Isnin, 6 Ogos 2007

Bab 13.............Siapa Ibuku?


Tiga hari selepas peristiwa pertemuan yang memilukan itu, aku bagai layang-layang terputus tali. Jiwaku tak tentu arah. Sedih, gelisah, kecewa dan terkilan. Bak kata orang, mandi tak basah, makan pun tak kenyang. Apa jua tindakan yang aku lakukan, semuanya terasa hambar belaka. Kosong. Tiada makna.

Salah aku juga kerana sering bermain dengan perasaan. Sering berangan-angan Ameer Mulhim akan memilih aku menjadi suri hidupnya. Arghh! Sungguh melukakan sekali apabila aku tahu Ameer Mulhim juga menyimpan perasaan terhadapku. Salah kami kerana tidak meluahkan lebih awal. Hendak menyesal pun tiada gunanya. Hendak tak hendak, aku terpaksa pasrah. Redha dengan ketentuan Ilahi. Aku dan Ameer Mulhim memang tiada jodoh.

“ Jihah, kau tak makan lagi kan? Sekarang dah pukul sepuluh. Nanti perut kau masuk angin.” Tegur Roon dengan lemah lembut. Roon memang ambil berat tentang keadaan aku sejak dua tiga hari ini. Dirinya tak ubah seperti seorang ibu pula. Kalau aku lambat makan, pasti Roon akan membawa sepinggan nasi siap dengan lauk pauk.

Sudah aku katakan, Roon memang kawan suka dan duka. Dia juga punya kelemahan ( sensitif dan kadang kala suka cakap lepas ) tetapi Roon seorang yang penyayang dan rela bersusah demi kawan.

“ Aku tak lapar Roon.” Balasku lemah lalu mengukir senyum tawar buat Roon.. Lantas aku berjalan longlai menuju bilik air, mengambil wuduk dan kemudian bersiap sedia menunaikan solat Isyak. Selesai solat Isyak, aku menunaikan solat Hajat dua rakaat.

Dalam ketenangan malam itu, aku panjatkan doa kepada Allah S.W.T. Biarlah airmata berlinangan membasahi tikar sejadah, aku tidak malu meluahkan kekecewaanku kepada Yang Maha Esa. Ya. Memang aku mengharapkan Ameer Mulhim menjadi teman hidupku. Aku tidak yakin ada lelaki yang lebih sesuai dari Ameer Mulhim yang boleh membimbing hidupku, dan membahagiakanku. Kini, setelah apa yang aku impikan tidak kesampaian, aku bagai terus tersentak, tersedar dari mimpi yang panjang.

Namun dalam kepasrahan ini, aku memohon ke hadrat Ilahi. Mudahan-mudahan perjalanan hidupku di hari depan, masih berada di bawah bimbingan-Nya jua di dalam lindungan-Nya. Aku benar-benar berserah pada Allah S.W.T dan aku yakin, pada suatu hari nanti kekecewaan yang aku hadapi dengan tabah ini, akan digantikan dengan sebuah kebahagiaan. Bila dan bagaimana? Hanya Allah S.W.T sahaja yang tahu.

Sabarlah hati! Sabar.


Diam tak diam, sudah dua minggu aku jadi penganggur terhormat. Selama itu juga, Roon tidak pernah menimbulkan soal ‘cari kerja’ kepadaku. Agaknya Roon faham, aku tak ubah seperti sudah jatuh ditimpa tangga. Cinta tidak kesampaian, kena pecat dari pekerjaan. Memang sudah nasib badan. Apa nak buat, segala ketentuan terpaksa aku telan.

Bosan membuang masa di rumah, aku bertekad mencari kerja dalam bidang perniagaan berkaitan Travel Agency. Kalau tak dapat pun, aku berminat menjadi ejen hartanah. Memang sifatku, cenderung ke arah pekerjaan yang melibatkan interaksi dengan orang ramai dan bukan kerja pejabat ‘nine to five,.

Suatu hari, kira-kira jam sembilan pagi setelah Roon keluar berkerja, aku menuju ke rak suratkhabar. Semalam, aku ada membeli suratkhabar The Star. Memang tujuanku hendak mencari peluang perkerjaan, tetapi aku masih lagi di dalam dilema. Ikutkan hati, aku ingin menceburkan diri dalam bidang perniagaan. Bermodalkan sejumlah wang di bank, serta jika mendapat sokongan PUNB (Perbadanan Usahawan Nasional Berhad ), aku bercadang hendak membuka rumah tumpangan atau chalet. Semua impian itu, masih dalam pertimbangan lagi.

Sedang aku menyelongkar rak suratkhabar dan majalah, aku terpandang majalah Remaja yang pernah aku belek tiga minggu lalu. Serta merta hati aku menjadi sayu. Teringat ‘kuiz status kasih sayang si dia’ yang aku buat sehari sebelum bertemu Ameer Mulhim. Saat itu, aku dihimpit kepiluan, dan perasaan rendah diri. Aku berusaha menguatkan semangat. Aku buat-buat keras hati. Majalah Remaja itu aku simpan semula di dalam rak suratkhabar. Kemudian aku kembali menumpukan kepada suratkhabar The Star yang berada di balik Majalah Anis.

Belum sempat, tanganku mencapai suratkhabar, mataku tertancap ke arah sekeping surat yang belum lagi berbuka. Baru aku teringat, itu surat berantai yang aku terima tiga minggu yang lalu. Sepatutnya surat itu aku buang saja. Buat apa disimpan?

Sedang aku menatap surat tersebut, tanpa diduga aku tersedar sesuatu yang mencurigakan. Ya! Ejaan namaku. Sejak aku bersekolah sehingga aku berkerja, aku dikenali sebagai Aina Najihah binti Abdul Fattah. Namun, ejaan namaku kali ini berlainan sekali. Apa yang pasti, nama yang tertera itu adalah nama panggilan Ustazah Raihanah terhadapku. Ain Najihah Binti Abdul Fattah. Cop setem pun dari Seremban. Kalau begitu, sudah pasti surat ini dikirim oleh Ustazah Raihanah. Siapa lagi? Oh! Aku terlalu rindu kepada Ustazah Raihanah. Hampir dua belas tahun kami tidak bertemu. Ya Allah! Mudah-mudahan, surat ini dari Ustazah Raihanah.

Tanpa berlengah lagi, aku terus membuka surat tersebut. Gembiranya tidak terungkap dengan kata-kata. Aku rindu dengan wanita bertudung labuh yang berlesung pipit itu.

Assalamulaikum w.b.t,

Orang Semarang berbatik jawa,
Corak melati dagang membeli,
Walau jarang kita berjumpa,
Lupa di hati tidak sekali.

Untuk anak ummi Ain yang dikasihi, salam dari kejauhan ummi titipkan. Peluk cium buat Ain yang hampir bertahun tidak bersua muka. Semoga Ain dilindungi Allah S.W.T sentiasa.

Ain yang dikasihi, lama kita tidak bersua, banyak yang cerita ingin ummi khabarkan. Kalau tidak silap jangkaan ummi, Ain sudah menginjak usia dua puluh enam tahun. Sudah cukup matang untuk menentukan arah hidup. Justeru itu, dalam usia ummi yang hampir mencecah lima puluh tahun, ( ummi sudah tua sayang..) dan tidak tahu sampai bila bumi Allah S.W.T ini akan menerima ummi, ada baiknya ummi lunaskan hutang ummi buat anak ummi yang seorang ini.

Ain anakku,kira-kira dua puluh dua tahun lalu, Ain adalah seorang budak comel yang tiada arah tujuan. Tiada seorang wanita bergelar ibu yang mahu memimpin Ain dalam melalui kehidupan ini. Takdir telah menemukan Ain dengan ummi. Seorang wanita bernama Kak Badariah menyerahkan Ain kepada ummi setelah merasakan tidak mampu memikul tanggungjawab menjaga Ain. Apa yang ummi tahu, Kak Badar hanya kenalan biasa kepada ibu Ain. Apa yang sebenarnya terjadi, ummi sendiri kurang pasti.Maafkan ummi Ain. Ini sahaja yang dapat ummi Bantu sekiranya Ain ingin tahu susur galur keluarga Ain yang sudah bertahun terpisah.

Ain yang diingati, sebulan yang lalu, tanpa ummi jangka, Kak Badar datang mencari ummi di Darul Fikriyah. Tapi Ain tahukan, ummi sekarang berada Seri Impian, Seremban. Hari yang sama juga, Kak Badar mencari ummi di Seri Impian. Pertemuan satu jam itu membuka cerita tujuan sebenar pencarian Kak Badar. Ada sesuatu yang ingin diserahkan oleh Kak Badar sendiri kepada Ain. Apa dia dan mengapa baru Kak Badar mencari Ain, biarlah Kak Badar sendiri yang meluahkannya. Bagi ummi, ummi cuma membantu Kak Badar dan Ain sahaja.

Justeru itu, Kak Badar akan datang semula ke Darul Fikriyah pada awal bulan depan, hari Ahad. Harapannya, Ain dapat berada di sana jam tiga petang. Andaikata Ain tidak dapat ke sana, beritahulah ummi.. Jadi, tak perlulah Kak Badar naik ke Bangi.

Akhir bicara, apa jua yang bakal Ain hadapi yakinlah, setiap sesuatu yang berlaku itu adalah ujian dari Allah S.W.T. Jika ada kelapangan, ummi imgin sekali bertemu Ain. Ingat pesan ummi,

Ketapang redup di sawah padi,
Tempat bersua dua sekawan,
Mulia hidup kerana budi
Mulia jiwa kerana iman.

Raihanah Binti Abdul Rahim
Seri Impian, Seremban.


Surat itu aku lipat semula lalu aku masukkan ke dalam sampulnya. Aku cuba bertenang dan menstabilkan emosi yang mula tidak menentu. Tapi dadaku pula berdegup kencang. Aku seakan-akan terpukau. Terkejut. Sesuatu yang ada hubungkait dengan masa silamku bakal hadir dalam hidupku. Apakah maknanya semua ini? Adakah ini bakal membuka cerita sebenar mengapa aku dihantar ke Darul Fikriyah? Atau mungkin aku bakal mengetahui siapa ibu bapaku? Sungguh tak aku duga perkara seperti ini akan berlaku. Bertemu dengan wanita yang pernah menjaga aku ( walau sekejap) sewaktu aku kecil.

Serentak itu tangan dan kakiku seram sejuk. Aku bagai berada di alam fantasi. Benarkah aku akan bertemu dengan insan yang pernah mengubah takdir hidupku?
Oh! Adakah ini bermakna aku dapat mengetahui siapa ibulku? Tanpa berlengah lagi, aku berusaha untuk bangkit dan masuk ke bilik tidur. Tidak sanggup memikirkan semua ini lagi. Semua persoalan seakan mengasak kotak fikiran. Jiwa seakan berkecamuk. Otak pula naik tepu. Aku hendak baring atas katil. Ingin berselimut. Ingin tidur. Ya. Aku ingin bangun dan berharap ini semua satu mimpi.

Tapi apakan daya, aku jatuh terduduk di depan pintu bilik. Aku terbaring. Terlentang dengan mata buntang menghadap syliling rumah. Duni aseakan terhenti seketika. Entahlah, seingat aku apabila sedar, aku sudah berada di atas katil, dikelilingi Roon, Kak Dalilah dan suaminya Haji Taufik. Bau minyak angin menusuk-nusuk lubang hidungku. Roon ketawa senang sambil mengurut jari jemariku.

“ Jihah, kau dah sedar. Risau aku tadi tau tengok kau terbaring kat depan. Tuhan aje yang tau perasaan aku masa tu.” Omel Roon seakan berleter. Sayangnya kawan aku pada aku.

Aku pandang kiri, Kak Dalilah mengukir senyum paling mesra buatku, tangannya memegang kemas bahuku. Kak Dalilah bangkit dari katil, “ Baguslah Jihah dah sedar, Jihah penat agaknya. Bawak berehat ya.”

Bibirku mengukir senyum sekadar terdaya. Apatah lagi kepala masih lesu.

Belum sempat Kak Dalilah menuju ke muka pintu hendak pulang, pandanganku mula berpinar. Bahuku bagai disentap-sentap pula. Aku berusaha mengubah posisi badan, lantas berpusing ke kanan. Hajat hati ingin berpaut pada meja katil dan berusaha hendak duduk. Tapi aku sungguh tak berdaya. Dan ketika itu juga, mataku terarah kepada sekeping surat berdakwat hitam.

Surat itu. Aku tahu isi kandungannya. Aku tidak bermimpi rupanya. Ini kenyataan.

Jumaat, 3 Ogos 2007

Bab 12....Hati Sabarlah.



Roon memerhatikan aku dari atas ke bawah. Sesekali dia tersenyum. Dari tadi, tangannya asyik membetulkan hujung tudung yang berkelepet. Aku masih berdiri di hadapan almari solek. Setelah memastikan penampilanku kemas dan bersih, aku bergerak ke tepi almari dan mencapai tas tangan.

“ Jihah, pakailah lipstick sikit. Ambil aku punya warna oren pink-pink tu. Cantik tau.”

Aku menggeleng kepala. “ Tak payahlah.” Balasku. Kemudian aku berpusing ke arah Roon. “ Roon, baju ni kena tak dengan tudung ni? Nampak sepadan kan?”

“ A’ah. Sesuai…” ujar Roon dengan gaya Kak Engku Raja Azura. Aku tersenyum senang sambil membelek baju jubah seluar berwarna hijau lembut dengan tudung Turki bercorak abstrak warna kuning air, merah jambu dan hijau.

“ Kau nampak manis sangat Jihah. Aku yakin, abang Ameer Mulhim kau tu mesti tak jemu tengok muka engkau. Gerenti punyalah!” Puji Roon.

“ Ish, ke situ pulak.” Aku cuba berpura-pura tidak bersetuju dengan kata-kata Roon, “Amer Mulhim tu, aku anggap macam kawan baik je. Tak lebih dari itu.”

Roon mencebikkan bibirnya. “Boleh percaya ke?!”

Aku tidak mengendahkan kata-kata Roon sebaliknya aku lebih berminat mengunting anak-anak benang yang terkeluar dari cantuman tas tanganku. Saat itu juga, telefonku berbunyi. Aku sudah dapat mengagak siapa pemanggilnya.

“ Assalamualaikum Jihah. Abang ada dekat hentian bas Jalan Reko. Kalau boleh kami nak terus ke KL ni. Jihah, abang rasa baik Jihah datang sini, parking kereta di sini lepas tu kita naik bas ke KL. Macam mana?”

“ Boleh. Jihah tak kisah. Tapi kesian kat makcik Abanglah. Tahan ke makcik Abang naik bas. Kalau tak, kita naik kereta Jihah je. Bukan ramai sangat pun. Jihah, kawan Jihah, makcik Abang dan Abang.”

“ Abang rasa tak muat Jihah. Makcik Abang bawa anak perempuan dia.”

“ Budak lagi ke?”

“ Taklah, sepupu abang ni dah anak dara dahh Kalau kahwin, dah dapat tiga empat anak rasanya.” Aku terdengar suara perempuan ketawa. Ah! Pasti makcik Ameer Mulhim dan suara lunak manja itu adalah suara anaknya yang juga sepupu Ameer Mulhim.

“ Oh. Jadi, kalau macam tu tak muat agaknya. Macam nilah, Jihah sampai lagi lima belas minit. Tunggu ya.”

“ Baiklah. Assalamualaikum.”


Sambil memandu kereta Roon tidak henti-henti mengusikku. Aku dikatakannya manis, sudah cukup umur untuk mencari pasangan, selain itu Roon kerap kali menyuruh aku bertenang dan kawal perasaan apabila berhadapan dengan Ameer Mulhim. Kata Roon, jangan sampai aku tunjukkan yang aku suka terhadap Ameer Mulhim. Cukuplah sekadar satu pandangan malu-malu yang akan mengungkap segala perasaan yang terpendam.

“ Sudahlah Roon. Aku tak ada apa-apa pun dengan dia. Kami tak pernah cakap pasal cinta. Percayalah.”

“ Itu memang aku percaya. Kau berdua ni bercinta dalam diam. Masing-masing kelu lidah hendak mengaku.”

Betul Roon! Kau macam tahu saja. Tiba-tiba aku teringatkan soalan kuiz yang aku jawab semalam. Mengikut jawapan kuiz tersebut, Ameer Mulhim masih ragu-ragu tentang perasaannya terhadap aku. Benarkah begitu? Jikalau begitu, adakah kali ini dia akan mengungkapkannya.

Ish! Aku cuba mengikis perasaan karut marut yang mula mencuit tebing hatiku. Jangan percaya pada soalan kuiz tersebut. Itukan hanya tekaan sahaja. Hanya Allah S.W.T Yang Maha Mengetahui, dan aku sebagai manusia tidak mampu meramalkan apa yang tersirat dalam hati seseorang.


Perhentian Bas Kajang di Jalan Reko sudah berada di hadapan mata. Aku memarkir kereta di belakang perhentian bas itu, berdekatan dengan deretan kedai. Kemudian aku dan Roon melintasi jalan, menuju ke bahagian hadapan Stesyen Bas Kajang.

Aku terpandang ke arah seorang lelaki, seorang perempuan di usia emas dan juga seorang perempuan muda yang sedang menghadap Jalan Reko. Aku sudah dapat meneka, itulah Ameer Mulhim bersama sepupu dan makciknya. Mereka tidak menyedari kehadiran kami nampaknya. Roon mengerling ke arah aku.

“ Tu ke dia?”

“ A’ah.”

Kami melangkah ke arah mereka. Ameer Mulhim memakai baju hijau berseluar hitam. Hatiku berbunga ceria. Kami bagaikan sudah berjanji pula. Baju kami berdua sama warna. Sedondon!

“ Assalamualaikum.”

Ketiga-tiga mereka menoleh ke arahku.

“ Waalaikumusalam. Ni Jihah ke?” Makciknya bertanya. Aku sekadar mengangguk. Entah mengapa tiba-tiba lidahku kelu untu bersuara. Secara tiba-tiba aku jadi malu menatap wajah Ameer Mulhim yang sudah sepurnama tidak kutemui. Mungkin juga apabila berada bersama makcik dan sepupunya, aku berasa janggal.

“ Inilah Jihah Mak Ngah.” Ameer Mulhim mengukir senyum manis untukku. Jantungku berdegup laju. Senyumannya itu sungguh bermakna sekali di hatiku. Aku terlalu merinduinya. Terlalu.

