlulah kita bercakap hal yang tak berkaitan.Bukankah…”

“ Bukan…jangan cakap macam tu.” Tuan Mokhtar lekas-lekas memotong percakapanku.

“ Saya ikhlas hendak membantu Cik Aina. Saya tahu bagaimana Encik Khairul melayan Cik Aina. Kenapa masih hendak berkerja di bawah Encik Khairul? Saya boleh bagi segalanya yang Cik Aina perlukan. Segalanya! Tidak pernahkah Cik Aina terfikir hendak hidup senang? Ada terfikir juga bukan?” Tuan Mokhtar bercakap dengan penuh semangat. Dia nampak bersungguh-sungguh benar.

“ Tuan Mokhtar, saya…saya tak..”

“ Cik Aina, perempuan seperti Cik Aina ni, tak patut diherdik dan dimarah di pejabat. Sepatutnya Cik Aina disayangi, dihormati dan diberi layanan yang baik. Encik Khairul tu tak pandai menjaga hati dan perasaan Cik Aina, bukan?”

Percakapan Tuan Mokhtar membuat aku semakin keliru. Kenapa lelaki yang dulunya memusuhiku kini hendak berbaik denganku? Simpati terhadap nasibku? Memang benar, sejak berkerja di bawah pentadbiran Encik Khairul, jiwa aku sentiasa tertekan. Majikan baru itu memang sengaja hendak mengenakan aku. Tetapi, bagaimana Tuan Mokhtar boleh menghidu masalah aku?

“ Awak berkerja dengan saya saja. Gajinya lebih dari sekarang. Awak ada bilik pejabat sendiri, dan tak perlu berurusan dengan ramai orang. Saya tahu menghargai orang seperti awak. Saya boleh bagi tiga ribu sebulan. Bagaimana?”

Tuan Mokhtar bersandar di kerusi. Suasana di Bangi Best Kopitiam masih seperti tadi. Kini lagu-lagu berentak jazz nyanyian Sheila Majid pula bergema.. Beberapa pelanggan di kiri kanan, kebanyakannya orang muda kelihatan asyik menikmati hidangan roti bakar. Aku bagai tergamam tatkala mendengar tawaran yang Tuan Mokhtar berikan. Tiga ribu sebulan? Banyak tu! Tapi, aku sememangnya tidak sanggup berkerja di bawah Tuan Mokhtar. Lelaki itu pernah dahulu cuba merapati diriku. Apabila aku menjauhkan diri, dia menarik balik tawaran mengadakan seminar di Hotel Mawar Biru. Tuan Mokhtar seorang yang sangat mementingkan kehendak diri semata.

“ Cik Aina, bila-bila masa saja awak boleh dipecat oleh Encik Khairul. Daripada awak dipecat, bukankah lebih terhormat jika awak sendiri yang meletak jawatan?

Betul juga. Kalau Tuan Mokhtar seorang yang mementingkan diri sendiri, Encik Khairul pula apa? Lelaki itu adalah petir. Tiap-tiap hari dia memarahiku tanpa sekelumit pun perasaan belas kasihan terhadapku. Encik Khairul juga umpama sebilah pisau. Tak akan ada sehari yang akan berlalu begitu sahaja tanpa kata-kata pedas yang menghiris hatiku. Majikan aku itu juga seorang yang ‘beraja di mata, bersultan di hati’. Dia akan membebankan aku dengan apa saja tugas tanpa mengira berapa banyak yang perlu aku siapkan. Dan, dia akan meminta tugasan yang diberikannya itu siap, tidak kira masa. Aku memang tidak sanggup berkerja di bawah Encik Khairul lagi.

“ Ya. Saya tahu. Tapi, tak mengapa. Tuan Mokhtar tidak perlu ambil kisah, inikan masalah saya?” Tutur aku tanpa berniat mahu menyinggung hatinya.

“ Oh tidak! Janganlah cakap begitu. Saya bukan bermaksud hendak masuk campur dalam urusan Cik Aina, saya cuma memberi pilihan. Cik Aina boleh memilih, sama ada mahu terus berkerja dengan Tuan Encik dengan layanan yang hummm….,” Tuan Mokhtar menggelengkan kepalanya, kemudian menyambung percakapannya semula. “ atau, berkerja dengan syarikat saya dengan gaji yang lebih tinggi, dan Cik Aina akan lebih dihargai. Fikirkanlah!”

Aku menggenggam tas tanganku seakan membiarkan semua tekanan di fikiran tertumpah keluar. Tetapi hatiku masih lagi bercelaru. Aku memerlukan masa untuk berfikir. Namun, ada sedikit perasaan gementar tatkala aku melihat seraut wajah Tuan Mokhtar. Ikhlaskah dia?

