Isnin, 23 April 2007

Bab 2....Asrama Ini


Sekarang…

Bangunan Asrama Darul Fikriyah masih tersergam indah dan utuh pada kunjunganku kali ini. Beberapa batang pokok pinang berjajar di sepanjang tembok bangunan seakan menyambut kehadiran bekas penghuni lamanya dengan penuh rasa bangga. Warna hijau kuning yang menjadi warna rasmi Darul Fikriyah masih segar mewarnai seluruh tembok dan pagar, malah turut menjadi warna tema kerusi dan alas meja di kantin asrama.

Baru tadi aku selesai berurusan dengan kerani bertugas, iaitu Wan Amani. Gadis berusia awal dua puluhan itu kukira merupakan kerani yang keenam bertugas di pejabat urusan Darul Fikriyah. Bayang-bayang Puan Saadiah, kerani paling lama bertugas di situ semasa zaman kecilku acapkali bermain di bebola mataku. Wanita berbadan gempal itu memang sarat dengan sikap keibuannya. Puan Saadiah bukan sahaja kerani tetapi juga merangkap cikgu, kaunselor, ustazah mengaji malah tukang jahit baju kami yang koyak. Sememangnya itu bukan tugas Puan Saadiah tetapi dia sendiri yang rela melakukannya tanpa paksaan sesiapa.

Aku menghayun langkah ke perkarangan utama asrama. Jam sudah menunjukkan pukul sebelas pagi. Orang yang ingin aku temui masih tidak kelihatan. Mungkin lelaki itu keluar agaknya, fikirku. Jikalau aku pulang sekarang sudah pasti kedatanganku pada kali ini akan menjadi kedatangan yang paling hambar. Sejak lelaki itu aku kenali, dia sering menjadikan aku seorang perindu yang tidak mengenal waktu. Siang, malam, pagi atau petang wajah lelaki itu bagai tidak ada batasannya akan memasuki ruang khayalanku. Bagai tiada sempadan.

Ahh..beri masa lima belas minit lagi pada diri sendiri, nanti muncullah dia. Hati kecilku merayu dalam bawah sedar dan akalku membenarkan secara tidak langsung. Tiba-tiba kedengaran suara nyaring memanggil namaku. Aku menoleh ke belakang.

“ Kak Jihah, eeei cantiknya hari ni. Widad nak pakai baju macam Kak Jihah lah. Widad suka sangat baju ni.”

Seorang budak perempuan yang berusia sekitar enam tahun dengan pipi comot berlumur coklat berlari-lari anak ke arahku. Jari jemari kanannya menyentuh permukaan kain jubah hijau yang aku pakai.

“ Ala Widad! Aduhhhh….kotor dah baju kak Jihah. Allah Widad…Widad.” Pantas aku mengelap kotoran yang melekat di jubahku dengan sehelai tisu tapi kotoran itu semakin merebak tak ubah seperti peta negeri China di atas sehelai kain berwarna hijau.

“ Aaaaa….Widad tak sengaja.” Tuturnya sambil menjilat aiskrim coklat dengan berselera. Agaknya Widad tahu aku bukan seorang yang pemarah lebih-lebih lagi dengannya, maka tidak tergambar langsung rasa bersalah di wajahnya. Ah, budak kecil, anak yatim pula. Apatah lagi si Widad ini, dia tidak diasuh oleh seorang perempuan yang bergelar ibu jadi emosinya kurang berkembang. Aku tidak hairan melihat Widad masih lagi boleh berbual denganku seolah-olah tiada apa yang berlaku sebentar tadi.

“ Kak Jihah nak rasa ais krim Widad tak? Sedap tau?” Mulut kecilnya itu sempat bersuara sambil dia menghulurkan ais krim yang sudah tinggal tiga suku kepadaku. Mataku tertancap ke arah hidungnya yang masih digenangi hingus.

“ Kak Jihah tak makan aiskrim pagi-pagi.” Balasku, “ Widad kan selsema, mana boleh makan aiskrim. Kalau batuk, demam ke… nanti Widad yang susah. Tak dapat pergi sekolah.”

Widad nyata tidak mengendahkan nasihatku, sebaliknya semakin berselera menikmati aiskrim coklat itu. Aku melarikan pandanganku ke tempat lain apabila terlihat air hingusnya meleleh ke permukaan aiskrim. Widad semakin rancak menikmati aiskrim coklatnya.

“ Err…Kak Jihah nak pergi kantin sekejap ya.” Ujarku lantas aku meninggalkan Widad keseorangan di perkarangan asrama. Aku kira Widad sudah tidak mengendahkan lagi kehadiranku kerana dia sudah ada aiskrim coklat kesukaannya.