“ Maaflah Jihah lambat sampai. Lama ke makcik tunggu?” Soalku.

“ Tak, kami makan kat atas tadi. Tak terasa pun.” jawab sepupu Ameer Mulhim. Sepupunya bertudung labuh, tinggi juga orangnya dan mempunyai raut muka yang manis dan lembut. Matanya kuyu sedikit, dan aku kira matanya mempunyai aura yang tersendiri.

Makcik Ammer Mulhim memegang pergelangan sepupu Ameer Mulhim, “ Ini Wan Insyirah, anak makcik. Sepupu Ameer. Tak lama lagi Ameer dan Insyirah nak nikah. Ni yang nak borong barang kahwin ni.”

“ Abang akan berumahtangga dengan Syira. Mesti Jihah terkejut sebab Abang tak pernah cerita pasal Syirah pada Jihah. Err..marilah kita bergerak dulu. Dalam bas nanti bolehlah kita borak panjang.”

Ameer Mulhim nak kahwin?! Aku bermimpikah? Aku pandang muka Ameer Mulhim bagai orang yang tiada perasaan. Kosong! Tiba-tiba kepalaku berpinar seketika, bagai baru dihentak dengan satu benda keras. Aku mengagahkan diri untuk berdiri. Roon mengerling ke arahku. Aku cuba bertenang, tidak mahu terpancar riak sedih dan keliru di wajah sedangkan aku sudah tidak tentu arah. Aku terkejut!


Bas yang kami naiki telah pun bergerak meninggalkan perkarangan Stesyen Bas Kajang. Aku duduk dengan Roon, manakala Ameer Mulhim duduk berseorangan di barisan kerusi bersebelahanku. Mak Ngah, makcik Ameer Mulhim dan sepupunya, atau bakal isteri Ameer Mulhim ( aku sudah tidak tahan lagi dengan berita yang tak ubah seperti satu letupan bom di jantung.) duduk jarak dua kerusi di hadapanku.

Syukurlah, aku tidak pengsan. Saat Mak Ngah memperkenalkan Insyirah padaku, serasa satu badan lemah longlai, dan semangatku bagai ditarik keluar dari badan. Seluruh jasadku terasa melayang-layang dan kalau nak diikutkan aku sudah tidak ada daya hendak melangkah. Roon di sebelahku sedar tentang keadaan yang aku alami. Sebenarnya, aku jadi malu. Aku malu pada diri sendiri, aku malu pada Roon dan malu terhadap Ameer Mulhim. Entahlah, aku juga malu hendak menatap seraut wajah Wan Insyirah yang bersih dan lembut.

Bas bergerak agak laju. Roon menepuk-nepuk bahuku. Aku faham, Roon sudah dapat menghidu perasaanku yang sebenar terhadap Ameer Mulhim. Aku juga tahu, Roon dapat meneka betapa hancur dan kecewanya aku di saat ini apabila mengetahui selama ini aku bertepuk sebelah tangan. Selama ini, aku kira Ameer Mulhim sayang padaku, mencintaiku dan dia amat memerlukanku dalam hidupnya. Cara Ameer Mulhim berbual denganku, memanggil namaku dan layanannya terhadapku menggambarkan betapa tingginya aku di matanya, di hatinya. Aku sedar tentang itu.

Tidak! Aku bukan berangan-angan. Aku sedar Ameer Mulhim menyayangiku.

“ Jihah, kau okey?” Roon bertanya perlahan. Aku mengangguk Kemudian, aku berpaling pada Roon.

“ Roon! Roon….aku….isk..isk..”

“ Bertenang Jihah. Aku faham.”

“ Roon….”

Bas masih bergerak laju. Sesekali bas berhenti, dan Ameer Mulhim kulihat acapkali menoleh ke belakang. Ke arahku agaknya! Apa yang ingin dikatakan padaku? Entahlah. Mungkin selama ini aku banyak bermain dengan perasaan sendiri. Aku cuba untuk tidak mengendahkan Ameer Mulhim lagi. Namun aku tidak mampu. Mataku bagai ditarik-tarik untuk melihatnya.

“ Sabar Jihah. Mungkin kau salah anggap tak, Jihah. Dia dah ada buah hati sebenarnya. Dia anggap kau macam adik dia Jihah.”

“ Roon..aku tak sanggup. Isk…isk..”

“ Bawa mengucap Jihah.”

“ Astargfirullah…Subhannallah..astargfirullahualadzim.”

Aku beransur tenang sedikit berbanding tadi. Namun kepiluan masih membelenggu jiwaku. Airmataku bagai sudah tidak mampu di tahan-tahan lagi. Mengalir setiap detik masa. Aku tidak pernah terbayang perkara seperti ini akan berlaku, pada pertemuan ini. Pertemuan yang selama ini amat aku nantikan. Aku terkenang, betapa aku beria-ia mencari baju yang sesuai, menggosok baju sepenuh hati, membongkar laci yang memuatkan pelbagai koleksi tudungku dan memilih tudung yang sesuai.

Aku juga berasa sebak apabila mengingatkan betapa tekunnya aku menggunting benang-benang yang terkeluar dari tas tanganku. Sesungguhnya, aku benar-benar ingin bersedia menemui Ameer Mulhim pada hari ini. Dan hari ini, akhirnya aku benar-benar kecewa.


“ Jihah, Abang tak tahu nak berhenti di mana. Jihah tekankan loceng ya.” Tegur Ameer Mulhim yang secara tiba-tiba muncul di sebelahku. Aku mengangguk dan menyimpul senyum mesra. Ameer Mulhim membalas senyumku. Ameer Mulhim merenung ke arah sepasang mataku. Aku jadi tidak tentu arah. Kemudian Ameer Mulhim duduk di tepi kerusi kosong berdekatanku. Saat itu, aku dapat merasakan jari Roon mencuit pinggulku. Kemudian Roon berbisik, “ Kawal perasaan kau tu sikit!”

“ Kenapa Jihah nampak tak ceria macam selalu? Abang menyusahkan Jihah ke?”

Aku menoleh ke arah Ameer Mulhim. Lelaki berkulit putih, mempunyai seulas bibir merah yang basah dan sepasang mata hitam, dan berambut lurus itu masih menatap wajahku. Aku cuba menahan gelora rindu yang menerjah sanubari. Aku cuba menyembunyikan perasaan sayang dan rindu yang kian sarat di jiwaku. Dalam masa yang sama, aku cuba menyorokkan perasaan cemburu, sedih dan kecewa yang menggigit sukmaku.

” Jihah nampak macam tu ke? Tak adalah. Jihah pening kepala naik bas. Dah lama tak jalan pusing-pusing macam ni.”

“ Oh! Ya tak ya juga. Siapa nama kawan Jihah?” Ameer Mulhim menoleh ke arah Roon.

“ Khairun Nisa’ panggil Roon.”

“ Roon apa khabar? Roon asal mana?”

Roon menggerakkan badan ke hadapan sedikit bagi membolehkan dirinya melihat Ameer Mulhim.

“ Saya orang Negeri Sembilan. Orang Pilah.”

“ Oh! Pandailah Jihah cakap loghat Neghori la ni. Ada yang ajar..” Ameer Mulhim berlelucon tapi aku tak ketawa sedikit pun. Mata aku terarah ke sepasang mata Wan Insyirah yang mengerling ke arah kami sepintas lalu.

Mungkin kerana aku tidak banyak bercakap atau tidak seperamah dulu, Ameer Mulhim kembali duduk ke kerusi tadi.

Tempat pertama yang kami tuju adalah Arked Sutera di Jalan TAR. Aku yang mencadangkan kami ke situ kerana Wan Insyirah memberitahu, dia teringin memiliki sepasang baju Sutera Korea corak terbaru.

“ Kalau Syirah nak baju tu, dekat kedai depan tu banyak. Harganya boleh tahan murah. Boleh tawar menawar pula tu.” Ujarku.

Kami terus menuju ke tempat yang aku maksudkan. Hampir dua puluh minit memilih kain, akhirnya Wan Insyirah membeli sepasang baju warna merah hati berbunga kecil kuning lemak ketam. Hatiku berdegup kencang dan aku terpaksa menoleh ke arah lain apabila Ameer Mulhim mengeluarkan duit dari dompetnya dan menghulurkan kepada penjual kain itu. Agaknya, itu kain hantaran perkahwinan mereka. Mungkin kerana itu, Ameer Mulhim yang membayarnya.

Serta merta perasaan sayu dan pilu menyusup ke jantung hatiku. Aku terasa seolah-olah diriku dipergunakan dan aku terasa bodoh sekali.

Kemudian kami menuju ke dua tiga buah kedai lagi dan Wan Insyirah membeli beberapa helai kain. Dari jauh aku lihat Ameer Mulhim asyik membelek sehelai kain yang berwarna hijau muda yang bersulam kerawang bunga melur dihujungnya. Cantik. Mesti mahal, desis hatiku. Wan Insyirah tersenyum melihat gelagat Ameer Mulhim membalut sedikit kain itu di badannya.

“ Cantikkan?” Ameer Mulhim melaung sedikit dan Mak Ngahnya mengangguk. “ Ini kain yang Abang paling berkenan.” Beritahu Ameer Mulhim.

“ Pandai mu pilih, Meer. Syirah, kain Ameer pegang tu molek benor. Mu tak kenan ke?”

Wan Insyirah ketawa kecil. Ah! Tergambar betapa bahagianya Wan Insyirah pada hari perkahwinannya nanti di mataku. Patutlah Ameer Mulhim memilihnya. Orangnya lemah lembut, wajahnya cantik, bersih sekali kulitnya dan yang membuatkan aku rasa rendah diri, Wan Insyirah ada ibu. Tidak seperti aku. Kalau Ameer Mulhim memilih aku, Ameer Mulhim tidak akan merasa beribu mertua dan beripar duai. Aku menundukkan kepala. Airmataku tiba-tiba bergenang. Aku tidak sedar berapa lama aku mengelamun, sedar-sedar Roon memaut bahuku.

Penat berjalan, kami menuju ke Masjid India. Ameer Mulhim berhenti sembahyang di situ, dan Wan Insyirah serta Mak Ngah menuju ke ruang solat perempuan. Aku menemani mereka. Mak Ngah beberapa kali mengomel. Letih katanya. Apa tidaknya, terpaksa naik tangga yang tinggi sewaktu hendak menuju ke ruang solat wanita. Aku yang muda pun terasa bagai nak putus pinggang, inikan pula Mak Ngah yang berpunggung besar. Kasihan Mak Ngah.

Selepas solat, Ameer Mulhim mengajak kami makan di Restoran Bilal. Aku ikut sahaja, dan aku sudah bertekad, selepas ini aku hendak balik. Lagipun aku kasihankan Roon, hari Ahad yang merupakan hari Roon bercuti, bakal menjadi hari yang paling memenatkan Roon.

Sedang aku menunggu pelayan datang ke meja kami, Wan Insyirah datang. Ameer menarik kerusi untuk Wan Insyirah. Hatiku tiba-tiba terguris, luka. Aku jadi cemburu tidak menentu. Aku tidak sanggup lagi melihat Wan Insyirah, Setiap kali Wan Insyirah memandang aku, aku terasa dia mengejek aku. Apabila Wan Insyirah berborak dengan Roon, aku sedar Ameer Mulhim mencuri pandang ke arahku. Aku jadi benci dengan suasana sebegini.

Tidak tahan berperang dengan perasaan, aku meminta diri keluar sebentar. Alasanku hendak membeli minyak cap kapak. Kepalaku pening. Mak Ngah nyata ambil berat dengan keadaanku.

“ Patutlah Mak Ngah tengok Jihah tok banyok royak. Meh sini, biar Mak Ngah picit sikit belakang tu.”

“ Tak pa, Mak Ngah. Jihah pakai minyak kapak sikit, eloklah nanti.”

Aku terus menuju keluar kedai. Sebaik sahaja sampai di kaki lima, airmataku merembes laju. Aku buat tak endah pada keadaan sekeliling biarpun ramai orang yang lalu lalang menoleh ke arahku. Aku mencari tisu di dalam tas tangan. Airmata yang mencurah bagai tidak mampu dibendung lagi. Dadaku begitu sebak. Aku menangis sepuashati. Kuayunkan langkahku laju menuju ke Pustaka Minerva yang berhampiran. Sampai sahaja di sudut hujung dalam Pustaka Minerva, aku menangis semahu-mahunya. Biarlah segala duka dan kecewaku terhambur keluar. Biarlah. Kelak, bila aku pulang semula ke meja makan, keadaanku akan pulih seperti biasa.

Tanganku berpaut pada rak buku bahagian novel melayu. Seorang wanita muda berbangsa India menuju ke arahku. Melihat aku sedang menangis, dia bagai memahami keadaanku, lalu dia meninggalkan aku sendirian. Aku sedar, kali ini aku perlu kuatkan semangat. Aku tiada pilihan. Ameer Mulhim akan berkahwin. Wan Insyirah adalah pilihannya. Redhalah. Terimalah ketentuan ini!

“ Jihah sayang Abang, Jihah rela abang pilih orang lain. Selamat Pengantin Baru, Abang.” Kuungkapkan kata-kata itu setulus hatiku setelah yakin aku boleh menghadapi kenyataan ini.

Tanpa berlengah lagi, aku mencapai minyak cap kapak yang memang sudah tersedia di dalam tas tanganku. Baru sahaja, aku hendak membuka minyak cap kapak, aku terasa ada seseorang berada di belakangku. Mungkin terasa diri diperhatikan, aku diserang kebimbangan. Aku berpusing ke belakang.

“ Jihah? Siapa yang hendak kahwin Jihah? Kenapa Jihah menangis?”

Mataku bersatu dengan mata Ameer Mulhim. Aku terpegun. Bagaimana tiba-tiba sahaja Ameer Mulhim boleh berada di belakangku? Dia mengekoriku agaknya! Tanpa dapat ditahan-tahan lagi, aku terus melangkah cuba meninggalkan Pustaka Minerva.

“ Nanti Jihah. Dengar dulu apa yang Abang nak beritahu.”

Aku tidak jadi meneruskan ayunan langkah kaki. Akhirnya aku menundukkan wajah. Tidak mampu menatap sepasang mata milik Ameer Mulhim.

“ Jihah sedih Abang memilih Insyirah ya? Jihah ada merahsiakan sesuatu dari Abang?”

Aku tidak menjawab soalan itu. Sebaliknya airmata aku menderu laju. Hidungku kukira sudah berair. Agaknya sudah kembang kempis menahan tangisan yang terburai dari tadi. Tanpa diduga, Ameer Mulhim menghulurkan sehelai sapu tangan buatku. Ameer Mulhim bertinggung di hadapanku. Dia cuba mencari ruang menatap mukaku yang dari tadi asyik tertunduk sahaja. Sebenarnya aku memang mahu menyelindungkan wajahku. Wajah orang menangis.

“ Jihah, dengar dulu.”

Aku menekup muka. Aku tergamam. Aku tahu, aku tidak berupaya menyelindungkan perasaan ini lagi dari pengetahuan Ameer Mulhim. Aku tidak mampu berlakon.

“ Maafkan Abang, Jihah. perkahwinan Abang ini kehendak arwah ibu dan ayah Abang. Abang terima semuanya dengan penuh tanggungjawab. Seperti juga Abang, Insyirah juga bakal memikul satu tanggungjawab apabila menjadi isteri Abang. Insyirah bakal menjadi ‘ibu’ kepada adik-adik Abang yang ramai. Tidak ramai perempuan yang sanggup memikul beban sebesar ini, kecuali Insyirah. Abang terhutang budi padanya.”

Aku menelan air liur. Aku mengangguk. Perlahan-lahan aku mula faham mengapa Ameer Mulhim mengahwini Insyirah. Adik Ameer Mulhim, lima orang. Tiga daripadanya masih bersekolah. Ameer Mulhim dan kakaknya yang selama ini menangggung keluarga mereka. Tiga bulan lepas, Ameer Mulhim ada berkata, kakaknya tidak mampu membiayai perbelanjaan adik-adiknya kerana abang iparnya baru diberhentikan kerja. Apabila aku menawarkan diri hendak membantu, Ameer Mulhim menolak. Katanya, kalaulah dia orang berduit, dia berasa bertanggungjawab untuk membahagiakan aku, jadi dia berasa tidak wajar untuk menyusahkan aku pula.

“ Jihah faham.” Ucapku. Ringkas.

“ Jihah,..” Ameer Mulhim merenung ke arahku. Jantungku berdebar. Ameer Mulhim meraup wajahnya. Aku dapat merasakan, ada sesuatu yang Ameer Mulhim ingin katakan, tetapi aku tidak tahu apa dia. Namun, sesuatu yang kukira agak penting juga.

“ Jihah, apa yang Abang ingin katakan ini, biarlah jadi rahsia kita berdua. Biarlah selesai di sini, dan janganlah ada antara kita menyebutnya.”

“ Apa dia bang?” Aku memandang wajah Ameer Mulhim. Lelaki itu sungguh tampan, sungguh berhemah tinggi. Penyayang pula. Memang bertuah badan Wan Insyirah .

“ Dalam hati Abang, ada seorang wanita yang Abang rasa terlalu rapat dengan dia, bersamanya Abang rasa tenang, kasih Abang padanya terlalu suci. Abang tidak tahu mengapa perasaan ini hadir. Bukan Abang pinta, bukan Abang sengaja. Tapi, Abang tidak pernah mampu melupakan Jihah walau sehari. Maafkan Abang kerana tidak berterus terang. Abang sedar, kita memang tidak ada jodoh. Apakah daya Abang Jihah. Maafkan Abang.”

Sebaik sahaja lafaz itu selesai di bibir Ameer Mulhim, sepasang mataku menikam pandang ke wajah Ameer Mulhim.

“ Abang?!”

Ameer Mulhim mengetap bibir. Matanya berkaca. Kemudian dia mengeluh panjang.“ Sudahlah, semuanya sudah berlalu. Kita tak ada jodoh.”

“ Tapi kenapa sekarang…”

“ Susah Jihah. Humm….Abang pun tak patut meluahkannya.” Ameer Mulhim menelan air liur. Kemudian Ameer Mulhim berpusing membelakangkanku.

“ Lupakan saja. Jihah. Abang nak balik ke kedai makan. Abang beritahu Mak Ngah, nak tengok Jihah kejap, takut Jihah tak sihat. Jihah balik ke kedai makan tu ya.” Lembut suaranya seakan mahu memujukku pula setelah menyedari kekecewaanku.