Ratnadewi datang lagi. Kali ini dia membawa bil dan meletakkannya di atas meja. Kemudian dia mengambil semula pinggan dan cawan serta meletakkan dengan cermat ke atas dulangnya. Tuan Mokhtar mengamati langkah Ratnadewi yang tersusun elok. Punggungnya bergoyang mengikut rentak irama lagu, “Antara Anyer dan Jakarta” nyanyian Sheila Majid yang sedang berkumandang. Mata Tuan Mokhtar merenung sekali lalu ke arah punggung Ratnadewi. Aku jadi geli geliman. Serta merta aku mengingatkan diriku, kalau Encik Khairul itu harimau, Tuan Mokhar pula buaya! Jangan sampai nasib aku seperti, ‘keluar dari mulut harimau, masuk ke mulut buaya’ sudahlah.

“ Bagaimana Ciak Aina? Fikirkanlah ya.” Ucap Tuan Mokhtar perlahan.

Aku tersenyum. Hatiku sebenarnya sudah sakit. Bukankah sepatutnya sekarang ini kami membincangkan tentang seminar? Aku terasa diriku dipermainkan oleh Tuan Mokhtar pula. Tanpa banyak bicara, aku mengambil bil yang berada di atas meja. Sebagai bakal pelanggan besar Hotel Mawar Biru, kami memang dilatih agar pandai mengambil hati pelanggan. Dengan cara membayar bil makan di restoren, ini sudah dapat memancing rasa terhutang budi pelanggan terhadap Hotel Mawar Biru. Itu antara taktik yang dipraktikkan sejak zaman Puan Mawarni lagi. Tapi hanya untuk bakal pelanggan besar sahaja.

Sebaik sahaja bil tersebut berada di dalam genggaman tanganku, Tuan Mokhtar terus mencapai pergelangan tanganku. Jari jemarinya yang kasar dan besar, seakan membungkus kemas jari jemariku yang halus dan kecil. Perlahan-lahan dia membuka genggaman tanganku. Aku tergamam. Bil itu ditariknya.

“ Saya bayar.” Ucapnya seakan berbisik. Aku terdiam seketika. Inilah kali pertama seorang lelaki berani menyentuh tanganku sebegitu rupa. Tidakkah Tuan Mokhtar lihat pakaianku yang bertudung litup? Sudah tentu dia boleh memahami fahamanku tentang halal dan haram dalam pergaulan antara lelaki dan perempuan? Atau dia sengaja buat tak faham.

Aku cuba bersikap sabar sedangkan jiwaku mula bergelora. Mukaku sudah masam dan mataku merenung tajam ke arah matanya. Dia mengerti aku marah padanya.

“ Maaf. Saya tak mahu menyusahkan Cik Aina. Biar saya saja yang bayar.” Dia merendahkan nada suaranya, sambil menggerak-gerakkan tangan di hadapan mukanya.

“ Er…Cik Aina, boleh Cik Aina temankan saya sarapan di sini lagi pada esok hari?”

“ Saya ni berkerja Tuan Mokhtar. Tidak seperti Tuan Mokhtar ada syarikat sendiri. Keluar masuk pejabat tiada siapa yang nak soal siasat. Maaflah Tuan Mokhtar.” Aku menjawab malas. Memang aku sudah tiada semangat lagi hendak bercakap dengan Tuan Mokhtar.

Tuan Mokhtar menganggukkan kepala. Aku menarik nafas panjang. Susahnya berkerja di bahagian pemasaran ini, asyik kena jaga hati pelanggan saja. Hati sendiri pula, dibiarkan terluka dan kemudian, sendirian pula merawatnya.

“Tapi tak mengapa Cik Aina, saya boleh minta kebenaran Encik Khairul kalau awak setuju.”

Aku menggelengkan kepala sambil tersenyum nipis. Humm!Aku sudah tidak sabar hendak beredar pergi.

“ Cik Aina, ini untuk hari ini ya. Sedikit saguhati ikhlas dari saya sebagai membalas kesudian Cik Aina temankan saya makan pagi. Sebenarnya nilai pertemuan ini lebih dari apa yang ada dalam sampul surat ini. Lain kali kita makan malam bersama? Jangan kecewakan saya, please.” Tuan Mokhtar menghulurkan satu sampul surat ke arahku. Suaranya seakan merayu dan lembut beralun di telingaku.

Aku tidak sedap hati. Sampul yang dihulurnya tidak aku terima.

“ Apa ni Tuan Mokhtar?” Soalku.

“ Ambillah.”

Sampul tersebut aku ambil. Kemudian aku membukanya. Satu keping wang kertas bernilai satu ratus ringgit berada di dalamnya. Mataku berpinar. Lalu aku menatap seraut wajah Tuan mokhtar. Senyuman merekah di bibir lelaki itu. Matanya juga seakan tersenyum. Tanganku menggeletar. Saat itu juga darahku seakan bersatu, naik menderu ke atas kepala. Lantas ringan sahaja tanganku mencampak wang itu kembali ke atas meja.

“ Duit haram!” Ujarku, keras.

Tanpa banyak bicara, aku mencapai tas tanganku lantas meninggalkan Bangi Best Kopitiam. Hatiku sudah lama tercalar. Namun sesekali aku tidak membenarkan sesiapa pun mencalarkan maruah diriku, hatta pekerjaanku ini. Duit boleh aku cari, tetapi harga diri tidak mungkin dapat dijual beli. Aku hidup bukan untuk menjunjung dunia sahaja, aku juga menjunjung agama.