Rabu, 13 Jun 2007

Bab 9....Bye-Bye Mawar Biru


Sesungguhnya hari ini aku telah dipermainkan oleh Encik Khairul dan Tuan Mokhtar. Mati-mati aku fikir pertemuan bersama Tuan Mokhtar tadi adalah kerana hendak berbincang tentang seminar yang bakal berlangsung. Namun semuanya bohong belaka. Bagaikan mereka berdua sengaja hendak memperbodohkan aku. Dan Tuan Mokhtar, jikalau dia fikir aku perempuan yang mudah dijinakkan dengan wang ringgit, dia memang tersilap. Aku memang memerlukan wang tetapi aku bukan dikawal oleh wang.

Kemarahan aku masih lagi menebal di hati. Aku sudah berangan-angan hendak bersemuka dengan Encik Khairul sebaik sahaja tiba di Hotel Mawar Biru. Padanya kelak, akan aku hamburkan segala rasa curigaku atas tindak-tanduknya terhadapku. Aku akan tegaskan kepadanya beberapa perkara yang kukira dia tersilap jangkaan tentang siapa ‘Aina Najihah’.

Sampai sahaja di pintu utama hotel Mawar Biru, aku dikejutkan dengan panggilan suara yang lunak dan manja. Edelyn, salah seorang Jurujual Pemasaran Hotel Mawar Biru menuju ke arahku dengan langkah yang sengaja dilenggang-lenggokkan. Matanya yang berwarna hijau buatan itu merenung dalam ke arahku dan bibirnya tersenyum sinis. Dia kemudian ketawa kecil sambil berpeluk tubuh.

“ Kau nak tau tak Jihah? Aku ada berita yang nak disampaikan pada kau. Berita selebihnya, pasti ramai yang akan sampaikan. Kau sudah bersedia ke?”

Bersedia? Berita? Hei, kau nak cakap apa hah Edelyn? Aku tak mahu layan orang macam kau tau, rungut hati kecilku. Aku terus berjalan ke arah pintu lif dan membiarkan Edelyn keseorangan di lobi hotel.

“ Kenapa kau sibuk buat kerja yang dah diserahkan pada aku?” Soal Edelyn seraya menoleh ke arahku. Suara Edelyn yang nyaring dan penuh ketegasan itu telah menarik perhatian beberapa staff hotel di bahagian pendaftaran tetamu. Mungkin juga berupaya memancing rasa pelik di hati mereka. Apa masalah Edelyn ni?

Mendengarkan soalan itu. aku bukan sahaja tidak mampu bersuara, malah tidak tidak jadi bergerak. Ini membuka ruang untuk Edelyn menyambung bicaranya.

“ Tuan Mokhtar kan dah setuju nak buat dua seminar tu di hotel kita dan satu seminar lagi sedang dalam proses, tapi pasal engkau buat ‘taik’, jadinya salah satu seminar tu dibatalkan. Sekarang, siapa yang rugi? Hotellah! Kau nak bayar ke gantiruginya? Hei! Jangan terperanjat kalau engkau terpaksa berhutang dengan hotel!”

Edelyn memusingkan badan ke arahku. Matanya masih lagi melekat pada seraut wajahku. Oh! Beraninya Edelyn menuduh aku sewenang-wenangnya? Arggh...aku juga tidak mahu mengaku kalah. Mataku menjamah wajahnya bersekali dengan segaris senyuman di bibir. Aku masih mampu bertenang dan mengawal perasaan tidak senangku terhadap sikapnya.

“ Jadi buat apa Encik Khairul suruh saya jumpa Tuan Mokhtar?” Entah mengapa soalan itu aku utarakan kepada gadis berambut warna perang celup berbelang hitam itu. Sudah macam balung ayam pula aku tengok. Hmm…kalau nak diikutkan, soalan itu tadi tidak seharusnya dilanjutkan kepada Edelyn. Itu soalan untuk Encik Khairul. Aduh! Aku tersilap pula.

Edelyn menjungkitkan bahunya. Aku tahu, Edelyn juga menyimpan perasaan tidak senang terhadapku.

“ Mana aku tahu. Kau tanyalah Encik Khairul sendiri.” Balasnya sambil menghadiahkan sebuah jelingan tajam.

Walau begitu, aku juga inginkan kepastian dari Edelyn. “ Siapa yang uruskan Tuan Mokhtar sebenarnya ni? Saya atau awak sendiri Edelyn?”

“ Hei! Akulah. Takkan Encik Khairul begitu bodoh sampai nak serahkan pelanggan besar macam Tuan Mokhtar itu kepada engkau! ” Edelyn mencebikkan bibirnya dan berjalan ke pintu utama Hotel Mawar Biru. Tidak sampai beberapa detik, Edelyn memusingkan badannya.

“ Jihah! Cepat-cepat kosongkan meja ya. Saya nak pakai. Bye.”

“ Apa maksud awak….. hei Edelyn!” Belum sempat aku menghabiskan soalan itu, Edelyn terus berlalu meninggalkan aku yang masih terpinga-pinga.

Edelyn sudah hilang dari pandanganku. Namun kata-katanya masih terngiang-ngiang di telinga. Fikiranku kian kacau. Aku dimaklumkan oleh Edelyn sendiri bahawa dua seminar Exec Excel itu memang sudah disahkan akan berlangsung dan seminar satu lagi sedang dalam perbincangan. Jadi kenapa aku perlu berbincang tentang seminar yang sudah pasti akan berlangsung? Di kala itu, aku bagaikan hendak terduduk. Fikiranku melayang-layang seketika.

Jika tawaran sudah dipersetujui dan di bawah pantauan Edelyn, buat apa aku disuruh berjumpa Tuan Mokhtar?

“ Jihah!Jihah!”

Lamunanku terbantut secara tiba-tiba. Aku menoleh ke arah lif utama.

Taufik, lelaki gempal pendek yang juga antara kawan baik aku di Hotel Mawar Biru, sedang bergegas menuju ke arahku. Lelaki berkaki tempang sebelah itu memang kusenangi sejak dari hari pertama aku berkerja di hotel ini. Taufik, seorang lelaki yang berkeyakinan tinggi. Bagiku, Taufik bukan saja pekerja yang rajin, malah berkemampuan dalam menyelesaikan perkara yang berbangkit biarpun sewaktu ketiadaan majikan, menyebabkan dia sangat dihormati di kalangan perkerja.

“ Fik, apahal ni? Kelam kabut nampak.” Tegurku apabila Taufik sudah berada di hadapanku. Mukanya nampak serius. Mesti ada masalah besar kerana selalunya Taufik bersikap tenang sahaja.

“ Kau dah tahu ke? Roon tak bagitau kat kau ke?”

“ Apa dia? Tau apa?”

“ Kau dah kena pecat. Tadi Encik Khairul umumkan dalam mesyuarat. Ini yang aku nak tanya kat kau. Betul ke apa yang aku dengar?”

“ Ha!” Mulutku terkumat-kamit seketika. Dadaku berdebar tidak menentu setelah mendengar kalimah yang diucapkan Taufik “ Aku kena pecat?” Aku mengulanginya, meminta kepastian. Taufik mengangguk kepala.

Aku tidak mampu untuk bersuara kerana benar-benar tergamam dengan berita yang dibawa Taufik. Fikiranku jadi kacau bilau. Mengapa aku dipecat? Ya! Aku dapat menjangkakan aku akan dimarahi oleh majikanku sekiranya Tuan Mokhtar menceritakan aku tidak melayaninya dengan hormat. Biasalah, Tuan Mokhtar mesti akan lepaskan geramnya dengan menfitnah aku. Orang dah macam cacing kepanasan! Tapi, bagaimana sampai aku boleh dipecat? Mengapa?

“ Kenapa…kenapa Fik?” Suaraku serak sedikit. Aku menguatkan hati untuk mencari jawapannya biarpun saat itu aku berasa sungguh kecewa.

“ Kami diberitahu masa mesyuarat tadi, engkau simpan je, tak usik pun dua kertas cadangan Kara Holdings dan IMATEK yang Encik Khairul minta engkau uruskan dua bulan lalu. Khabarnya syarikat yang nak buat acara minggu keluarga di hotel kita tu, dah tempah hotel lain. Tadi, Encik Khairul dapat panggilan telefon dari Tuan Mokhtar. Tuan Mokhtar nak batalkan seminar yang hujung bulan depan tu. Tuan Mokhtar cakap, engkau tak hormat dia. ”

Airmata aku sudah berlinangan. Wajah Encik Khairul sedang mengkhabarkan berita pemecatanku semasa mesyuarat tadi terbayang-bayang di kotak fikiranku. Agak-agaknya, berapa banyak cerita yang tak betul tentang aku yang dihebahkan kepada kakitangan Hotel Mawar Biru? Alamat busuklah namaku.

Ah! Akal fikirku membantah. Buat apa tunduk dengan tuduhan yang tak berasa itu? Kalau benar aku salah, buktikan dahulu. Tunjukkan kertas-kertas cadangan yang dikatakan tidak berusik tu. Mana pernah aku menerima dua kertas cadangan tu. Tak pernah pun. Jangan Encik Khairul fikir aku mudah diperkotak-katikkan. Jangan jadi lemahlah Aina Najihah!

Semangatku tiba-tiba membara. Bagai biji bateri yang baru dicaskan, aku kembali segar semula. Riak wajahku yang tadinya lesu dan sayu, berubah menjadi bertenaga. Aku menghayun langkah ke arah lif hotel. Taufik terpinga-pinga melihat aku yang tiba-tiba bergerak cergas bagai mendapat semangat baru.

“ Jihah! Jihah! Kau okey ke?

Pertanyaan Taufik aku biarkan sahaja bagai angin lalu. Seraut wajah Encik Khairul yang bengis dan bibirnya yang berbisa semakin jelas di imaginasiku. Tunggu! Aku akan patahkan hujah-hujah Encik Khairul yang sengaja hendak mengenakan aku.

Hish! Lif pulak tak turun-turun. Hendak tak hendak, aku terpaksa menguatkan semangat menaiki anak tangga setinggi empat tingkat. Letihnya.


Dalam keadaan marah dan tergesa-gesa hendak menuju ke pejabat Encik Khairul itulah, tanpa diduga tumit kasutku tercabut. Agaknya tadi aku berlari sekuat hati semasa menaiki anak tangga pasal hendak cepat sampai. Itulah! Nak kata nasib badan tak juga. Sepatutnya di kala hati tengah marah, seharusnya aku belajar bertenang. Aku ingat lagi kata-kata Imam Al-Ghazali, sifat marah itu umpama darah yang mendidih di dalam badan. Seharusnya aku peka, memang menjadi tugas syaitan adalah menghembuskan lagi bisikan-bisikan berbau kejahatan.

Hmm…inilah akibatnya. Nampak gayanya, terpaksalah aku keluar duit beli kasut baru.

Sampai sahaja di tingkat empat, orang pertama yang aku terserempak adalah Encik Khairul. Tak semena-mena mata kami bertentangan. Dia merenung aku sejenak dan kemudian mendengus panjang.

“ Hah, dah balik pun. Saya ada hal nak cakap dengan awak, Aina Najihah.” Lelaki mulut berbisa itu, cuba berlagak professional pula setelah membohongi. Aku jadi meluat melihat gayanya seperti seorang majikan yang baik dan berwibawa. Pembohong! Agaknya dia sengaja berpakat dengan Tuan Mokhtar hendak mengenakan aku tak?

“ Bila balik?” Soalnya.

Aku tidak berminat hendak menjawab soalannya. Segera aku bergerak ke mejaku iaitu meja kayu beralas cermin tebal, dan menyarung selipar yang berada bawah meja. Kemudian, aku mempercepatkan langkah menuju ke bilik Pengarah Urusan. Masuk sahaja ke bilik, Encik Khairul menarik kerusi untukku.

“ Duduk. Perkara ini perlu kita selesaikan secepat mungkin.” Encik Khairul membuka kot hitamnya seraya menyelubungkan ke kerusi kulitnya. Kemudian dia menekan butang telefon. Aku cuba bertenang. Aku tidak mahu termakan lagi dengan umpan Encik Khairul. Aku juga tidak mahu terperangkap dalam jerat buatannya.

“ Zarin, bawakan saya fail peribadi Aina Najihah sekarang.”

Tidak sampai satu minit, Zarin iaitu Setiausaha Encik Khairul yang kecil molek, berpunggung lentik serta suka mengenakan pakaian kebaya batik, masuk menghantar fail peribadiku. Setelah itu Zarin pun keluar. Tinggallah aku dengan Encik Khairul.

“ Saya tidak menafikan awak telah lama berada di Mawar Biru ini, lebih awal dari saya. Saya juga tidak menafikan awak pekerja kesayangan ibu saya. Tapi seperti yang awak lihat sekarang, zaman ibu saya dah berlalu. Jadi awak terpaksa terima hakikat, sekarang ini saya yang menentukan perjalanan Mawar Biru.”

Huh! Panjang pula ceramahnya. Sememangnya aku mudah jadi rimas apabila berada dalam bilik yang sering dipenuhi dengan kata-kata sindiran dan sumpah seranah sejak Encik Khairul mengambil alih Mawar Biru. Mungkin menyedari aku tidak berminat mendengar ceramahnya, jadi Encik Khairul pun membuka topik utama mengapa aku dijemput ke biliknya.

“ Rekod awak selama ibu saya jadi MD, memang bagus. Tip top. Pekerja cemerlang selama dua tahun berturut-turut. Wow! Pencapaian yang cemerlang bagi seorang kaki kipas. Syabas!”

Apa? Kaki kipas?! Aku berusaha bersungguh-sungguh membantu ibunya tatkala dia sedang belajar di Melbourne Australia, aku dituduh kaki kipas? Sungguh budiku tak dikenang. Dan kini aku pula mahu disepak terajang.

“ Maaf Encik Khairul. Saya berpendapat Puan Mawarni seorang yang bijak dan boleh membezakan pekerja yang bagus dan pembodek yang bagus.”

“ Ahaaa…..betul tu Cik Aina. Memang ibu saya bijak, pasal itulah anaknya pun bijak.”

Cis! Tak malu, puji diri sendiri.

Encik Khairul memusing-musingkan kerusinya dan secara tiba-tiba dia berhenti. Dia memicingkan matanya, merenung tajam ke arahku sambil mengetap bibir. Suaranya separuh berbisik.

“ Tapi bijak-bijak ibu saya pun, dia dijadikan boneka oleh si kaki bodek yang terlebih bijak.”

Aku tergamam dengan tuduhan yang tidak berasas itu. Selama aku berkerja di bawah Puan Mawarni, aku cuba membantunya dengan tulus ikhlas. Tidak pernah sekalipun aku meminta apa jua balasan hatta dinaikkan gaji sekalipun.

Aku menatap muka Encik Khairul yang berkumis nipis dan berjanggut sejemput itu. “ Apa tujuan Encik Khairul berkata begitu? Encik Khairul panggil saya kerana nak tuduh saya sesuka hati ke?”

“ Berani awak ya!” Jerkahnya.

Ya! Aku memang berani. Selama ini aku banyak bersabar dengan perbuatan Encik Khairul terhadapku. Banyak yang perlu aku fikirkan jika aku hendak membalas butir-butir percakapannya. Antaranya, aku pekerja. Duitnya menampal mulutku.