Senyap. Aku tidak menjawab tetapi kepalaku mengangguk.

Sebaik sahaja Ameer Mulhim pergi, aku menangis teresak-esak bagai budak kecil. Bagai hilang semangat dalam diri. Ameer Mulhim menoleh semula ke arahku. Dia kelihatan serba tidak kena. Kekesalan tergambar di wajahnya. Apa yang dikesalkan, aku tidak tahu. Akhirnya Ameer Mulhim melangkah pergi jua.


Nasib kami agak baik. Wan Insyirah tidak bertanya apa-apa sekembalinya aku ke Restoran Bilal sebaliknya asyik bercerita tentang kecantikan corak kain-kain yang dibelinya. Dia juga bertanya tentang kedai-kedai yang mengadakan jualan murah beg tangan dan kasut. Hampir dua jam mengiringi mereka, akhirnya aku terpaksa meminta diri untuk pulang.

Alasanku, aku sudah berjanji dengan keluarga Kak Dalilah hendak mengajar anak-anaknya mengaji. Sebab utamanya, aku rasa bersalah menyusahkan Roon. Ialah, tak pasal-pasal Roon terpaksa menemani mereka membeli-belah selama empat jam. Aku kasihankan Roon.

Apabila meminta diri untuk pulang, Mak Ngah berkali-kali mengucapkan terima kasih kepadaku. Wan Insyirah pula tidak banyak berkata. Aku dapat merasakan, Wan Insyirah kerap melirik pandang ke arah Ameer Mulhim dan kemudian ke arahku. Aku sedar, Wan Insyirah bagai dapat meneka apa yang berlaku antara kami. Hubungan perasaan semestinya.

Sewaktu hendak pulang, Ameer Mulhim menghulurkan satu beg plastik untukku, dan aku yakin itu adalah sepasang kain. Begitu juga dengan Roon, yang mendapat buah tangan. Aku tidak tahu apa dia, tetapi yang pasti beg plastik yang diberikan padaku lebih besar. Sekali lagi aku mencuri pandang ke arah Wan Insyirah. Mukanya berubah tegang.

“ Nanti, kalau Abang nak balik ke Darul Fikriyah, Abang naik bas tadi. Bas tadi tu berhenti dekat Stesyen Bas Jalan Reko Kajang.”

“ Yelah. Kalau Abang tak tahu, Abang tanya pemandu bas. Jihah jalan baik-baik ya. Dah nak petang ni. Kalau sampai, telefon Abang.”

“ A’ah Jihah. Baik-baik ya nak. Nanti jangan lupa ke Terengganu, datang majlis nikah Ameer dan Syirah ni. Makcik tunggu kau.” Jerit Mak Ngah.

Aku mengangguk dan mengukir senyum. Dalam hati, hanya Tuhan sahaja yang tahu. Wajah Ameer Mulhim nampak sayu, dan sekali lagi mata aku berlaga dengan mata Wan Insyirah. Perempuan. Hati kami sama. Aku mudah menelah perasaan cemburu yang bertamu di pancaran matanya. Aku lagi cemburu, wahai Wan Insyirah.

Selamat Pengantin Baru Ameer Mulhim. Kecewa ini biar masa jadi pengubatnya.

Roon menggeanggam seluruh jemariku. Aku tahu, selepas ini Roon terpaksa menjadi pengipas semangatku yang mula layu.

Khamis, 19 Julai 2007

Bab 11.....Bertemu Ameer Mulhim


Pagi-pagi lagi telefonku sudah berbunyi. Bukan bunyi deringan, tetapi ada mesej baru masuk. Aku yang baru selesai membasuh pinggan, terus mengelap tangan dan mencapai telefon bimbit.

>: Abang sampai kat Stesyen bas Kajang kul 10 pg esok. Kita gi naik bas ye. Spt yg abg bgtau, abang bawa makcik abg dr Tganu. Jumpa nnti ya.

Sepintas lalu telapak tangan kiriku menepuk dahi. Alamak! Bagaimana aku boleh terlupa akan temujanji dengan Ameer Mulhim? Tidak masuk akal langsung. Mungkin aku asyik memikirkan peristiwa diberhentikan kerja, sampai terlupa tentang pertemuan yang bakal berlangsung.

Ameer Mulhim akan membawa makciknya sekali? Mengapa ya? Akal fikirku ligat mencari jawapannya. Agaknya sebagai pengganti ibu tak? Ialah, Ameer Mulhim tidak ada ibu bapa lagi, jadi mungkin makciknya yang akan menilai aku. Mungkin Ameer Mulhim hendak mendapatkan restu dari makciknya terhadap gadis pilihannya? Siapa lagi? Akulah agaknya.

Hish! Jangan perasanlah Najihah, akalku menasihati sekeping hati yang asyik berangan. Jangan terlalu melayan perasaan, takut diri sendiri yang terlebih perasaan. Argh…sudahlah! Tiba-tiba aku jadi mual dan rimas kerana leka melayan anganan yang tidak tahu bila akan selesai. Aku terus berjalan ke bilik. Roon sedang asyik membaca majalah kesayangannya, Majalah Remaja.

“ Roon, kau tu bukan remaja tau. Lagi tiga tahun, umur masuk tiga puluh. Baik engkau baca majalah Wanita ke, Nona ke paling tidak Perempuan.”

Roon menjeling aku dengan ekor mata yang berbaur marah. Aku buat muka selamba. Marah Roon tidak pernah membuat aku gentar. Alah! Marah konon.

“ Roon, besok kau temankan aku jumpa kawan boleh tak? Kau free kan?”

Roon meletak majalah ke lantai.Mulutnya memuncung. Masam.

“ Kenapa sampai nak berteman? Takut apa?”

Aku mencari-cari ayat yang sesuai untuk menerangkan pada Roon. Setahu aku, Roon tidak pernah dengar nama-nama lelaki terucap di bibirku. Kecuali atas urusan kerja.

“ Begini, ada kawan aku nak datang dari jauh. Dia minta aku temankan pergi beli barang dekat Jalan Tar. Aku tak sedap hatilah pergi dengan dia, kalau Roon temankan okey sikit.”

“ Jalan Tar. Oh, dekat Masjid India tu. Lelaki ke perempuan?”

“ Lelaki.”

“ Lelaki? Lelaki..hmm. Special ke?”’ Roon mengangkat mukanya ke arahku. Mata kami berlaga seketika. Aku tidak tahu bagaimana hendak menjawab pertanyaan Roon itu? Special ke? Aku bertanya pada diri sendiri pula.

Roon terus meletak majalah Remaja ke dalam laci. Kemudian Roon bangun dan duduk di birai katil.

“ Er…taklah. Kawan baik. Dulu dia Pengurus Darul Fikriyah. Tapi sekarang dia dah balik Terengganu. Besok dia datang sini. Itulah,…dia minta tolong aku temankan dia dan makcik dia membeli belah kat Jalan Tar.”

Sebaik sahaja aku habis bertutur, senyuman manis terpamer di wajah Roon. Lama bibirnya menyenget. Roon mengerling ke arahku. Matanya bercahaya. Aku menarik nafas panjang. Aku sudah agak Roon mula mengesyaki sesuatu.

“ Siapa nama dia Jihah? Umur dia berapa?” Pantas soalan itu terkeluar dari bibir Roon yang masih tersenyum sumbing.

Humm. Mestikah aku jawab soalan Roon itu? Aku jadi malu pula hendak menyebut nama Ameer Mulhim. Berat sungguh lidah aku hendak memberitahu.

“ Jihah, kalau kau tak berterus terang dengan aku, tak dapatlah aku temankan kau?”

“ Kau ugut ya?”

“ Ha..ah.” Jawab Roon tanpa berselindung lagi. “ Siapa nama dia? Berapa umur dia? Kerja apa? Tiga saat dari sekarang…jawab.”

“ Okey.” Aku terpaksa mengalah nampaknya kali ini. Tak mengapalah, asal Roon ikut. “ Nama dia Ameer Mulhim, umur dua puluh sembilan tahun. Kerja Pegawai Agama Jabatan Dakwah di Kuala Terengganu. Kau jadi ikutkan?”

Roon menutup mukanya dengan kedua belah tapak tangan. Agak lama. Aku tidak tahu mengapa Roon berbuat begitu.

“ Roon…” Aku menyentuh kedua bahu Roon. Tiba-tiba aku merasakan bahu Roon bergegar. Serentak itu, sayup-sayup suara ketawa kedengaran di telinga.

“ Hei Roon…apa ni?” Aku menepuk bahu Roon sekuat hati. Roon menjatuhkan tanganya yang menutupi mukanya itu.

Wah! Kau ketawakan Roon?!

“ Hik! Hik! Hik! Jihah…….Hik! Hik!Hik!”

“ Roon, itu pun nak ketawa ke? Hish…”

“ Jihah….Hik! Hik! Kau…..kau suka mamat tu….tak sangka…hik! Hik!”

“ Roon, dah lah. Tak kelakar pun. Roon!”

“ Hik! Hik! Tak sangka…..aku tak sabar nak tengok.”

“ Hish, apa ni Roon? Aku tak ada apa-apa pun dengan dia. Sekadar kawan. Lagipun, dia tak tahu jalan nak ke sana. Janganlah buruk sangka.”

“ Haa….aduh! Penat aku ketawa,” Roon mengesat airmatanya yang bergenang. Nasib baik ketawanya terkawal pada kali ini. Kalau tidak jenuh pula aku melihat dia menangis. Apalah badi yang melekat di badan kawan aku yang seorang ini.

“ Jadi, kau temankan aku tak?” Soalku lagi.

“ Mestilah, kan aku nak tengok lelaki yang berjaya mencuri hati kau. Mesti bukan calang-calang orang.”

Aku tidak mempedulikan kata-kata Roon lagi. Apa yang pasti, esok segalanya akan berjalan lancar. Sudah terbayang di ruang mataku, aku akan berjalan-jalan di Jalan Tunku Abdul Rahman bersama Roon, makcik Ameer Mulhim dan tentunya Ameer Mulhim sendiri. Mudah-mudahan dengan pertemuan ini, Allah S.W.T akan membukakan pintu hati Ameer Mulhim terhadapku. Juga akan memberi ilham kepada kami berdua agar tidak lagi memendam perasaan sebaliknya meluahkan dengan satu ikatan yang diredhai Tuhan.

Esok, aku nak pakai baju apa ya?



Sesungguhnya penantian itu satu penyiksaan, apatah lagi menanti hendak bertemu si jantung hati. Insan yang selama ini sangat aku rindui, dan sudah sebulan tidak bertemu muka. Selesai solat Maghrib, aku terus membaca Al Quran. Alhamdulillah, bacaanku sudah sampai Surah Al-Haj. Tidak lama lagi, mungkin dalam sebulan dua, aku mampu khatam Al Quran buat kali keenam. Salah satu azamku pada tahun ini bakal tercapai. Hatiku berbunga gembira.

Roon masih belum pulang dari pasar malam. Tadi Roon minta aku hantarkan dia ke Seksyen 2, tapi aku benar-benar letih malam ini. Badan macam hendak demam. Lagipun susah hendak mencari tempat parkir kereta di sana. Akhirnya Roon pergi juga dengan menaiki motorsikalnya.

Aku mendongakkan kepala, dan seketika kemudian mataku tertancap ke arah jarum jam. Sudah pukul lapan setengah malam. Tidak lama lagi pulanglah Roon. Aku sempat berpesan kepadanya agar membeli semangkuk tau-fu-fa dan sekeping murtabak daging. Perutku pun sudah mula berkeroncong sedangkan air liur seakan merembes di sekitar tekak. Aku sudah terbayang-bayang dua makanan yang aku pesan dari Roon.

Argh! Jangan fikirlah. Hummm…sabarlah sikit hati. Jangan diikutkan nafsu makan tu sangat! Cuba kawal perasaan tu sikit.

Demi menghiburkan hati yang sedang dilanda kebosanan ini, aku bercadang hendak menonton television. Aku menuju ke ruang tamu yang hanya beralaskan sekeping karpet berwarna kuning keemasan dan satu set sofa kayu getah yang aku beli dari penyewa lama rumah ini. Sebaik sahaja punat television aku tekan, terpampang wajah Norzie Pa’wan Chek sedang mengacarakan Majalah Tiga. Kepalaku bagai terkena cas elektrik. Aik! Pukul berapa ni?

Aku bergegas menuju ke bilik dan mencapai telefon bimbitku. Hah! Pukul sembilan suku. Kenapa lambat Roon balik? Aku dihimpit kebimbangan. Hum…mungkin
Roon isi minyak motor tak? Ataupun mungkin terpaksa tunggu murtabak aku siap? Mana Roon ni? Buat aku risau saja.

Aku berusaha menenangkan diri biarpun hatiku berkocak gelisah. Ah! Aku tak perlu risau sangat sebab bukan lambat mana pun, lainlah kalau Roon balik pukul sepuluh atau pukul sebelas. Lantas aku mencapai majalah Remaja yang berada di tepi television. Rancangan Majalah Tiga yang memaparkan isu perang di Iraq itu, tidak menarik perhatianku. Mungkin kerana fikiranku tengah kacau, jadi aku perlukan sesuatu yang santai kali ini.

Wow, menarik juga tajuk ruangan ini. Aku membaca sebaris ayat di kepala mukasurat 28.

KUIZ MENGUJI SEJAUH MANA KASIH ANDA DAN SI DIA

Bagaimana anda mengetahui si dia mencintai anda sedangkan si dia tidak pernah melafazkannya. Sila jawab rangkaian soalan ini dan ketahui status perasaan si dia yang sebenar.

Menarik! Baik aku cuba. Aku terus menuju ke peti ais dan mencapai pen biru mata bulatku. Dengan hati yang berdebar-debar, aku kembali semula ke majalah kesayangan Roon.

1. Apabila si dia sedang berbual-bual dengan rakan-rakannya, dan kemudian anda muncul, anda pasti si dia akan terhenti berbicara lantas memandang anda tanpa berkata sepatah pun. Kemudian si dia buat-buat tidak nampak anda. Berapa kali peristiwa ini pernah berlaku pada anda dan si dia;

a) Sentiasa, si dia seolah-olah kehilangan topik perbualan apabila anda muncul.
b)Jarang sekali kerana selalunya si dia memang akan menegur anda.
c) Anda sendiri yang akan menegur si dia sebelum si dia menegur anda. Jadi tidak timbul soal lidah siapa yang bisu dan lidah siapa yang kelu.


Hish! Apa punya soalan ni. Bila pulak aku pernah jumpa Ameer Mulhim masa dia tengah berbual dengan kawan dia. Susahnya. Aku cuba memerah daya ingatan. Berjumpa dengan Ameer Mulhim, bersama-sama dengan orang lain. Oh ya! Mungkin masa aku jumpa dia di Pejabat Darul Fikriyah. Ya..ya. Aku ingat lagi, setiap kali aku masuk pejabat Darul Fikriyah, andai Ameer Mulhim ada, pasti dia orang pertama yang akan menegur aku. Aku sangat pasti.

Jadi tanpa banyak bicara, jawapan yang sesuai adalah b.

Wah! Seronok juga ya. Aku jadi bersemangat pula hendak menjawabnya.
Soalan berikut,

2. Si dia suka berada di tempat yang menjadi kesukaan anda, contohnya jika selama ini anda suka pergi perpustakaan tiba-tiba anda mendapati, si dia pula berubah angin, selalu pula berada di perpustakaan. Hah! Adakah ini satu kebetulan atau mungkin juga si dia ingin mendekati anda;

a) Anda selalu terlihat si dia datang di tempat yang anda selalu pergi.
b) Kadang-kadang anda pula terjumpa si dia di tempat si dia selalu pergi.
c) Kebetulan, anda dan si dia mempunyai tempat kegemaran yang sama.

Mana ada? Aku menggaru hujung kening. Seingat aku, kami tidak pernah berjumpa selain di Darul Fikriyah. Itu pun kerana aku memberi derma kepada pihak Darul Fikriyah. Tambahan pula, aku suka menasihati adik-adik yang senasib denganku. Ialah, aku ini anak yatim piatu ( yang di’yatimkan dan dipiatukan’ sebelum sampai masanya oleh kedua orang tuaku. Orang tuaku?!)

Jadi, di mana aku selalu ‘terjumpa’ Ameer Mulhim? Di Darul Fikriyah. Mana lagi? Hanya di Darul Fikriyah. Tapi ini tidak bermakna, aku sengaja hendak berjumpa Ameer Mulhim. Tidak sama sekali. Aku ke sana kerana itu rumahku, itu duniaku. Jadi, bolehkah aku katakan Ameer Mulhim yang selalu berada di tempat kesukaanku? Humm…tidak juga. Ameer Mulhim memang bertugas di situ.
Jawapan mana yang sesuai? Kalau a, tak sesuai. Ameer Mulhim tidak datang ke Darul Fikriyah kerana itu memang rumahnya. Dia warden di situ. B juga tidak tepat, kerana kalau aku tanda B seolah-olah aku yang mencari Ameer Mulhim. Aku yang mengekori Ameer Mulhim. Ah! Tidak sesuai. Jadi C?

C? Aku rasa itu lebih tepat. Darul Fikriyah tempat kerja Ameer Mulhim dan Darul Fikriyah juga ‘rumah’ aku. Bemakna kami berjumpa di tempat yang kami berdua tidak boleh elakkan sama sekali. Tempat yang kami harus ada dan berada.

Muktamad, C!

Puhhh! Leganya. Soalan ketiga pula.

3. Si dia pernah meminta nombor telefon anda. Si dia juga pernah menghubungi anda. Ini bermakna si dia inginkan satu perhubungan istimewa dengan anda. Anad tidak perlu risau, kerana jika ini berlaku bermakna si dia sedang mengambil langkah menrapati anda.

a) Si dia pernah meminta nombor telefon anda.
b) Si dia pernah hantar sms pada anda.
c) Si dia pernah menelefon anda.

Wah! Memang tepat sekali. A dan b. Cuma C sahaja yang tidak. Jadi nak jawab mana satu? Tanda dua-dua sekalilah.

Tapi takkan tanda dua-dua sekali. Kalau tanda a dapat 2 markah. Kalau tanda b dapat 5 markah, tapi kalau tanda c dapat 10 markah. Agaknya, lagi besar markah lagi bagus. Mungkin kalau dapat markah tinggi bermakna status perasaan Ameer Mulhim pada aku memang sah, dia cintakan aku. Cinta tapi tak mampu meluahkannya?