Kantin asrama masih lagi seperti dulu. Jika berbeza pun cuma warna catnya serta beberapa buah almari hiasan yang diletakkan di sudut kantin. Pandanganku terarah pada sebuah meja yang berada di hadapan pintu masuk kawasan dapur. Aku masih lagi ingat meja itu. Meja kayu bulat yang boleh berpusing di bahagian tengahnya, merupakan meja khas untuk tetamu penting di Asrama Darul Fikriyah satu waktu dulu.

Di meja itulah tempat Bik Yati menangis tersengguk-sengguk apabila aku ‘naik angin’ secara tiba-tiba. Peristiwa itu biar pun sudah tiga belas tahun berlalu tetapi masih segar di ingatanku. Terkadang aku berasa menyesal kerana bersikap kasar dengan Bik Yati pada hari itu. Tetapi aku sedar, Bik Yati tidak harus bercerita tentang masa silamku dan menokok tambah sesuka hatinya lantas menganggapnya sebagai satu gurauan.

Ahhh! Kesalahan Bik Yati telah lama aku maafkan, jadi tidak perlulah aku ungkitnya lagi. Lagi pun selama berbelas tahun aku di Darul Fikriyah, dialah orang yang menyediakan makan minumku. Masakannya biarpun dimasak dalam kawah tetapi tetap lazat dan menyelerakan. Aku dapat merasakan kasih sayangnya tatkala melihat lauk pauknya yang dimasak dengan bersungguh-sungguh dan bukan ala kadar.

Jam sudah menunjukkan pukul dua belas tengah hari. Beberapa orang penghuni asrama memberi salam padaku. Atilia, Nurul Huda, Wan Normi dan Tuti nampak riang sahaja hari ini. Maklumlah hari Sabtu. Hari cuti. Banyak pula rancangan kartun di television. Anak-anak yatim ini memang bertuah kerana memiliki semua kemudahan yang diperlukan tidak kira kemudahan tempat tinggal, pendidikan, kebajikan dan permainan. Tapi seperti mana aku suatu ketika dulu, biar pun semuanya nampak sempurna tapi emosiku ‘cacat’. Tanpa belaian, malah kata-kata dorongan serta didikan dari seorang ibu dan seorang bapa, konflik dalaman yang aku alami sungguh hebat. Jiwaku bagai tiada pedoman, penuh kekeliruan malah sering bergolak.

Namun, aku bersyukur kepada Allah S.W.T yang melindungiku sepanjang masa. Doaku saban hari untuk berjaya, akhirnya termakbul jua. Biarpun hanya memiliki Diploma Pengurusan Perniagaan, aku kira pencapaianku ini boleh dibanggakan. Pencapaian yang memberangsangkan bagi seseorang yang hidup, tiada berkeluarga dan tanpa dorongan sesiapa.


Aku masih di Darul Fikriyah lagi. Orang yang aku cari-cari tidak kelihatan. Aku sedikit hampa. Tetapi segera aku pujuk hatiku agar memperbetulkan niat. Bukankah tujuan aku datang ke Darul Fikriyah ini untuk memberi nasihat dan kaunseling untuk beberapa orang anak yatim yang bermasalah? Juga untuk menyampaikan sedikit sedekah yang kukira sebagai membersihkan harta dan jiwa dari terus leka mencintai kehidupan. Jadi, tidak perlu rasa hiba jika si dia tidak aku temui hari ini.

Tanpa menunggu lebih lama, akhirnya Asrama Darul Fikriyah aku tinggalkan. Si dia masih lagi tidak kelihatan. Rinduku padanya kian sarat. Bohong kalau aku katakan, aku akan pulang dengan tenang. Sepanjang kaki melangkah, aku masih berharap dapat bertemu dengannya. Terkadang aku bertanya pada diri, adakah kedatanganku ke Darul Fikriyah sunghuh-sungguh kerana adik-adikku di sini atau kerana pukulan rinduku yang menghambat?

Humm…mungkin serampang dua mata.

Bab 1 ..........Siapa Aku?

Bagaimana harus aku ceritakan tentang kisah yang menyelubungi hidupku lebih dua puluh tahun nan lalu. Sebuah kisah yang telah membawa aku ke sini, ke daerah ini dan rumah ini. Kalau boleh, ingin sekali aku memadamkan kedukaan ini namun apakah dayaku. Inilah sejarahku, ini masa silamku. Ia 'hidup' dalam diriku.