Tapi itu dulu. Sekarang aku terpaksa menegakkan maruah diriku. Rezeki ada di mana-mana. Rezeki aku bukan Encik Khairul yang tentukan. Hari ini juga, aku berserah dan bertawakkal kepada Allah S.W.T. Kalau hari ini aku ditakdirkan akan meninggalkan Mawar Biru, aku redha!

“ Panggil Khairunnisa, Taufik dan Edelyn sekarang!” Encik Khairul menekan butang telefon lantas memberi arahan kepad Zarin.

Aku jadi gemuruh seketika. Untuk apa Encik Khairul panggil tiga orang tersebut? Encik Khairul hendak dapatkan maklumat atau nak jadikan mereka saksi? Atau mahu memalukan aku depan Roon, Taufik dan Edelyn?

“ Kenapa Encik Khairul? Saya harap Encik Kharul boleh berterus terang dengan saya sahaja kalau ada masalah. Saya pun nak tahu apa yang buat Encik Khairul nampak marah je hari ini.”

Oh diri, cubalah bawa bertenang! Bisik hatiku. Encik Khairul ini memang sudah melampau. Marah aku sesuka hati, menuduh aku ikut sedap mulut dan sekarang apa dia fikir dia boleh memperdaya aku pula? Tidak, sesekali tidak.

Soalan aku tadi masih tidak dijawabnya. Encik Khairul membuka laci dan mengeluarkan beberapa helai surat lalu meletakkannya di atas meja. Sempat aku mengerling ke arah kepala surat yang tertulis Kara Holdings. Oh! Ini agaknya kertas cadangan yang kononnya aku tak usik pun selama dua bulan. Kononnya aku tak ambil apa-apa tindakan pun. Fitnah! Fitnah!


Pintu dibuka dari luar. Kemudian masuk Roon, Taufik dan Edelyn. Mereka bertiga berdiri di tepi kerusiku. Sederet. Mula-mula Roon, diikuti Taufik dan akhirnya Edelyn. Bagaikan berhadapan dengan hakim, suasana di bilik itu berubah senyap serta merta. Mata masing-masing tertumpu ke arah Encik Khairul. Aku menjeling ke arah Roon. Mata Roon tidak berkelip memandangku. Tidak lama kemudian, Roon menjatuhkan pandangan ke lantai bilik. Mungkinkah Roon tidak tergamak melihat aku dalam keadaan begini? Sarat dengan tuduhan dan bakal bergelumang dengan cercaan.

Suara Encik Khairul menerobos ke gegendang telinga. Suara yang lantang.
“ Nah! Baca kertas-kertas cadangan yang saya terima dari Kara Holdings dan IMATEK. Edelyn, awak pasti awak dah bagi proposal ni pada Najihah? Pasti?”

“ Ya Encik Khairul. Saya sendiri yang bagi pada Aina Najihah.”

Serta merta jantungku bagai digegarkan dengan satu dentuman kuat. Aku mengalihkan pandangan ke arah kertas yang diunjukkan kepadaku. Seingat aku, kertas ini pernah diberikan kepadaku tetapi bukan untuk diambil tindakan. Cuma untuk disemak senarai barang keperluan dengan banquet staff dan memastikan tarikh yang ditetapkan adalah tarikh ‘kosong’ bagi hotel. Aku tidak patut dikaitkan dengan Kara Holdings dan IMATEK!

“ Apa yang awak buat dengan kertas ni hah? Simpan ya…simpan bawah meja? Perap ikut suka awak jek!!” Jerkah Encik Khairul.

Tak semena-mena kertas itu dibalingkan ke muka aku. Berkecai helaiannya dan kemudian berselerakan di atas dan bawah meja. Aku terpaku dan tergamam. Tidak terfikir akan diperlakukan sebegini. Malu! Aku dimalukan di hadapan Roon, Taufik dan Edelyn. Kerana itukah Encik Khairul memanggil mereka masuk? Melampau!

“ Awak nak bayar ke kerugian yang hotel tanggung? Jawab Aina Najihah!!!”

Jeritan bagai halilintar itu bukan sahaja menembusi telingaku malah menghancurkan hatiku. Kalaulah aku hendak disingkirkan dari Mawar Biru, tak perlulah Encik Khairul menfitnah malah menghina aku sebegini rupa.

“ Encik Khairul…,” aku memandang tepat ke arah Encik Khairul yang tak ubah seperti singa jantan hendak pergi bertarung. “ Boleh Encik Khairul beritahu saya bila saya terima kertas-kertas ini dan bila pula saya pulangkan kepada Encik Khairul? Dan lagi satu, kenapa Encik Khairul suruh saya jumpa Tuan Mokhtar tu sedangkan tugasan tu dah diserahkan kepada Edelyn. Dalam masa yang sama, Tuan Mokhtar sebenarnya dah setuju pun nak jadikan hotel kita tempat seminar syarikatnya? Soalan saya pun perlukan jawapan Encik Khairul.”

Saat itu aku dapat mengagak semua mata memandang ke arahku. Mungkin juga memandang ke arah keberanianku menyoalbalas Encik Khairul yang garang itu. Ah! Kenapa pula hendak takut dengan bos macam Encik Khairul. Macam bagus!

Encik Khairul terdiam seketika, namun dari telahanku dapat kutafsirkan, Encik Khairul sengaja hendak mengenakan aku. Ah! Tak mungkin Encik Khairul akan menjawab pertanyaanku tadi. Mungkin dia akan putarbelitkan keadaan, tekaku.

“ Aina Najihah, awak jangan cuba nak perbodohkan saya. Saya tahu, awak tidak suka berkerja di bawah saya kerana saya tidak mengikut telunjuk awak seperti mana ibu saya. Tapi ingat, saya tidak mudah nak diperbudakkan. Surat ini dah awak terima dua bulan lalu. Ini tandatangan awak, pada 3 Januari. Baca ini, ‘ …sila hubungi Kara dan ambil tindakan segera’. Hah…apa awak dah buat? Apa? Perap! Hah! Perap kertas ni?!”

Sekali lagi Encik Khairul menengking aku dan mengunjuk-unjuk kertas itu ke arah mukaku. Kesabaranku kian sirna. Pipiku naik sebal dengan libasan kertas yang beberapa kali menjamah kulit mukaku. Aku perlu membela diri. Aku terus menarik kertas itu dari genggamannya. Aku letakkan semula kertas itu di permukaan meja.

“ Ini bukan tandatangan saya. Pertama, saya tak suka guna pen warna hitam. Kedua, setiap kali tandatangan saya akan letak tarikh di bahagian tepi bawah tandatangan saya.Bukan di tengah. Saya tak pernah tulis nama bulan, hanya angka. Yang ini berbeza. Ini satu fitnah, siapa yang merekanya…saya rasa Encik Khairul lebih tahu dari saya.”

Aku sempat menjeling muka Roon dan Taufik. Keduanya menganggukkan kepala. Kedua teman baikku ini memang tahu, aku tidak pernah lupa membawa pen biru mata bulat ke mana-mana. Edelyn masih seperti selalu, mukanya bagai tiada reaksi.

Encik Khairul kembali bersuara, “ Ah..jangan nak menafikan. Awak ni satu beban dalam Mawar Biru. Tau tak?!”

“ Kalau begitu, buat apa simpan pekerja macam saya…” balasku setelah merasakan tiada gunanya lagi bercakap panjang dengan majikan seperti itu.

“ Bagus! Awak tahu hari ini hari terakhir awak berada di sini?”

“ Alhamdulillah. Saya sudah terlepas dari neraka dunia.”

“ Hmmm..awak boleh kemaskan barang dan sekejap lagi ambil slip gaji dari Zarin untuk bulan ini.”

“ Terima kasih, dan saya juga akan tuntut pampasan kerana dihentikan tanpa sebab.”

“ Heii….apa awak cakap? Jangan nak tunjuk kurang ajar awak….”

“ Assalamualaikum.”

Aku terus meninggalkan bilik itu tanpa mempedulikan Encik Khairul. Pintu biliknya aku tutup dengan kuat. Perasaan marah dan geram masih lagi menebal di hati. Marah kerana diperlakukan seperti budak-budak. Geram kerana diberhentikan hanya dengan gaji hujung bulan.

Apakah Encik Khairul fikir aku tak pernah berjasa untuk Mawar Biru? Dulu pada ketika Mawar Biru melalui zaman suram apabila Tulip Lodge di bina bersebelahan Mawar Biru, aku dan Puan Mawarni berusaha bersungguh-sungguh membuat promosi di jabatan-jabatan kerajaan serta syarikat swasta dari utara tanahair sampai ke selatan. Mana dia pada waktu itu? Belajar di Melbourne dan bila balik ke Malaysia, menganggur lima bulan sehinggalah Puan Mawar kemalangan jalanraya, lalu mengalami lumpuh separuh badan. Lelaki itu tiba-tiba terjengul di Mawar Biru dan mula menerajui tampok pentadbiran Mawar Biru.

Memanglah, dia anak Puan Mawarni. Aku cuma pekerja. Tapi sayang, lelaki itu tidak tahu selok belok pengurusan hotel. Aku agak, kalau dia uruskan hotel mengikut caranya sekarang, Mawar Biru bakal menjadi haru biru.

Aku terus menuju ke mejaku. Semua barang-barang yang ada aku masukkan ke dalam beg kertas. Tidak banyak barang aku. Beberapa alat tulis, buku-buku rujukan dan selebihnya satu bingkai gambar, telekung, dua biji mug, sudu dan dua buah pinggan makan. Kasut yang terkopak tumit itu aku bawa sama, mana tahu boleh tampal semula.

“ Saya tak nak tengok muka awak di sini lagi…” tiba-tiba aku dikejutkan oleh suara yang paling aku benci. Aku mendongakkan muka. Sekujur tubuh Encik Khairul yang sedang bercekak pinggang memenuhi bebola mataku.

“ Kalau dah tak nak tengok, kenapa tertonggok depan meja saya. Pergi masuk bilik awaklah…” balasku perlahan namun aku sedar, Encik Khairul mendengarnya.

Mungkin kerana telinganya sudah ‘panas’, Encik Khairul meninggalkan mejaku lalu menuju ke meja Taufik. Beberapa orang Sales Personnal memandang kearahnya.

“Anda semua…ingat, saya berhentikan Aina Najihah setelah beberapa kali dia merugikan hotel. Saya tak mahu pekerja yang berani sembunyikan dokumen-dokumen penting, tidak menghormati pelanggan dan tak suka ikut arahan. Ingat! Ini satu pengajaran.”

Telingaku seakan berasap. Barang-barang telah selesai aku kemas. Aku menuju ke meja Zarin. Dengan perlahan Zarin menghulurkan sekeping cek pada aku.

“ Jihah…banyak-banyak sabar ya.”

“ Terima kasih kak Rin.”

Huhhhhh…sabarlah hati.

…






Bab 8.....Suatu Pagi, Secawan Kopi dan Sebuah Harga Diri




Pagi-pagi lagi Roon sudah berleter di dalam kereta Kelisaku. Hari ini aku memberitahunya, aku tidak akan turun ke Hotel Mawar Biru kerana aku terpaksa berjumpa dengan Tuan Mokhtar di Bangi Best Kopitiam. Roon bertanya padaku, sama ada pertemuan ini atas kerelaanku atau aku diugut.

“ Bukan diugutlah Roon. Tapi aku ni dah terjebak dalam satu rancangan Encik Khairul kita tu. Kertas proposalnya bertajuk ‘Mengenakan Aina Najihah Secukup Rasa’ dan pengarahnya Encik Khairul sendiri. Penyelaras projek siapa lagi, Mokhtar tu lah.” Jawabku mendatar sambil memerhatikan lalulintas di hadapanku. Sekarang pukul lapan pagi, jalanraya di sekitar Bandar Baru Bangi agak sesak namun tidaklah sampai menganggu perjalanan. Tidak seperti di Kajang dan Kuala Lumpur.

“ Aku tak fahamlah. Apa Encik Khairul tu tak puas hati dengan engkau? Kalau pasal cadangan nak buat bar arak tu kena tolak, itu bukan engkau yang tolak. Mak dia. Pasal etika berpakaian di kolam renang pun, mak dia yang tak setuju cadangan dia tu. Kenapa engkau yang jadi sasaran dia?”

Aku mengerling sedikit ke wajah Roon. Memang kawan aku itu tidak puas hati dengan layanan Encik Khairul terhadap aku. Sudah acapkali Roon meluahkan kesangsiannya terhadap tindak tanduk Encik Khairul yang dianggap mempunyai agenda tersembunyi.

“ Memanglah mak dia yang tolak tapi aku yang mula-mula bantah. Alah…kebanyakan pelanggan kita orang Melayu, hampir lapan puluh peratus. Buat apa nak adakan mini bar tu. Hmm…entahlah. Sebenarnya, aku dah malas nak fikir pasal tu semua. Buang masa aku je, tapi makin aku cuba bersangka baik dengan Khairul, makin banyak benda pelik yang dia kenakan aku. Hah! Macam sekarang nilah. Dia dah tau aku tak ngam dengan Tuan Mokhtar, tapi dia benarkan Tuan Mokhtar berurusan dengan aku. Kenapa?”

Aku memuntahkan rasa curiga yang kian bersarang di jiwa. Adakah Encik Khairul sengaja mahu aku ‘panas punggung’ duduk di kerusi Ketua Bahagian Pemasaran, Hotel Mawar Biru? Mungkin ini satu tekanan agar aku tidak tahan berkerja di situ lantas aku sendiri akan meletak jawatan?! Mana tahu?

“Roon, kalau engkau lapang pagi ni, temankan aku jumpa Tuan Mokhtar tu boleh tak? Aku tak sedap hati jumpa sorang diri. Kau ada masa tak Roon?” Pintaku dengan suara yang sayu. Harap-harap Roon ikut aku.

“Tak bolehlah Jihah. Semalam Encik Khairul suruh semua staff ada kat ofis pagi dan petang pasal pada bila-bila masa dia akan buat mesyuarat. Jadi, aku tak beranilah Jihah.”

Mulutku terlopong mendengar kata-kata Roon. Aku memperlahankan kenderaan dan menukar ke lorong perlahan.

“ Bila dia cakap? Aku tak tahu pun.”

“ Masa engkau pergi sembahyang.”

“ Tapi, tak akan dia nak buat mesyuarat tu masa aku tak ada. Mesyuarat apa?”

“ Ha, agaknya pasal jawatan engkau lah. Kan aku dah cakap, dia memang nak bagi jawatan engkau tu pada Edelyn. Mungkin nak buat rombakan Bahagian Pemasaran tak? Pasal itulah mesyuarat tu dibuat masa engkau tak ada.” Roon mengutarakan pendapatnya. Memang ada kemungkinan, tetapi aku rasa tidak lojik. Kecuali Tuan Khairul itu orangnya mereng atau bodoh, jadi barulah dianggap lojik.

“ Aku tak rasa macam tu. Yelah, kalau dia tak suka dengan aku, …memang pun. Dia tak boleh buat macam tu. Kalau dia buat macam tu, dia malukan diri sendiri. Nampak sangat dia tu diktator. Kalau dia boleh buat kat aku, kat kau orang pun boleh. Mana boleh ambil jawatan macam tu tanpa sebab yang jelas. Ada ke selama ni aku tak buat tugas dengan baik?”