Tapi Ameer Mulhim tidak pernah telefon aku. Mungkin dia jimat prepaid tak? Yelah, dia baru kerja bergaji besar sikit. Dulu, kerja di darul Fikriyah gajinya cuma tujuh ratus lima puluh.Ataupun, mungkin dia malu hendak bercakap dalam telefon tak? Atau dia kedekut? Entahlah. Aku tak pasti.

Jawapan yang sesuai b, bukan c. Walau dapat markah banyak kalau aku tanda c, aku tetap tak mahu. Aku hanya mahu tahu status perasaan Ameer Mulhim yang sebenar.

Soalan yang seterusnya aku jawab dengan laju. Kalau boleh, aku hendak tahu status perasaan lelaki idamanku itu secepat mungkin.

4. Seminggu tidak bertemu, dan si dia tiba-tiba mengatur satu pertemuan dengan anda. Alasan yang diberikan, hendak pulangkan barang. Atau mungkin hendak minta tolong siapkan kertas kerja. Sebarang alasan, namun si dia tetap tidak memberitahu anda si dia cintakan anda.

a) Pernah berlaku.
b) Tidak pernah.
c) Anda mengharapkan itu berlaku dan masih menunggu.

Wah! Ada peluang nampaknya. Jawapan muktamad, a. Abang Ameer yang minta aku tolong tunjukkan arah ke jalan Tunku Abdul Rahman. Alasannya, tidak tahu jalan. Bawa makcik pula. Abang Ameer memang ada niat terselindung. Aku semakin yakin.

Jawapannya, a!

Tinggal dua soalan lagi. Aku sudah tidak sabar hendak menunggu keputusannya. Sesekali mataku mengerling ke arah jawapan yang terletak di bahagian hujung mukasurat. Tidak boleh jadi! Serta merta aku kelepetkan penjuru mukasurat tersebut. Bukan apa, aku tidak mahu terpengaruh dengan keputusan kuiz sehinga boleh memberi kesan kepada jawapan nanti.


5. Katakan anda pernah sekali makan bersamanya, si dia akan i) melayan anda penoh sopan, ii) mempelawa anda memilih juadah dahulu, iii)menarik kerusi untuk anda duduk, iv)menuangkan minuman untuk anda dan membayar vi) makanan juga untuk anda. Selain itu, si dia juga memberitahu anda, makanan di situ lazat dan si dia ingin datang lagi.

a) Pernah terjadi semua sekali i-vi
b) Pernah terjadi tiga daripada i-vi
c) Tidak pernah walau satu pun.

Aku menggeleng kepala beberapa kali. Mana ada! Sekali pun aku tidak pernah makan bersama Ameer Mulhim. Tak mahulah. Nanti kalau aku kahwin dengan Ameer Mulhim, tipa-tipa hari aku makan dengan dia.

Hei! Mengarut punya soalan. Jawapanya apalagi, ‘c’ lah.

Sekarang soalan terakhir. Aku menghela nafas pendek. Mataku tertera ke dada majalah.

6. Seandainya anda berpeluang bertemu dengannya, biasanya perbualan anda berdua berkisar tentang;-

a) Urusan harian, perkara yang berlaku semasa di tempat kerja dan yang seumpamanya.
b) Tentang masalah, kegembiraan, cita-cita dan perancangan hidup serta bagaimana melalui hari akan datang.
c) Lebih kepada bercerita tentang masalah kawan-kawan, ahli keluarga dan orang sekeliling.

Wah! Yang ini menarik. Seingat aku, kalau aku berjumpa dengan Ameer Mulhim, dia akan bercerita tentang masalah pelajarannya, pekerjaan yang ingin dilakukan iaitu sebagai pendakwah. Kadang-kala Ameer Mulhim akan bercerita tentang susahnya hendak mencari pasangan hidup dan kos hidup yang semakin meningkat. Jadi, apakah maknanya ini semua? Afdakah ini memberi tanda akulah insan yang teratas dalam kamus hidupnya? Hummm.

Jawapannya, ‘b’. Aku yakin dan pasti!


Sekarang mana mengetahui jawapanya. Tambah semua markah, kemudian aku kena pastikan, staus kasih sayang kami di tahap mana.

Semua sekali 32. Kesimpulannya, aku di kategori ‘b’.

Tanpa berlengah lagi walau sesaat, aku membaca status cinta kami. Amboi…’cinta kami’. Kategori kedua;

***
Si dia sememangnya menyayangi anda. Anda adalah insan yang penting di dalam hidupnya. Kalau boleh, setiap perkara yang menggembirakannya andalah orang pertama yang ingin dikhabarkan berita itu, begitu juga dengan berita sedih. Anda bagaikan teman yang mampu memberi dorongan dan sokongan dalam hidupnya. Percayalah, si dia memerlukan anda. Namun, si dia masih samar-samar sama ada si dia menyayangi anda atau pun tidak. Berilah masa kepada si dia untuk mengetahui perasaan sebenarnya terhadap anda.
***

Mataku berkerdipan beberapa kali. Ayat itu aku baca berulang kali. Satu perasaan gembira menyusup ke dasar hati. Dalam masa yang sama, aku juga diulit resah. Benarkah Ameer Mulhim memerlukan aku di dalam hidupnya?

Aku baca berulangkali frasa ini,

Percayalah, si dia memerlukan anda. Namun, si dia masih samar-samar sama ada si dia menyayangi anda atau pun tidak. Berilah masa kepada si dia untuk mengetahui perasaan sebenarnya terhadap anda.

Mungkin juga Ameer Mulhim menyayangiku namun masih tidak ada kekuatan untuk mengaku? Oh Tuhan.Seandainya, Ameer Mulhim yang terbaik untukku, maka berkanlah kami kemudahan untuk menjadi seperti sepasang Adam dan Hawa yang saling menyayangi dan saling melindungi. Berkatilah hubungan ini.

Ding Dong! Ding Dong!

Lamunanku terputus. Cepat-cepat aku letak semula majalah Remaja ke dalam rak majalah. Aku menuju ke muka pintu. Sebaik sahaja pintu terbuka, Roon tersengih bagai kerang busuk.

“ Lambat sikit. Motor aku buat hal tadi. Aku pergi dengan Kak Dalilah. Masa nak balik, anak dia si Nurin termasuk manik dalam hidung. Terus pergi klinik kesihatan bahagian kecemasan. Itu yang lambat balik.”

“ Abis, Nurin dah okey ke?” dalam pada itu, aku sudah terbayang seraut wajah Nurin, anak murid belajar mengaji, juga anak perempuan tunggal Kak dalilah.

“ Okey dah. Masa kena tu terus jugak dia menangis. Maaflah aku lambat bawak murtabak kau ni. Nah, tau-fu-fa pun ada.” Roon melangkah ke dalam rumah sambil menghukurkan makanan yang aku pesan. Aku mengambil makanan dari Roon dan menuju ke dapur.

“ Ini aku beli keropok lekor sekali. Jenis ni sedap, luar rangup dalam lembut. Rasalah.” Pelawa Roon.

Aku menggelengkan kepala. “ Terima kasih Roon, aku nak makan murtabak dulu. Perut aku dah lapar.”

Roon tidak menjawab sebaliknya dia begitu asyik meratah ayam rangka ‘dinosaur’. Kami tidak berbual lagi sebaliknya sedang melayani selera makan masing-masing.

“ Roon, besok jadi ya temankan aku?” Aku menatap muka Roon bagaikan memohon simpati darinya pula.

“ Boleh. Aku pun dah tak sabar nak tengok lelaki yang mencuri hati kawan aku ni.”

Aku buat-buat tak dengar kata-kata Roon. Tangan aku pantas mencapai tau-fu-fa. “ Bismillahirahmannirrahim.”

Sambil menikmati kelazatan tau-fu-fa gula merah, fikiranku ligat memikirkan baju apa yang aku hendak pakai esok. Baju jubah hijau ke atau oren pekat? Atau, pakai baju jubah seluar yang aku beli raya tahun lepas dengan tudung turki yang Ustazah Raihanah hadiahkan?

Nak pakai baju apa ya?
…




Ahad, 15 Julai 2007

Bab 10...............Puan Mawar Yang Aku Sayangi



Balik dari pejabat, aku terus menuju ke rumah. Hati sudah membengkak. Kalau hendak ikutkan rasa hati, sudah tentu aku yang akan tertekan. Silap haribulan, boleh terkena depresi. Jadi, aku cuba banyak bersabar dan berfikir secara rasional. Perkara seperti tadi mungkin akan berlaku jua cuma lambat atau cepat. Encik Khairul memang sengaja hendak menyingkir aku dari Mawar Biru. Jadi mungkin itulah cara yang dia pilih untuk membuang aku dari Mawar Biru

“ Jihah,…engkau okey ke? Engkau tak apa-apa Jihah?” Itulah soalan pertama yang Roon tanya sebaik sahaja dia balik dari Mawar Biru. Aku yang sedang memotong kuku jari tangan di ruang tamu, menganggukkan kepala sejurus pertanyaannya itu. Kening Roon berkerut. Bahu aku diraihnya dari belakang.

“ Betul ke ni? Ni apa, kau menangis kan?”

Aku terdiam. Memang sukar untuk aku jawab pertanyaan Roon itu. Hati mana tidak tersentuh, tidak koyak rabak apabila dimalukan dan difitnah sebegitu rupa depan rakan-rakan sekerja yang selama ini macam keluarga sendiri. Tapi aku bersyukur, satu beban besar yang aku galas telah terlepas dari bahuku.

“ Jihah, aku kagum dengan engkau. Cara engkau balas balik kata-kata Encik Khairul tu memang cantik sangat. Aku agak dia terkedu jugak, terasa jugak bila engkau cakap engkau dah terlepas dari neraka dunia. Aku tengok, pucat muka dia masa tu.”

Aku menghela nafas pendek, tidak memberi apa-apa reaksi terhadap kata-kata Roon. Menyedari aku masih seperti tadi diam seribu bahasa, Roon jadi mati akal. Tidak tahu hendak melanjutkan perbualan agaknya. Aku membungkus kertas suratkhabar, lantas membuangnya di bakul sampah. Pemotong kuku aku letak di atas peti ais. Roon mengekori aku ke dapur,kemudian dia membuka peti ais. Sebotol air mineral dicapainya lalu dia menogok air itu perlahan-lahan.

“ Roon. Kasihan engkau terpaksa balik sendiri….” Ujarku lemah tanpa memandang muka Roon.

“ Er…tak apa. Ada baiknya jugak.” Jawab Roon dengan wajah berseri-seri. Aku jadi hairan. Tak kisahnya dia! Mungkin Roon tak mahu rasa bersalah kerana tidak balik bersamanya seperti selalu.

Roon menuju ke arahku, “ Jihah, kau tahu, siapa hantar aku balik? Cuba teka?”

Dahiku seakan berlipat. Siapa? Takkan..

“ Engkau jangan cakap dengan aku Abang BSN tu…jangan Roon!!”

Roon tergelak besar. Kerusi meja makan di dapur ditariknya, dan dia melabuhkan punggung di situ.

“ Siapa lagi…cinta hati akulah. Abang tu. Kau nak tahu nama penuh dia, Adam Mukhriz bin Abdul Mahad, orang Kuantan. Eeeii…dia tu baik sangat. Kalau kau tengok muka dia dari dekat, memang kacak habis.”

Gulp! Aku tidak tahu hendak cakap apa pada masa itu. Yang pastinya, aku tidak gemar Roon berkawan dengan Abang BSN itu. Entahlah…hatiku berasa tidak sedap. Bagai ada sesuatu yang menyebabkan aku tidak percaya dengan lelaki itu. Kenapa ya? Aku sendiri tidak tahu tapi gerak batinku seakan menolak kehadiran lelaki itu dalam hidup kawan baikku.

“ Jihah, masa aku balik tadi, aku jumpa surat ni dalam peti. Dah basah pun,…agaknya dah dua hari engkau tak periksa peti surat tak? Nah.”

Aku capai surat yang dihulurkan Roon. Ahh…mungkin surat berantai. Sudah lebih lima kali aku terima surat seperti ini sejak nama aku tersiar sebagai pemenag peraduan teka silangkata anjuran sebuah majalah popular. Surat itu aku letak di dalam rak majalah. Aku melangkah malas menuju ke bilik. Hajat hati hendak mengaji Al Quran, tapi mata terasa letih. Akhirnya aku berbaringan di atas katil. Fikiran aku menerawang jauh, bagai menilik nasibku di kemudian hari.

Ya Allah! Tetapkanlah hatiku, kuatkan jiwaku. Bukakanlah aku pintu rezeki, dan jauhkanlah aku dari kedukaan. Amin. Aku terlelap.


Tenang rasanya memerhatikan liuk lentuk pepohon keladi liar yang merimbun di tepi tingkat bawah. Kedinginan pagi masih terasa. Sejuk dan menyegarkan sekali. Beberapa rintik embun bagaikan sinar mutiara yang bergantungan di hujung daun keladi. Terdapat juga anak-anak siput yang melekat di batu-batu kerikil, yang diatur di sepanjang pokok daun misai kucing. Keindahan alam ini sedikit sebanyak mengurangkan serabut di fikiranku.

Aku menutup tingkap rumah. Kini tiada lagi pandangan pokok-pokok keladi liar yang memenuhi ruang mataku. Diam tak diam, masuk hari ini sudah tiga hari aku tidak ke Mawar Biru. Sememangnya aku tak payah datang lagi ke situ. Tidak perlu memberitahu sebab ketidakhadiranku lagi seperti hari-hari yang lalu kerana aku telah diberhentikan kerja. Sedih juga hati ini kerana dihina di hadapan kawan-kawan sendiri. Mungkin ramai yang termakan dengan kata-kata Encik Khairul? Hmm..bagaimana agaknya tanggapan mereka terhadapku sekarang?

Ah! Jangan difikirkan lagilah Aina Najihah. Baik engkau fikirkan pasal pekerjaan akan datang. Ya! Ya! Hatiku mengiakan setelah akal fikirku mengingatkan. Apa yang boleh aku buat bagi membayar duit sewa rumah, bayaran ansuran kereta dan bil telefon? Hum…Oh ya! Kalau begini, tak dapatlah aku beli rumah di Vista Amani tu? Kecewanya!! Sudah lama aku berhajat mencari rumah terpakai untuk dibeli dan disewakan kepada orang lain. Namun setelah aku menemuinya, tiba-tiba berlaku keadaan yang tidak dijangka ini. Aduhai! Terasa impianku punah dengan sekelip mata.

Fikiranku menerawang seketika. Dalam kesayuan ini, aku tiba-tiba terkenangkan Ameer Mulhim. Kalaulah dapat aku capai telefon bimbit dan kuluahkan kesedihan kepada Amer Mulhim, mungkin seluruh kesedihanku akan terlerai. Ameer Mulhim, apa khabar dia agaknya?

Tidak! Itu tidak wajar. Ya Allah! Selama ini hanya padaMu tempat aku mengadu dan meminta pertolongan. Selama ini kujaga rapi hubunganku dengan Yang Maha Esa. Dengan berteleku di tikar sejadah, segala sedih, luka dan kecewaku selama ini terlerai bersama deraian air mata. Ya Allah….hanya padmu tempat aku mengadu.

Ding Dong!!

Serta merta aku tersedar dari buaian perasaan.Eh! Siapa tu? Siapa yang datang rumah aku pagi-pagi buta ni? Agaknya jurujual tak?

Ding Dong!!

Bunyi loceng rumah kedengaran lagi. Kali ini aku menapak ke muka pintu. Rumahku tiada lubang cermin untuk mengintai keluar. Nampak gayanya terpaksalah aku membuka pintu.

“ Nak cari siapa?”

Seorang gadis manis berusia sekitar lapan belas tahun terpacak di depan pintu rumahku.

“ Kak Aina Najihah kan? Saya Munirah, anak Puan Mawarni. Sebenarnya ibu nak jumpa kakak.”

Anak Puan Mawarni. Oh! Inilah Munirah yang belajar di Sekolah Tunku Khurshiah tu. Ya..ya, aku ingat wajahnya. Orangnya berwajah pipih dengan kening hitam dan tebal serta berbibir nipis. Gelap sedikit kulitnya tidak seperti Khairul. Aku pernah jumpa dia tahun lepas semasa bertandang ke rumah Puan Mawarni pada hari raya. Humm…nasib baik tidak ada iras Khairul, anak lelaki sulung Puan Mawarni tu. Kalau tidak, mesti aku tak sanggup tengok muka budak perempuan ini lama-lama.

Aku mencapai kunci yang tergantung di tepi dinding rumah lantas membuka pintu grill. “ Masuklah.”

“ Terima kasih,” ujarnya sambil melangkah ke dalam rumah.

“ Duduklah Munirah.”

“ Munirah datang ni ada hajat Kak Najihah.” Gadis bertudung Turki yang memakai baju blaus putih dengan kain kembang warna biru gelap memulakan bicaranya. Aku sudah menjangka. Tentunya anak dara Puan Mawarni datang kerana disuruh oleh Puan Mawarni. Dan ini pasti ada kaitan dengan tindakan aku dipecat oleh Encik Khairul empat hari lalu.

“ Ibu nak jumpa Kak Najihah. Boleh tak Kak Najihah ikut saya ke rumah. Nanti saya hantar Kak Najihah balik semula ke sini? Ibu memang nak sangat jumpa Kak Najihah.” Tekannya lagi.

Lemah aku mendengarnya. Aku sudah agak, mesti Puan Mawarni sedang berusaha memujuk anaknya si Khairul itu supaya tarik balik pemecatan aku. Kemudian, seperti biasa Puan Mawarni akan memujuk aku supaya jangan berkecil hati dengan Khairul dan kembali semula ke Mawar Biru.

“ Tak ada apa lagi nak dibincangkan. Kakak pun terima pemecatan tu. Beritahu ibu ya, jangan risau. Kakak Alhamdulillah..ok.”

“ Jangan macam tu kak…” Munirah segera memotong percakapanku, “Ibu memang nak jumpa kakak sangat. Saya pun tak tahu kenapa ibu nak jumpa, saya sampaikan hajat ibu jek.”

“ Munirah…kakak rasa mesti pasal pemecatan tu.” Ujarku cuba meyakinkannya, sambil mengangguk kepala.“ Beritahu ibu, kakak kirim salam. Kakak ucapkan terima kasih pada ibu kerana ambil berat tentang diri kakak.”