Namun, setelah aku fikirkan, mungkin ada baiknya aku berkongsi kisah-kisah ini dengan mereka yang senasib denganku. Biarpun membongkar diari semalamku bisa membuatkan sanubariku merayap dendam, nestapa dan derita tetapi di akhirnya aku akui, ini semua ada hikmahnya. Biarlah aku perkenalkan diriku ini terlebih dahulu kepada kalian. Namaku Aina Najihah, seorang anak gadis yang berbintikan ‘Abdul Fattah Bin Haroon’. Siapa Abdul Fattah bin Haroon, ayahku atau siapa ya? Entahlah. Aku pun tidak pasti apa istilah yang sesuai untuk insan ini kerana namanya telah terpampang di dalam sijil kelahiranku. Dan kiranya aku boleh memilih, ingin sahaja aku memadam nama itu. Tapi apakan daya, bukankah sudah menjadi kemestian untuk meletakkan nama bapa di dalam sijil kelahiran?

Dan di ruangan nama ibu pula, nun jelas tertera, perkataan ‘Fatmah Binti Tamsis’ entah wanita mana yang tidak pernah kujumpa sehingga umurku mencecah dua puluh tujuh tahun. Lebih jelas lagi, sehingga ke hari ini. Dan kadang kala aku terfikir, mungkin nama Ustazah Raihanah, perempuan bertudung labuh yang bertanggungjawab membawa aku ke Darul Fikriyah lebih sesuai digantikan dengan perkataan ‘Fatmah Binti Tamsis’.

Humm…kalaulah bukan kerana Ustazah Raihanah yang membawa aku ke Darul Fikriyah ini tatkala aku berumur empat tahun, entah apalah agaknya nasibku. Mungkin aku akan menjadi budak yang diperdagangkan di lorong-lorong hitam demi memuaskan nafsu manusia. Atau mungkin juga aku dijadikan ‘hamba manusia’ yang akan memerah kudratku selagi aku bernyawa. Sesungguhnya dunia yang mengejar kemewahan ini akan memungkinkan apa sahaja berlaku ke atas tubuh kecilku yang ketika itu masih mentah.

Dan jikalau bukan kerana mulut lepas Bik Yati yang menceritakan sebab musabab mengapa aku berada di Darul Fikriyah ini, sudah tentu dendamku terhadap kedua ibu bapaku tidak berbukit hari demi hari. Dan jikalau tidak kerana cerita itu, sudah tentu badanku tidak akan selangsing hari ini.

Sembilan belas tahun yang lalu……

“ Dulu, ibumu ngak mau bawa kamu ke Indonesia kerna badanmu bulat gitu. Gemuk sekali, kayak ikan buntal! Jika kamu naik tongkang…..nah… pasti tongkang itu bisa tenggelam.”
Ibu Yati yang juga tukang masak di Darul Fikriyah kian rancak bercerita tentang asal usul kedatanganku ke asrama anak-anak yatim ini. Aku yang pertama kali mendengar perihal sejarah silamku, tertarik untuk terus mendengar kata-kata Bik Yati.

“ Ibumu perlu ke Medan demi tuntutan kerja. Yahhhhh…kerja di kelab dangdut ngak boleh bawa anak. Ibumu butuh uwang. Jadi kamu diserahnya sama seseorang.” Terang Bik Yati sambil tangannya lincah mengupas bawang merah. Aku yang baru berusia lapan tahun pada ketika itu, amat tersentuh dengan cerita dari Bik Yati. Lalu mataku memandang perutku yang agak buncit serta telapak tanganku menyentuh kedua pipiku yang tembam. Hatiku dicuit pilu.

“ Orang itu kawan ibumu sendiri. Tapi dia enggak jujur. Duit ibumu diambilnya tapi kamu enggak dikasihani. Lalu kamu ditinggalkannya di pasar ikan. Nasibmu baik, Ustazah Anah jumpa kamu berjalan-jalan di tepi pasar. Lantaran kamu ngak tau mau pergi mana, nahh…dia usahakan tempat tinggal untuk kamu dan akhirnya kamu terus dibawa ke asrama ini.” Tutur Bik Yati, biar pun tatkala itu ‘hujan lebat’ telah melanda hatiku.

Mungkin Bik Yati tidak tahu, walaupun wajahku nampak tenang ketika dia sedang asyik bercerita tetapi hatiku sudah mula bergelombang. Sedih, pilu dan perasaan rendah diri mula tumbuh subur di ruang sanubariku. Kalaulah Bik Yati tahu, betapa ceritanya itu telah meninggalkan kesan yang mendalam ke dalam jiwaku selama bertahun-tahun. Ahh..kalaulah Bik Yati tahu. Ya! Sejak hari itu, aku sering menangisi nasibku. Kerap juga aku menyalahkan tubuhku yang gemuk sebagai punca aku berpisah dengan ibu. Lantas, aku berusaha menjaga makan minumku. Aku bertekad, aku mahu kurus. Aku mahu ibuku menyesal kerana meninggalkan aku. Aku mahu ibuku tahu, anaknya ini tidak gemuk lagi seperti dulu tetapi seorang budak yang cantik dan cerdik.

Namun, semuanya tidak seperti yang aku fikirkan!