Hotel Mawar Biru sudah berada di depan mata. Dua tiga tetamu baru masuk ke dalam hotel sambil menjinjing beg yang besar. Roon yang memakai baju kemeja lengan panjang dan seluar panjang hitam, tampak kemas hari ini. Tudungnya pula bercorak bunga-bunga besar warna hitam dan putih. Dia kelihatan feminin. Sebelum Roon meninggalkan kereta, sempat aku mengusiknya.

“ Aku tahu Abang BSN datang hari ni….,”

Muka Roon berubah tegang. Masih terasa agaknya dengan kata-kata aku tempoh hari.

“ Aku sedar siapa aku.”

“ Janganlah cakap macam tu…”

“ Habis nak cakap macam mana…,”

Tanpa berbicara dengan lebih lanjut, Roon masuk ke hotel. Aku menarik nafas panjang. Jarum panjang jam sudah menunjukkan pukul lapan setengah pagi. Masih terngiang-ngiang di telinga kata-kata Tuan Mokhtar, ‘tolong berada di sana sebelum saya sampai ya’.

Kereta Kelisa kupacu agak laju. Sepuluh minit berlalu, aku sudah pun sampai di Bangi Best Kopitiam.

Menanti lelaki yang pernah menganggu hidupku lima bulan lalu merupakan satu penantian yang menyesakkan dada. Tanpa menunggu kelibatnya muncul, aku meminta secawan kopi dan satu set roti bakar. Perutku sudah mula berbunyi. Lapar sungguh kerana malam sebelumnya, aku hanya makan sebungkus nasi lemak. Itu pun pukul lapan malam. Setelah itu, aku bergegas pergi ke rumah Kak Dalilah, mengajar dua orang anaknya mengaji dan membantu Kak Dalilah memperbaiki tajwid dalam bacaan al Quran.

Roti yang dipesan sudah sampai. Aku sudah tidak boleh sabar dengan semerbak bau mentega dan kaya. Sedap! Sebaik sahaja selesai membaca Bismillah, roti itu kukunyah dan kutelan tidak sampai sekitar dua minit. Gelojohkah aku? Entahlah. Yang pasti, selepas itu aku minta satu set roti lagi.

Berada di sebuah kedai yang bersih dan indah, ditemani muzik latar lagu ra 60-an, benar-benar merehatkan mindaku. Sejuk angin pagi masih lagi terasa. Mungkin dingin embun juga masih bersisa. Terasa fikiranku melayang-layang, dan aku menjelajahi kota kenangan. Tiga bulan lalu….ya…tiga bulan lalu…..

“ Abang ni kerja pun belum ada lagi, mana ada perempuan nak pada Abang?” Ujar Ameer Mulhim tatkala aku mengusiknya kerana dia mengeluh penat membasuh baju sendiri dan memasak di rumah. Dalam masa yang sama, dia juga sedang sibuk menyiapkan kertas kerja tahun akhir.

“ Ya ke? Mengajar anak-anak yatim di sini bukan kerja ke?”

“ Kerja juga, tapi sementara. Abang bercadang hendak berkerja dengan sektor kerajaan. Sambil tu nak tolong adik-adik abang di Terengganu. Mereka ada buka perniagaan ubat anti-serangga di sana.”

“ Doalah bang. InsyaAllah, doa itu kan senjata mukmin. Pasti impian Abang akan jadi kenyataan.”

“ Betul cakap Jihah tu. Usia Abang dah nak masuk dua puluh sembilan tahun. Abang turut berdoa dapat jodoh. Nak cari perempuan sebaik Jihah, cukup susah zaman ini. Macam dah pupus pulak.” Ameer Mulhim bersuara dalam senyum yang tidak pernah hilang serinya. Dia akhirnya tertawa kecil apabila aku menarik muka kelat.

“ Marah pulak Jihah ni…” Ameer Mulhim tertawa kecil lagi dan selepas itu dia minta diri beredar kerana hendak menunaikan Solat Asar apabila azan Asar berkumandang. Suara muazzin kecil, Adik Qayyum yang serak-serak basah itu bakal membuatkan sesiapa sahaja ingin terkasima dan terpujuk hati ingin sama berjemaah di surau.

Susah ke mencari perempuan seperti Jihah, bang? Aku melontarkan pertanyaan dalam hati. Bukankah Jihah setia menanti, dari dulu lagi. Pernahkah Abang lihat Jihah bersama lelaki lain? Tidak bukan. Jihah masih seperti yang abang kenal dulu, sentiasa seorang diri bukan?
Dan baik sangatkah Jihah ini? Sesungguhnya Jihah banyak kekurangannya bang. Yang pasti, Jihah ini sebatang kara. Jika abang memilih Jihah, abang tidak akan punya ibu dan bapa mertua. Itu yang pastinya. Juga tidak akan merasa hidup beripar duai. Tiada anak saudara dari belah Jihah. Banyak perkara yang abang akan rasa kehilangan nanti. Relakah abang? Sanggupkah abang kehilangan apa yang orang lain ada? Merasai hidup berkeluarga.

Sembahyang Jihah pula, pasti tidak sehebat abang. Dari sumber yang boleh Jihah yakini, abang tidak pernah meninggalkan solat sunat Qabliah dan sunat Baqdiah. Sunat Dhuha sudah menjadi satu kewajipan bagi Abang di kala pagi hari. Ayat-ayat Al Quran telah lama basah di lidah abang. Abang akan melagukannya setiap ketika kerana abang sudah pun menghafalnya.

Berbanding dengan Jihah, terlalu sedikit persamaan kita tentang amalan harian. Selain solat lima waktu, Jihah amalkan Solat Sunat Taubat dan Solat Tahajud. Itu yang sering menjadi pakaian Jihah setiap hari. Al Quran tidak Jihah hafal, cuma sekurang-kurangnya sehelai muka surat dari naskhah agung yang juga satu-satunya mukjizat yang tinggal itu, Jihah akan baca tiap-tiap hari.

Ah! Terlalu sedikitnya amalan Jihah bang.


Krekkkk!!

Aku tersentak. Sedang aku menimbangtara keserasian antara aku dan Ameer Mulhim, kerusi mejaku ditarik. Mataku terpaku ke seraut wajah yang telah lama tidak kulihat. Lelaki berumur hampir setengah abad ini sudah duduk di hadapanku. Penampilannya semakin segak. Tiada lagi rambutnya yang dulu memutih. Juga sudah hilang ruang rontok di bahagian atas dahinya. Bau gel rambut memenuhi ruang udara di sekelilingku. Sepasang mata Tuan Mokhtar berlaga dengan anak mataku.

Lelaki itu sekali imbas persis pelakon drama tv Malaysia, Redzuan Hashim. Bezanya, Tuan Mokhtar sudah berumur sedikit. Tuan Mokhtar menghulurkan tangan ke arah telapak tanganku yang ditutupi sarung tangan berwarna coklat muda. Aku jadi serba salah. Namun kerana tidak mahu memalukannya, aku sambut juga huluran salamnya.

Kali ini salamnya sekejap amat, tidak seperti lima bulan yang lepas. Masa itu, aku sendiri terpaksa menarik tapak tanganku yang naik lemas dalam genggaman tangannya. Encik Khairul yang berada di sebelahku pada ketika itu, ketawa kecil melihat air mukaku yang sedang menahan marah. Tidak lama selepas itu, Encik Khairul dan Tuan Mokhtar tergelak besar. Menyindir aku agaknya! Atau menyindir hukum Tuhan?!

Sebenarnya aku sudah lemas dengan sesetengah manusia di bumi Malaysia ini. Sudah tahu berjabat tangan dengan bukan muhrim itu haram, kenapa perlu diamalkan lagi? Mahu menerima pakai budaya barat tapi janganlah sampai membelakangkan agama. Namun, alangkah hebatnya jika budaya ilmu dan kesedaran sivik amalan masyarakat barat diterapkan dalam amalan hidup di Malaysia. Masalahnya, budaya hip-hop, punk, budaya mendewakan artis serta amalan pergaulan bebas pula yang lebih gemar diamalkan oleh belia di sini. Apatah lagi media massa banyak memberi sokongan ke arah itu. Kalau beginilah caranya, bersedialah menerima masyarakat yang cacat, tempang atau mungkin lumpuh fitrah kemanusiaannya beberapa tahun dari sekarang.

Berbalik kepada Tuan Mokhtar, sepasang matanya yang sudah berusia setengah abad itu sempat menjeling ke arah tapak tanganku.

“ Lama tunggu Cik Aina? Ingat saya lagi tak, tak mungkin dah lupa kot?”

“ Tak lama mana Tuan Mokhtar. Terima kasih kerana memilih Hotel Mawar Biru buat kali kedua. Saya akan cubalah sedaya upaya untuk melaksanakan seminar itu dengan jayanya di hotel kami. Boleh Tuan Mokhtar ceritakan butir-butir peserta dan perjalanan seminar tersebut?”

Memang aku tidak mahu membiarkan perjumpaan ini tersasar dari topik asalnya. Lagipun, seboleh mungkin aku mahu menguasai perjumpaan kali ini. Biar tiada ruang yang membolehkan Tuan Mokhtar menyusup masukkan sebarang usaha untuk ‘mengusik’ dan ‘menganggu’ aku. Lagipun, daripada cara dia memandang aku, tidak seperti pandangan antara dua orang yang hendak membincangkan tentang tugas. Jadi, aku perlu berwaspada.

“ Sabarlah Cik Aina Najihah. Saya baru saja duduk. Kalau ia pun, pesanlah secawan kopi untuk saya ke. Macam inikah Head of Marketing Department Mawar Biru layan saya? Awak perlu friendly sikit dengan client macam saya….” Tukasnya sambil mengetuk-ngetuk permukaan meja batu mar mar itu dengan penanya. Tergamam seketika diriku tatkala dia merenung dalam ke arahku. Ah! Rupanya dia sedang bersiap sedia mahu memukul gendang, dan saat itu aku berjanji pada diri. Tidak akan sekali-kali aku membiarkan diri menari mengikut irama gendang yang dipalunya.

“ Tuan Mokhtar hendak minum apa ya? Biar saya panggilkan waiter.”

Bersabar dan bertimbangrasa sudah menjadi satu amalan yang sebati dalam diri pekerja di Hotel Mawar Biru. Rukun keempatnya iaitu jangan sesekali mengatakan tidak kepada pelanggan ( rukun yang ditambah sejak Tuan Khairul memangku jawatan Pengarah Urusan Mawar Biru ) telah melatih aku bersikap sabar dan bertindak mengikut akal fikiran. Jadi, latihan ini akan aku aplikasikan sebaik mungkin dalam pertemuan dengan Tuan Mokhtar.

“ Bagi saya secawan air barli suam dan nasi lemak ya. Cepat sikit.”

Tuan Mokhtar menunggu pelayan wanita itu pergi sebelum mengalih perhatian ke arahku. Tadi, sempat aku mengerling Tuan Mokhtar tatkala mata tuanya menyoroti lenggang lenggok punggung gadis yang kukira berumur awal dua puluhan. Gadis itu memang cantik. Orangnya kecil molek dan bermata jernih. Tak silap aku, namanya Ratnadewi. Selalunya jika waktu pagi terutama hari Sabtu dan Ahad, Ratnadewi akan berada di Bangi Best Kopitiam. Itu yang aku tahu dari Suwardi, warga Indonesia yang bertugas sebagai pekerja am di Hotel Mawar Biru yang juga pelanggan tetap Bangi Best Kopitiam pada hujung minggu.

Tuan Mokhtar seakan tidak mengendahkan kehadiranku di hadapannya. Hendak menunggu dia buka mulut, entah bila agaknya. Jadi aku terpaksa mengalihkan perhatiannya.

“ Seboleh mungkin saya akan memastikan, hotel kami menyediakan peralatan seminar seperti kerusi meja, projektor, komputer dan apa sahaja yang diperlukan oleh pihak Exec Excel. Jadi, bolehlah Tuan Mokhtar berikan serba sedikit latar belakang serta jumlah peserta yang akan hadir? Em..kami juga akan cadangkan menu makan yang istimewa.”

Muka Tuan Mokhtar berkerut. Dia merenung aku dengan pandangan yang sukar untuk ditafsirkan. Aku berasa tidak selesa kerana pandangannya seakan ‘mencemuh’ aku. Sejurus kemudian suasana kembali senyap. Aku jadi lemas dengan pertemuan pagi ini. Jikalau tidak mahu berbincang, buat apa hendak jumpa?

“ Beginilah Tuan Mokhtar, kalau Tuan Mokhtar tidak bersedia hendak berbincang tentang seminar di hotel kami sekarang, biar saya balik dulu. Banyak juga kerja yang perlu saya selesaikan. Jika sudah bersedia, Tuan Mokhtar boleh berhubung dengan Encik Khairul. Assalamualaikum.”

Tanpa berfikir panjang lagi, aku terus mencapai tas tanganku lantas bangun. Baru saja aku hendak beredar, Tuan Mokhtar segera menahanku.

“ Duduklah Cik Aina. Kalau ya pun nak berbincang, tunggulah saya bersarapan dulu. Tekak Cik Aina dah basah, tekak saya ni masih kering lagi.” Tuan Mokhtar berbicara tanpa memandang ke arahku.

Hmm. Mengada betul orang tua ini, rungut aku dalam hati. Aku cuba bersabar, dan kembali duduk semula di kerusi. Segala rasa geram dan marah, aku simpan erat tanpa memaparkan sedikit pun riak di wajah.

“ Pagi-pagi macam ini, kan elok cerita perkara yang tidak melibatkan kerja.” Tokoknya lagi. Saat itu, aku hanya menanti sarapannya tiba.

Alhamdulillah. Seakan mengerti jeritan batinku, sekoyong-koyong datang Ratnadewi sambil menghidangkan sepinggan nasi lemak serta secawan barli suam.

“ Cik Aina ni masih muda kan? Apa yang saya tahu, awak ni asyik kerja memanjang. Cik Aina tak pernah terfkir ke nak berehat sekejap, jalan-jalan ke, pergi bercuti ke?”

Mataku terpaku ke muka Tuan Mokhtar. Aik, kenapa Tuan Mokhtar ni? Kenapa ambil berat pula tentang aku? Sudah lupakah peristiwa lima bulan lepas? Tuan Mokhtar buat-buat lupa agaknya, bagaimana aku cuba melarikan diri darinya yang asyik mengganggu aku pagi dan petang.

Humm…Fikiranku ligat memikirkan jawapan yang sesuai. Seboleh mungkin, aku tidak mahu mengecilkan hati Tuan Mokhtar.

“ Hujung minggu macam ni, ada kalanya saya berjalan-jalan juga. Pergi membeli-belah, dan berehat di rumah.”

“ Setakat berehat di rumah, apalah yang ada sangat. Duduk rumah lagi penat tak? Kena buat kerja rumah pulak? He he..”

“ Tak juga Tuan Mokhtar, saya belum berkeluarga. Tak ada suami dan anak yang nak dijaga, jadi saya dapat berehat walaupun duduk di rumah.”

Tuan Mokhtar menyuap sesudu nasi lemak ke mulutnya. Mataku menjengah ke arah pinggan di hadapannya. Humm, sudah separuh nasi lemak diselesaikannya. Aku perlu bersabar. Tidak lama lagi, dia akan selesai makan. Bermakna tugasanku akan bermula. Mudah-mudahan, cepatlah siap!