Munirah tunduk seketika. Dia membelek-belek telefon bimbit yang berada ditangan kirinya. Kemudian dia mohon izin untuk menghubungi Puan Mawarni. Aku membenarkan. Munirah menuju ke sudut rumah dan membelakangkan badannya. Aku pergi ke dapur, sengaja memberi ruang kepada Munirah untuk bercakap dengan ibunya. Hampir sepuluh minit aku kembali ke ruang tamu dengan dua cawan teh susu dan sepiring sandwich keju.

“ Jemputlah.” Pelawaku. Munirah mencapai secawan teh dan menyuakan bibir cawan ke mulutnya.

“ Kak…Mama ada perkara penting sangat nak jumpa kakak. Tapi kalau kakak tak dapat datang, nanti Mama usahakan sendiri datang ke rumah ni.”

Mataku berkelip. Bagai tidak percaya dengan kata-kata Munirah. Bagaimana Puan Mawarni yang uzur itu hendak ke sini. Naik kerusi rodakah? Dipapah orangkah? Kasihan pula. Humm. Penting sungguhkah perkara yang ingin diajukan kepadaku?

“ Er beginilah…kalau penting sangat, biar kakak saja pergi ke rumah Munirah. Tak payahlah ibu datang ke sini. Kasihan ibu.”

“ Tapi ibu nak jumpa kakak sekarang. Penting katanya. Kakak ada urusan lainkah?”

Tidak. Sememangnya aku tidak ada apa-apa yang hendak dibuat hari ini. Tetapi, aku sudah tawar hati hendak berkerja di Mawar Biru. Aku sudah berpatah arang dan berkerat rotan dengan Encik Khairul. Tiada gunanya memujuk aku.

“ Kak, jangan hampakan ibu. Tolong ya kak.” Pinta Munirah lagi.

“ Baiklah.” Entahlah. Aku tidak berdaya hendak mengatakan ‘tidak’ lagi kali ini.



Kereta yang dipandu oleh Pakcik Zubir sudah masuk ke garaj rumah Puan Mawarni. Bunyi kereta ditutup berselang seli kedengaran. Kami mengatur langkah masuk ke rumah Puan Mawarni. Munirah mendahului di depan dan aku membuntuti langkahnya.

Kemas sungguh rumah Puan Mawarni. Rumah berkembar dua ini nampak berseri dengan hiasan lukisan cat minyak di kiri dan kanan dindingnya. Sebuah lampu chandelier yang bergantungan di ruang tamu memukau pandanganku. Hebat. Mataku terpaku pada kerusi yang berada di hadapanku. Rekabentuk kerusi berwarna coklat muda itu jarang aku lihat selama aku hidup. Berkonsep retro di mana tempat sandarnya sebelah pendek sebelah tinggi, nampak elegan setelah dihiasi dengan bantal baldu berwarna hitam.

“ Sini kak..” Munirah membelok ke arah kanan rumah.

Aku melalui lorong tersebut, dan di situ terdapat sebuah meja konsol dan di atasnya tergantung sebuah cermin antik. Beberapa buah bingkai gambar tersusun di atas meja konsol. Kami berhenti di situ. Munirah mengetuk pintu bilik. Sambil menunggu pintu di buka, aku melemparkan pandangan ke arah meja konsol itu. Cis! Gambar Encik Khairul pula yang aku nampak. Menyesal pulak aku tengok. Humm… mestilah ada gambar dia, anak Puan Mawarni katakan. Anak lelaki kesayangan pula tu.

Eh! Yang itu gambar akukan? Yelah! Aku terus mengamati gambar dua orang perempuan sedang berdiri dan berpelukan di hadapan Hotel Mawar Biru. Ini gambar yang Taufik ambil semasa Jamuan Tahunan Mawar Biru. Aku masih ingat lagi, pada malam itu aku dianugerahkan sebagai Pekerja Cemerlang Mawar Biru.

Puan Mawar simpan gambar ini? Puan Mawar bingkaikan gambar ini? Dan Puan Mawar letakkan di atas meja konsol bersama-sama dengan gambar keluarganya? Tidak aku sangka begitu sekali Puan Mawar menghargai diriku. Terima kasih Puan Mawar. Ini satu penghargaan yang terlalu tinggi buatku. Lebih tinggi dari dianugerahi sebagai pekerja cemerlang.

“ Jihah…lama tak jumpa ya.” Sapa Puan Mawarni apabila pintu bilik dibuka. Aku mengukir senyum paling manis buat Puan Mawarni. Tangannya aku capai lalu kucium. Puan Mawarni merangkul tubuhku dan merapatkan pipinya dengan pipiku.

“ Dulu, masa Jihah datang sini pun, lebih kurang lima enam bulan lepas. Lepas tu Jihah tak ada pun jenguk-jenguk saya.” Puan Mawarni merendahkan suaranya. Merajuk gayanya. Aku memahami Puan Mawarni. Aku tahu Puan Mawarni bercakap dari hati, dengan bahasa kiasan.

“ Jangan cakap macam tu Puan,…kan saya dah datang ni”Balasku dalam tawa kecil bagi menutup rasa bersalah yang melanda jiwa. Ye tak ya juga, patutnya aku jenguk Puan Mawarni sekali sekala. Ini tidak, bila ada urusan baru aku jumpa dia. Eh! Bukan. Baru Puan Mawarni panggil aku ke rumah dia.

Ish..takkan aku nak pergi ke rumah majikan aku Encik Khairul, lagipun kami tidak sehaluan. Kami sudah lama mengangkat bendera perang dingin.


Mula-mula perbualan kami berkisar tentang masalah kesihatan Puan Mawarni. Aku diberitahu Puan Mawarni perlu menjalani physio terapi selama dua bulan di Hospital Besar Kuala Lumpur. Aku menasihati Puan Mawarni supaya menjalani latihan dengan sabar, dan kalau boleh selalu berurut. Selepas itu, perbualan kami lebih menjurus kepada Hotel Mawar Biru.

“ Itulah Jihah, kewangan syarikat tak stabil macam dulu. Saya risau, kalau Jihah tak ada di sana, saya terpaksa bergantung berita tentang Mawar Biru pada Khairul sorang. Khairul tu, macam ada yang dia sembunyikan tentang masalah Mawar Biru. Jihah, betul ke ada pelanggan tetap dah tak berhubung lagi dengan kita? Err…Novarmis Company, Syarikat E-Bina Insan dan baru-baru ini Kara Holdings?”

Aku tidak tahu bagaimana hendak menjawab soalan Puan Mawarni. Lagipun aku bukanlah pekerja di sana lagi.

“ Puan Mawar, saya minta maaf banyak-banyak. Saya bukan lagi pekerja di Mawar Biru jadi saya…saya…”

“ Hah! Ini lagi satu hal. Saya tak setuju Khairul berhentikan awak. Menyesal saya bagi kuasa syarikat pada dia. Menyesal.” Puan Mawar nampak marah benar.

“ Puan…saya redha. Saya terima keputusan Encik Khairul.”

Puan Mawarni memusingkan kerusi rodanya membelakangi aku. Mataku tertancap ke arah pergelangan tangan Puan Mawarni. Kulitnya sudah berkedut. Kesakitan yang dialami seakan memamah usianya. Tubuh Puan Mawarni sudah kurus benar. Puan Mawarni nampak tua sekarang. Berbeza dengan setahun yang lalu.

“ Khairul sudah pergi terlalu jauh. Saya sudah tak mampu nak menarik tangannya lagi.”

Aku tidak berani mengulas apa-apa. Bagiku ini persoalan antara seorang ibu dan anak. Bukan sekadar masalah syarikat.

“ Jihah…ada sesuatu yang awak perlu tolong saya. Awak kan tahu, Khairul sahaja harapan saya. Dia anak kandung saya. Satu-satunya anak kandung saya.”

Dahiku berkerut dalam. Aku menatap wajah Puan Mawarni dengan penuh sangsi.

“ Puan,…Munirah bukankah anak puan?”

Puan Mawar menarik hujung baju jubah seluarku. “ Mari sini…jangan cakap kuat-kuat Jihah.”

“ Ya puan.” Aku merapatkan diri ke sisi Puan Mawarni.

“ Munirah tu saya ambil dari keluarga orang susah. Dia tak tahu…kebetulan nama ayahnya sama dengan nama arwah suami saya, Mustafa. Ejaan je berbeza sikit. Ayah dia em- yu- es- ti- a- hech- a- pi- a.”

“ Hmm…jadi apa yang Puan nak minta saya tolong?” Aku tidak berminat hendak tahu pasal Munirah lagi. Kepalaku mula sakit.

“ Awak simpan rahsia tu ya Jihah. Saya sayang Munirah macam anak sendiri.Saya percaya pada awak.” Ujar Puan Mawar lagi.

“ Jangan risau Puan Mawar. Jadi,…apa yang saya boleh tolong Puan?”

Begini…” Puan Mawarni diam seketika. Dia bagai berfikir panjang. Kemudian ekor matanya mengerling ke arahku.

“ Jihah…saya yakin, ketegasan awak saja yang mampu melembutkan jiwa Khairul. Saya tak mampu lagi membentuk dia. Saya tahu apa kelemahan Khairul. Saya perlukan awak Jihah dalam keadaan genting seperti ini.”

“ Ya..jadi apa yang perlu saya buat?” Aku sudah naik lemas berada di dalam bilik Puan Mawar. Susahkah hendak berterus terang? Cakap saja Puan Mawar.

Puan Mawarni merenung dalam ke arahku. Aku jadi serba tak kena.

“ Awak hidup dengan Khairul..”

“ Maksud Puan?” Mataku membulat.

“ Jihah….awak jadi isteri Khairul. Saya ada bersama awak. Dia perlukan wanita yang mampu menyedarkan dirinya”

Aku tergamam. Sama sekali tidak menyangka Puan Mawarni akan berkata begitu. Mimpikah Puan Mawar. Aku agak Puan Mawar hendak buat lawak denganku. Aku menggelengkan kepala berkali-kali.

“ Oh maaf puan. Maaf. Yang itu saya tak boleh. Maaf puan.”

“ Jihah….awak boleh. Saya tahu, saya kenal awak.”

“ Maaf puan. Ini soal masa depan saya. Saya tak ada perasaan pun terhadap Encik Khairul.” Aku semakin tertekan dengan permintaan Puan Mawar. Lemas. Rimas.

Kahwin dengan Khairul?! Lelaki seperti itu? Yang pemarah. Suka memaki hamun. Ego tinggi. Dan lagi satu, aku tidak sehaluan dengannya. Pub dan kelab malam tidak asing baginya. Aku pernah lihat gambar Encik Khairul sedang berpelukan dengan perempuan. Bertukar-tukar perempuan pula. Hampir kesemua perempuan yang dirangkulnya, berpakaian seksi belaka.

“ Jihah…ini satu-satunya harapan saya. Jangan kecewakan saya.”

Puan Mawar terlalu mendesak. Aku jadi hilang pertimbangan. Sedarkah Puan Mawar, dia terlalu pentingkan dirinya sendiri? Adakah dia fikirkan perasaan aku?

“ Maaf Puan. Saya balik dulu.” Tanpa banyak bicara, aku mencapai tangan Puan Mawarni dan kukucup. Aku terus membuka pintu bilik.

“ Saya balik dulu Puan.”

Aku tidak mengendahkan jawapan Puan Mawarni. Yang aku tahu, aku nak balik. Aku sudah tak tahan. Baru saja aku memusingkan badan, aku terlanggar satu objek di muka pintu. Aku tidak nampak apa-apa. Tapi aku yakin itu dada manusia. Bau minyak wangi Polo Blue Ralph Lauren memenuhi rongga hidungku. Macam kenal bau ni! Siapa ya?

“ Hummm….nak kena peluk ke?” Tubuhku serta merta didakap seseorang. Aku mengangkat muka. Pandanganku terpahat pada seraut wajah. Badanku seakan menggigil. Tergamam! Aku berusaha hendak keluar dari rangkulan tangannya. Tapi Encik Khairul sengaja menguatkan pelukannya

“ Encik Khairul! Errr….”Aku menolak dadanya sekuat hati. Akhirnya aku yang terdorong ke belakang lantas jatuh terduduk di tepi Puan Mawarni. Tanpa memandang wajah Puan Mawarni, aku bergegas bangun. Kakiku melangkah pantas keluar dari bilik itu. Aku sengaja tidak mahu memandang muka Encik Khairul. Aku benar-benar malu.

“Nanti Najihah!”

Baru beberapa langkah aku keluar dari bilik, Encik Khairul terus menghampiriku. Dia tersenyum sinis. Matanya merenung tepat ke dalam mataku.

“ Hummm….awak memang menarik. Saya sayangkan awak Najihah, tapi awak yang jatuhkan air muka saya. Awak buat saya nampak bodoh!”

Aku semakin tidak faham dengan perangai Encik Khairul. Kepalaku bagai nak pecah. Aku menarik nafas dalam.

“ Saya nak balik.”

“ Nanti Jihah…” Encik Khairul menahan aku sekali lagi.

Aku tidak mempedulikan panggilannya. Tetapi Encik Khairul bagai tidak tahu bahasa. Dia terus merapatiku.

“ Ingat!” Jari telunjuknya dihalakan ke muka aku, “ Permainan ini belum tamat Najihah.”

Aku menekup kedua belah telingaku lantas berlalu dari situ. Tiba-tiba suara Puan Mawar kedengaran. Biarpun simpati aku terhadap Puan Mawarni mula memuncak, tapi aku terpaksa keraskan hati.

“ Jihah! Dengar dulu….” Puan Mawarni separuh menjerit.

Aku terus melangkah. Biarlah Puan Mawarni melentur anaknya sendiri. Sebelum keluar dari rumah itu, aku sempat mendengar Encik Khairul bersuara.

“ Mama….mama terlalu percaya pada Jihah. Saya mampu uruskan syarikat….saya…”

Setelah itu, aku tidak tahu apa-apa. Maksud aku, aku tidak mahu tahu lagi tentang Mawar Biru. Aku nak hidup tenang. Setenang seperti sebelum kehadiran Encik Khairul ke Mawar Biru lima bulan yang lepas.

“ Apa yang dia maksudkan ‘permainan ini belum tamat’..permainan apa?” Hatiku berbisik sekali sekala. Hmm…lantaklah.
…

Rabu, 13 Jun 2007

Bab 9....Bye-Bye Mawar Biru


Sesungguhnya hari ini aku telah dipermainkan oleh Encik Khairul dan Tuan Mokhtar. Mati-mati aku fikir pertemuan bersama Tuan Mokhtar tadi adalah kerana hendak berbincang tentang seminar yang bakal berlangsung. Namun semuanya bohong belaka. Bagaikan mereka berdua sengaja hendak memperbodohkan aku. Dan Tuan Mokhtar, jikalau dia fikir aku perempuan yang mudah dijinakkan dengan wang ringgit, dia memang tersilap. Aku memang memerlukan wang tetapi aku bukan dikawal oleh wang.

Kemarahan aku masih lagi menebal di hati. Aku sudah berangan-angan hendak bersemuka dengan Encik Khairul sebaik sahaja tiba di Hotel Mawar Biru. Padanya kelak, akan aku hamburkan segala rasa curigaku atas tindak-tanduknya terhadapku. Aku akan tegaskan kepadanya beberapa perkara yang kukira dia tersilap jangkaan tentang siapa ‘Aina Najihah’.

Sampai sahaja di pintu utama hotel Mawar Biru, aku dikejutkan dengan panggilan suara yang lunak dan manja. Edelyn, salah seorang Jurujual Pemasaran Hotel Mawar Biru menuju ke arahku dengan langkah yang sengaja dilenggang-lenggokkan. Matanya yang berwarna hijau buatan itu merenung dalam ke arahku dan bibirnya tersenyum sinis. Dia kemudian ketawa kecil sambil berpeluk tubuh.

“ Kau nak tau tak Jihah? Aku ada berita yang nak disampaikan pada kau. Berita selebihnya, pasti ramai yang akan sampaikan. Kau sudah bersedia ke?”

Bersedia? Berita? Hei, kau nak cakap apa hah Edelyn? Aku tak mahu layan orang macam kau tau, rungut hati kecilku. Aku terus berjalan ke arah pintu lif dan membiarkan Edelyn keseorangan di lobi hotel.

“ Kenapa kau sibuk buat kerja yang dah diserahkan pada aku?” Soal Edelyn seraya menoleh ke arahku. Suara Edelyn yang nyaring dan penuh ketegasan itu telah menarik perhatian beberapa staff hotel di bahagian pendaftaran tetamu. Mungkin juga berupaya memancing rasa pelik di hati mereka. Apa masalah Edelyn ni?

Mendengarkan soalan itu. aku bukan sahaja tidak mampu bersuara, malah tidak tidak jadi bergerak. Ini membuka ruang untuk Edelyn menyambung bicaranya.

“ Tuan Mokhtar kan dah setuju nak buat dua seminar tu di hotel kita dan satu seminar lagi sedang dalam proses, tapi pasal engkau buat ‘taik’, jadinya salah satu seminar tu dibatalkan. Sekarang, siapa yang rugi? Hotellah! Kau nak bayar ke gantiruginya? Hei! Jangan terperanjat kalau engkau terpaksa berhutang dengan hotel!”

Edelyn memusingkan badan ke arahku. Matanya masih lagi melekat pada seraut wajahku. Oh! Beraninya Edelyn menuduh aku sewenang-wenangnya? Arggh...aku juga tidak mahu mengaku kalah. Mataku menjamah wajahnya bersekali dengan segaris senyuman di bibir. Aku masih mampu bertenang dan mengawal perasaan tidak senangku terhadap sikapnya.

“ Jadi buat apa Encik Khairul suruh saya jumpa Tuan Mokhtar?” Entah mengapa soalan itu aku utarakan kepada gadis berambut warna perang celup berbelang hitam itu. Sudah macam balung ayam pula aku tengok. Hmm…kalau nak diikutkan, soalan itu tadi tidak seharusnya dilanjutkan kepada Edelyn. Itu soalan untuk Encik Khairul. Aduh! Aku tersilap pula.

Edelyn menjungkitkan bahunya. Aku tahu, Edelyn juga menyimpan perasaan tidak senang terhadapku.

“ Mana aku tahu. Kau tanyalah Encik Khairul sendiri.” Balasnya sambil menghadiahkan sebuah jelingan tajam.