Lapan tahun selepas itu…….

Semua rahsia terbongkar jua akhirnya. Ternyata cerita Bik Yati itu tidak benar sama sekali. Suatu hari, aku dipelawa menyertai perbualan Ustazah Raihanah dengan Puan Ainon Ariff, guru kelasku yang ingin mengetahui tentang latar belakangku. Pada mulanya Ustazah Raihanah agak keberatan hendak bercerita namun Puan Ainon Ariff berkata, ‘ tiada apa yang perlu dirahsiakan kerana Aina Najihah sudah dewasa untuk mengetahui tentang ibu bapanya sendiri’.

Akhirnya, aku pun mendengar serba sedikit tentang kisah silamku. Berdasarkan cerita Ustazah Raihanah, aku ini bukan anak yatim walaupun aku tinggal di Asrama Anak-Anak Yatim Darul Fikriyah. Katanya, ibuku telah menyerahkan aku kepada seorang perempuan yang berkerja di pasar Benut, Johor dan aku di ‘letak sementara’ di bawah jagaan perempuan yang bernama Kak Badariah. Sebagai balasannya, perempuan itu diberi wang upah oleh ibuku. Setelah ibuku pulang ke Medan, perempuan itu nyata tidak berpegang kepada janjinya. Kesihatanku dan kebajikanku langsung tidak diendahkan. Ustazah Raihanah ada berkata, ibuku hendak ke Medan, Indonesia kerana mahu pulang ke pangkuan keluarga setelah ayahku bernikah dengan perempuan lain di Malaysia.

Aku bertanya kepada Ustazah Raihanah, adakah kerana aku ‘gemuk’ maka ibuku tidak membawa aku pulang bersamanya ke Indonesia? Ustazah Raihanah menggeleng kepala dan menasihati aku agar berbaik sangka sahaja dengan ibuku kerana dia sendiri tidak tahu sama ada perempuan di pasar Benut itu bercakap benar ataupun tidak.

Mungkin Ustazah Raihanah fikir, aku akan berbaik sangka terhadap kedua orang tuaku. Tidak. Sesekali tidak. Sampai hari ini, aku masih beranggapan mereka sengaja membuangku dari hidup mereka. Jika tidak, apa usaha yang telah mereka lakukan untuk mencari diriku? Mengapa aku ditinggalkan bersama orang lain di Malaysia? Kenapa aku tidak dibawa ke Indonesia? Oh! Tidakkah ibu mengingati aku sebagai anaknya?

Airmataku gugur dengan lajunya pada hari itu. Tetapi, ada sesuatu yang bermain di fikiranku. Aku ditinggalkan bukan kerana tubuhku yang gemuk dan gempal! Bik Yati. Ya.. Bik Yati telah berbohong padaku. Saat itu kepalaku seakan berasap. Wajah Bik Yati yang bujur, dan matanya yang bulat serta jeragat yang bertepek di kiri kanan pipi jelas tergambar di fikiranku. Perasaan geram seakan tidak mampu dibendung lagi. Hari itu, baru aku tersedar yang aku dibohongi selama bertahun-tahun oleh Bik Yati.

Sebaik sahaja aku pulang dari sekolah pada petang hari yang sama, orang pertama aku cari adalah Bik Yati. Apabila ternampak Bik Yati sedang sibuk mengemas pinggan-pinggan kotor di atas meja kantin asrama, aku terus berdepan dengannya. Aku memintanya berterus-terang denganku tentang cerita yang dikhabarkan padaku ketika aku berusia lapan tahun.

Entah apa jawapan Bik Yati sama sekali aku tidak sedar. Tetapi seingatku Bik Yati sudah menangis tersengguk-sengguk di bangku kantin asrama sewaktu aku meninggalkannya. Beberapa pekerja asmara cuba menenangkan Bik Yati manakala aku pula terus meninggalkan perkarangan kantin lantas menuju ke Bilik Puteri 4. Hari itu, aku menghamburkan seluruh duka lara yang terpendam selama hampir lapan tahun sejak Bik Yati memberitahuku tentang ‘kisah silamku’ yang baginya cuma gurauannya sahaja. Petang itu juga, bantalku sudah basah dek air mata. Tidak ada seorang pun kawan-kawan di Bilik Puteri 4 yang berani menegurku. Mungkin selama ini mereka tidak pernah menyaksikan ‘Aina Najihah’ mengalirkan air mata.

Sejak peristiwa tersebut, aku telah membuat kesimpulan. Aku bukanlah anak yatim, tetapi aku telah diyatim piatukan oleh dua manusia yang tidak mempunyai jiwa. Aku benci kepada dua manusia itu. Benci. Dan jiwaku benar-benar menderita kerana sehingga hari ini masih berterusan mengusung pelbagai persoalan yang masih belum terjawab.