“ Cik Aina ni orangnya manis, ada rupa….tapi kenapa susah senyum? Berkerja sebagai Sales Personnel di sebuah hotel, kena banyak senyum tau Cik Aina? Mahal sangatkah senyuman Cik Aina ni?”

Eh! Tak pasal-pasal hendak mengkritik aku. Kalau dengan orang macam Tuan Mokhtar, aku memang tak berani hendak berikan senyuman.

“ Ya ke Tuan Mokhtar? Kalau macam itu, saya kenalah senyum-senyum selalu. Harap Tuan Mokhtar tak berkecil hati kalau saya kurang senyum.”

Biarlah merendah diri dan mengakui kelemahan dengan harapan dia akan hormat pada aku.

“ Ha..ha..ha,” ketawa kecilnya bergema, Tuan Mokhtar kelihatan agak segar dan ceria tiba-tiba. Dia menggosokkan kedua belah tapak tangannya berkali-kali. Pandanganku menjamah pinggan di atas meja. Yess! Dah habis makan.

“ Aaaa, baru manis. Macam ni, kalau kedai ni bagi kopi keras, hitam dan pahit pun saya boleh telan. Ha..ha..ha…,” ketawanya lagi. Baru tadi aku nampak muka orang tua di hadapanku ini kelat dan masam, tapi sekarang dia sudah ceria dan segar. Mudahlah kerja aku sekarang ini.

“ Saya dapat tahu ramai juga peserta yang akan hadir ketika seminar itu, bukan begitu Tuan Mokhtar?”

“ Ah! Cik Aina ni, asyik fikir pasal kerja saja. Hari ini tak perlulah kita bincangkan pasal seminar tu.” Tuan Mokhtar merengus. Marah nampaknya. Aku pula sudah keliru dengan pertemuan ini. Kenapa sengaja hendak mengelak dari berbincang tentang seminar itu?

“ Cik Aina,” Tuan Mokhtar menyebut namaku sambil matanya merenung ke sepasang mataku. Serta merta bulu tengkuk aku meremang. Aku menelan air liur. Resah dan gelisah mengasak ruang fikirku.

“ Sejak peristiwa dulu tu, saya selalu memarahi diri saya kerana tidak tahu menghormati Cik Aina. Sebenarnya…Cik Aina ni, umpama sebutir bintang yang berlindung di sebalik cahaya bulan. Sengaja menyembunyikan keindahan diri. Namun, mata saya dapat menelah betapa Aina Najihah adalah bidadari yang sungguh istimewa.”

Gulp! Betulkah apa yang aku dengar? Oh! Ini sudah mengarut. Bermadah pujangga di pagi hari, sedangkan pertemuan ini untuk membincangkan soal seminar bulan ini. Bukan untuk membicarakan tentang hati, wahai Tuan Mokhtar.

Baru saja aku hendak membuka mulut, Tuan Mokhtar sudah mula berkata-kata lagi.

“ Sebenarnya saya kasihan pada Cik Aina. Kerja tiap-tiap hari, pendapatan pun maaf cakaplah,… tak besar mana sangat.” Tuan Mokhtar menggerakkan kerusinya ke dalam sedikit bagi memberi laluan kepada seorang pelanggan di Bangi Best Kopitiam yang mahu beredar. Kemudian, dia kembali memandang ke arahku.

Dahiku berkerut dalam, tidak faham apa yang ingin disampaikan oleh Tuan Mokhtar. Tuan Mokhtar bersuara lagi,“ Er..Cik Aina jangan salah faham pulak, bukan saya hendak merendahkan Cik Aina tapi, saya sekadar nak membantu.”

“ Tuan Mokhtar, setakat ini pendapatan saya, Alhamdulillah, sudah memadai. Tak perlulah kita bercakap hal yang tak berkaitan.Bukankah…”

“ Bukan…jangan cakap macam tu.” Tuan Mokhtar lekas-lekas memotong percakapanku.

“ Saya ikhlas hendak membantu Cik Aina. Saya tahu bagaimana Encik Khairul melayan Cik Aina. Kenapa masih hendak berkerja di bawah Encik Khairul? Saya boleh bagi segalanya yang Cik Aina perlukan. Segalanya! Tidak pernahkah Cik Aina terfikir hendak hidup senang? Ada terfikir juga bukan?” Tuan Mokhtar bercakap dengan penuh semangat. Dia nampak bersungguh-sungguh benar.

“ Tuan Mokhtar, saya…saya tak..”

“ Cik Aina, perempuan seperti Cik Aina ni, tak patut diherdik dan dimarah di pejabat. Sepatutnya Cik Aina disayangi, dihormati dan diberi layanan yang baik. Encik Khairul tu tak pandai menjaga hati dan perasaan Cik Aina, bukan?”

Percakapan Tuan Mokhtar membuat aku semakin keliru. Kenapa lelaki yang dulunya memusuhiku kini hendak berbaik denganku? Simpati terhadap nasibku? Memang benar, sejak berkerja di bawah pentadbiran Encik Khairul, jiwa aku sentiasa tertekan. Majikan baru itu memang sengaja hendak mengenakan aku. Tetapi, bagaimana Tuan Mokhtar boleh menghidu masalah aku?

“ Awak berkerja dengan saya saja. Gajinya lebih dari sekarang. Awak ada bilik pejabat sendiri, dan tak perlu berurusan dengan ramai orang. Saya tahu menghargai orang seperti awak. Saya boleh bagi tiga ribu sebulan. Bagaimana?”

Tuan Mokhtar bersandar di kerusi. Suasana di Bangi Best Kopitiam masih seperti tadi. Kini lagu-lagu berentak jazz nyanyian Sheila Majid pula bergema.. Beberapa pelanggan di kiri kanan, kebanyakannya orang muda kelihatan asyik menikmati hidangan roti bakar. Aku bagai tergamam tatkala mendengar tawaran yang Tuan Mokhtar berikan. Tiga ribu sebulan? Banyak tu! Tapi, aku sememangnya tidak sanggup berkerja di bawah Tuan Mokhtar. Lelaki itu pernah dahulu cuba merapati diriku. Apabila aku menjauhkan diri, dia menarik balik tawaran mengadakan seminar di Hotel Mawar Biru. Tuan Mokhtar seorang yang sangat mementingkan kehendak diri semata.

“ Cik Aina, bila-bila masa saja awak boleh dipecat oleh Encik Khairul. Daripada awak dipecat, bukankah lebih terhormat jika awak sendiri yang meletak jawatan?

Betul juga. Kalau Tuan Mokhtar seorang yang mementingkan diri sendiri, Encik Khairul pula apa? Lelaki itu adalah petir. Tiap-tiap hari dia memarahiku tanpa sekelumit pun perasaan belas kasihan terhadapku. Encik Khairul juga umpama sebilah pisau. Tak akan ada sehari yang akan berlalu begitu sahaja tanpa kata-kata pedas yang menghiris hatiku. Majikan aku itu juga seorang yang ‘beraja di mata, bersultan di hati’. Dia akan membebankan aku dengan apa saja tugas tanpa mengira berapa banyak yang perlu aku siapkan. Dan, dia akan meminta tugasan yang diberikannya itu siap, tidak kira masa. Aku memang tidak sanggup berkerja di bawah Encik Khairul lagi.

“ Ya. Saya tahu. Tapi, tak mengapa. Tuan Mokhtar tidak perlu ambil kisah, inikan masalah saya?” Tutur aku tanpa berniat mahu menyinggung hatinya.

“ Oh tidak! Janganlah cakap begitu. Saya bukan bermaksud hendak masuk campur dalam urusan Cik Aina, saya cuma memberi pilihan. Cik Aina boleh memilih, sama ada mahu terus berkerja dengan Tuan Encik dengan layanan yang hummm….,” Tuan Mokhtar menggelengkan kepalanya, kemudian menyambung percakapannya semula. “ atau, berkerja dengan syarikat saya dengan gaji yang lebih tinggi, dan Cik Aina akan lebih dihargai. Fikirkanlah!”

Aku menggenggam tas tanganku seakan membiarkan semua tekanan di fikiran tertumpah keluar. Tetapi hatiku masih lagi bercelaru. Aku memerlukan masa untuk berfikir. Namun, ada sedikit perasaan gementar tatkala aku melihat seraut wajah Tuan Mokhtar. Ikhlaskah dia?

Ratnadewi datang lagi. Kali ini dia membawa bil dan meletakkannya di atas meja. Kemudian dia mengambil semula pinggan dan cawan serta meletakkan dengan cermat ke atas dulangnya. Tuan Mokhtar mengamati langkah Ratnadewi yang tersusun elok. Punggungnya bergoyang mengikut rentak irama lagu, “Antara Anyer dan Jakarta” nyanyian Sheila Majid yang sedang berkumandang. Mata Tuan Mokhtar merenung sekali lalu ke arah punggung Ratnadewi. Aku jadi geli geliman. Serta merta aku mengingatkan diriku, kalau Encik Khairul itu harimau, Tuan Mokhar pula buaya! Jangan sampai nasib aku seperti, ‘keluar dari mulut harimau, masuk ke mulut buaya’ sudahlah.

“ Bagaimana Ciak Aina? Fikirkanlah ya.” Ucap Tuan Mokhtar perlahan.

Aku tersenyum. Hatiku sebenarnya sudah sakit. Bukankah sepatutnya sekarang ini kami membincangkan tentang seminar? Aku terasa diriku dipermainkan oleh Tuan Mokhtar pula. Tanpa banyak bicara, aku mengambil bil yang berada di atas meja. Sebagai bakal pelanggan besar Hotel Mawar Biru, kami memang dilatih agar pandai mengambil hati pelanggan. Dengan cara membayar bil makan di restoren, ini sudah dapat memancing rasa terhutang budi pelanggan terhadap Hotel Mawar Biru. Itu antara taktik yang dipraktikkan sejak zaman Puan Mawarni lagi. Tapi hanya untuk bakal pelanggan besar sahaja.

Sebaik sahaja bil tersebut berada di dalam genggaman tanganku, Tuan Mokhtar terus mencapai pergelangan tanganku. Jari jemarinya yang kasar dan besar, seakan membungkus kemas jari jemariku yang halus dan kecil. Perlahan-lahan dia membuka genggaman tanganku. Aku tergamam. Bil itu ditariknya.

“ Saya bayar.” Ucapnya seakan berbisik. Aku terdiam seketika. Inilah kali pertama seorang lelaki berani menyentuh tanganku sebegitu rupa. Tidakkah Tuan Mokhtar lihat pakaianku yang bertudung litup? Sudah tentu dia boleh memahami fahamanku tentang halal dan haram dalam pergaulan antara lelaki dan perempuan? Atau dia sengaja buat tak faham.

Aku cuba bersikap sabar sedangkan jiwaku mula bergelora. Mukaku sudah masam dan mataku merenung tajam ke arah matanya. Dia mengerti aku marah padanya.

“ Maaf. Saya tak mahu menyusahkan Cik Aina. Biar saya saja yang bayar.” Dia merendahkan nada suaranya, sambil menggerak-gerakkan tangan di hadapan mukanya.

“ Er…Cik Aina, boleh Cik Aina temankan saya sarapan di sini lagi pada esok hari?”

“ Saya ni berkerja Tuan Mokhtar. Tidak seperti Tuan Mokhtar ada syarikat sendiri. Keluar masuk pejabat tiada siapa yang nak soal siasat. Maaflah Tuan Mokhtar.” Aku menjawab malas. Memang aku sudah tiada semangat lagi hendak bercakap dengan Tuan Mokhtar.

Tuan Mokhtar menganggukkan kepala. Aku menarik nafas panjang. Susahnya berkerja di bahagian pemasaran ini, asyik kena jaga hati pelanggan saja. Hati sendiri pula, dibiarkan terluka dan kemudian, sendirian pula merawatnya.

“Tapi tak mengapa Cik Aina, saya boleh minta kebenaran Encik Khairul kalau awak setuju.”

Aku menggelengkan kepala sambil tersenyum nipis. Humm!Aku sudah tidak sabar hendak beredar pergi.

“ Cik Aina, ini untuk hari ini ya. Sedikit saguhati ikhlas dari saya sebagai membalas kesudian Cik Aina temankan saya makan pagi. Sebenarnya nilai pertemuan ini lebih dari apa yang ada dalam sampul surat ini. Lain kali kita makan malam bersama? Jangan kecewakan saya, please.” Tuan Mokhtar menghulurkan satu sampul surat ke arahku. Suaranya seakan merayu dan lembut beralun di telingaku.

Aku tidak sedap hati. Sampul yang dihulurnya tidak aku terima.

“ Apa ni Tuan Mokhtar?” Soalku.

“ Ambillah.”

Sampul tersebut aku ambil. Kemudian aku membukanya. Satu keping wang kertas bernilai satu ratus ringgit berada di dalamnya. Mataku berpinar. Lalu aku menatap seraut wajah Tuan mokhtar. Senyuman merekah di bibir lelaki itu. Matanya juga seakan tersenyum. Tanganku menggeletar. Saat itu juga darahku seakan bersatu, naik menderu ke atas kepala. Lantas ringan sahaja tanganku mencampak wang itu kembali ke atas meja.

“ Duit haram!” Ujarku, keras.

Tanpa banyak bicara, aku mencapai tas tanganku lantas meninggalkan Bangi Best Kopitiam. Hatiku sudah lama tercalar. Namun sesekali aku tidak membenarkan sesiapa pun mencalarkan maruah diriku, hatta pekerjaanku ini. Duit boleh aku cari, tetapi harga diri tidak mungkin dapat dijual beli. Aku hidup bukan untuk menjunjung dunia sahaja, aku juga menjunjung agama.

…








Ahad, 10 Jun 2007

Bab 7.....Bibir-bibir Lelaki Yang Berbisa






Menanti hari yang dijanjikan oleh Ameer Mulhim umpama membilang jarum saat di dada jam. Semuanya bergerak lambat. Terlalu lambat. Aku sudah berkira-kira hendak meminta Roon menemaniku pada pertemuan itu, kerana aku tiada siapa lagi yang boleh diharapkan. Hendak minta tolong Angie, sudah tentu dia akan kata, “ Cannot la Jihah, I kena balik Taiping. Family gathering maa..”.

Takkan aku hendak harapkan Edelyn dan Yuri Rozalin. Mereka pun perlu masa rehat hujung minggu ini. Hubungan aku dengan Edelyn pula agak dingin sejak dua tiga hari kebelakangan ini. Semuanya gara-gara pelanggan bernama Tuan Mokhtar Yusop iaitu Pengarah di Exec Excel Sdn Bhd. Kadang-kadang, menjadi Ketua Pemasaran di Hotel Mawar Biru ini, menjadikan aku sakit jiwa! Dulu tidak seperti ini, tetapi sejak anak Puan Mawarni ambil alih hotel, aku memang selalu tertekan.

Tapi sejak dua tiga hari lepas, aku mendengar ura-ura jawatan aku akan diambil alih oleh Edelyn, pekerja bahagian pemasaran yang telah bertugas di Hotel Mawar Biru selama dua tahun. Aku sudah tidak kisah sama ada aku akan diketepikan atau tidak, kerana bagi aku sejak anak Puan Mawarni ambil alih tampok pentadbiran Hotel Mawar Biru, telinga aku bagai tong sampah. Menadah semua kata-kata sindiran dan ejekan darinya..