Walau begitu, aku juga inginkan kepastian dari Edelyn. “ Siapa yang uruskan Tuan Mokhtar sebenarnya ni? Saya atau awak sendiri Edelyn?”

“ Hei! Akulah. Takkan Encik Khairul begitu bodoh sampai nak serahkan pelanggan besar macam Tuan Mokhtar itu kepada engkau! ” Edelyn mencebikkan bibirnya dan berjalan ke pintu utama Hotel Mawar Biru. Tidak sampai beberapa detik, Edelyn memusingkan badannya.

“ Jihah! Cepat-cepat kosongkan meja ya. Saya nak pakai. Bye.”

“ Apa maksud awak….. hei Edelyn!” Belum sempat aku menghabiskan soalan itu, Edelyn terus berlalu meninggalkan aku yang masih terpinga-pinga.

Edelyn sudah hilang dari pandanganku. Namun kata-katanya masih terngiang-ngiang di telinga. Fikiranku kian kacau. Aku dimaklumkan oleh Edelyn sendiri bahawa dua seminar Exec Excel itu memang sudah disahkan akan berlangsung dan seminar satu lagi sedang dalam perbincangan. Jadi kenapa aku perlu berbincang tentang seminar yang sudah pasti akan berlangsung? Di kala itu, aku bagaikan hendak terduduk. Fikiranku melayang-layang seketika.

Jika tawaran sudah dipersetujui dan di bawah pantauan Edelyn, buat apa aku disuruh berjumpa Tuan Mokhtar?

“ Jihah!Jihah!”

Lamunanku terbantut secara tiba-tiba. Aku menoleh ke arah lif utama.

Taufik, lelaki gempal pendek yang juga antara kawan baik aku di Hotel Mawar Biru, sedang bergegas menuju ke arahku. Lelaki berkaki tempang sebelah itu memang kusenangi sejak dari hari pertama aku berkerja di hotel ini. Taufik, seorang lelaki yang berkeyakinan tinggi. Bagiku, Taufik bukan saja pekerja yang rajin, malah berkemampuan dalam menyelesaikan perkara yang berbangkit biarpun sewaktu ketiadaan majikan, menyebabkan dia sangat dihormati di kalangan perkerja.

“ Fik, apahal ni? Kelam kabut nampak.” Tegurku apabila Taufik sudah berada di hadapanku. Mukanya nampak serius. Mesti ada masalah besar kerana selalunya Taufik bersikap tenang sahaja.

“ Kau dah tahu ke? Roon tak bagitau kat kau ke?”

“ Apa dia? Tau apa?”

“ Kau dah kena pecat. Tadi Encik Khairul umumkan dalam mesyuarat. Ini yang aku nak tanya kat kau. Betul ke apa yang aku dengar?”

“ Ha!” Mulutku terkumat-kamit seketika. Dadaku berdebar tidak menentu setelah mendengar kalimah yang diucapkan Taufik “ Aku kena pecat?” Aku mengulanginya, meminta kepastian. Taufik mengangguk kepala.

Aku tidak mampu untuk bersuara kerana benar-benar tergamam dengan berita yang dibawa Taufik. Fikiranku jadi kacau bilau. Mengapa aku dipecat? Ya! Aku dapat menjangkakan aku akan dimarahi oleh majikanku sekiranya Tuan Mokhtar menceritakan aku tidak melayaninya dengan hormat. Biasalah, Tuan Mokhtar mesti akan lepaskan geramnya dengan menfitnah aku. Orang dah macam cacing kepanasan! Tapi, bagaimana sampai aku boleh dipecat? Mengapa?

“ Kenapa…kenapa Fik?” Suaraku serak sedikit. Aku menguatkan hati untuk mencari jawapannya biarpun saat itu aku berasa sungguh kecewa.

“ Kami diberitahu masa mesyuarat tadi, engkau simpan je, tak usik pun dua kertas cadangan Kara Holdings dan IMATEK yang Encik Khairul minta engkau uruskan dua bulan lalu. Khabarnya syarikat yang nak buat acara minggu keluarga di hotel kita tu, dah tempah hotel lain. Tadi, Encik Khairul dapat panggilan telefon dari Tuan Mokhtar. Tuan Mokhtar nak batalkan seminar yang hujung bulan depan tu. Tuan Mokhtar cakap, engkau tak hormat dia. ”

Airmata aku sudah berlinangan. Wajah Encik Khairul sedang mengkhabarkan berita pemecatanku semasa mesyuarat tadi terbayang-bayang di kotak fikiranku. Agak-agaknya, berapa banyak cerita yang tak betul tentang aku yang dihebahkan kepada kakitangan Hotel Mawar Biru? Alamat busuklah namaku.

Ah! Akal fikirku membantah. Buat apa tunduk dengan tuduhan yang tak berasa itu? Kalau benar aku salah, buktikan dahulu. Tunjukkan kertas-kertas cadangan yang dikatakan tidak berusik tu. Mana pernah aku menerima dua kertas cadangan tu. Tak pernah pun. Jangan Encik Khairul fikir aku mudah diperkotak-katikkan. Jangan jadi lemahlah Aina Najihah!

Semangatku tiba-tiba membara. Bagai biji bateri yang baru dicaskan, aku kembali segar semula. Riak wajahku yang tadinya lesu dan sayu, berubah menjadi bertenaga. Aku menghayun langkah ke arah lif hotel. Taufik terpinga-pinga melihat aku yang tiba-tiba bergerak cergas bagai mendapat semangat baru.

“ Jihah! Jihah! Kau okey ke?

Pertanyaan Taufik aku biarkan sahaja bagai angin lalu. Seraut wajah Encik Khairul yang bengis dan bibirnya yang berbisa semakin jelas di imaginasiku. Tunggu! Aku akan patahkan hujah-hujah Encik Khairul yang sengaja hendak mengenakan aku.

Hish! Lif pulak tak turun-turun. Hendak tak hendak, aku terpaksa menguatkan semangat menaiki anak tangga setinggi empat tingkat. Letihnya.


Dalam keadaan marah dan tergesa-gesa hendak menuju ke pejabat Encik Khairul itulah, tanpa diduga tumit kasutku tercabut. Agaknya tadi aku berlari sekuat hati semasa menaiki anak tangga pasal hendak cepat sampai. Itulah! Nak kata nasib badan tak juga. Sepatutnya di kala hati tengah marah, seharusnya aku belajar bertenang. Aku ingat lagi kata-kata Imam Al-Ghazali, sifat marah itu umpama darah yang mendidih di dalam badan. Seharusnya aku peka, memang menjadi tugas syaitan adalah menghembuskan lagi bisikan-bisikan berbau kejahatan.

Hmm…inilah akibatnya. Nampak gayanya, terpaksalah aku keluar duit beli kasut baru.

Sampai sahaja di tingkat empat, orang pertama yang aku terserempak adalah Encik Khairul. Tak semena-mena mata kami bertentangan. Dia merenung aku sejenak dan kemudian mendengus panjang.

“ Hah, dah balik pun. Saya ada hal nak cakap dengan awak, Aina Najihah.” Lelaki mulut berbisa itu, cuba berlagak professional pula setelah membohongi. Aku jadi meluat melihat gayanya seperti seorang majikan yang baik dan berwibawa. Pembohong! Agaknya dia sengaja berpakat dengan Tuan Mokhtar hendak mengenakan aku tak?

“ Bila balik?” Soalnya.

Aku tidak berminat hendak menjawab soalannya. Segera aku bergerak ke mejaku iaitu meja kayu beralas cermin tebal, dan menyarung selipar yang berada bawah meja. Kemudian, aku mempercepatkan langkah menuju ke bilik Pengarah Urusan. Masuk sahaja ke bilik, Encik Khairul menarik kerusi untukku.

“ Duduk. Perkara ini perlu kita selesaikan secepat mungkin.” Encik Khairul membuka kot hitamnya seraya menyelubungkan ke kerusi kulitnya. Kemudian dia menekan butang telefon. Aku cuba bertenang. Aku tidak mahu termakan lagi dengan umpan Encik Khairul. Aku juga tidak mahu terperangkap dalam jerat buatannya.

“ Zarin, bawakan saya fail peribadi Aina Najihah sekarang.”

Tidak sampai satu minit, Zarin iaitu Setiausaha Encik Khairul yang kecil molek, berpunggung lentik serta suka mengenakan pakaian kebaya batik, masuk menghantar fail peribadiku. Setelah itu Zarin pun keluar. Tinggallah aku dengan Encik Khairul.

“ Saya tidak menafikan awak telah lama berada di Mawar Biru ini, lebih awal dari saya. Saya juga tidak menafikan awak pekerja kesayangan ibu saya. Tapi seperti yang awak lihat sekarang, zaman ibu saya dah berlalu. Jadi awak terpaksa terima hakikat, sekarang ini saya yang menentukan perjalanan Mawar Biru.”

Huh! Panjang pula ceramahnya. Sememangnya aku mudah jadi rimas apabila berada dalam bilik yang sering dipenuhi dengan kata-kata sindiran dan sumpah seranah sejak Encik Khairul mengambil alih Mawar Biru. Mungkin menyedari aku tidak berminat mendengar ceramahnya, jadi Encik Khairul pun membuka topik utama mengapa aku dijemput ke biliknya.

“ Rekod awak selama ibu saya jadi MD, memang bagus. Tip top. Pekerja cemerlang selama dua tahun berturut-turut. Wow! Pencapaian yang cemerlang bagi seorang kaki kipas. Syabas!”

Apa? Kaki kipas?! Aku berusaha bersungguh-sungguh membantu ibunya tatkala dia sedang belajar di Melbourne Australia, aku dituduh kaki kipas? Sungguh budiku tak dikenang. Dan kini aku pula mahu disepak terajang.

“ Maaf Encik Khairul. Saya berpendapat Puan Mawarni seorang yang bijak dan boleh membezakan pekerja yang bagus dan pembodek yang bagus.”

“ Ahaaa…..betul tu Cik Aina. Memang ibu saya bijak, pasal itulah anaknya pun bijak.”

Cis! Tak malu, puji diri sendiri.

Encik Khairul memusing-musingkan kerusinya dan secara tiba-tiba dia berhenti. Dia memicingkan matanya, merenung tajam ke arahku sambil mengetap bibir. Suaranya separuh berbisik.

“ Tapi bijak-bijak ibu saya pun, dia dijadikan boneka oleh si kaki bodek yang terlebih bijak.”

Aku tergamam dengan tuduhan yang tidak berasas itu. Selama aku berkerja di bawah Puan Mawarni, aku cuba membantunya dengan tulus ikhlas. Tidak pernah sekalipun aku meminta apa jua balasan hatta dinaikkan gaji sekalipun.

Aku menatap muka Encik Khairul yang berkumis nipis dan berjanggut sejemput itu. “ Apa tujuan Encik Khairul berkata begitu? Encik Khairul panggil saya kerana nak tuduh saya sesuka hati ke?”

“ Berani awak ya!” Jerkahnya.

Ya! Aku memang berani. Selama ini aku banyak bersabar dengan perbuatan Encik Khairul terhadapku. Banyak yang perlu aku fikirkan jika aku hendak membalas butir-butir percakapannya. Antaranya, aku pekerja. Duitnya menampal mulutku.

Tapi itu dulu. Sekarang aku terpaksa menegakkan maruah diriku. Rezeki ada di mana-mana. Rezeki aku bukan Encik Khairul yang tentukan. Hari ini juga, aku berserah dan bertawakkal kepada Allah S.W.T. Kalau hari ini aku ditakdirkan akan meninggalkan Mawar Biru, aku redha!

“ Panggil Khairunnisa, Taufik dan Edelyn sekarang!” Encik Khairul menekan butang telefon lantas memberi arahan kepad Zarin.

Aku jadi gemuruh seketika. Untuk apa Encik Khairul panggil tiga orang tersebut? Encik Khairul hendak dapatkan maklumat atau nak jadikan mereka saksi? Atau mahu memalukan aku depan Roon, Taufik dan Edelyn?

“ Kenapa Encik Khairul? Saya harap Encik Kharul boleh berterus terang dengan saya sahaja kalau ada masalah. Saya pun nak tahu apa yang buat Encik Khairul nampak marah je hari ini.”

Oh diri, cubalah bawa bertenang! Bisik hatiku. Encik Khairul ini memang sudah melampau. Marah aku sesuka hati, menuduh aku ikut sedap mulut dan sekarang apa dia fikir dia boleh memperdaya aku pula? Tidak, sesekali tidak.

Soalan aku tadi masih tidak dijawabnya. Encik Khairul membuka laci dan mengeluarkan beberapa helai surat lalu meletakkannya di atas meja. Sempat aku mengerling ke arah kepala surat yang tertulis Kara Holdings. Oh! Ini agaknya kertas cadangan yang kononnya aku tak usik pun selama dua bulan. Kononnya aku tak ambil apa-apa tindakan pun. Fitnah! Fitnah!


Pintu dibuka dari luar. Kemudian masuk Roon, Taufik dan Edelyn. Mereka bertiga berdiri di tepi kerusiku. Sederet. Mula-mula Roon, diikuti Taufik dan akhirnya Edelyn. Bagaikan berhadapan dengan hakim, suasana di bilik itu berubah senyap serta merta. Mata masing-masing tertumpu ke arah Encik Khairul. Aku menjeling ke arah Roon. Mata Roon tidak berkelip memandangku. Tidak lama kemudian, Roon menjatuhkan pandangan ke lantai bilik. Mungkinkah Roon tidak tergamak melihat aku dalam keadaan begini? Sarat dengan tuduhan dan bakal bergelumang dengan cercaan.

Suara Encik Khairul menerobos ke gegendang telinga. Suara yang lantang.
“ Nah! Baca kertas-kertas cadangan yang saya terima dari Kara Holdings dan IMATEK. Edelyn, awak pasti awak dah bagi proposal ni pada Najihah? Pasti?”

“ Ya Encik Khairul. Saya sendiri yang bagi pada Aina Najihah.”

Serta merta jantungku bagai digegarkan dengan satu dentuman kuat. Aku mengalihkan pandangan ke arah kertas yang diunjukkan kepadaku. Seingat aku, kertas ini pernah diberikan kepadaku tetapi bukan untuk diambil tindakan. Cuma untuk disemak senarai barang keperluan dengan banquet staff dan memastikan tarikh yang ditetapkan adalah tarikh ‘kosong’ bagi hotel. Aku tidak patut dikaitkan dengan Kara Holdings dan IMATEK!

“ Apa yang awak buat dengan kertas ni hah? Simpan ya…simpan bawah meja? Perap ikut suka awak jek!!” Jerkah Encik Khairul.

Tak semena-mena kertas itu dibalingkan ke muka aku. Berkecai helaiannya dan kemudian berselerakan di atas dan bawah meja. Aku terpaku dan tergamam. Tidak terfikir akan diperlakukan sebegini. Malu! Aku dimalukan di hadapan Roon, Taufik dan Edelyn. Kerana itukah Encik Khairul memanggil mereka masuk? Melampau!

“ Awak nak bayar ke kerugian yang hotel tanggung? Jawab Aina Najihah!!!”

Jeritan bagai halilintar itu bukan sahaja menembusi telingaku malah menghancurkan hatiku. Kalaulah aku hendak disingkirkan dari Mawar Biru, tak perlulah Encik Khairul menfitnah malah menghina aku sebegini rupa.

“ Encik Khairul…,” aku memandang tepat ke arah Encik Khairul yang tak ubah seperti singa jantan hendak pergi bertarung. “ Boleh Encik Khairul beritahu saya bila saya terima kertas-kertas ini dan bila pula saya pulangkan kepada Encik Khairul? Dan lagi satu, kenapa Encik Khairul suruh saya jumpa Tuan Mokhtar tu sedangkan tugasan tu dah diserahkan kepada Edelyn. Dalam masa yang sama, Tuan Mokhtar sebenarnya dah setuju pun nak jadikan hotel kita tempat seminar syarikatnya? Soalan saya pun perlukan jawapan Encik Khairul.”

Saat itu aku dapat mengagak semua mata memandang ke arahku. Mungkin juga memandang ke arah keberanianku menyoalbalas Encik Khairul yang garang itu. Ah! Kenapa pula hendak takut dengan bos macam Encik Khairul. Macam bagus!

Encik Khairul terdiam seketika, namun dari telahanku dapat kutafsirkan, Encik Khairul sengaja hendak mengenakan aku. Ah! Tak mungkin Encik Khairul akan menjawab pertanyaanku tadi. Mungkin dia akan putarbelitkan keadaan, tekaku.

“ Aina Najihah, awak jangan cuba nak perbodohkan saya. Saya tahu, awak tidak suka berkerja di bawah saya kerana saya tidak mengikut telunjuk awak seperti mana ibu saya. Tapi ingat, saya tidak mudah nak diperbudakkan. Surat ini dah awak terima dua bulan lalu. Ini tandatangan awak, pada 3 Januari. Baca ini, ‘ …sila hubungi Kara dan ambil tindakan segera’. Hah…apa awak dah buat? Apa? Perap! Hah! Perap kertas ni?!”

Sekali lagi Encik Khairul menengking aku dan mengunjuk-unjuk kertas itu ke arah mukaku. Kesabaranku kian sirna. Pipiku naik sebal dengan libasan kertas yang beberapa kali menjamah kulit mukaku. Aku perlu membela diri. Aku terus menarik kertas itu dari genggamannya. Aku letakkan semula kertas itu di permukaan meja.

“ Ini bukan tandatangan saya. Pertama, saya tak suka guna pen warna hitam. Kedua, setiap kali tandatangan saya akan letak tarikh di bahagian tepi bawah tandatangan saya.Bukan di tengah. Saya tak pernah tulis nama bulan, hanya angka. Yang ini berbeza. Ini satu fitnah, siapa yang merekanya…saya rasa Encik Khairul lebih tahu dari saya.”

Aku sempat menjeling muka Roon dan Taufik. Keduanya menganggukkan kepala. Kedua teman baikku ini memang tahu, aku tidak pernah lupa membawa pen biru mata bulat ke mana-mana. Edelyn masih seperti selalu, mukanya bagai tiada reaksi.

Encik Khairul kembali bersuara, “ Ah..jangan nak menafikan. Awak ni satu beban dalam Mawar Biru. Tau tak?!”

“ Kalau begitu, buat apa simpan pekerja macam saya…” balasku setelah merasakan tiada gunanya lagi bercakap panjang dengan majikan seperti itu.

“ Bagus! Awak tahu hari ini hari terakhir awak berada di sini?”