Sebaik sahaja khabar angin yang aku dengar daripada Roon, dan disahkan pula oleh Taufik, iaitu dari staff Bahagian Front Office, aku mengambil sikap bersabar. Aku tidak mahu bertanyakan hal ini secara terus kepada Encik Khairul kerana aku tidak tahan mendengar sindirannya lagi. Benci benar Encik Khairul pada aku. Aku tahu kenapa, dan dia pun sedar aku tidak senang berkerja di bawahnya.

Keadaan bertambah buruk apabila dua hari lepas kami mendapat jawapan balasan dari Tuan Mokhtar Yusop, Pengarah Exec Excel Sdn. Bhd. yang ingin menjadikan hotel kami sebagai lokasi penginapan untuk pelanggan-pelaggan besar syarikatnya mengadakan kursus ‘ Pengurusan Tenaga Kerja Secara Efisien Dalam Mengurangkan Kos’. Menurut Roon, Encik Khairul telah telah meminta Tuan Mokhtar berurusan dengan Edelyn kerana Edelyn kononnya adalah Ketua Bahagian Pemasaran Hotel Mawar Biru, namun Tuan Mokhtar bertegas mahu berurusan denganku. Itu yang aku dengar. Apa alasan Tuan Mokhtar, tidak pula aku tahu.

Bertitik tolak dari itu, akhirnya Encik Khairul memanggilku masuk ke biliknya. Jadi, dua hari yang lepas aku pun masuk ke bilik Encik Khairul dengan hati yang membengkak. Sebenarnya aku tidak tahan dengan kata-katanya yang sinis. Selalunya, dua perkataan ini dapat mengambarkan situasi hati aku apabila keluar dari biliknya. B-O-S-A-N dan B-E-N-G-A-N-G.

“ Assalamualaikum Ustazah Najihah. Saya nak minta awak telefon pelanggan ini” pinta Encik Khairul sebaik sahaja aku berdiri di hadapannya, lantas sekeping kertas kecil disuakan ke tanganku.

“Sebelum itu, saya nak ingatkan. Sila ingat baik-baik apa rukun hotel ini yang keempat? Apa dia?”

Aduh! Geram betul aku dibuatnya. Aku tahu dia sengaja panggil aku ‘ustazah’ kerana aku selalu menentang idea-idea mungkarnya terhadap Hotel Mawar Biru. Antaranya, idea hendak mewujudkan sudut minuman keras atau lebih tepat, arak di cafe Seri Mawar. Terbaru apabila Encik Khairul mahu menetapkan peraturan baru agar kolam renang hotel kami hanya boleh digunakan oleh tetamu yang berpakaian renang seperti bikini dan swimming trunk .

Semua pendapatnya berjaya aku tepis dengan memberikan beberapa alasan yang kemudiannya disokong oleh Angie sendiri, seorang bukan muslim dan Taufik, staff paling lama berkerja di Hotel Mawar Biru. Peristiwa ini menimbulkan ketegangan antara lembaga pengarah dan pentadbiran hotel sehingga akhirnya Puan Mawar terpaksa masuk campur apabila Encik Khairul bertindak mahu memecat aku.

“ Ustazah termenung apa? Ingat kelas mengaji semalam ke? Jawab soalan saya!!” Tengkingnya sambil memerhatikan aku dari atas ke bawah.

Cakap sajalah, tak payah nak jerit-jerit. Apa, fikir aku ni budak sekolah ke? Rungut hatiku. Pandang-pandang pulak tu, macam kita ini lukisan. Protesku dalam diam.

“ Rukun keempat, jangan sesekali berkata tidak kepada para tetamu hotel dan sentiasalah mengukir senyuman apabila berurusan dengan para tetamu.”

“ Ha..bagus. Tak perlu saya ajarkan kan?” Tuan Khairul membetulkan tali lehernya lantas dia bangun dan berjalan di hadapanku. Bau rokoknya singgah di hidung. Busuk! Wajahnya yang garang itu tidak kupandang langsung. Entahlah! Buat sakit hati saja.

“ Ada apa-apa lagi ke Tuan Khairul? Jika tidak, saya keluar dulu.”

Tuan Khairul tidak menjawab soalanku, sebaliknya dia masih lagi berlegar-legar di sekelilingku. Apa ni? Ini boleh dikatakan sebagai gangguan seksual. Perbuatannya melihat aku dari atas ke bawah berulang-ulang kali, benar-benar mencetuskan perasaan gemuruh dan bimbang dalam jiwaku. Aku perempuan, dia lelaki. Kalau lelaki membelek aku seperti ini, aku akan sembur matanya dengan air lada yang berada dalam tas tanganku. Tapi ini bos aku? Takkan aku hendak bertindak macam itu.

“ Saya rasa…saya nak buat satu peraturan barulah ustazah. Apa kata, semua Sales Personnel di sini kena pakai mini skirt? Ustazah ada bangkangan tak?”

Kalau aku cakap aku memang sudah meluat dengan bos aku ini, memang aku tak salahkan? Inikah contoh bos yang boleh membimbing pekerja di bawahnya demi untuk memajukan hotel warisan ibunya sendiri? Cukup! Aku sudah tidak tahan dengan ‘lawak bodohnya’ itu.

“ Saya keluar dulu, Assalamulalaikum.”

Sebaik sahaja aku membuka langkah kaki, aku terdengar Encik Khairul ketawa berdekah-dekah. Aku tidak ambil peduli apa pandangannya tentang aku lagi. Yang penting, aku hendak berkerja dengan tenang. Kalaulah Puan Mawarni tidak jatuh sakit, sudah tentu Encik Khairul tidak menjadi Pengarah Urusan Hotel Mawar Biru. Sudah tentu aku tidak tertekan seperti sekarang. Semuanya sudah takdir.


Kertas yang Encik Khairul beri dua hari lepas kubiarkan terletak begitu saja di atas meja. Berat hati hendak mendail nombor yang tertera. Nombor telefon bimbit itu sangat aku ingat. 013-7400000. Siapa lagi kalau bukan nombor Tuan Mokhtar yang gatal. Lemah rasa seluruh badanku apabila dikehendaki berurusan dengan orang tua tak sedar diri itu.

Sudah dua hari arahan Encik Khairul aku abaikan. Bimbang juga jika ditanya kelak, apa yang patut aku jawab? Akhirnya aku gagahkan diri juga untuk mencapai gagang telefon.

“ Hello! Siapa di sana?” Suara lelaki yang parau dan kasar memenuhi gegendang telingaku. Aku cuba berlagak serius. Harap-harap Tuan Mokhtar tidak mengulangi perangai lima bulan lepas. Jika tidak, aku tidak akan teragak-agak meletak gagang telefon dan mengisytiharkan perang dengannya. Kalau Encik Khairul hendak marah pun marahlah. Aku sudah tidak ambil peduli lagi tentang Encik Khairul, lelaki bermulut bisa itu.

“ Saya Aina Najihah, dari Hotel Mawar Biru. Tuan Mokhtarkah sedang bercakap?”

Senyap. Aku menunggu reaksi dari Tuan Mokhtar.

“ Aina….Aina….Aina Mawar Biru. Rasanya macam pernah dengar nama tu. Ya! Ada apa saya boleh bantu Cik Aina?”

Kenapa agaknya ya? Apabila dengar suara dan nada percakapan Tuan Mokhtar, meremang bulu tengkuk aku. Geli geliman pula. Kala ini , aku sudah terbayang misainya yang mencacang dan mengembang bila dia tersenyum, juga sepasang matanya yang suka merenung orang. Terutama perempuan-perempuan muda.

“ Begini Tuan Mokhtar. Kami dari Hotel Mawar Biru sangat berbesar hati dengan kesudian pihak Exec Excel yang memilih hotel kami sebagai lokasi seminar yang akan dianjurkan pada akhir bulan ini dan bulan hadapan. Jadi, saya hendak dapatkan beberapa butiran lengkap tentang peserta seminar serta berbincang tentang anggaran kos yang pihak tuan tetapkan. Boleh Tuan Mokhtar terangkan serba sedikit tentang peserta dan aturcara yang Tuan tetapkan?”

“ Oh ha ha ha…” bergema ketawa Tuan Mokhtar di corong telefon. Aku menjarakkan sedikit gagang telefon dari telingaku. “ Aina…ya..ya. Saya ingat awak lagi. Masih berkerja di Mawar Biru? Tak sangka ya, awak sesuai juga berkerja dengan Encik Khairul. One thing Aina, awak ni sebenarnya satu aset besar bagi Hotel Mawar Biru tau?”

Lelaki ini nampak ceria sahaja. Dia sudah lupakah agaknya, lima bulan lalu aku sudah angkat bendera perang dengannya. Gagang telefon masih kemas dalam genggamanku. Kali ini aku berjanji pada diri tidak akan tunduk lagi dengan sebarang tekanan.

“ Terima kasih Tuan Mokhtar. InsyaAllah, saya akan buat yang terbaik untuk Mawar Biru. Jadi, Tuan Mokhtar bersedia hendak terangkan tentang seminar tersebut?” Aku mengulangi semula soalan dengan harapan dia akan terus menjawabnya sekaligus memudahkan tugasku.

“ Besok pukul sembilan pagi saya akan ke Bangi Best Kopitiam. Tolong berada di sana sebelum saya sampai ya? Er, tak perlu minta kebenaran Encik Khairul kerana dia sudah tahu. Jumpa esok Cik Aina.”

Tup! Talian telefon terhenti setakat itu.

Hah! Jumpa di Bangi Best Kopitiam? Encik Khairul sudah tahu?

Oh! Ini bagaikan satu konspirasi hendak mengenakan aku buat kali yang entah ke berapa. Bukan Encik Khairul tidak tahu, aku memang tidak berminat berjumpa pelanggan lelaki seorang diri terutama pelanggan yang seorang ini. Nampaknya Tuan Khairul memang sengaja hendak main api dengan aku. Tidak mengapa. Setakat di Bangi Best Kopitiam tidak jadi masalah. Tempat sarapan pagi itu sebuah kedai makan terbuka, jadi tidak mungkin Tuan Mokhtar boleh menunjukkan sifat kegatalannya yang tak terbendung itu di khalayak ramai. Baiklah, kali ini aku cuba berbaik sangka dengan lelaki itu. Mungkin dia sudah bertaubat dan tidak lagi menganggu perempuan muda seperti aku.

Kesimpulanku pada hari ini, ada sesetengah lelaki yang mulutnya berbisa kerana hatinya belum cukup dibasuh. Dengan mereka aku mengambil satu langkah yang pasti.

Berwaspada.

Masalahnya sekarang, salah seorang darinya bos aku sendiri? Ini yang buat aku makan hati.

…

Bab 6..........Sms Yang Mendebarkan


Hotel Mawar Biru agak sibuk petang ini. Baru tadi, sekumpulan tetamu dari Pejabat Induk Bank Simpanan Nasional berangkat pulang setelah tiga hari dua malam menghadiri seminar di hotel kami. Aku sebagai Pegawai Pemasaran hotel pula, bagai tidak cukup mulut hendak mengucapkan terima kasih kepada semua tetamu penting yang hadir. Apatah lagi dalam masa yang sama, terpaksa melayan kerenah staff ‘Purchasing Department’ yang asyik memburuku dari tengah hari lagi bagi mendapatkan butiran lengkap berkenaan barang-barang yang perlu di beli untuk seminar hujung minggu nanti.

Bayang-bayang Roon sudah lama tidak kelihatan. Aku kira, tadi merupakan antara saat terindah dalam hidup Roon apabila Abang BSN menegurnya buat pertama kali. Dapat kulihat betapa merahnya muka Roon apabila Abang BSN itu memuji kecekapan bahagian ‘banquet staff’ menyediakan kelengkapan seminar. Roon selaku ketuanya, hanya terangguk-angguk tatkala menerima pujian dari Abang BSN yang merupakan tetamu penting Hotel Mawar Biru. Selebihnya, aku terdengar jawapan Roon yang kukira agak mengarut dan tak menepati kehendak soalan Abang BSN.

Sewaktu hendak menuju ke pejabat, aku terserempak dengan Roon yang baru sahaja keluar dari bilik air. Sebaik sahaja terpandang aku, Roon terus menerpa ke arahku lantas dia menarik tanganku pantas.

“ Jihah…heeiii Jihah, kau nak dengar cerita tak?”

Belum sempat aku memberikan jawapannya, Roon sudah menolak tubuhku masuk ke bilik air.

“ Alah Roon, ini mesti pasal Abang BSN tu kan?” Tekaku dan di hadapanku muka Roon sudah berseri-seri. Matanya nampak bercahaya. Roon tersipu-sipu malu.

“ Tadi Abang BSN tu puji department aku. Dia tu peramah juga kan. Aku tak sangka dalam banyak-banyak staff kita, aku yang dia tegur.” Ujar Roon bersungguh-sungguh. Aku cuma menahan gelak tawa kerana teringat babak Abang BSN itu menegur Roon.

Tadi, ketika semua Pegawai Eksekutif BSN hendak meninggalkan hotel, Kerom tidak ketinggalan mengiringi mereka ke luar hotel. Beberapa Sales Personnel termasuk aku mengiringi tiga orang tetamu penting Hotel Mawar Biru yang sedang bertanyakan tentang program yang akan mereka jalankan juga di hotel kami. Di kala semua staff telah meninggalkan ruang lobi, aku terpandang Roon asyik memerhati Abang BSN. Tiba-tiba, Abang BSN datang ke arah Roon dan menegurnya sekali lalu. Apa lagi, tergamam Roon dibuatnya. Kemudian terjadilah adegan itik dan ayam. Abang BSN tanya lain, Roon jawab lain. Sehingga terserlahlah perasaan Roon yang sebenar dan aku kira Abang BSN mula sedar tentang itu.

“Roon, tadi kenapa bila Abang BSN tanya apa kerja kau di hotel ni, kau jawab nama engkau Khairun Nisa?” Soalku lancar.

“ Aku terperanjat lah Jihah. Engkau fikir lah, tiba-tiba dia muncul depan aku lepas tu terus puji aku. Tak tergamam aku dibuatnya.”

Wajah Roon kutenung. Roon membeliakkan biji matanya. Lantas aku menyimpul senyum.

“ Kenapa Jihah?

“ Dia bukan puji engkau seorang, dia puji banquet staff. Sah! Kau memang dah kemarukkan Abang BSN tu. Jangan layan sangat perasaan tu. Bahaya. Mana tahu kalau-kalau dia tu suami orang?” Aku mengingatkan Roon seikhlasnya.

Bunyi derap tapak kaki keluar masuk ke dalam tandas wanita menganggu perbualan kami. Aku berasa tidak selesa.

‘ Jihah, engkau pun tahu, aku hanya minat gitu-gitu aje dengan Abang BSN tu. Lebih-lebih tu, aku belum terfikir lagi. Kalau engkau fikir aku ni terhegeh-hegeh nakkan lelaki tu, kau kena ingat…aku pun ada harga diri. Aku ada maruah tau! Cakap ikut sedap mulut jek! Aku pergi dulu..” Ucap Roon sinis lantas meninggalkan aku keseorangan di pintu tandas. Meninggalkan sekeping hati yang baru tercalar.

Kalau ikutkan hati, sudah lama aku berpatah arang berkerat rotan dengan Roon. Bukan apa, kawan aku yang seorang ini terlalu sensitif. Roon mudah sangat lepas cakap, dan kemudian bila tersedar dirinya telah mengguris perasaan aku, dia akan minta maaf. Sebagai kawan, aku tidak sampai hati untuk tidak menyambut salam kemaafan darinya, biarpun hati aku kerap kali terluka dengan tuduhan Roon yang merobek hatiku.

Dalam diam kupujuk hati sedaya yang boleh. Beberapa kali aku mengingatkan diri bahawa Roon itu memang berwatak pemarah dan kuat terasa orangnya. Bagaimana pun Roon bukanlah seorang pendendam. Bukan mudah mencari kawan yang sempurna sikapnya. Begitu juga dengan Roon, dia ada pun kelemahan diri. Namun kelebihan yang ada pada Roon membuatkan aku tidak tergamak hendak memutuskan tali persahabatan hanya kerana mulutnya yang ‘pedas’ itu. Roon seorang kawan yang sanggup berkorban masa dan tenaga untuk aku apabila aku ditimpa masalah. Aku cukup menghargai Roon. Lebih-lebih lagi aku sedar, Roon tiada siapa di daerah ini kecuali aku.


Tut..tut..tut

Aku tersedar dari lamunan. Wajah Roon sudah lama hilang di hadapan mata, sedangkan aku masih setia berada di luar tandas. Tanganku segera mencari-cari telefon bimbit yang berada di dalam beg tangan. Bunyi nada dering ‘sms’ kedengaran lagi. Siapa pula yang sms?

>: Askm Najihah. Apa khabar? Abg kat T’ganu skg ni. Cdg ujung mgu ni nak blik sana. Jihah fre ke Sabtu ni?

Wah! Ameer Mulhim rupanya. Tak kusangka, dia akan menghantar ‘sms’secepat ini. Kalau tak silap kiraanku, Ameer Mulhim baru saja pulang ke Terengganu minggu lepas. Kalau macam ini, cepat sungguh dia hendak balik ke Bangi semula. Kenapa ya? Kenapa Ameer Mulhim tanya, ‘Jihah free ke Sabtu akan datang ni?’.

Seraut wajahku bagai disimbahi cahaya rambulan. Bersinar gembira dan halus perasaan yang mula mekar seakan dapat kurasai kepastiannya. Ya! Cinta ini, cinta yang belum terungkap. Sebuah asmara yang terpendam kemas kian sarat di jiwa. Dan mungkinkah, hari Sabtu ini segala rahsia hati akan terlerai?

Ya Allah! Debaran di hatiku kian pantas. Jika aku bertemu Ameer Mulhim, pasti aku tidak akan keluar berdua. Masih terngiang-ngiang pesanan naqibahku Kak Siti Hamisah, bahawa Rasulullah S.A.W telah mengingatkan melalui sabda yang bermaksud;

"Jangan sekali seorang lelaki bersama-sama dengan perempuan yang tidak halal baginya, kerana yang ketiganya adalah syaitan, kecuali kalau ada mahramnya." - Hadis diriwayatkan Ahmad. Juga Hadis oleh at-Tirmizi pula bermaksud: "Apabila seorang lelaki bersendirian dengan seorang wanita, yang ketiga ialah syaitan."

Benar, aku tidak sanggup mengenepikan agama demi cinta ini. Aku kira Ameer Mulhim juga begitu. Pelajar Ijazah Sarjana Jurusan Al Quran dan As Sunnah itu cukup kuat pegangan agamanya. Tetapi mengapa dia tanya begitu? Adakah Amer Mulhim mahu mengajak aku keluar? Tanpa berlengah lagi, ‘sms’ itu aku balas.

>: W’salam. Seronok ke dok Tganu? Sabtu ni lum tau lagi. Apa yg Jihah bleh tolong?

Aku membilang angka…1..2…3…4..5. ‘Sms’ balasan belum lagi kuterima. Wajah Ameer Mulhim sedang menekan telefon bimbitnya yang berwarna hitam sambil tersenyum tergambar jelas di ruang mata. Sejak Ameer Mulhim meninggalkan bumi Bangi, semangatku seakan di bawa pergi. Segalanya terasa hambar sekali. Lantas aku semakin kerap membuka buku-buku agama terutama tafsir Al Quran demi menguatkan jiwa yang terasa lesu dengan panahan asmara.

Tut…tut..tut

Serta merta aku membuka peti pesanan masuk ‘sms’. Sebaris ayat yang tertera kubaca laju.

>: Abang nak beli barang sikit. Minta Jihah temankan. Abg bawa makcik abg sekali. Boleh ya.

Beberapa kali aku membaca ayat yang tertera. Kuulang lagi di dalam hati. Betulkah Abang Ameer yang sedang ber’sms’ dengan aku? Macam tidak percaya.

Apa jawapan yang hendak aku berikan? Ya atau tak? Atau ya tapi ada ‘tapi’. Ah! Ini bukan tetamu Hotel Mawar Biru, tingkah hatiku. Kalau mengikut polisi Hotel Mawar Biru, sebarang permintaan tetamu tidak boleh di jawab dengan tak boleh. Paling tidak, ‘boleh,…tapi…’ atau ‘ kami akan cuba usahakan, tapi….’.

Dalam urusan tertentu terutama melibatkan pelanggan yang ‘berani’ meminta yang bukan-bukan, aku sering bertegas dengan cara yang berhemah. Ada masa tertentu apabila berjumpa dengan pelanggan yang ‘tak tahu erti malu’, ingin sahaja aku jeritkan kami ini jual bilik hotel, bukan jual badan yang montel.

Geram, tapi kena tunjuk muka manis! Itulah yang aku alami sejak berkerja di Hotel Mawar Biru ini. Aku agak, tahun ini aku akan letak jawatan. Kerja di sini memang menduga keimananku, lebih-lebih berada di bawah kepimpinan anak Puan Mawarni yang sanggup berbuat ‘apa saja’ agar tetamu datang ke hotel.

Berbalik kepada ‘sms’ Ameer Mulhim, aku sudah dapat idea terhadap permintaannya. Lagipun makciknya ikut sama, bolehlah aku bawa Roon juga.

>: Boleh tapi tengok keadaan dulu. Kalau jadi, Jihah akan bagitau.

Aku pandang telefon bimbit beberapa saat. Jantungku berderau. Semua sms dari Ameer Mulhim ini, akan aku simpan dalam peti simpanan ‘sms’.

Tut tut tut… ada sms masuk.

>: Ok. Harap Jihah x kecewakan Abang. Wslm.

Aduh! Semakin syahdu kata-kata Ameer Mulhim. Boleh gugur jantung aku tatkala membaca sebaris ayat itu. Abang, akan wujudkah perasaan kecewa sedang curahan rahsia hati belum kau beri? Aku semakin lemas dengan rindu yang mendesak ini. Dalam diam, aku sudah tidak sabar menanti detik pertemuan yang dikatakan itu.


‘Sms’ Ameer Mulhim kubaca berkali-kali. Aku seakan terbang ke angkasa. Perasaan yang sungguh asing telah menakluki jiwaku. Menggetarkan seluruh urat sarafku.

Kali ini aku berjanji, biar sehebat mana perasaan ini, aku tidak akan goyah kerananya. Imanku, jasadku dan matlamat hidupku hanya mencari keredhaan Ilahi. Jika bersama Ameer Mulhim bakal memudahkan aku mencari Nur Ilahi, maka perasaan ini akan diterjemahkan dalam bentuk yang dihalalkan oleh agama.

Kesimpulanku, segalanya masih jauh lagi.


Isnin, 28 Mei 2007

Bab 5.........Teman Serumahku Yang Pelik



Sampai sahaja di perkarangan Flat Sri Selasih, aku terus memanjat anak tangga menuju ke tingkat dua. Jam di tangan aku pandang sekilas. Masih punya waktu untuk menunaikan solat Zohor. Aku bergegas menapak ke muka pintu rumah. Tanpa berlengah lagi, aku mengeluarkan anak kunci dan selang beberapa detik, pintu rumah terbuka.

Mataku bagaikan hendak tersembul keluar melihat ruang tamu rumah. Majalah Remaja dan Blues bertaburan di atas karpet. Ini mesti ‘minah macho’ punya kerja. Kalau menyerakkan majalah dan buka kipas tak tutup, memang sudah menjadi satu kelaziman Roon.

“ Mana Roon ni?” Aku menyelak langsir bilik Roon. Dia tiada di situ. Lalu aku menjenguk ke dapur. Dari muka pintu dapur, aku terpandang Roon sedang makan mi goreng dengan berselera sekali. Dengan berhati-hati aku merapati Roon tetapi aku juga memastikan dia tidak akan menyedari kehadiranku.

Sampai sahaja di belakang Kerom, terus aku menyergahnya.

“ Wooi!! Sedap makan?!”

Roon buat muka selamba saja, tanpa mengendahkan aku yang sedang berusaha membuatnya terkejut. Aku jadi malu sendiri. Lantas aku cuba menutup perasaan maluku dengan mengusiknya lagi.

“ Amboi……makan tak jemput orang. Sombongnya!”

Roon buat muka selamba lagi. Apa anginnya hari ini pun aku tidak tahu. Ah! Biarlah. Akhirnya aku menghala ke bilik air untuk mengangkat wuduk.

“ Hoi Cik Jihah! Kalau nak terperanjatkan orang pun, janganlah buka pintu kuat sangat. Ini bunyi kunci je dah memokakkan telingo den. Ado hati nok buek den terperonjat. Apo punya lawok.Goli anok tokak eeiiii. Kah kah kah…hik…hik..hik”

Mataku kembali menyapa muka Roon yang kemerahan-merahan kerana gelaknya yang kian menjadi-jadi. Geramnya aku pada ‘makcik’ seorang ini sampai rasa hendak cekik pun ada. Aku meluru ke arah Roon, lantas aku mencucuk-cucuk pinggangnya.

“ Ah ketawalah…ketawa, oo nak kenakan kita pulak ya.”

Roon menolak pergelangan tanganku. Aku tidak jadi meneruskan geletek di pinggangnya.

“ Jihah! Hik…hik…hik..kau..jangan hik..hik, oooi dah ler…hik…hik.”
Aku menggelengkan kepala melihat telatah Roon yang masih lagi tergelak. Aku tahu Roon tidak berniat hendak ketawa berlarutan tetapi memang itulah sifatnya. Kalau Roon sudah ketawa, alamat susahlah hendak berhenti.

“ Hoi dahlah Roon. Bawa mengucap.” Nasihat aku sambil memerhati Roon yang masih lagi ketawa terkekeh-kekeh.

“ Jihah…tolong aku…hik…hik….heii…..hik…hik, apasal aku ni…hik..hik.”

Aku mati akal. Bagaimana ya hendak membantu Roon berhenti ketawa, jika tidak tentu Roon akan mudah letih dan selepas itu menangis pula.

“ Jihah…isk..isk..wuarghhh…isk…Jihah!”

Hah! Kan dah mula dah…..

“ Roon…relaks Roon. Tarik nafas tu!”

“ Jihah….isk…isk…huh..huuahhh..isk…aku..hu…isk.”

Aku semakin hilang akal. Geram juga pada diri sendiri, sudah tahu penyakit Roon, ada hati nak cari pasal! Bagaimana ya? Oh! Tinggg!! Seakan ada mentol di atas kepalaku. Aku merapati Roon lalu merapatkan bibirku ke telinga Roon.

“ Roon, aku dengar tuan rumah nak naikkan sewa. Kita kena bayar lima ratus sebulan lah! Kau tambah lima puluh ringgit boleh tak?”

Sebaik sahaja ayat itu lengkap, serta merta wajah Roon bertukar tegang. Hilang terus sedu sedannya dan dia terus mengesat airmata. Wajahku ditatap seakan inginkan kepastian. Aku jadi risau pula melihat cara Roon memandang aku. Gerun!

“ Eh! Melampau Javinder Singh tu. Sudahlah nak mintak pasangkan grill tingkap dia tak layan. Ciss…cekik darah punya perempuan.” Pekik Roon dan dahinya sudah berkerut dalam.

Aku melangkah masuk ke bilik air. Aku tidak mahu mengulas apa-apa sebab aku tidak mahu berbohong berlebihan. Lagipun tadi, aku cuma main-main saja. Jika tidak, lagi lama Roon menangis. Aku cuma hendak tolong Roon berhenti menangis. Tak salahkan?

“ Jihah! Betul ke ni? Perempuan tu nak naikkan sewa ya?”

Aku buat-buat tak dengar. Lantas aku terus mengambil wuduk. Keadaan kembali sepi seperti ketika aku mula-mula balik ke rumah tadi. Huh…lega.

Selesai sahaja menunaikan Solat Zohor, aku mencapai naskhah Al Quran yang berada di rak buku. Kitab suci tinggalan Nabi Muhammad S.A.W itu sudah menjadi bacaan wajib untukku lagukan setiap hari. Entahlah, bagai satu nikmat yang tidak terungkap tatkala aku mendendangkannya. Terasa hari-hari yang dilalui bagaikan berjalan dengan lancar malah semua pergerakanku seakan dilindungi.

Seperti biasa, seperti hari-hari semalam dan bertahun-tahun lalu, kepada Allah S.W.T jua aku meluahkan segala yang menganggu perasaanku. Tentang tekanan di tempat kerja, juga tentang nasibku di kemudian hari, semuanya kuluahkan kepada Allah Yang Maha Kuasa. Dalam sendu doaku, kupohon Allah S.W.T agar memudahkan perjalanan hidupku dan membimbing diriku walau apa jua yang akan berlaku pada masa akan datang.

Sejadah kulipat dua, lantas kuletakkan di atas kerusi. Mataku beralih ke wajah Roon. Kawanku itu sudah tidur. Penat agaknya. Aku memerhati seraut wajah Roon. Bentuk wajah segiempat, berahang besar, berkulit gelap sedikit dan memiliki susuk tubuh agak tegap. Roon kulihat bagaikan wanita yang terperangkap dalam tubuh seorang lelaki. Nasib baik rambutnya panjang dan tidak ada misai! Perangainya jangan cakap, kasar sungguh. Namun, dalam kasarnya Roon seorang yang berjiwa penyayang. Justeru itu, tidak hairanlah Roon sanggup mengambil anak kucing yang ditemuinya di tengah jalan, dibawa ke rumah dan dijaga dengan penuh kasih sayang..


Roon masih lagi tidur. Aku tidak perlu jenguk ke bilik pun kerana bunyi dengkurnya sama kuat dengan bunyi jam loceng.

Petang Sabtu ini, aku lebih suka mengisi masaku dengan membersihkan rumah dan menggosok pakaianku untuk seminggu. Majalah-majalah yang berserakan, kubiarkan sahaja. Nanti Roon bangun dari tidur, aku akan paksa dia kemas semula. Kawan aku itu tidak boleh dibagi muka sangat, jika tidak naik lemak pula badannya yang sememangnya lebih banyak lemak dari otot.

Radio IKIM.fm aku buka dan selepas itu tanganku rancak menggosok pakaian. Sebuah lagu nasyid dendangan kumpulan Rabbani menusuk dalam ke jiwaku. Lagu ‘Pergi Tak Kembali’ itu benar-benar mengingatkan aku tentang kematian. Ya, kematian ada di mana-mana. Ia suatu perkara yang tidak boleh dirancang dalam hidup. Semua itu ketentuan Ilahi. Dalam kesyahduan irama lagu itu, aku berdoa agar umurku dipanjangkan jadi bolehlah aku mencari siapa dia kedua orang tuaku. Oh! Aku memang tidak sabar hendak bertemu mereka, dan jika aku berjumpa dengan mereka, ada satu ayat yang akan aku tujukan kepada mereka, dan ayat itu sudah berulang-ulang di hatiku sejak bertahun-tahun lamanya.