“ Alhamdulillah. Saya sudah terlepas dari neraka dunia.”

“ Hmmm..awak boleh kemaskan barang dan sekejap lagi ambil slip gaji dari Zarin untuk bulan ini.”

“ Terima kasih, dan saya juga akan tuntut pampasan kerana dihentikan tanpa sebab.”

“ Heii….apa awak cakap? Jangan nak tunjuk kurang ajar awak….”

“ Assalamualaikum.”

Aku terus meninggalkan bilik itu tanpa mempedulikan Encik Khairul. Pintu biliknya aku tutup dengan kuat. Perasaan marah dan geram masih lagi menebal di hati. Marah kerana diperlakukan seperti budak-budak. Geram kerana diberhentikan hanya dengan gaji hujung bulan.

Apakah Encik Khairul fikir aku tak pernah berjasa untuk Mawar Biru? Dulu pada ketika Mawar Biru melalui zaman suram apabila Tulip Lodge di bina bersebelahan Mawar Biru, aku dan Puan Mawarni berusaha bersungguh-sungguh membuat promosi di jabatan-jabatan kerajaan serta syarikat swasta dari utara tanahair sampai ke selatan. Mana dia pada waktu itu? Belajar di Melbourne dan bila balik ke Malaysia, menganggur lima bulan sehinggalah Puan Mawar kemalangan jalanraya, lalu mengalami lumpuh separuh badan. Lelaki itu tiba-tiba terjengul di Mawar Biru dan mula menerajui tampok pentadbiran Mawar Biru.

Memanglah, dia anak Puan Mawarni. Aku cuma pekerja. Tapi sayang, lelaki itu tidak tahu selok belok pengurusan hotel. Aku agak, kalau dia uruskan hotel mengikut caranya sekarang, Mawar Biru bakal menjadi haru biru.

Aku terus menuju ke mejaku. Semua barang-barang yang ada aku masukkan ke dalam beg kertas. Tidak banyak barang aku. Beberapa alat tulis, buku-buku rujukan dan selebihnya satu bingkai gambar, telekung, dua biji mug, sudu dan dua buah pinggan makan. Kasut yang terkopak tumit itu aku bawa sama, mana tahu boleh tampal semula.

“ Saya tak nak tengok muka awak di sini lagi…” tiba-tiba aku dikejutkan oleh suara yang paling aku benci. Aku mendongakkan muka. Sekujur tubuh Encik Khairul yang sedang bercekak pinggang memenuhi bebola mataku.

“ Kalau dah tak nak tengok, kenapa tertonggok depan meja saya. Pergi masuk bilik awaklah…” balasku perlahan namun aku sedar, Encik Khairul mendengarnya.

Mungkin kerana telinganya sudah ‘panas’, Encik Khairul meninggalkan mejaku lalu menuju ke meja Taufik. Beberapa orang Sales Personnal memandang kearahnya.

“Anda semua…ingat, saya berhentikan Aina Najihah setelah beberapa kali dia merugikan hotel. Saya tak mahu pekerja yang berani sembunyikan dokumen-dokumen penting, tidak menghormati pelanggan dan tak suka ikut arahan. Ingat! Ini satu pengajaran.”

Telingaku seakan berasap. Barang-barang telah selesai aku kemas. Aku menuju ke meja Zarin. Dengan perlahan Zarin menghulurkan sekeping cek pada aku.

“ Jihah…banyak-banyak sabar ya.”

“ Terima kasih kak Rin.”

Huhhhhh…sabarlah hati.

…






Bab 8.....Suatu Pagi, Secawan Kopi dan Sebuah Harga Diri




Pagi-pagi lagi Roon sudah berleter di dalam kereta Kelisaku. Hari ini aku memberitahunya, aku tidak akan turun ke Hotel Mawar Biru kerana aku terpaksa berjumpa dengan Tuan Mokhtar di Bangi Best Kopitiam. Roon bertanya padaku, sama ada pertemuan ini atas kerelaanku atau aku diugut.

“ Bukan diugutlah Roon. Tapi aku ni dah terjebak dalam satu rancangan Encik Khairul kita tu. Kertas proposalnya bertajuk ‘Mengenakan Aina Najihah Secukup Rasa’ dan pengarahnya Encik Khairul sendiri. Penyelaras projek siapa lagi, Mokhtar tu lah.” Jawabku mendatar sambil memerhatikan lalulintas di hadapanku. Sekarang pukul lapan pagi, jalanraya di sekitar Bandar Baru Bangi agak sesak namun tidaklah sampai menganggu perjalanan. Tidak seperti di Kajang dan Kuala Lumpur.

“ Aku tak fahamlah. Apa Encik Khairul tu tak puas hati dengan engkau? Kalau pasal cadangan nak buat bar arak tu kena tolak, itu bukan engkau yang tolak. Mak dia. Pasal etika berpakaian di kolam renang pun, mak dia yang tak setuju cadangan dia tu. Kenapa engkau yang jadi sasaran dia?”

Aku mengerling sedikit ke wajah Roon. Memang kawan aku itu tidak puas hati dengan layanan Encik Khairul terhadap aku. Sudah acapkali Roon meluahkan kesangsiannya terhadap tindak tanduk Encik Khairul yang dianggap mempunyai agenda tersembunyi.

“ Memanglah mak dia yang tolak tapi aku yang mula-mula bantah. Alah…kebanyakan pelanggan kita orang Melayu, hampir lapan puluh peratus. Buat apa nak adakan mini bar tu. Hmm…entahlah. Sebenarnya, aku dah malas nak fikir pasal tu semua. Buang masa aku je, tapi makin aku cuba bersangka baik dengan Khairul, makin banyak benda pelik yang dia kenakan aku. Hah! Macam sekarang nilah. Dia dah tau aku tak ngam dengan Tuan Mokhtar, tapi dia benarkan Tuan Mokhtar berurusan dengan aku. Kenapa?”

Aku memuntahkan rasa curiga yang kian bersarang di jiwa. Adakah Encik Khairul sengaja mahu aku ‘panas punggung’ duduk di kerusi Ketua Bahagian Pemasaran, Hotel Mawar Biru? Mungkin ini satu tekanan agar aku tidak tahan berkerja di situ lantas aku sendiri akan meletak jawatan?! Mana tahu?

“Roon, kalau engkau lapang pagi ni, temankan aku jumpa Tuan Mokhtar tu boleh tak? Aku tak sedap hati jumpa sorang diri. Kau ada masa tak Roon?” Pintaku dengan suara yang sayu. Harap-harap Roon ikut aku.

“Tak bolehlah Jihah. Semalam Encik Khairul suruh semua staff ada kat ofis pagi dan petang pasal pada bila-bila masa dia akan buat mesyuarat. Jadi, aku tak beranilah Jihah.”

Mulutku terlopong mendengar kata-kata Roon. Aku memperlahankan kenderaan dan menukar ke lorong perlahan.

“ Bila dia cakap? Aku tak tahu pun.”

“ Masa engkau pergi sembahyang.”

“ Tapi, tak akan dia nak buat mesyuarat tu masa aku tak ada. Mesyuarat apa?”

“ Ha, agaknya pasal jawatan engkau lah. Kan aku dah cakap, dia memang nak bagi jawatan engkau tu pada Edelyn. Mungkin nak buat rombakan Bahagian Pemasaran tak? Pasal itulah mesyuarat tu dibuat masa engkau tak ada.” Roon mengutarakan pendapatnya. Memang ada kemungkinan, tetapi aku rasa tidak lojik. Kecuali Tuan Khairul itu orangnya mereng atau bodoh, jadi barulah dianggap lojik.

“ Aku tak rasa macam tu. Yelah, kalau dia tak suka dengan aku, …memang pun. Dia tak boleh buat macam tu. Kalau dia buat macam tu, dia malukan diri sendiri. Nampak sangat dia tu diktator. Kalau dia boleh buat kat aku, kat kau orang pun boleh. Mana boleh ambil jawatan macam tu tanpa sebab yang jelas. Ada ke selama ni aku tak buat tugas dengan baik?”

Hotel Mawar Biru sudah berada di depan mata. Dua tiga tetamu baru masuk ke dalam hotel sambil menjinjing beg yang besar. Roon yang memakai baju kemeja lengan panjang dan seluar panjang hitam, tampak kemas hari ini. Tudungnya pula bercorak bunga-bunga besar warna hitam dan putih. Dia kelihatan feminin. Sebelum Roon meninggalkan kereta, sempat aku mengusiknya.

“ Aku tahu Abang BSN datang hari ni….,”

Muka Roon berubah tegang. Masih terasa agaknya dengan kata-kata aku tempoh hari.

“ Aku sedar siapa aku.”

“ Janganlah cakap macam tu…”

“ Habis nak cakap macam mana…,”

Tanpa berbicara dengan lebih lanjut, Roon masuk ke hotel. Aku menarik nafas panjang. Jarum panjang jam sudah menunjukkan pukul lapan setengah pagi. Masih terngiang-ngiang di telinga kata-kata Tuan Mokhtar, ‘tolong berada di sana sebelum saya sampai ya’.

Kereta Kelisa kupacu agak laju. Sepuluh minit berlalu, aku sudah pun sampai di Bangi Best Kopitiam.

Menanti lelaki yang pernah menganggu hidupku lima bulan lalu merupakan satu penantian yang menyesakkan dada. Tanpa menunggu kelibatnya muncul, aku meminta secawan kopi dan satu set roti bakar. Perutku sudah mula berbunyi. Lapar sungguh kerana malam sebelumnya, aku hanya makan sebungkus nasi lemak. Itu pun pukul lapan malam. Setelah itu, aku bergegas pergi ke rumah Kak Dalilah, mengajar dua orang anaknya mengaji dan membantu Kak Dalilah memperbaiki tajwid dalam bacaan al Quran.

Roti yang dipesan sudah sampai. Aku sudah tidak boleh sabar dengan semerbak bau mentega dan kaya. Sedap! Sebaik sahaja selesai membaca Bismillah, roti itu kukunyah dan kutelan tidak sampai sekitar dua minit. Gelojohkah aku? Entahlah. Yang pasti, selepas itu aku minta satu set roti lagi.

Berada di sebuah kedai yang bersih dan indah, ditemani muzik latar lagu ra 60-an, benar-benar merehatkan mindaku. Sejuk angin pagi masih lagi terasa. Mungkin dingin embun juga masih bersisa. Terasa fikiranku melayang-layang, dan aku menjelajahi kota kenangan. Tiga bulan lalu….ya…tiga bulan lalu…..

“ Abang ni kerja pun belum ada lagi, mana ada perempuan nak pada Abang?” Ujar Ameer Mulhim tatkala aku mengusiknya kerana dia mengeluh penat membasuh baju sendiri dan memasak di rumah. Dalam masa yang sama, dia juga sedang sibuk menyiapkan kertas kerja tahun akhir.

“ Ya ke? Mengajar anak-anak yatim di sini bukan kerja ke?”

“ Kerja juga, tapi sementara. Abang bercadang hendak berkerja dengan sektor kerajaan. Sambil tu nak tolong adik-adik abang di Terengganu. Mereka ada buka perniagaan ubat anti-serangga di sana.”

“ Doalah bang. InsyaAllah, doa itu kan senjata mukmin. Pasti impian Abang akan jadi kenyataan.”

“ Betul cakap Jihah tu. Usia Abang dah nak masuk dua puluh sembilan tahun. Abang turut berdoa dapat jodoh. Nak cari perempuan sebaik Jihah, cukup susah zaman ini. Macam dah pupus pulak.” Ameer Mulhim bersuara dalam senyum yang tidak pernah hilang serinya. Dia akhirnya tertawa kecil apabila aku menarik muka kelat.

“ Marah pulak Jihah ni…” Ameer Mulhim tertawa kecil lagi dan selepas itu dia minta diri beredar kerana hendak menunaikan Solat Asar apabila azan Asar berkumandang. Suara muazzin kecil, Adik Qayyum yang serak-serak basah itu bakal membuatkan sesiapa sahaja ingin terkasima dan terpujuk hati ingin sama berjemaah di surau.

Susah ke mencari perempuan seperti Jihah, bang? Aku melontarkan pertanyaan dalam hati. Bukankah Jihah setia menanti, dari dulu lagi. Pernahkah Abang lihat Jihah bersama lelaki lain? Tidak bukan. Jihah masih seperti yang abang kenal dulu, sentiasa seorang diri bukan?
Dan baik sangatkah Jihah ini? Sesungguhnya Jihah banyak kekurangannya bang. Yang pasti, Jihah ini sebatang kara. Jika abang memilih Jihah, abang tidak akan punya ibu dan bapa mertua. Itu yang pastinya. Juga tidak akan merasa hidup beripar duai. Tiada anak saudara dari belah Jihah. Banyak perkara yang abang akan rasa kehilangan nanti. Relakah abang? Sanggupkah abang kehilangan apa yang orang lain ada? Merasai hidup berkeluarga.

Sembahyang Jihah pula, pasti tidak sehebat abang. Dari sumber yang boleh Jihah yakini, abang tidak pernah meninggalkan solat sunat Qabliah dan sunat Baqdiah. Sunat Dhuha sudah menjadi satu kewajipan bagi Abang di kala pagi hari. Ayat-ayat Al Quran telah lama basah di lidah abang. Abang akan melagukannya setiap ketika kerana abang sudah pun menghafalnya.

Berbanding dengan Jihah, terlalu sedikit persamaan kita tentang amalan harian. Selain solat lima waktu, Jihah amalkan Solat Sunat Taubat dan Solat Tahajud. Itu yang sering menjadi pakaian Jihah setiap hari. Al Quran tidak Jihah hafal, cuma sekurang-kurangnya sehelai muka surat dari naskhah agung yang juga satu-satunya mukjizat yang tinggal itu, Jihah akan baca tiap-tiap hari.

Ah! Terlalu sedikitnya amalan Jihah bang.


Krekkkk!!

Aku tersentak. Sedang aku menimbangtara keserasian antara aku dan Ameer Mulhim, kerusi mejaku ditarik. Mataku terpaku ke seraut wajah yang telah lama tidak kulihat. Lelaki berumur hampir setengah abad ini sudah duduk di hadapanku. Penampilannya semakin segak. Tiada lagi rambutnya yang dulu memutih. Juga sudah hilang ruang rontok di bahagian atas dahinya. Bau gel rambut memenuhi ruang udara di sekelilingku. Sepasang mata Tuan Mokhtar berlaga dengan anak mataku.

Lelaki itu sekali imbas persis pelakon drama tv Malaysia, Redzuan Hashim. Bezanya, Tuan Mokhtar sudah berumur sedikit. Tuan Mokhtar menghulurkan tangan ke arah telapak tanganku yang ditutupi sarung tangan berwarna coklat muda. Aku jadi serba salah. Namun kerana tidak mahu memalukannya, aku sambut juga huluran salamnya.

Kali ini salamnya sekejap amat, tidak seperti lima bulan yang lepas. Masa itu, aku sendiri terpaksa menarik tapak tanganku yang naik lemas dalam genggaman tangannya. Encik Khairul yang berada di sebelahku pada ketika itu, ketawa kecil melihat air mukaku yang sedang menahan marah. Tidak lama selepas itu, Encik Khairul dan Tuan Mokhtar tergelak besar. Menyindir aku agaknya! Atau menyindir hukum Tuhan?!

Sebenarnya aku sudah lemas dengan sesetengah manusia di bumi Malaysia ini. Sudah tahu berjabat tangan dengan bukan muhrim itu haram, kenapa perlu diamalkan lagi? Mahu menerima pakai budaya barat tapi janganlah sampai membelakangkan agama. Namun, alangkah hebatnya jika budaya ilmu dan kesedaran sivik amalan masyarakat barat diterapkan dalam amalan hidup di Malaysia. Masalahnya, budaya hip-hop, punk, budaya mendewakan artis serta amalan pergaulan bebas pula yang lebih gemar diamalkan oleh belia di sini. Apatah lagi media massa banyak memberi sokongan ke arah itu. Kalau beginilah caranya, bersedialah menerima masyarakat yang cacat, tempang atau mungkin lumpuh fitrah kemanusiaannya beberapa tahun dari sekarang.

Berbalik kepada Tuan Mokhtar, sepasang matanya yang sudah berusia setengah abad itu sempat menjeling ke arah tapak tanganku.

“ Lama tunggu Cik Aina? Ingat saya lagi tak, tak mungkin dah lupa kot?”

“ Tak lama mana Tuan Mokhtar. Terima kasih kerana memilih Hotel Mawar Biru buat kali kedua. Saya akan cubalah sedaya upaya untuk melaksanakan seminar itu dengan jayanya di hotel kami. Boleh Tuan Mokhtar ceritakan butir-butir peserta dan perjalanan seminar tersebut?”

Memang aku tidak mahu membiarkan perjumpaan ini tersasar dari topik asalnya. Lagipun, seboleh mungkin aku mahu menguasai perjumpaan kali ini. Biar tiada ruang yang membolehkan Tuan Mokhtar menyusup masukkan sebarang usaha untuk ‘mengusik’ dan ‘menganggu’ aku. Lagipun, daripada cara dia memandang aku, tidak seperti pandangan antara dua orang yang hendak membincangkan tentang tugas. Jadi, aku perlu berwaspada.

“ Sabarlah Cik Aina Najihah. Saya baru saja duduk. Kalau ia pun, pesanlah secawan kopi untuk saya ke. Macam inikah Head of Marketing Department Mawar Biru layan saya? Awak perlu friendly sikit dengan client macam saya….” Tukasnya sambil mengetuk-ngetuk permukaan meja batu mar mar itu dengan penanya. Tergamam seketika diriku tatkala dia merenung dalam ke arahku. Ah! Rupanya dia sedang bersiap sedia mahu memukul gendang, dan saat itu aku berjanji pada diri. Tidak akan sekali-kali aku membiarkan diri menari mengikut irama gendang yang dipalunya.

“ Tuan Mokhtar hendak minum apa ya? Biar saya panggilkan waiter.”

Bersabar dan bertimbangrasa sudah menjadi satu amalan yang sebati dalam diri pekerja di Hotel Mawar Biru. Rukun keempatnya iaitu jangan sesekali mengatakan tidak kepada pelanggan ( rukun yang ditambah sejak Tuan Khairul memangku jawatan Pengarah Urusan Mawar Biru ) telah melatih aku bersikap sabar dan bertindak mengikut akal fikiran. Jadi, latihan ini akan aku aplikasikan sebaik mungkin dalam pertemuan dengan Tuan Mokhtar.