‘ Saya datang ini pun kerana saya nak tengok wajah orang yang membuang saya, tapi Alhamdulillah, sekarang saya sudah berjaya kerana Tuhan tak pernah membuang saya. Saya tak menyesal kerana tak ada ibu dan bapa, kerana bagi saya ibu bapa sudah lama mati’
Garangkah aku? Pendendamkah aku? Hanya orang yang senasib denganku akan memahami derita jiwa seorang anak yang dibuang kedua orang tuanya.

“ Jihah! Kenapa tak kejut aku? Aku nak pergi jogging awal sikit dekat Taman Tasik Cempaka. Lepas tu aku nak pergi Pasar Malam. Hishh…dah pukul lima.”

Aku menutup suis seterika lalu menuju ke bilik. Lagu ‘Pergi tak Kembali’ telah selesai berkumandang. Hari ini merupakan hari melayan kerenah ‘minah macho’ tu. Eeei…geramnya aku pada Roon, sudah sampai ke tahap maksimum.

“ Cik Roon yang budiman, apa engkau fikir aku ni alarm clock engkau ke? Tak payah nak berjogging dekat taman tasik, dalam rumah ni pun banyak aktiviti boleh dibuat untuk cairkan lemak yang bertempel dekat otot-otot kau tu. Sila kemas balik majalah yang kau serakkan ya. Ada faham?”

Roon menyimpul rambutnya yang panjang. Kemudian dia membetulkan cadar katil serta menepuk-nepuk bantal tidurnya. Aku masih lagi berdiri di muka pintu sambil menunggu reaksi kawan serumahku itu.

“ Yelah Jihah. Macam mak aku lah kau ni. Pot pet pot pet. Nanti aku kemas ler.”

Aku tergelak kecil melihat wajah Roon yang masam mencuka. Seakan tidak puas lagi hendak mengusiknya, lalu aku mencari ayat yang lebih ‘power’ lagi untuk mengipas amarah Roon.

“ Hai Cik Roon, kalaulah aku ni emak engkau, bukan pot pet pot pet lagi. Ni, tangan ni dah lama naik ke punggung kau tu. Macam mana ni, anak dara pun malas nak kemas rumah. Nanti Abang BSN tu tahu, mesti dia tak ingin dengan kau tau.”

Hah! Inilah dia penaik semangat Roon. Bila sebut Abang BSN iaitu pelanggan tetap Hotel Mawar Biru, wajah Roon terus berseri-seri dan bercahaya.

“ Eh Jihah! Kau agak, Abang BSN tu suka dengan orang macam mana ya?” Soal Roon.

“ Aku agaklah, Abang BSN tu mesti suka perempuan yang feminine, sopan santun dan lagi satu, pasal Abang BSN tu segak aje orangnya, aku rasa dia suka perempuan yang pandai jaga rumahtangga dan rajin. Itu yang aku agak je lah.”

Aku memandang Roon yang sedang termangu. Nampaknya macam berkesan juga kalau aku tambahkan sedikit lagi ayat pelengkap. “Roon, kau rasa kau ada ciri-ciri macam tu ke Roon?”

“ Alah…semua tu boleh dibentuk. Bagi aku masa ler.”

Aku tergelak kecil. Sewaktu mataku berlaga dengan mata Roon, aku dapat lihat riak kemarahan dari urat-urat matanya. Sensitif betul kawan aku yang seorang ini.



“ Baguslah, jadi ujian engkau yang pertama demi membentuk sahsiah diri mengikut garis panduan yang Abang BSN tu suka, sila kemas majalah yang bersepah tu ya. Lepas ni bersiaplah, kita pergi pasar malam.”

“ Okeylah Cik Aina Najihah. Pasar malam punya pasal, aku kemas majalah tu sekarang jugak.”

“ Bukan Abang BSN punya pasal ke?”

Roon mengerling tajam ke arahku.

“ He…he…aku pergi seterika baju ya...” Ujarku.

Aku terus meninggalkan bilik Roon lalu meneruskan semula kerja-kerja menggosok baju sambil mengelamun. Beberapa wajah yang dekat di hatiku mengambil alih ruang imaginasi. Perlahan-lahan, seraut wajah seorang lelaki berambut hitam lurus, berkulit putih dan mempunyai sepasang mata hitam nan redup merentap ketenanganku petang itu.

Adakah Abang Mulhim sedar tentang perasaan aku padanya? Itulah yang sering aku tertanya-tanya sendirian. Jika ya, mengapa susah benar untuk dia meluahkan perasaannya walaupun melalui sekeping surat? Pemalunya dia atau akukah sebenarnya yang perasan?!

Entahlah. Hati ini sudah terlalu lama memendam rasa kasih yang kian subur untuk dirinya. Puas sudah aku berusaha melupakan Ameer Mulhim namun usahaku tidak berjaya. Hanya pada Allah S.W.T aku mengadu. Sembahyang hajat juga telah aku tunaikan, minta dijauhi dari godaan syaitan yang sengaja ingin menyuburkan rasa cinta ini sehingga boleh melalaikan aku dari mengingati Allah S.W.T.

Ya. Aku memang tertarik kepada Ameer Mulhim kerana rupanya dan akhlaknya. Juga kerana ilmu agama yang penuh di jiwanya. Aku dapat membayangkan, dia adalah insan yang mampu membimbing aku melalui liku-liku kehidupan yang kian mencabar. Aku tidak punya ayah, ibu malah kaum keluarga. Bersama Ameer Mulhim aku seakan mendapat satu kekuatan dan semangat untuk menghadapi kehidupan. Dia melengkapi ciri-ciri lelaki idamanku.

Bukan harta, bukan rupa semata. Tetapi iman dan akhlaknya. Dan, Ameer Mulhim, berapa lama agaknya harus aku tunggu lafaz kasih darimu? Bertahun-tahun aku memendamnya, dan kini kasih ini sudah terlalu sarat! Terlalu berat tanggungannya!

“ Jihah! Aku dah siap. Engkau tu berapa lama lagi nak siap? Cepat, aku nak pergi ni.”

Lamunanku terputus. Suara Roon yang kuat dan nyaring itu membingitkan telingaku. Hai Roon, engkau ni memang alarm clock yang selalu berbunyi setiap kali aku mengelamun. Nasib baik aku cukup sabar dengan Roon. Aku sabar kerana sememangnya sudah masak dengan perangainya itu. Kalau orang lain,…entahlah! Kesimpulan yang dapat aku rumuskan hari ini, aku tak boleh manjakan teman serumahku yang pelik itu. Jika tidak, aku yang akan menghidapi sakit otak.

…

Bab 4.......Pemilik Kondo Vista Alami


Janji dengan pemilik rumah, hendak berjumpa pukul dua belas tengahari. Sekarang sudah pukul dua belas setengah. Apalah! Marahku pada diri sendiri. Ini yang dikatakan janji Melayu agaknya.Tapi, ada juga kawan sekerjaku yang berpegang teguh pada janji masa, contohnya Fazleen Murat dan Taufik. Kalau janji pukul sebelas, pasti mereka berdua ini akan berusaha berada di tempat yang dijanjikan tepat pada waktunya. Mereka pun Melayu juga.

Hmm. Harap-harap Encik Annas belum sampai lagi, hatiku seakan menghimpun doa.

Kereta Kelisa yang kubeli dua tahun lalu terus meluncur laju di atas jalanraya. Sesekali aku memperlahankan kelajuan, kerana terasa diri melayang-layang. Hampir setengah jam dalam kereta, Vista Alami kini sudah berada di ruang mata. Humm…lambat lima belas minit. Tak apalah, getusku.

Rumah nombor 3 Tingkat 3A Blok A. Mataku terpaku kepada keratan akhbar The Star bertarikh 30 Disember 2005. ‘ Sale RM167 ono.’

Mindaku mencongak-congak. Bayar muka sepuluh peratus, kalau dapat pinjaman dua puluh tahun, mungkin boleh bayar tak sampai seribu sebulan. Lagi untung bila dapat penyewa cepat, bulan kedua beli dah tak perlu keluar duit sendiri bayar bank. Tapi kali ini, aku akan cuba dapatkan harga serendah yang boleh. Harap-harap, tuan rumahnya nanti boleh dibawa berkira bicara.


Lif berhenti di Tingkat 3A. Aku terus menuju ke rumah yang dimaksudkan. Melihatkan sebuah rumah yang agak kosong tanpa pasu-pasu bunga dan penyidai baju berada di ruangan dobi, aku cukup pasti inilah rumahnya.

Seorang lelaki berusia sekitar awal tiga puluhan sedang bersandar di tepi dinding rumah tersebut. Aku yakin, itu Encik Annas. Orangnya kelihatan segak, tinggi dan berkulit putih. Berambut lurus dan berkacamata pula. Seraut wajahnya nampak serius, tak ubah seperti guru disiplin sekolah lagaknya.

“ Ha…Cik Aina Najihah ya, fikir tak jadi datang.” Tegurnya tatkala terpandang aku sudah terpacak di muka pintu. Bibirku yang seakan kematu, cuba aku gerakkan untuk menyimpul senyuman. Sebenarnya aku malu kerana membiarkan orang tunggu lama. Aku mula dihimpit perasaan bersalah.

“ Maaf ya Encik Annas, tadi hujan. Jalan jammed sikit. Lama tunggu?”

“ Tak adalah,…biasalah lambat sikit tu. Cik Aina baca iklan dalam The Star minggu ni ke?”

Aku mengangguk. Kemudian pandanganku beralih ke ruangan dalam rumah. Masih baru, bagai belum berusik.

“ Ya, er….Encik Annasni tuan rumah kan, bukan ejen?”

“ Ya, rumah ini milik saya dan isteri. Tu lah, ada masalah sikit. Itu yang kami nak jual.”

Tersentak aku mendengar kata-katanya. Adakah rumah ini dijual kerana sebab-sebab struktur rumah atau masalah maintanence. “ Kenapa, rumah ni ada masalah ke?” Terus aku menyoal.

“ Oh tidak, rumah ni ok. Kami suami isteri ada masalah sikit, jadi kami cadang nak jual saja rumah ni.” Tuturnya. Sebaik sahaja diamemberitahu, aku sudah berniat tidak mahu bertanya lagi. Bimbang jika masalah yang dimaksudkan adalah masalah rumahtangga atau masalah kewangan. Bukankah masalah seperti itu agak peribadi?

“ Rumah ni keluasannya seribu seratus sepuluh kaki persegi, bilik empat dan dua bilik air. Selesalah untuk orang yang dah berkeluarga dan ada orang gaji.” Terangnya lagi sambil menuju ke ruang-ruang yang terdapat dalam rumah itu. Pertama kali melihat seluruh ruang di rumah tersebut, hatiku sudah terpikat. Bersih, luas dan reka bentuk kedudukan biliknya sangat praktikal. Kalau ada tetamu datang, ada ruang yang menghadang tetamu dari melihat ke arah pintu bilik tidur utama.

Sambil meninjau-ninjau, aku terus bertanya, “ Berapa agaknya bayaran maintenance sebulan ?”

“ Sekarang ni maintenance seratus tiga puluh ringgit. Kemudahan di sini tip top. Kalau astro, dah disediakan connenction. Internet pun sama. Satu covered car park. Surau, laundry, kedai, swimming pool, cafĂ© dan taman kanak-kanak pun ada.”

Encik Annas terus menuju ke tingkap bilik. “ Dari sini, Cik Aina boleh nampak KLCC. Itu yang untungnya rumah ni.”

Aku melontarkan pandangan ke luar tingkap. Ya. Memang tersergam indah bangunan KLCC yang dikelilingi pencakar langit lain di dada Kuala Lumpur. Satu panorama yang kukira sangat berharga. Dan Encik Annas, semua yang diceritakan padaku setakat ini baik-baik belaka. Itu memang aku akui, kawasan ini memang stategik. Berdepan dengan Taman Tasik Permaisuri, bila-bila masa saja boleh beriadah.

Tapi bagaimana pula dengan bil-bil tertunggak? Masih adakah yang belum berbayar?

“ Dulu siapa duduk rumah ni?” Soalku kepada Encik Annas yang sedang memeriksa pam bilik air kedua.

“ Saya dan bekas isteri. Kami nak jual rumah ni. Duduk sudah lapan bulan. Err…Cik Aina tengoklah, rumah ini masih baru lagi bagai tak pernah ada orang duduk. Betul tak?”

Oh! Dah berpisah rupanya. Masih baru menduda. Ah! Jangan fikirlah pasal urusan orang. Bukankah aku datang atas tujuan hendak membeli rumah?

Dan, berbalik pada rumah itu, memang tidak banyak kesan paku di dinding ruang utama, manakala dinding dapur pun masih cantik bercat. Licin! Tidak kelihatan langsung kesan minyak memercik. Bilik air kedua juga bagai tak pernah digunakan.

“ Ya, memang baru lagi.” Langkah kakiku terarah ke bilik nombor tiga. “Besar juga. cuma kurang lebar. Tapi okeylah.”

Tiba-tiba aku teringatkan sesuatu yang penting. “ Oh ya, bagaimana bil-bil air dan api yang terdahulu, dah selesai bayar Encik Annas?”

“ Dah, saya dah jelaskan semua sekali. Nanti masa jumpa peguam saya akan sertakan bil-bil yang terakhir.”

Mendengarkan itu, hatiku berasa lega. Ah, kalaupun ada yang belum berbayar, aku sendiri akan berhubung dengan Encik Annas. Bukan susah pun.

“ Bagaimana Cik Aina?” Encik Annas tiba-tiba terjengul di pintu bilik nombor tiga aku tergamam seketika. Baru aku tersedar, aku berdua sahaja dalam bilik itu. Dadaku diterjah kebimbangan. Ya Allah! Terbayang pelbagai perkara buruk boleh berlaku jika berdua sahaja dengan lelaki yang baru dikenali di rumah kosong ini. Satu situasi yang bahaya, dan sepatutnya aku ajak Angie Tan ikut sama.

Oh! Lupa aku memberitahu siapa Angie Tan. Dia pekerja baru berbangsa Cina di Hotel Mawar Biru dan perempuan berusia dua puluh sembilan tahun itu memang arif tentang selok belok membeli rumah terpakai. Selalunya Angie pantang terdengar pasal jualan rumah terutama rumah lelong, cepat sahaja dia pergi. Aku belajar tentang membeli rumah terpakai ini pun dengan Angie. Mengikut Angie, beli rumah yang sudah siap ini tidak perlu bayar bunga kepada bank lebih lama. Tidak timbul langsung isu projek perumahan tergendala dan yang lebih penting harga pasaran sudah dapat ditentukan atau sudah mulai stabil.

“ Kenapa Cik Aina? Macam takut aje. Ada masalah ke?” Tegur Encik Annas menjadikan aku gelabah sekejap. Aku cuba kawal diri agar nampak sedikit serius. Biar Encik Annas fikir aku ini perempuan yang tegas, berani. Dan, aku sudah bersedia bertindak jika berlaku sesuatu yang aku takuti. Aku membuka zip tas tangan. Bukan apa, ada penyembur air lada di dalamnya. Antara langkah-angkah keselamatan!

“ Begini…kalau boleh, mintak turun harga sikit boleh tak?” Aku mengeraskan sedikit suaraku.
“ Seratus enam puluh tujuh ribu tu mahal sangat. Lagi pun, rumah ini tak ada buat renovation. Tingkat ini pun 3A. Kalau saya beli dan nak sewakan dengan orang Cina pun susah. Encik Annas faham kan?”

Riak wajah Encik Annas berubah sedikit. Dari perubahan airmukanya, dapat aku tafsirkan Encik Annas tidak gemar isu kedudukan rumah ini di tingkat 3A dibangkitkan. Memang apa yang aku cakap itu benar! Tingkat 3A itu bermakna Tingkat empat. Sengaja diletak Tingkat 3A kerana kalau letak Tingkat 4, ramai orang Cina tak mahu beli. Maklumlah, 4 itu bermakna mati. Jadi ‘suwee’ lah!

Mendengarkan sahaja kata-kataku tadi, Encik Annas terus meletakkan kedua jari telunjuk dan jari hantunya permukaan dahi. Dia mengambil masa sekitar setengah minit untuk berfikir, sebelum membuka mulut.

“ Saya beli ni pun sudah seratus empat puluh lapan ribu, Cik Aina. Bayar intersest, bayar peguam dan lain-lain urusan dah makan sepuluh ribu. Sekarang harga rumah kondo sekitar ni, dah naik. Lagi pun Cik Aina, tempat ini memang mudah disewakan. Bilik empat, mana nak cari?” Tukasnya agak keras. Aku terdiam.

“ Baiklah begini, kalau Encik Annas bagi kurang sikit baru saya ambil.” Putusku.

Dia tercengang. “ Berapa?”

“ Seratus lima puluh lima?”

“ Ha! Tak boleh lah macam tu.” Ujarnya mendatar. Ternyata dia tidak setuju langsung dengan harga yang aku pinta.

Kini wajahku pula bertukar mendung. Aku melangkah keluar dari bilik keempat. Mata Encik Annas menyoroti pergerakanku. Aku perasaan dia acapkali memandangku ketika aku tidak melihat ke arahnya. Sejuk tengkuk aku!

“ Kalau begitu tak apalah, mungkin bukan rezeki saya.”

“ Tambah lima ribu lagi, pull stop.” Dia masih mahu tawar menawar denganku. Aku menggelengkan kepala lantas menoleh ke arahnya.

“ Jangan macam tu Encik Annas, saya pun nak kena upah peguam lepas ni. Mungkin sebulan dua lagi tak dapat cari penyewa. Jadi dua ribu lebih tu kira hangus je nak bayar pinjaman bank untuk dua bulan pertama.” Pintaku dengan harapan dia boleh berlembut hati.

“ Hmmm….saya kena bincang dengan bekas isteri.” Gumamnya, seraya memandang ke arahku. “Nanti saya telefon Cik Aina ya. Er Cik Aina dah berkeluarga ke? Mana tahu nak duduk sini dengan suami dan anak-anak?”

Aku tersenyum. “ Saya beli rumah ini bukan hendak duduk dengan keluarga, saya hendak sewakan.”

“ Ooo jadi Cik...err Puan Aina dan suami duduk di mana?” Dia bertanya lagi.

Hai! Ini soalan perangkap. Hendak tanya aku dah berkeluarga ke belum. Kalau belum, kenapa? Dan kalau sudah, kenapa? Apa kaitannya dengan urusan jual beli rumah ini? Lainlah kalau hendak sewa.

“ Saya dah lewat ni Encik Annas. Nanti Cik Annas telefon ya jika setuju dengan harga saya.”

“ Hmm okey. Maaf ya Cik Aina jika saya banyak tanya pulak. Terima kasih banyak-banyak.”

“ Oh tak apa. Terima kasih juga.” Ucapku sebelum meninggalkan Encik Annas di konominium tersebut.

Sewaktu aku sampai di kawasan parkir kereta, aku menoleh sekilas ke atas. Tidak semena-mena aku terpandang Encik Annas sedang berada di balkoni rumah tersebut. Dia betul-betul memandang ke arahku. Serentak itu, tangannya melambai mesra. Memang mesra kerana bibirnya tersenyum dan pandangannya, ish…. tak berkelip!

Aku terus masuk ke dalam kereta. Lambaiannya tidak aku balas. Senyumannya pula aku balas hendak tak hendak saja. Sungguh aku tidak biasa berlambaian dengan lelaki.

Keretaku menderum. Tidak lama kemudian, Kondimonium Vista Alami aku tinggalkan.

Kesimpulanku pada hari ini, aku tidak seharusnya berjumpa Encik Annas sendirian. Bukankah lebih selamat jika aku minta Angie Tan atau kawan serumahku Khairun Nisa atau Roon ikut sama. Bukankah kaum wanita harus bersikap waspada, lebih-lebih lagi bila berurusan dengan lelaki yang baru dikenali?

Hum….agak-agaknya, apa Roon tengah buat di rumah sekarang ni? Aku perlu pulang segera ke rumah.

…







Sabtu, 28 April 2007

Bab 3....Perasaanku Terhadap Ameer Mulhim



Cuaca nampak mendung pada tengah hari ini. Mengandaikan hari akan hujan, aku berjalan pantas ke arah keretayang terletak di hujung simpang jalan masuk Darul Fikriyah.

Oh! Terlupa pula aku memberitahu. Sebenarnya aku berkerja sebagai Pegawai Pemasaran di Hotel Mawar Biru, sebuah hotel yang diasaskan oleh Puan Mawarni Hakimi. Hotel tersebut terletak di Bangi dan tidak jauh dari Darul Fikriyah. Jarak antara Darul Fikriyah dan Hotel Mawar Biru anggaran lima kilometer sahaja Jadi mudahlah aku melawat rumah lamaku itu. Memandangkan hari ini hari cuti, tambahan pula aku tidak ada kerja luar jadi aku sudah menetapkan temujanji untuk berjumpa dengan seorang lelaki yang mahu menjual kondominiumnya di Vista Alami yang terletak di Bandar Tun Razak, Cheras.

Mempunyai pendapatan hampir dua ribu ringgit sebulan, ditolak pula dengan duit bayaran bulanan kereta sebanyak tiga ratus ( aku hanya pakai kereta second hand saja), gajiku bukanlah banyak mana, lebih kurang dua ribu, ditolak kos sara hidup mencecah lima ratus ringgit sebulan, jadi congak punya congak wang gajiku hanya berbaki seribu dua ratus setiap bulan.

Ah, kalau beli kondominium di Bandar Tun Razak, mudahlah aku sewakan kelak. Kawasan itu memang menjadi rebutan penghuni kota terutama bagi mereka yang perlukan tempat untuk beriadah dan menggunakan kemudahan LRT. Lagi pun pasaran hartanah di situ agak tinggi. Membeli unit rumah merupakan satu pelaburan masa hadapan bagiku. Lagi pun, jika duitku disalurkan untuk membeli rumah, pasaran hartanah semakin meningkat. Tetapi jika digunakan untuk membeli kereta baru, harga kereta selalunya semakin susut. Dari situ aku membuat kesimpulan untuk memperuntukkan wang bagi membeli unit-unit rumah terpakai untuk disewakan.


Rintik-rintik hujan mula mencecah permukaan kulit wajah. Aku semakin giat melangkah. Kalau lambat sampai ke kereta, alamat basah kuyuplah jubah baruku ini.

“ Jihah! Jihah! Nanti Jihah!” Suara lelaki melaung namaku membuatkan aku menoleh ke belakang.

Oh! Dia rupanya! Jantungku berdegup laju. Sangkaku, dia tidak mungkin dapat kutemui hari ini. Namun ternyata dugaanku meleset. Lelaki berusia dua puluh sembilan tahun itu, berada betul-betul di hadapanku. Dadanya berombak, mungkin kepenatan kerana berlari mengejarku. Nafasnya juga tercungap.

“ Abang Im, Jihah fikir dah tak dapat jumpa. Mana Abang Im tadi?” Soalku setelah dia kembali tenang. Hatiku mula berbunga bahagia. Dia masih seperti selalu, bibir merahnya tidak pernah lokek dengan senyuman.

“ Ada, dekat dalam Bilik Bacaan. Tadi masa Abang keluar, Wan Amani beritahu Jihah baru je balik. Tu yang Abang kejar ni.”

Tu yang Abang kejar ni?! Hmmm…apa maksud kata-kata Abang Im? Aduh! Dadaku yang tadinya rancak berdebar kini terasa ingin meletup pula. Rindunya aku pada Ameer Mulhim hanya Tuhan sahaja yang tahu. Seperti yang aku katakan, bayang wajahnya sering memasuki ruang khayalanku tidak kira masa. Bagaikan tiada sempadan!

“ Jihah bagi kaunseling pada Nuruddin dan budak baru tu…er Kamarul. Abang Im tak ada kelas ke hari ni?” Aku sengaja bertanya. Sebenarnya aku masih lagi gugup dengan pertemuan ini. Berduaan di tengah jalan, disirami rintik hujan, di saat rindu kian mencengkam perasaan, aku terus panik dan jadi tidak keruan.

“ Eh, kan Abang Im tengah periksa akhir semester. InsyaAllah, hujung bulan ni habislah Program Master Quran Sunnah.” Bibirnya masih mengukir senyum. Matanya juga seakan ‘tersenyum’.

Aku tiba-tiba diserang kebimbangan. Kalau Ameer Mulhim habis belajar, adakah dia akan meninggalkan Darul Fikriyah? Jika ya, ke mana haluannya selepas ini?

“ Oh! Bermakna lepas ni Abang Im akan habis belajarlah. Apa perancangan Abang Im seterusnya?”

Hujan kian rancak menujah permukaan bumi. Aku agak Ameer Mulhim tidak begitu selesa berbual ditengah hujan sebegini. Dia memanjangkan langkahnya ke kedai runcit Ah Kow. Lalu aku menuruti langkahnya. Deru hujan semakin laju. Kami masuk ke dalam kedai, dan dari jauh Ah Kow sudah angkat tangan padaku. Ah Kow masih seperti dulu. Bajunya tetap singlet cap pagoda. Masih lekat dengan tabiat suka mengorek telinga menggunakan kertas yang digulung kecil. Lelaki cina berusia akhir lima puluhan itu sudah aku kenali sejak dua dekad yang lalu.

“ Nyihah…hujian lah. Masok lalam sikit loo.” Tegurnya dan aku mengangguk lantas menuruti kata-katanya itu. Begitu juga Ameer Mulhim. Kami berdiri di sebelah susunan penyapu dan gulungan tikar getah yang memenuhi sudut kedai.




“ Sebenarnya Abang dapat tawaran kerja di Terengganu. Abang tengah fikir nak terima ke tak. Kalau jadi, Abang mula kerja bulan depan.” Ameer Mulhim bersuara separuh menjerit di kala hujan semakin menggila. Aku sungguh terkejut dengan berita yang baru disampaikanitu.

“ Abang dah terima ke?” Jeritku.

“ Belum lagi…tapi kalau boleh Abang nak duduk di Bangi ni. Ramai kenalan di sini.”

Hatiku lega sedikit mendengar kata-kata darinya. Sudah lama aku berangan-angan dapat menakluki hatinya. Aku ingin menjadi juwitanya. Dan dalam pertemuan itu, aku melihat Ameer Mulhim nampak lebih ceria dari biasa. Dia bagaikan baru mendapat semangat baru. Aku dapat merasakan kami mempunyai satu rahsia hati yang menunggu masa untuk dipecahkan pada bila-bila masa. Sesungguhnya aku mencintai lelaki itu, tapi aku tidak sanggup hendak meluahkannya. Aku rela menyimpan kemas perasaan ini seorang diri.

“ Jihah tahu kan nombor telefon Abang. Nanti kalau Abang balik Terengganu hujung bulan ini, Abang tinggal rumah makcik Abang di Kuala Terengganu. Kalau Jihah ada masa ke, jangan lupa telefon Abang ya.”

Aku tersenyum, lalu mengangguk kepala. Ah..Abang! Kalau boleh Jihah nak telefon Abang tapi Jihah masih tidak punya keberanian. Kenapa tidak Abang sahaja yang telefon Jihah?

“ Er, lupa pula. Nanti Jihah SMS alamat Jihah pada Abang tau. Kalau takde aral melintang, hujung bulan nanti Abang turun K.L. Ada sikit urusan. Abang nak jumpa Jihah masa tu.” Tambah Ameer Mulhim.

Perasaaanku kembali berbunga. Ameer Mulhim akan kembali ke sini dan akan menemui aku. Oh! Kenapa tidak berterus terang sahaja? Jiwaku kembali bergelora.


“ Nanti Jihah SMS kan. Abang, Jihah tak boleh lama ni. Jihah ada temujanji dengan orang. Jihah kena pergi cepat.” Pintaku sambil mata memandang sekilas ke permukaan jalan. Masih hujan.

“ Nanti dulu, Abang ambil payung ya. Hujan ni,…..”

Ameer Mulhim memandang sekitar kedai runcit Ah Kow. Mungkin sedang mencari sekaki payung tetapi akhirnya dia mengeluh hampa.

“ Ah Kow! Ah Kow!” Laungnya dan tidak lama kemudian muncul Ah Kow dengan sekaki payung di tangan.

“ Ayaaa….hujian manyak kuat, ini maciam kelai tatak olang latang oooo.” Rungutnya lalu berdiri tegak di sebelahku, “Aaaa Nyihah mau payung,… ini payung maa. Mali nyalan....mali.”

“ Tak pe Kow, biar saya pegang Kow. Kalau awak pegang, itu 'nyonya' pukul sama ini penyapu...” usik Ameer Mulhim sambil mengambil payung dari tangan Ah Kow dan kemudian payung itu dikembangkan.




" Lu Amey...lu ala hati sama Nyihah...cakap oo. Lu liam-liam...lu sinli lugi woo"




Ketawa kecil berlagu di bibir Ameer Mulhim. Aku buat-buat ketawa, anggap itu satu seloroh. Janji jangan ada sesiapa dapat menghidu tentang perasaanku.



" Terima kasih Kow." Laungku. Kow mengangkat tangannya.


“ Jom Jihah.” Ujar Ameer Mulhim setelah mendapati di kiri dan kanan jalan tidak ada kenderaan yang bergerak. Sebaik sahaja Ameer Mulhim menuju ke luar kedai, aku turut mengekori langkahnya. Payung itu sentiasa dibiarkan mengiringi sekujur tubuhku, sedangkan Ameer Mulhim kulihat sudah kebasahan.

Berdua di dalam hujan, dipayungi Ameer Mulhim sedangkan dirinya sanggup basah kuyup, hati mana yang tidak terpaut. Pada saat ini, Ameer Mulhim adalah hero pujaanku. Kesungguhannya memastikan aku masuk ke dalam kereta tanpa ditimpa setitis pun rintik hujan, dan menanti aku bergerak meninggalkannya, semakin menyuntik perasaan kasih yang tidak mampu ditimbang sukat lagi.

Aku sebenarnya malu sangat pada situasi ini, tetapi jauh di sudut hatiku, aku terasa bahagia.

Kesimpulanku pada hari ini, aku memang menyintai Ameer Mulhim sepenuh jiwa raga, dan aku merasakan cintaku kian bersambut. Biar pun dalam diam!

…