“ Bagi saya secawan air barli suam dan nasi lemak ya. Cepat sikit.”

Tuan Mokhtar menunggu pelayan wanita itu pergi sebelum mengalih perhatian ke arahku. Tadi, sempat aku mengerling Tuan Mokhtar tatkala mata tuanya menyoroti lenggang lenggok punggung gadis yang kukira berumur awal dua puluhan. Gadis itu memang cantik. Orangnya kecil molek dan bermata jernih. Tak silap aku, namanya Ratnadewi. Selalunya jika waktu pagi terutama hari Sabtu dan Ahad, Ratnadewi akan berada di Bangi Best Kopitiam. Itu yang aku tahu dari Suwardi, warga Indonesia yang bertugas sebagai pekerja am di Hotel Mawar Biru yang juga pelanggan tetap Bangi Best Kopitiam pada hujung minggu.

Tuan Mokhtar seakan tidak mengendahkan kehadiranku di hadapannya. Hendak menunggu dia buka mulut, entah bila agaknya. Jadi aku terpaksa mengalihkan perhatiannya.

“ Seboleh mungkin saya akan memastikan, hotel kami menyediakan peralatan seminar seperti kerusi meja, projektor, komputer dan apa sahaja yang diperlukan oleh pihak Exec Excel. Jadi, bolehlah Tuan Mokhtar berikan serba sedikit latar belakang serta jumlah peserta yang akan hadir? Em..kami juga akan cadangkan menu makan yang istimewa.”

Muka Tuan Mokhtar berkerut. Dia merenung aku dengan pandangan yang sukar untuk ditafsirkan. Aku berasa tidak selesa kerana pandangannya seakan ‘mencemuh’ aku. Sejurus kemudian suasana kembali senyap. Aku jadi lemas dengan pertemuan pagi ini. Jikalau tidak mahu berbincang, buat apa hendak jumpa?

“ Beginilah Tuan Mokhtar, kalau Tuan Mokhtar tidak bersedia hendak berbincang tentang seminar di hotel kami sekarang, biar saya balik dulu. Banyak juga kerja yang perlu saya selesaikan. Jika sudah bersedia, Tuan Mokhtar boleh berhubung dengan Encik Khairul. Assalamualaikum.”

Tanpa berfikir panjang lagi, aku terus mencapai tas tanganku lantas bangun. Baru saja aku hendak beredar, Tuan Mokhtar segera menahanku.

“ Duduklah Cik Aina. Kalau ya pun nak berbincang, tunggulah saya bersarapan dulu. Tekak Cik Aina dah basah, tekak saya ni masih kering lagi.” Tuan Mokhtar berbicara tanpa memandang ke arahku.

Hmm. Mengada betul orang tua ini, rungut aku dalam hati. Aku cuba bersabar, dan kembali duduk semula di kerusi. Segala rasa geram dan marah, aku simpan erat tanpa memaparkan sedikit pun riak di wajah.

“ Pagi-pagi macam ini, kan elok cerita perkara yang tidak melibatkan kerja.” Tokoknya lagi. Saat itu, aku hanya menanti sarapannya tiba.

Alhamdulillah. Seakan mengerti jeritan batinku, sekoyong-koyong datang Ratnadewi sambil menghidangkan sepinggan nasi lemak serta secawan barli suam.

“ Cik Aina ni masih muda kan? Apa yang saya tahu, awak ni asyik kerja memanjang. Cik Aina tak pernah terfkir ke nak berehat sekejap, jalan-jalan ke, pergi bercuti ke?”

Mataku terpaku ke muka Tuan Mokhtar. Aik, kenapa Tuan Mokhtar ni? Kenapa ambil berat pula tentang aku? Sudah lupakah peristiwa lima bulan lepas? Tuan Mokhtar buat-buat lupa agaknya, bagaimana aku cuba melarikan diri darinya yang asyik mengganggu aku pagi dan petang.

Humm…Fikiranku ligat memikirkan jawapan yang sesuai. Seboleh mungkin, aku tidak mahu mengecilkan hati Tuan Mokhtar.

“ Hujung minggu macam ni, ada kalanya saya berjalan-jalan juga. Pergi membeli-belah, dan berehat di rumah.”

“ Setakat berehat di rumah, apalah yang ada sangat. Duduk rumah lagi penat tak? Kena buat kerja rumah pulak? He he..”

“ Tak juga Tuan Mokhtar, saya belum berkeluarga. Tak ada suami dan anak yang nak dijaga, jadi saya dapat berehat walaupun duduk di rumah.”

Tuan Mokhtar menyuap sesudu nasi lemak ke mulutnya. Mataku menjengah ke arah pinggan di hadapannya. Humm, sudah separuh nasi lemak diselesaikannya. Aku perlu bersabar. Tidak lama lagi, dia akan selesai makan. Bermakna tugasanku akan bermula. Mudah-mudahan, cepatlah siap!

“ Cik Aina ni orangnya manis, ada rupa….tapi kenapa susah senyum? Berkerja sebagai Sales Personnel di sebuah hotel, kena banyak senyum tau Cik Aina? Mahal sangatkah senyuman Cik Aina ni?”

Eh! Tak pasal-pasal hendak mengkritik aku. Kalau dengan orang macam Tuan Mokhtar, aku memang tak berani hendak berikan senyuman.

“ Ya ke Tuan Mokhtar? Kalau macam itu, saya kenalah senyum-senyum selalu. Harap Tuan Mokhtar tak berkecil hati kalau saya kurang senyum.”

Biarlah merendah diri dan mengakui kelemahan dengan harapan dia akan hormat pada aku.

“ Ha..ha..ha,” ketawa kecilnya bergema, Tuan Mokhtar kelihatan agak segar dan ceria tiba-tiba. Dia menggosokkan kedua belah tapak tangannya berkali-kali. Pandanganku menjamah pinggan di atas meja. Yess! Dah habis makan.

“ Aaaa, baru manis. Macam ni, kalau kedai ni bagi kopi keras, hitam dan pahit pun saya boleh telan. Ha..ha..ha…,” ketawanya lagi. Baru tadi aku nampak muka orang tua di hadapanku ini kelat dan masam, tapi sekarang dia sudah ceria dan segar. Mudahlah kerja aku sekarang ini.

“ Saya dapat tahu ramai juga peserta yang akan hadir ketika seminar itu, bukan begitu Tuan Mokhtar?”

“ Ah! Cik Aina ni, asyik fikir pasal kerja saja. Hari ini tak perlulah kita bincangkan pasal seminar tu.” Tuan Mokhtar merengus. Marah nampaknya. Aku pula sudah keliru dengan pertemuan ini. Kenapa sengaja hendak mengelak dari berbincang tentang seminar itu?

“ Cik Aina,” Tuan Mokhtar menyebut namaku sambil matanya merenung ke sepasang mataku. Serta merta bulu tengkuk aku meremang. Aku menelan air liur. Resah dan gelisah mengasak ruang fikirku.

“ Sejak peristiwa dulu tu, saya selalu memarahi diri saya kerana tidak tahu menghormati Cik Aina. Sebenarnya…Cik Aina ni, umpama sebutir bintang yang berlindung di sebalik cahaya bulan. Sengaja menyembunyikan keindahan diri. Namun, mata saya dapat menelah betapa Aina Najihah adalah bidadari yang sungguh istimewa.”

Gulp! Betulkah apa yang aku dengar? Oh! Ini sudah mengarut. Bermadah pujangga di pagi hari, sedangkan pertemuan ini untuk membincangkan soal seminar bulan ini. Bukan untuk membicarakan tentang hati, wahai Tuan Mokhtar.

Baru saja aku hendak membuka mulut, Tuan Mokhtar sudah mula berkata-kata lagi.

“ Sebenarnya saya kasihan pada Cik Aina. Kerja tiap-tiap hari, pendapatan pun maaf cakaplah,… tak besar mana sangat.” Tuan Mokhtar menggerakkan kerusinya ke dalam sedikit bagi memberi laluan kepada seorang pelanggan di Bangi Best Kopitiam yang mahu beredar. Kemudian, dia kembali memandang ke arahku.

Dahiku berkerut dalam, tidak faham apa yang ingin disampaikan oleh Tuan Mokhtar. Tuan Mokhtar bersuara lagi,“ Er..Cik Aina jangan salah faham pulak, bukan saya hendak merendahkan Cik Aina tapi, saya sekadar nak membantu.”

“ Tuan Mokhtar, setakat ini pendapatan saya, Alhamdulillah, sudah memadai. Tak perlulah kita bercakap hal yang tak berkaitan.Bukankah…”

“ Bukan…jangan cakap macam tu.” Tuan Mokhtar lekas-lekas memotong percakapanku.

“ Saya ikhlas hendak membantu Cik Aina. Saya tahu bagaimana Encik Khairul melayan Cik Aina. Kenapa masih hendak berkerja di bawah Encik Khairul? Saya boleh bagi segalanya yang Cik Aina perlukan. Segalanya! Tidak pernahkah Cik Aina terfikir hendak hidup senang? Ada terfikir juga bukan?” Tuan Mokhtar bercakap dengan penuh semangat. Dia nampak bersungguh-sungguh benar.

“ Tuan Mokhtar, saya…saya tak..”

“ Cik Aina, perempuan seperti Cik Aina ni, tak patut diherdik dan dimarah di pejabat. Sepatutnya Cik Aina disayangi, dihormati dan diberi layanan yang baik. Encik Khairul tu tak pandai menjaga hati dan perasaan Cik Aina, bukan?”

Percakapan Tuan Mokhtar membuat aku semakin keliru. Kenapa lelaki yang dulunya memusuhiku kini hendak berbaik denganku? Simpati terhadap nasibku? Memang benar, sejak berkerja di bawah pentadbiran Encik Khairul, jiwa aku sentiasa tertekan. Majikan baru itu memang sengaja hendak mengenakan aku. Tetapi, bagaimana Tuan Mokhtar boleh menghidu masalah aku?

“ Awak berkerja dengan saya saja. Gajinya lebih dari sekarang. Awak ada bilik pejabat sendiri, dan tak perlu berurusan dengan ramai orang. Saya tahu menghargai orang seperti awak. Saya boleh bagi tiga ribu sebulan. Bagaimana?”

Tuan Mokhtar bersandar di kerusi. Suasana di Bangi Best Kopitiam masih seperti tadi. Kini lagu-lagu berentak jazz nyanyian Sheila Majid pula bergema.. Beberapa pelanggan di kiri kanan, kebanyakannya orang muda kelihatan asyik menikmati hidangan roti bakar. Aku bagai tergamam tatkala mendengar tawaran yang Tuan Mokhtar berikan. Tiga ribu sebulan? Banyak tu! Tapi, aku sememangnya tidak sanggup berkerja di bawah Tuan Mokhtar. Lelaki itu pernah dahulu cuba merapati diriku. Apabila aku menjauhkan diri, dia menarik balik tawaran mengadakan seminar di Hotel Mawar Biru. Tuan Mokhtar seorang yang sangat mementingkan kehendak diri semata.

“ Cik Aina, bila-bila masa saja awak boleh dipecat oleh Encik Khairul. Daripada awak dipecat, bukankah lebih terhormat jika awak sendiri yang meletak jawatan?

Betul juga. Kalau Tuan Mokhtar seorang yang mementingkan diri sendiri, Encik Khairul pula apa? Lelaki itu adalah petir. Tiap-tiap hari dia memarahiku tanpa sekelumit pun perasaan belas kasihan terhadapku. Encik Khairul juga umpama sebilah pisau. Tak akan ada sehari yang akan berlalu begitu sahaja tanpa kata-kata pedas yang menghiris hatiku. Majikan aku itu juga seorang yang ‘beraja di mata, bersultan di hati’. Dia akan membebankan aku dengan apa saja tugas tanpa mengira berapa banyak yang perlu aku siapkan. Dan, dia akan meminta tugasan yang diberikannya itu siap, tidak kira masa. Aku memang tidak sanggup berkerja di bawah Encik Khairul lagi.

“ Ya. Saya tahu. Tapi, tak mengapa. Tuan Mokhtar tidak perlu ambil kisah, inikan masalah saya?” Tutur aku tanpa berniat mahu menyinggung hatinya.

“ Oh tidak! Janganlah cakap begitu. Saya bukan bermaksud hendak masuk campur dalam urusan Cik Aina, saya cuma memberi pilihan. Cik Aina boleh memilih, sama ada mahu terus berkerja dengan Tuan Encik dengan layanan yang hummm….,” Tuan Mokhtar menggelengkan kepalanya, kemudian menyambung percakapannya semula. “ atau, berkerja dengan syarikat saya dengan gaji yang lebih tinggi, dan Cik Aina akan lebih dihargai. Fikirkanlah!”

Aku menggenggam tas tanganku seakan membiarkan semua tekanan di fikiran tertumpah keluar. Tetapi hatiku masih lagi bercelaru. Aku memerlukan masa untuk berfikir. Namun, ada sedikit perasaan gementar tatkala aku melihat seraut wajah Tuan Mokhtar. Ikhlaskah dia?

Ratnadewi datang lagi. Kali ini dia membawa bil dan meletakkannya di atas meja. Kemudian dia mengambil semula pinggan dan cawan serta meletakkan dengan cermat ke atas dulangnya. Tuan Mokhtar mengamati langkah Ratnadewi yang tersusun elok. Punggungnya bergoyang mengikut rentak irama lagu, “Antara Anyer dan Jakarta” nyanyian Sheila Majid yang sedang berkumandang. Mata Tuan Mokhtar merenung sekali lalu ke arah punggung Ratnadewi. Aku jadi geli geliman. Serta merta aku mengingatkan diriku, kalau Encik Khairul itu harimau, Tuan Mokhar pula buaya! Jangan sampai nasib aku seperti, ‘keluar dari mulut harimau, masuk ke mulut buaya’ sudahlah.

“ Bagaimana Ciak Aina? Fikirkanlah ya.” Ucap Tuan Mokhtar perlahan.

Aku tersenyum. Hatiku sebenarnya sudah sakit. Bukankah sepatutnya sekarang ini kami membincangkan tentang seminar? Aku terasa diriku dipermainkan oleh Tuan Mokhtar pula. Tanpa banyak bicara, aku mengambil bil yang berada di atas meja. Sebagai bakal pelanggan besar Hotel Mawar Biru, kami memang dilatih agar pandai mengambil hati pelanggan. Dengan cara membayar bil makan di restoren, ini sudah dapat memancing rasa terhutang budi pelanggan terhadap Hotel Mawar Biru. Itu antara taktik yang dipraktikkan sejak zaman Puan Mawarni lagi. Tapi hanya untuk bakal pelanggan besar sahaja.

Sebaik sahaja bil tersebut berada di dalam genggaman tanganku, Tuan Mokhtar terus mencapai pergelangan tanganku. Jari jemarinya yang kasar dan besar, seakan membungkus kemas jari jemariku yang halus dan kecil. Perlahan-lahan dia membuka genggaman tanganku. Aku tergamam. Bil itu ditariknya.

“ Saya bayar.” Ucapnya seakan berbisik. Aku terdiam seketika. Inilah kali pertama seorang lelaki berani menyentuh tanganku sebegitu rupa. Tidakkah Tuan Mokhtar lihat pakaianku yang bertudung litup? Sudah tentu dia boleh memahami fahamanku tentang halal dan haram dalam pergaulan antara lelaki dan perempuan? Atau dia sengaja buat tak faham.

Aku cuba bersikap sabar sedangkan jiwaku mula bergelora. Mukaku sudah masam dan mataku merenung tajam ke arah matanya. Dia mengerti aku marah padanya.

“ Maaf. Saya tak mahu menyusahkan Cik Aina. Biar saya saja yang bayar.” Dia merendahkan nada suaranya, sambil menggerak-gerakkan tangan di hadapan mukanya.

“ Er…Cik Aina, boleh Cik Aina temankan saya sarapan di sini lagi pada esok hari?”

“ Saya ni berkerja Tuan Mokhtar. Tidak seperti Tuan Mokhtar ada syarikat sendiri. Keluar masuk pejabat tiada siapa yang nak soal siasat. Maaflah Tuan Mokhtar.” Aku menjawab malas. Memang aku sudah tiada semangat lagi hendak bercakap dengan Tuan Mokhtar.

Tuan Mokhtar menganggukkan kepala. Aku menarik nafas panjang. Susahnya berkerja di bahagian pemasaran ini, asyik kena jaga hati pelanggan saja. Hati sendiri pula, dibiarkan terluka dan kemudian, sendirian pula merawatnya.

“Tapi tak mengapa Cik Aina, saya boleh minta kebenaran Encik Khairul kalau awak setuju.”

Aku menggelengkan kepala sambil tersenyum nipis. Humm!Aku sudah tidak sabar hendak beredar pergi.

“ Cik Aina, ini untuk hari ini ya. Sedikit saguhati ikhlas dari saya sebagai membalas kesudian Cik Aina temankan saya makan pagi. Sebenarnya nilai pertemuan ini lebih dari apa yang ada dalam sampul surat ini. Lain kali kita makan malam bersama? Jangan kecewakan saya, please.” Tuan Mokhtar menghulurkan satu sampul surat ke arahku. Suaranya seakan merayu dan lembut beralun di telingaku.

Aku tidak sedap hati. Sampul yang dihulurnya tidak aku terima.

“ Apa ni Tuan Mokhtar?” Soalku.

“ Ambillah.”

Sampul tersebut aku ambil. Kemudian aku membukanya. Satu keping wang kertas bernilai satu ratus ringgit berada di dalamnya. Mataku berpinar. Lalu aku menatap seraut wajah Tuan mokhtar. Senyuman merekah di bibir lelaki itu. Matanya juga seakan tersenyum. Tanganku menggeletar. Saat itu juga darahku seakan bersatu, naik menderu ke atas kepala. Lantas ringan sahaja tanganku mencampak wang itu kembali ke atas meja.

“ Duit haram!” Ujarku, keras.

Tanpa banyak bicara, aku mencapai tas tanganku lantas meninggalkan Bangi Best Kopitiam. Hatiku sudah lama tercalar. Namun sesekali aku tidak membenarkan sesiapa pun mencalarkan maruah diriku, hatta pekerjaanku ini. Duit boleh aku cari, tetapi harga diri tidak mungkin dapat dijual beli. Aku hidup bukan untuk menjunjung dunia sahaja, aku juga menjunjung agama.

…